Rabu, Julai 16, 2025

Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Sedikit renungan tentang labah-labah

OK. Perjalanan kali ini meliputi tempoh masa 3 hari 2 malam sahaja. Walaupun tak lama mana cerita tetap cerita. Bersambung daripada Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Menyusur sejarah berkenaan dari Matang ke Beruas ke Teluk Intan.



Merujuk pada artikel Jejak Langkasuka 2025 - Menutup di Batu Bersurat Cherok Tok Kun sebelum ke Perak yang ceritanya berlaku 2 minggu lebih awal. Ada disebut saya dan isteri menunaikan solat Maghrib dan Isyak di masjid warisan keluarga Laksamana di Batak Rabit. Hajatnya hendak bermalam di masjid bagi bulan Muharram tapi tak boleh. Ini kerana ada makanan dibawa balik dari Thailand perlu disimpan dalam peti ais secepat mungkin.

Kali ini baru boleh bermalam. Namun sebelum masuk waktu Subuh pagi Isnin 14 Julai 2025 bersamaan 18 Muharram 1447 Hijriah bergerak untuk meninggalkan masjid dan Batak Rabit. Ini kerana Isnin adalah hari bekerja isteri. Walaupun boleh bekerja secara atas talian dari mana-mana, Selasa, Rabu dan Khamis baru kena masuk pejabat, isteri lebih selesa melakukan kerja dari rumah.



Solat Subuh di masjid jamek Slim River.



Sampai di Behrang matahari sudah terbit.



Masuk menuju ke pekan lama Tanjung Malim.







Sarapan nasi dagang dan nasi kerabu di sebuah kedai kegemaran di Hulu Bernam. Biasanya saya berpuasa sunat setiap siang Isnin dan Khamis. Kali ini tidak supaya dapat makan bersama isteri dalam perjalanan. Lagipun baru sahaja berpuasa 3 hari berturut Rabu hingga Jumaat, puasa putih 13 hingga 15 Muharram. Sebelum itu sudah puasa 3 hari berturut Sabtu 9 Muharram (Puasa Tasu'a), Ahad 10 Muharram (Puasa Asyura) dan Isnin 11 Muharram (puasa sunat Isnin).




Apabila sampai ke rumah hampir jam 9 pagi didapati saya telah memandu sejauh 557 km.


Merujuk kembali pada artikel pertama siri kecil ini iaitu Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Dapat menjunjung keris peribadi Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Ada dinyatakan bahawa telah berlaku satu perkara misteri melibatkan labah-labah di gerai di mana saya, isteri dan dua orang saudara (tidak lama kemudian muncul seorang lagi) minum petang di Taiping. Apa yang berlaku adalah saudara dua pupu sedang bercerita tentang kemungkinan diserang secara batin oleh orang tertentu. Tiba-tiba muncul labah-labah naik ke pinggan makanan saya.

Ada saudara hendak memukul labah-labah. Saya melarang, setakat mengacah agar ia turun dari pinggan. Labah-labah itu kemudian masuk ke bahawa meja. Di atas ini gambarnya, isteri ambil dari bawah meja.

Kami semua merasa pelik. Kalau muncul nyamuk, lalat malah cicak sekalipun tidak menghairankan. Ini labah-labah. Boleh tahan besar. Seperti hendak menyatakan sesuatu.

Terus teringat cerita labah-labah membuat sarang bagi menutup pintu gua tempat junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW dan Saidina Abu Bakar berlindung menyorok daripada buruan musuh. Dengan adanya sarang dianggap tiada orang dalam gua. Kalau ada tentu sarang telah rosak dilanggar ketika hendak masuk ke dalam.

Teringat juga bahawa pada batu nesan di makam pengasas kerajaan Samudera dan Pasai, Sultan Malikus Saleh yang merupakan moyang kami ada tertera ayat atau petikan daripada Surah Al-Ankabut, iaitu Surah Labah-labah. Yang ingat terjemahan bahasa Melayu lebih kurang begini : "Dunia ini sementara. Ia seperti sarang yang dijalin labah-labah".

Merujuk pula pada artikel Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Menyusur sejarah berkenaan dari Matang ke Beruas ke Teluk Intan. Ada dinyatakan kami singgah di rumah seorang bapa saudara di Changkat Jering. Tidak diceritakan bahawa beliau terlibat dalam dunia perubatan tradisional dan hal-hal kebatinan. Apabila diceritakan tentang hal labah-labah tiba-tiba muncul naik atas pinggan di gerai kata beliau ada orang yang duduk berdekatan menghantar santau. Labah-labah itu menghalang.

Teringat ketika berumur 18 tahun ada melepak di sebuah gerai di Bukit Bintang bersama beberapa orang kenalan minum teh tarik. Teh dalam gelas kaca diminum sedikit demi sedikit. Ketika tinggal sedikit untuk hirupan terakhir lalu saya hendak mengambil gelas tiba-tiba ia meletup berkecai tinggal tapak.

Saya terus memandang atas ke arah rumah pangsa berdekatan. Kot-kot ada orang baling atau batu jatuh dari atas. Tapi kalau kena batu dari atas harus tapak yang berkecai, bukan semua bahagian gelas kecuali tapak. Kemudian ada orang memberitahu itu menunjukkan ada orang menghantar santau. Dengan kuasa Allah SWT gelas berkecai supaya tidak kena santau yang telah mendap dalam baki teh untuk hirupan terakhir. Sekian perkongsian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan