Rabu, Mac 10, 2021

Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - 'Memecut' dari Kuantan ke Lembah Klang

Salam semua. Adapun beberapa jam lagi akan masuk tarikh Islam 27 Rejab yang merupakan malam Isra' dan Mikhraj. Ada sedikit sambutan Maulidur Rasul mahu dibuat di rumah bagi mengenangkan peristiwa junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW diangkat lalu diperjalankan dari Mekah ke Baitul Muqaddis kemudian naik ke semua lapisan langit malah lebih tinggi sehingga sampai ke hadirat Allah SWT. Sebelum itu biar diselesaikan dahulu cerita perjalanan berbasikal lebih 31 tahun lalu. Dipersembahkan cerita fasa ketujuh dan terakhir perjalanan. Bersambung daripada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan.


Antara banyak tempat yang dilalui juga disinggahi di Pantai Timur dalam perjalanan ini cuma Kuantan dan sekitarnya sahaja yang pernah saya sampai sebelum itu. Seingat saya ada juga 3-4 kali pernah sampai sebelum tahun 1989. Ini disebabkan terdapat rumah beberapa orang saudara mara di sekitar itu.

Gambar atas diambil daripada artikel tahun Sudah ke Kuantan tapi kembali lagi ke Pekan kerana ada tempat-tempat yang tertinggal... 2008. Ketika itu bandar Kuantan harus sudah sekali ganda lebih besar berbanding ketika sampai dengan kumpulan berbasikal 19 tahun lebih awal. Kami menginap di mana selepas sampai dari arah Kuala Terengganu langsung tak ingat saya. Malah saya tiada apa-apa ingatan langsung tentang fasa perjalanan ini kecuali tahu dari Kuantan kami harus menghala kembali ke Lembah Klang, Oleh itu tiada lagi persinggahan di mana-mana tempat di Pantai Timur selepas itu.


Adapun jarak dari Kuantan ke Kuala Lumpur adalah lebih 240 km. Kalau hendak kembali ke Seksyen 17, Shah Alam di mana perjalanan berbasikal ini secara rasminya bermula lalu lengkaplah satu pusingan dah jadi 270 km. Berdasarkan jarak yang bersamaan 12 hingga 14 jam berkayuh basikal tanpa henti itu harus kami berehat untuk mengembalikan tenaga buat satu malam di suatu lokasi pertengahan jalan.

Gambar ini diambil daripada artikel 'Menimbang' air Sungai Pahang - Mengambil berkat wali hidup di Pulau Tawar sebelum ke Gunung Senyum, seberang Temerloh dan Pesta Air Chenor tahun 2016. Papan tanda yang kelihatan letaknya di seberang Sungai Pahang menghadap bandar Temerloh sekitar 113 km dari Kuantan. Memandangkan bandar atau pekan seterusnya ke arah KL yang ada memiliki kemudahan penginapan adalah Karak lebih 50 km lagi perjalanan maka tempat rehat terbaik haruslah di Temerloh. 

Oh, baik papan tanda besar Kuantan pada gambar pertama juga papan tanda besar Temerloh pada gambar atas belum lagi wujud tahun 1989. Ketika itu belum ada kali trend juga belanjawan tempatan yang membenarkan hal ini berlaku. Trend bandar-bandar dan tempat-tempat menarik banyak diletakkan papan tanda nama bersaiz gergasi seperti ini saya perhatikan baru bermula kurang 15 tahun lalu.

Apapun ketika cerita siri perjalanan berbasikal ini bermula dengan artikel pertamanya Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Usaha awal menggali kembali ingatan hampir 3 minggu lalu fikir saya mesti kami telah bermalam di Temerloh sebelum sampai ke Lembah Klang. Beberapa hari kemudian baru mendapat maklum balas daripada seorang kawan lama yang merupakan satu-satunya pelajar sama batch turut bersama dalam perjalanan. Menurut beliau selepas Kuantan kami tidak ada bermalam di mana-mana lagi dah. Kami terus memecut ke Lembah Klang.



Menurut beliau sebelum sampai ke Kuantan pihak kami ada mendapat panggilan telefon agar cepat sampai ke KL. Katanya ada sambutan rasmi mahu dibuat seiring dengan sambutan Hari Kemerdekaan 31 Ogos di Dataran Merdeka. Walaupun kawan itu sendiri tidak ingat tarikh tepat mendapat panggilan berdasarkan urgency atau rasa pentingnya panggilan kami nampaknya diminta sampai awal pada keesokannya harinya. Harus esoknya itu adalah 31 Ogos lalu panggilan diterima 30 Ogos.

Wuissh. Bagaimana ni? Seperti disebut tadi jarak Kuantan ke KL adalah lebih 240 km dan ini bersamaan 12 jam berkayuh tanpa henti. Kalau hendak cepat tak boleh bermalam di Kuantan... harus terus berkayuh sehingga Subuh. Tapi larat ke nak berkayuh kalau tiada rehat setelah bergerak jauh ke Kuantan dari arah Kuala Terengganu? Apakah cara terbaik untuk menangani ini?



Maka timbullah solusi seterusnya menurut ingatan kawan. Dari Kuantan kami semua naik van. Basikal semua disangkut atas van (rasanya ada beberapa dimasukkan ke dalam). 

Gambar daripada Internet ini menunjukkan bagaimana sebuah van jenis camper boleh digunakan untuk mengangkut 28 (ke lebih?) buah basikal. Dalam hal kami taklah begitu banyak basikalnya. Rasanya maksimum 18 buah basikal. Dan saya ingat-ingat lupa apakah kami diiringi sebuah atau dua buah van milik kolej.

Cadangnya 10 km sebelum sampai ke Dataran Merdeka baru turun untuk berkayuh. Kira gimiklah untuk menunjukkan kami berjaya menyelesaikan misi perjalanan berbasikal ke separuh Semenanjung dalam tempoh seminggu lebih. Tengok-tengok dah dekat nak sampai KL dapat panggilan memberitahu sambutan untuk kami dah tak jadi. Mungkin kerana sudah melepasi sudah jangka waktu orang menunggu atau sudah tamatnya majlis di Dataran Merdeka? Zaman itu belum ada lebuh raya seperti sekarang meliputi keseluruhan perjalanan Kuantan ke KL lalu jarak boleh dicapai dengan kereta dalam tempoh kurang 2 jam. Zaman itu kena ikut jalan lama lalu tempoh pemanduan tanpa henti memakan masa hampir 4 jam.


Perjalanan pun diteruskan ke kampus kolej PPP/ITM Seksyen 17, Shah Alam di mana kami mendapat sambutan rasmi daripada pihak kolej. Dengan itu selesailah perjalanan.  Merujuk pada artikel Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Tanah Merah ke Kota Bahru dan Sekolah Zainab yang menceritakan fasa keempat perjalanan iaitu bahagian pertengahan. Ada disebut di dalamnya bahawa selepas berjalan-jalan di Kota Bahru perjalanan kami mencapai jarak 600 km. Sekarang biar dicampur dengan jarak-jarak perjalanan selepas itu seperti berikut :-

Fasa kelima - KB ke Kuala Terengganu - 160 km  (rujuk Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - KB ke KT dan Tok Kenali)

Fasa keenam - KT ke Kuantan - 218 km (rujuk Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Menyorok bawah tudung saji dalam perjalanan ke Kuantan)

Fasa ketujuh - Kuantan ke Shah Alam - 270 km (rujuk artikel ini)

Jadilah ia 600 km + (160 km + 218 km + 270 km) = 1248 km. Di celah-celah itu harus kami ada berpusing-pusing berjalan-jalan misalnya di tengah bandar Kuantan. Dan seperti halnya permulaan perjalanan yang mana kami harus berkayuh lebih 2 km dari asrama di Seksyen 18 yang merupakan tempat simpan basikal ke tempat permulaan rasmi di kampus kolej di Seksyen 17 begitu juga halnya apabila sampai harus bergerak dari Seksyen 17 ke Seksyen 18 untuk menyimpan basikal. Oleh itu  perjalanan sebenar adalah melebihi 1250 km. 

Itulah jarak keseluruhan yang diliputi sepanjang kami berpusing separuh Semenanjung. Dalam artikel  perjalanan dari Kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989 - Gerik ke Tanah Merah dan hal tempoh masa perjalanan berlaku pula ada disebut bahawa separuh perjalanan pada fasa itu dibuat dengan menaiki van disebabkan kesukaran mendaki kawasan pergunungan dan bahaya turun kawasan curam. Dengan itu 85 km perjalanan adalah dengan van 85 km dengan mengayuh basikal. Dalam perjalanan dari Kuantan ke Shah Alam pula cuma 10 km dari 270 km adalah dengan menaiki basikal bermakna 260 km adalah dengan van.

Ini bermakna 85 km + 260 km bersamaan 345 km daripada keseluruhan perjalanan pusing separuh Semenanjung ini adalah dengan van. Maka jarak kayuhan sebenar adalah 1248 km - 345 km = 903 km. Masih tetap boleh tahan. Sekian.


3 ulasan:

  1. Assalamualaikum tuan admin, boleh saudara terangkan beza hakikat dan makrifat?

    BalasPadam
  2. Wassalam. Bezanya adalah antara faham dengan rasa. Hakikat adalah tahu berserta faham kebenaran suatu perkara. Makrifat adalah dalam merasai atau mengalami kebenaran itu. Misalnya manisnya madu. Tahu manisnya madu mungkin sebab orang memberitahu tapi kita sendiri belum pernah merasa. Faham pula adalah walaupun tak pernah merasa manisnya madu adalah apabila kita sudah faham manis itu apa melalui pengalaman lain, misalnya sudah merasa manisnya gula lalu dapatlah dibayangkan sedikit agak-agaknya bagaimanakah manisnya madu. Cuma belum lengkap kerana belum betul2 merasa. Bila dah merasa baru dapat sekali tahu dan faham bahawa ya madu itu ada manisnya seperti gula tapi ada lain2 sedikit malah bagus lagi ia.

    BalasPadam
  3. Oh macam tu, tapi saya ada tengok pandangan seorang ni, terbalik pulak, katanya hakikat itu merasa, makrifat itu tahu atau mengenal.

    Apapun saya ucapkan terima kasih kerana sudi menjawab persoalan saya tadi..

    BalasPadam