Isnin, Mac 08, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan

OK. Pergi ke fasa keenam perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali.


Selepas menginap satu malam di Kuala Terengganu sampai masanya untuk meneruskan perjalanan lebih jauh ke selatan iaitu ke arah Kuantan, Pahang. Gambar ini diambil daripada artikel Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... tahun 2008. Peta yang ditunjukkan harus tidak begitu banyak perbezaan berbanding keadaan pada tahun 1989 yang merupakan kali pertama saya sampai ke Kuala Terengganu malah kali pertama sampai ke negeri Terengganu juga negeri yang disinggah sebelum itu iaitu Kelantan.


Fasa perjalanan kali ini adalah paling panjang menyusuri pantai. Menurut Google Map jarak dari KT ke Kuantan menggunakan laluan persisiran adalah sekitar 220 km. Daripada jumlah itu saya anggarkan lebih 80% memberikan pemandangan pantai dan Laut China Selatan dari tepian jalan. 

Gambar atas ini diambil daripada artikel Pengembaraan Johan ke separuh Semenanjung - Penat lelah pusing Dungun sebelum berkejar ke Kuala Terengganu dan Jerteh tahun 2012. Ia menunjukkan satu pemandangan di pantai Rantau Abang sekitar 60 km ke selatan KT. Perjalanan berbasikal lebih 31 tahun harus melalui tempat ini lalu memberikan pemandangan yang sama kerana tidak diganggu gugat oleh pembinaan. Rantau Abang kini mungkin tidak lagi terkenal tetapi bagi saya yang baru pertama kali sampai ketika itu ia adalah sesuatu yang amat besar kerana sering terbaca tentang kedudukannya sebagai suatu tempat utama penyu bertelur di Malaysia. 

Saya ingat kerana hal ini ada disebut dalam buku teks sekolah dan banyak lagi bacaan. Besar kemungkinan kami ada berhenti berehat di tempat yang kelihatan.



Gambar yang diambil dari Internet ini pula menunjukkan kawasan logi penapisan minyak di Kerteh. Letaknya sekitar 110 km ke selatan Kuala Terengganu iaitu separuh perjalanan ke Kuantan. Adapun jarak 220 km KT ke Kuantan itu adalah terlalu jauh untuk kami berkayuh terus dalam tempoh satu hari. Ia adalah bersamaan 11 jam berkayuh tanpa berhenti. Oleh itu kami harus berehat dan bermalam di suatu tempat di tengah-tengah.

Cuma Kerteh kelihatan kurang sesuai sebagai tempat menginap kerana ia merupakan kawasan perindustrian minyak. Oleh itu besar kemungkinan kami telah berkayuh ke hadapan lagi, Mungkin hingga ke pantai Kemasik lagi 13 km perjalanan atau boleh juga sampai ke Chukai sekitar 36 km selepas Kerteh. 


Apapun 6 km selepas bandar Chukai yang terletak di dalam daerah Kemaman masuklah kami ke negeri Pahang. Sepanjang 60 km gitu baki perjalanan ke Kuantan boleh ditemui banyak pantai menarik dan selamat untuk bermandi manda. Gambar daripada artikel Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari Tokku Paloh ke Tanjung Api tahun 2013 ini diambil di satu bahagian pantai Cherating. Letaknya sekitar 8 km selepas memasuki sempadan Pahang atau 14-15 km dari Chukai.

Walaupun sepanjang perjalanan dari KT ke Kuantan terdapat begitu banyak pantai kami cuma singgah untuk bermandi manda di suatu tempat sahaja, seingat saya di Cherating. Kalau tidak pun ia suatu pantai yang berdekatan. Seingat saya kami berkayuh buat suatu masa yang tidak terlalu lama sebelum sampai ke pantai lalu berpeluang untuk bermandi manda. Nampaknya logiklah kami telah menginap di Chukai malam sebelum itu kerana pantai boleh dicapai dalam tempoh kurang sejam dengan mengayuh basikal.



Dari Cherating ke Kuantan tinggal jarak yang tidak sampai 3 jam kayuhan basikal. Kalau benar kami menginap di Chukai lalu bertolak pada 8 pagi, sebelum jam 9 dah boleh sampai ke pantai. Kalau bermandi manda 2-3 jam pun kemudian ambil masa untuk makan tengah hari insyaallah sebelum jam 4 petang dah boleh sampai Kuantan.

Satu perkara menarik masih terngiang kuat dalam ingatan adalah bagaimana setelah puas bermandi manda saya tergerak untuk memanjat masuk sebuah kedai makan berupa restoran kayu tetapi cantik moden yang sedang ditutup. Tujuan asal adalah untuk menumpang bilik air membuang air juga membilas air laut masin daripada badan. Tengok-tengok terdapat banyak air botol gas diletakkan berlonggok-longgok di dalam.

Semasa itu zaman seronok jadi budak nakal. Melihat hal tersebut terus mengajak kawan-kawan lain turut memanjat masuk ke dalam. Horeeeyyy. Dah lah boleh bilas air malah ada paip getah lagi boleh ditarik panjang. Dengan penuh seronok nakal budak-budak kami pun membilas atas lantai kayu restoran (ia jenis yang terangkat atas tiang, kena naik tangga seperti di rumah kampung gitu) sambil meneguk air botol orang tanpa memikirkan halal haram.


Saya tak pasti jika semua kawan-kawan atau peserta perjalanan ikut sama. Yang ingat ramai le juga ikut melayan buat perangai sama. Semasa yang lain sedang sibuk di atas lantai restoran saya bergerak turun ke bahagian dapur di belakang untuk melihat apa lagi yang ada. Tiba-tiba terdengar bunyi orang dewasa marah-marah diikuti bunyi "piap piap" seperti orang kena rotan.

Nampaknya kawan-kawan dah kena marah dengan pemilik atau penjaga restoran. Kebetulan di dapur terdapat sebuah almari atau gerubuk tinggi, rasanya lebih 6 kaki. Di atas itu ada tudung saji besar. Terus saya memanjat naik lalu masuk menyuruk di bawah tudung saji. Boleh pulak muat! Entah berapa lama dok menyorok tu tak ingat. Yang tahu apabila keadaan sudah kedengaran reda baru keluar...

Saya pun tak tahu entah apa angin yang datang boleh selamba sahaja melangkah naik kembali ke lantai kayu restoran walau ada rasa takut-takut juga. Yalah, itu sahaja jalan keluar yang ada. Takkan nak terus duduk menyorok di dapur? Kelihatanlah 2-3 orang dewasa sedang sibuh mencuci lantai. Pelik juga memikirkannya tapi saya dapat keluar tanpa ditegur apa lagi dihalang lalu kembali ke tempat ahli rombongan yang juga terdiri daripada krew sokongan dengan van. Rupa-rupanya mereka sudah lama menunggu untuk menyambung kembali perjalanan. Dengan itu berkayuhlah kami untuk sampai ke Kuantan.



Sungguh ini adalah antara memori paling terkesan selain lucu daripada pengembaraan berbasikal tahun 1989. Sebelum sampai ke Kuantan pula berlaku sesuatu yang menyebabkan perjalanan dipercepatkan. Tetapi biarlah ceritanya disimpan untuk perjalanan akan datang.

Oh. Selama ini saya menyangkakan bahawa restoran di Cherating atau pantai sekitarnya itu ditutup kerana musim tengkujuh. Itu yang membuat saya menyangkakan perjalanan berlaku pada hujung tahun 1989. Rujuk kembali hal berkenaan dalam artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan yang ditulis 17 hari lalu. Selepas itu baru mendapat maklum balas daripada kawan lama bahawa ia berlaku beberapa bulan lebih awal iaitu sekitar sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos. Hal ini insyaallah akan dipanjangkan dalam artikel akan datang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan