Salam Subuh Sabtu 13 Mac. Adapun dengan terbitnya artikel Kompilasi cerita kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 Jumaat lalu maka pergilah kita pada cerita seterusnya mahu dikongsikan bagi melengkapkan isi senarai 50 perjalanan terjauh dan 11 istimewa. Daripada zaman kolej tahun 1988 hingga 1990 beralih ke zaman universiti saya di London, United Kingdom yang bermula pada separuh kedua tahun 1991. Masuk pada satu perjalanan yang diperkirakan berlaku pada tahun 1993. Sebelum itu biar diberikan sedikit latar belakang masuk universiti dan sedikit perjalanan yang dilakukan selepas itu.
Sabtu, Mac 13, 2021
Perjalanan ke Scotland tahun 1993 - Dari sekitar London membawa hampir 700 km ke utara serta tidur luar diselimuti salji
Jumaat, Mac 12, 2021
Kompilasi cerita kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989
6. Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab
7. Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali
9. Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - 'Memecut' dari Kuantan ke Lembah Klang
Rabu, Mac 10, 2021
Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - 'Memecut' dari Kuantan ke Lembah Klang
Salam semua. Adapun beberapa jam lagi akan masuk tarikh Islam 27 Rejab yang merupakan malam Isra' dan Mikhraj. Ada sedikit sambutan Maulidur Rasul mahu dibuat di rumah bagi mengenangkan peristiwa junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW diangkat lalu diperjalankan dari Mekah ke Baitul Muqaddis kemudian naik ke semua lapisan langit malah lebih tinggi sehingga sampai ke hadirat Allah SWT. Sebelum itu biar diselesaikan dahulu cerita perjalanan berbasikal lebih 31 tahun lalu. Dipersembahkan cerita fasa ketujuh dan terakhir perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan.
Antara banyak tempat yang dilalui juga disinggahi di Pantai Timur dalam perjalanan ini cuma Kuantan dan sekitarnya sahaja yang pernah saya sampai sebelum itu. Seingat saya ada juga 3-4 kali pernah sampai sebelum tahun 1989. Ini disebabkan terdapat rumah beberapa orang saudara mara di sekitar itu.
Gambar atas diambil daripada artikel tahun Sudah ke Kuantan tapi kembali lagi ke Pekan kerana ada tempat-tempat yang tertinggal... 2008. Ketika itu bandar Kuantan harus sudah sekali ganda lebih besar berbanding ketika sampai dengan kumpulan berbasikal 19 tahun lebih awal. Kami menginap di mana selepas sampai dari arah Kuala Terengganu langsung tak ingat saya. Malah saya tiada apa-apa ingatan langsung tentang fasa perjalanan ini kecuali tahu dari Kuantan kami harus menghala kembali ke Lembah Klang, Oleh itu tiada lagi persinggahan di mana-mana tempat di Pantai Timur selepas itu.
Adapun jarak dari Kuantan ke Kuala Lumpur adalah lebih 240 km. Kalau hendak kembali ke Seksyen 17, Shah Alam di mana perjalanan berbasikal ini secara rasminya bermula lalu lengkaplah satu pusingan dah jadi 270 km. Berdasarkan jarak yang bersamaan 12 hingga 14 jam berkayuh basikal tanpa henti itu harus kami berehat untuk mengembalikan tenaga buat satu malam di suatu lokasi pertengahan jalan.
Gambar ini diambil daripada artikel 'Menimbang' air Sungai Pahang - Mengambil berkat wali hidup di Pulau Tawar sebelum ke Gunung Senyum, seberang Temerloh dan Pesta Air Chenor tahun 2016. Papan tanda yang kelihatan letaknya di seberang Sungai Pahang menghadap bandar Temerloh sekitar 113 km dari Kuantan. Memandangkan bandar atau pekan seterusnya ke arah KL yang ada memiliki kemudahan penginapan adalah Karak lebih 50 km lagi perjalanan maka tempat rehat terbaik haruslah di Temerloh.
Oh, baik papan tanda besar Kuantan pada gambar pertama juga papan tanda besar Temerloh pada gambar atas belum lagi wujud tahun 1989. Ketika itu belum ada kali trend juga belanjawan tempatan yang membenarkan hal ini berlaku. Trend bandar-bandar dan tempat-tempat menarik banyak diletakkan papan tanda nama bersaiz gergasi seperti ini saya perhatikan baru bermula kurang 15 tahun lalu.
Apapun ketika cerita siri perjalanan berbasikal ini bermula dengan artikel pertamanya Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan hampir 3 minggu lalu fikir saya mesti kami telah bermalam di Temerloh sebelum sampai ke Lembah Klang. Beberapa hari kemudian baru mendapat maklum balas daripada seorang kawan lama yang merupakan satu-satunya pelajar sama batch turut bersama dalam perjalanan. Menurut beliau selepas Kuantan kami tidak ada bermalam di mana-mana lagi dah. Kami terus memecut ke Lembah Klang.
Perjalanan pun diteruskan ke kampus kolej PPP/ITM Seksyen 17, Shah Alam di mana kami mendapat sambutan rasmi daripada pihak kolej. Dengan itu selesailah perjalanan. Merujuk pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab yang menceritakan fasa keempat perjalanan iaitu bahagian pertengahan. Ada disebut di dalamnya bahawa selepas berjalan-jalan di Kota Bahru perjalanan kami mencapai jarak 600 km. Sekarang biar dicampur dengan jarak-jarak perjalanan selepas itu seperti berikut :-
Fasa kelima - KB ke Kuala Terengganu - 160 km (rujuk Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali)
Fasa keenam - KT ke Kuantan - 218 km (rujuk Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan)
Fasa ketujuh - Kuantan ke Shah Alam - 270 km (rujuk artikel ini)
Jadilah ia 600 km + (160 km + 218 km + 270 km) = 1248 km. Di celah-celah itu harus kami ada berpusing-pusing berjalan-jalan misalnya di tengah bandar Kuantan. Dan seperti halnya permulaan perjalanan yang mana kami harus berkayuh lebih 2 km dari asrama di Seksyen 18 yang merupakan tempat simpan basikal ke tempat permulaan rasmi di kampus kolej di Seksyen 17 begitu juga halnya apabila sampai harus bergerak dari Seksyen 17 ke Seksyen 18 untuk menyimpan basikal. Oleh itu perjalanan sebenar adalah melebihi 1250 km.
Itulah jarak keseluruhan yang diliputi sepanjang kami berpusing separuh Semenanjung. Dalam artikel perjalanan dari Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan berlaku pula ada disebut bahawa separuh perjalanan pada fasa itu dibuat dengan menaiki van disebabkan kesukaran mendaki kawasan pergunungan dan bahaya turun kawasan curam. Dengan itu 85 km perjalanan adalah dengan van 85 km dengan mengayuh basikal. Dalam perjalanan dari Kuantan ke Shah Alam pula cuma 10 km dari 270 km adalah dengan menaiki basikal bermakna 260 km adalah dengan van.
Ini bermakna 85 km + 260 km bersamaan 345 km daripada keseluruhan perjalanan pusing separuh Semenanjung ini adalah dengan van. Maka jarak kayuhan sebenar adalah 1248 km - 345 km = 903 km. Masih tetap boleh tahan. Sekian.
Isnin, Mac 08, 2021
Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan
OK. Pergi ke fasa keenam perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali.
Fasa perjalanan kali ini adalah paling panjang menyusuri pantai. Menurut Google Map jarak dari KT ke Kuantan menggunakan laluan persisiran adalah sekitar 220 km. Daripada jumlah itu saya anggarkan lebih 80% memberikan pemandangan pantai dan Laut China Selatan dari tepian jalan.
Gambar atas ini diambil daripada artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Penat lelah pusing Dungun sebelum berkejar ke Kuala Terengganu dan Jerteh tahun 2012. Ia menunjukkan satu pemandangan di pantai Rantau Abang sekitar 60 km ke selatan KT. Perjalanan berbasikal lebih 31 tahun harus melalui tempat ini lalu memberikan pemandangan yang sama kerana tidak diganggu gugat oleh pembinaan. Rantau Abang kini mungkin tidak lagi terkenal tetapi bagi saya yang baru pertama kali sampai ketika itu ia adalah sesuatu yang amat besar kerana sering terbaca tentang kedudukannya sebagai suatu tempat utama penyu bertelur di Malaysia.
Saya ingat kerana hal ini ada disebut dalam buku teks sekolah dan banyak lagi bacaan. Besar kemungkinan kami ada berhenti berehat di tempat yang kelihatan.
Apapun 6 km selepas bandar Chukai yang terletak di dalam daerah Kemaman masuklah kami ke negeri Pahang. Sepanjang 60 km gitu baki perjalanan ke Kuantan boleh ditemui banyak pantai menarik dan selamat untuk bermandi manda. Gambar daripada artikel Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari Tokku Paloh ke Tanjung Api tahun 2013 ini diambil di satu bahagian pantai Cherating. Letaknya sekitar 8 km selepas memasuki sempadan Pahang atau 14-15 km dari Chukai.
Walaupun sepanjang perjalanan dari KT ke Kuantan terdapat begitu banyak pantai kami cuma singgah untuk bermandi manda di suatu tempat sahaja, seingat saya di Cherating. Kalau tidak pun ia suatu pantai yang berdekatan. Seingat saya kami berkayuh buat suatu masa yang tidak terlalu lama sebelum sampai ke pantai lalu berpeluang untuk bermandi manda. Nampaknya logiklah kami telah menginap di Chukai malam sebelum itu kerana pantai boleh dicapai dalam tempoh kurang sejam dengan mengayuh basikal.
Saya tak pasti jika semua kawan-kawan atau peserta perjalanan ikut sama. Yang ingat ramai le juga ikut melayan buat perangai sama. Semasa yang lain sedang sibuk di atas lantai restoran saya bergerak turun ke bahagian dapur di belakang untuk melihat apa lagi yang ada. Tiba-tiba terdengar bunyi orang dewasa marah-marah diikuti bunyi "piap piap" seperti orang kena rotan.
Nampaknya kawan-kawan dah kena marah dengan pemilik atau penjaga restoran. Kebetulan di dapur terdapat sebuah almari atau gerubuk tinggi, rasanya lebih 6 kaki. Di atas itu ada tudung saji besar. Terus saya memanjat naik lalu masuk menyuruk di bawah tudung saji. Boleh pulak muat! Entah berapa lama dok menyorok tu tak ingat. Yang tahu apabila keadaan sudah kedengaran reda baru keluar...
Saya pun tak tahu entah apa angin yang datang boleh selamba sahaja melangkah naik kembali ke lantai kayu restoran walau ada rasa takut-takut juga. Yalah, itu sahaja jalan keluar yang ada. Takkan nak terus duduk menyorok di dapur? Kelihatanlah 2-3 orang dewasa sedang sibuh mencuci lantai. Pelik juga memikirkannya tapi saya dapat keluar tanpa ditegur apa lagi dihalang lalu kembali ke tempat ahli rombongan yang juga terdiri daripada krew sokongan dengan van. Rupa-rupanya mereka sudah lama menunggu untuk menyambung kembali perjalanan. Dengan itu berkayuhlah kami untuk sampai ke Kuantan.