Jumaat, Mac 04, 2022

Komputer-komputer riba yang pernah dimiliki

Salam tengah hari Jumaat. Merujuk pada artikel Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki. Setelah menulis tentang kamera digital satu artikel serupa harus dibuat tentang komputer pula. Biar dibuka dengan sejarah saya dalam penggunaan komputer. 


Adapun komputer pertama yang saya kenali lalu digunakan adalah model Sinclair ZX-81. Ia satu komputer kecil bersaiz lebih kurang seperti kertas A4 menggunakan televisyen biasa untuk paparan yang cuma berwarna hitam putih. Ketika itu tahun 1982, tidak ramai orang menggunakan komputer apalagi memilikinya. Malah pejabat-pejabat kerajaan pun seingat saya belum mengenali komputer. Saya ingat ini kerana bapa saya adalah antara orang paling awal bertanggungjawab membawa perkomputeran dan penggunaan pengkalan data (database) ke Kementerian Pelajaran (kemudian menjadi Kementerian Pendidikan). Sedangkan saya telah lebih awal menggunakan komputer.

Komputer yang merupakan antara terawal di dunia untuk kegunaan di rumah (home computer) itu  dibawa kembali bercuti oleh seorang bapa saudara yang sedang menuntut dalam bidang kejuruteraan di University Strathclyde, Glasgow, Scotland. Ketika itu saya berada di Darjah Enam sekolah rendah di Muar. Menyedari minat saya dengan perkara-perkara di luar kebiasaan murid lain yang seumur dia meninggalkannya untuk kegunaan saya. Dengan komputer inilah saya belajar sendiri cara membuat program dalam bahasa BASIC menggunakan panduan dari majalah dan buku . Saya juga belajar sendiri sedikit Assemby Language dan Machine Code. 

Tidak lama kemudian bapa saudara  membawa balik komputer model Sinclair Spectrum yang lebih canggih. Ia masih menggunakan televisyen biasa untuk paparan tetapi sudah berwarna-warni dan ada grafik yang boleh dibuat video games. Apabila masuk ke Sekolah Menengah Sains Johor tahun 1983 saya menjadi satu-satunya ahli kelab komputer di bawah umur 16 tahun kerana kebolehan menggunakan komputer juga membuat program yang tidak ada pada murid lain. Di situ saya mula belajar menggunakan komputer Apple II yang lebih canggih, ada monitor atau alat paparan sendiri walau tidak berwarna-warni, cuma berwarna hijau dengan latar belakang hitam. Selepas beberapa lama bapa membeli satu untuk kegunaan di sebuah lagi rumah di Kajang. Ketika itu bapa bekerja di Kuala Lumpur. Hujung minggu baru balik ke rumah bertemu ibu dan saya adik beradik 5 orang.

Seingat saya komputer Apple II tetapi mungkin sub-model yang lebih canggih digunakan ketika menyambung pengajian di kolej iaitu di Pusat Persediaan Pelajar (PPP) bawah ITM (Institut Teknologsi MARA, menjadi universiti bermula pada tahun 90an) pada tahun 1988. Namun itu semua jenis komputer rumah. Pertama kali menggunakan komputer riba ataupun laptop adalah ketika mula bertugas sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times iaitu pada tahun 1996. Pada mulanya yang dipakai cuma komputer riba umum yang harus ditempah di pejabat untuk kegunaan ketika bertugas jauh di luar kawasan. Boleh pegang cuma beberapa hari sebelum wajib dipulangkan. Masuk tahun 2000 kalau tak salah semua wartawan dibekalkan dengan komputer riba. Saya dapat jenama Dell yang tercanggih pada waktu itu. Selepas meninggalkan NST penghujung tahun 2001 baru komputer tersebut dipulangkan kepada syarikat. Saya pun membeli komputer riba sendiri awal tahun 2002 kerana mahu menulis buku. 

Dengan itu bermulalah episod saya menulis menggunakan komputer riba sendiri. Dan setelah lebih 5 tahun menulis dalam Bahasa Inggeris di NST baru saya menulis dalam bahasa Melayu. Ini kerana apa yang hendak dikongsikan adalah demi rasa cinta terhadap agama dan bangsa, satu perasaan yang baru muncul beberapa setahun kebelakangan itu. Artikel-artikel lama berikut mengandungi tulisan-tulisan awal untuk buku menggunakan komputer tersebut :-


1. Permulaan - Satu percubaan menulis buku tahun 2002 






7. Queens dan sumbang mahram


Namun projek buku pertama dengan komputer milik sendiri itu akhirnya terbengkalai begitu sahaja. Tak ingat kenapa. Untuk pengetahuan saya pernah memulakan satu projek buku dengan komputer pejabat tetapi failnya tiba-tiba hilang daripada sistem tahun 1996. Sebaliknya projek lain yang muncul selepas pertama kali pergi ke Aceh awal tahun 2004 pula menjadi. Itupun cuma dapat disempurnakan dengan komputer riba lain lalu terbitlah trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" Jun 2006 hingga November 2007.

Kenapa menggunakan komputer lain? Kenapa tidak dengan komputer yang dimiliki sejak awal tahun 2002 itu? Ini kerana ini menjadi rosak lalu harus diganti baru, sama halnya dengan kamera seperti dinyatakan dalam artikel Kamera-kamera digital yang pernah dimiliki. Saya ini seorang yang lasak dan kuat mengembara. Seperti halnya kamera komputer riba juga selalu dibawa bersama ke mana-mana. Sedar tak sedar rupa-rupanya saya telah memiliki 7 buah komputer riba dalam tempoh 20 tahun kebelakangan ini. Berikut adalah artikel-artikel yang pernah ditulis tentang komputer...


1. Komputer Sinclair ZX81... Satu kenangan lama 25 tahun lalu! (ditulis Jun 2008)

2. Komputer laptop TwinHead 12D hadiah daripada Nur. Mengenang jasa besarnya... (Jun 2008)

3. Hikmah laptop rosak (Jun 2014)


Dengan bantuan penulisan-penulisan ini dapatlah disenaraikan dan disusun nama komputer-komputer riba yang pernah dimiliki berserta sejarahnya ringkasnya...


1. Compaq Presario - Tak ingat model tapi agak baru keluar pada awal tahun 2002. Kelihatan seperti model 1200-XL300. Dipakai sehingga penghujung 2004 atau awal 2005 gitu sebelum rosak terbakar. Inilah yang digunakan untuk penulisan-penulisan awal seperti disebut tadi. Ia juga sempat membentuk draf awal siri novel "Berpetualang ke Aceh".

2. TwinHead 12D - Dihadiahkan oleh kawan awal atau pertengahan 2005. Digunakan hingga Jun 2008 lalu dapat menerbitkan siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" iaitu buku pertama hingga ke-3 saya Jun 2006 - November 2007.

3. Acer Aspire 2920 - Dibeli pertengahan 2008 lalu digunakan hingga Mac 2012. Dapat menerbitkan buku ke-4 sehingga ke-7 pada tahun 2009-2011.

4. Asus A43SJ - Dibeli Mac 2012 lalu digunakan hingga Jun 2014. Tidak sempat menerbitkan apa-apa buku dengannya. Yang ada cuma projek-projek penulisan yang tergendala atau tidak siap.

5. Sony Viao PCG-61213W. Processor I5) - Dibeli terpakai Jun 2014 sebelum rosak teruk penghujung 2016 atau awal 2017. Dapat menerbitkan buku ke-8 dan ke-9 pada tahun 2015 dan 2016.

6.  Acer   (tak ingat model. Processor I7) - Dibeli terpakai awal tahun 2017. Dapat bertahan sehingga April 2019 kalau tak salah ingatan. Dapat menerbitkan buku ke-10 hingga ke-12 pada tahun 2017 hingga awal 2018.

7. HP ProBook 6550b dengan processor I3 -  Dibeli terpakai sekitar April 2018 dan masih bertahan. Dapat menerbitkan buku ke-13 dan terakhir (setakat ini) pada Jun 2019. Sedang digunakan untuk penulisan tesis di ISTAC (Institut Antarabanga Pemikiran dan Dunia Islam).

 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan