Isnin, November 08, 2021

Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai

Salam hari Isnin 8 November 2021. Sedar tak sedar rupa-rupanya hari ini sudah masuk tarikh Islam 3 Rabiul Akhir 1443 Hijriah, bukan 2 Rabiul Akhir seperti disangkakan sehingga pagi tadi. Ini kerana saya dan isteri ada menghadiri satu majlis Maulidur Rasul berdekatan Behrang, Perak pada hari Sabtu baru ini. Fikir saya ia berlangsung pada hari terakhir bulan Rabiul Awal, bulan kelahiran junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW. Bila disemak kalendar rupa-rupanya bulan Rabiul Awal bagi tahun ini cuma ada 29 hari, bukannya 30. Maka hari terakhirnya adalah Jumaat 3 hari lalu.

Sekarang biar dikongsikan cerita perjalanan berkenaan. Perjalanan ini menyaksikan saya dan isteri bermalam di Ipoh kemudian Kuala Kangsar kemudian Teluk Intan sebelum ke majlis Maulud. Sebagai mukadimahnya biar diletakkan 2 gambar berikut. Ini ada dikongsikan di Facebook juga WhatsApp pada hari Isnin seminggu lalu berserta teks...






POHON DOA SEMUA UNTUK GELARAN LAKSAMANA DEMI MENINGKATKAN USAHA PERJUANGAN KEDAULATAN MELAYU DAN ISLAM

Salam semua. Baru2 ini saya Radzi Sapiee @ Merah Silu telah menerima surat daripada istana meminta hadir ke Ipoh untuk satu majlis suai kenal dan temu bual bagi pemilihan jawatan atau lebih tepat pemegang gelaran Orang Kaya-kaya Laksamana Raja Mahkota, orang besar 8 yang paling kanan di Perak. Ini merupakan satu gelaran yang dipegang secara turun temurun dalam keluarga besar saya sejak hampir 300 tahun lalu. Mereka yang memiliki darah keturunan Laksamana pertama iaitu Nakhoda Hitam terutama daripada cabang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin (dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch pada tahun 1875) layak memegang gelaran setelah ditapis kelayakan antara waris-waris lain. Namun semenjak seorang moyang saya yang merupakan cucu sulung lelaki Muhammad Amin menolak gelaran tersebut lalu diberikan pada adiknya hampir seabad lalu cabang keluarga saya tidak pernah lagi memegang apa-apa gelaran orang besar Perak. 

Memang selama ini cabang keluarga kami yang merupakan keturunan paling kanan Muhammad Amin tidak mahu memegang gelaran. Ayah saya sendiri pernah disarankan untuk memohon lebih 30 tahun lalu lantaran memiliki pendidikan tertinggi dalam kalangan keluarga terdekat tetapi menolak. Namun setelah beberapa lama muncul keadaan-keadaan tertentu menyebabkan saya memikirkan kembali untuk memohon gelaran. Itupun setelah banyak kali didesak oleh saudara mara selain kawan2 aktivis kedaulatan Melayu dan Islam menyarankan elok mengambil gelaran kerana boleh meningkatkan lagi usaha perjuangan kami demi agama, bangsa dan tanah air. 

Adapun saya ini anak sulung, bapa anak sulung, ibu anak sulung. Saya adalah cucu sulung bagi kedua-duanya keluarga belah bapa dan belah ibu. Saya juga adalah cicit lelaki paling kanan kepada moyang yang pernah menolak gelaran hampir seabad lalu. Oleh itu saya adalah pewaris lelaki paling kanan bagi generasi saya iaitu lapisan/keturunan ke-5 Laksamana Muhammad Amin.

Memikirkan pelbagai faktor berkenaan saya pun membuat keputusan untuk menghantar surat permohonan kepada istana. Itupun saya sebenarnya memohon gelaran Toh Muda Laksamana iaitu pembantu juga bakal pengganti Laksamana. Tidak disangka apabila mendapat jawaban setelah hampir 4 bulan menghantar permohonan gelaran yang ditawarkan adalah Laksamana. 

Difahamkan saya akan dinilai oleh panel 6 orang yang diketuai oleh Orang Kaya Bendahara, pembesar paling kanan Perak. Difahamkan juga terdapat 4-5 orang pemohon lain akan dinilai sama untuk dilaporkan kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Syah. Oleh itu saya meminta doa anda semua agar dipilih untuk memegang gelaran Laksamana. Dahulu saya mengelak  kerana lebih suka untuk bersendirian selain tidak mahu terikat dengan mana-mana badan. Kini setelah beberapa lama memikirkan saya bersungguh-sungguh mahukan gelaran supaya dapat mengangkat lebih tinggi usaha mendaulatkan Melayu dan Islam.


-----------------


Apa yang sudah dinyatakan kepada umum seminggu lalu ini harus cukup jelas. Tak perlulah ditambah penerangan kecuali menyatakan surat berkenaan diterima pada hari Rabu lewat malam Khamis sebelum itu iaitu pada tarikh 27 Oktober. Kedatangan surat melalui WhatsApp amat mengejutkan. Akibatnya saya dan isteri asyik merasa cemas dan susah hendak melelapkan mata sejak malam itu.

Demi meredakan rasa cemas saya menghubungi bapa lalu memberitahu tentang surat dan kandungan. Bagi menjelaskan lagi perkara dibuat screen capture 2 muka surat lalu menjadi 2 gambar atas. Seterusnya ia disampaikan kepada beberapa orang terdekat. Setelah beberapa hari baru mendapat nasihat elok diumumkan kepada semua saudara mara. 

Dengan itu juga timbul gerak untuk berkongsi gambar-gambar berserta teks sama kepada umum melalui FB dan WA dengan harapan semua yang mengenali dapat berkongsi rasa gembira serta mendoakan kejayaan. Alhamdulillah saya mendapat maklum balas yang sangat memberangsangkan. Dalam tempoh tak sampai sehari ratusan orang telah memberikan kata-kata sokongan sambil memanjatkan doa.




Petang Rabu 3 November 2021. Sampai masanya untuk bergerak ke Perak bagi urusan berkenaan. Kebetulan esoknya Khamis 4 November adalah cuti Hari Deepavali. Alang-alang ke sana biar dibuat ziarah ke merata tempat. Kebetulan pula hari Sabtu 6 November kami mahu ke majlis Maulud berdekatan Behrang. Maka biar perjalanan dipanjangkan supaya dapat ke majlis dari suatu tempat di Perak, tidak perlu kembali ke rumah kemudian ke majlis. 

Dengan itu isteri mengambil cuti hari Jumaat supaya boleh menyambung terus hingga ke Sabtu. Beliau juga mengambil cuti setengah hari pada hari Rabu. Ini supaya dapat bergerak ke Perak cukup awal. Tak perlulah bergasak dengan kesesakan jalan raya yang dijangka muncul kerana orang lain juga mahu berjalan mengambil kesempatan atas cuti Deepavali.



Dari rumah terus mengambil Lebuh Raya Utara Selatan ataupun PLUS ke arah utara. Jam 3.17 sampai ke sempadan negeri Perak iaitu berdekatan Tanjung Malim...




Sekitar jam 4.30 keluar lebuh raya melalui tol Simpang Pulai. Terus ke Taman Botani di pinggir selatan bandar raya Ipoh untuk singgah ke masjid lama Kampung Teluk Memali.



Tentang masjid yang dipindahkan dari selatan Kampung Gajah ke Ipoh ini sila cari sendiri dalam arkib blogspot. Sudah banyak kali saya menceritakannya. Di sini kami suami isteri menjamakkan solat Zohor dan Asar. Beriktikaflah kami sebentar sebelum mengejar urusan seterusnya.




Kami masuk ke pusat bandar raya untuk makan hidangan yang dikenali sebagai Nasi Ganja...




Tengok-tengok terlewat 15 minit sahaja kerana kedai tutup jam 5. Tak mengapa. Di sekitar kedai kami bertemu dengan seorang kawan warga Ipoh lalu beliau membawa kami ke destinasi seterusnya iaitu Masjid Paloh.



Kami ke situ untuk menziarahi kubur sutradara terkenal saudara Mamat Khalid. Beliau baru meninggal dunia 2 minggu lalu. Kami saling mengenali sejak tahun 2014 akibat beliau berminat untuk menerbitkan filem epik sejarah lalu pernah meminta saya menjadi penasihat. Selepas itu kami jadi agak rapat kerana beliau ikut sama suka memakai tanjak dan busana tradisional Melayu lalu terlibat dalam majlis-majlis berkenaan.



Kali terakhir saya berjumpa beliau adalah hampir penghujung tahun lalu di restoran Sarang Art Hub yang diselenggarakannya di Tanjung Malim. Memang saya dan keluarga akan mengambil kesempatan untuk bertandang apabila ada lalu di sekitar situ. Tahun ini belum sempat lagi kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) demi menangani masalah penyebaran virus Covid-19 baru sahaja dilonggarkan setelah lama tidak boleh merentas negeri. Tahu-tahu sahaja beliau sudah meninggal dunia.

Oh. Seperti di Masjid Teluk Memali saya juga mengambil kesempatan untuk beriktikaf di Masjid Paloh. Setahu saya ia didirikan oleh keluarga Panglima Kinta (pembesar tradisional yang memerintah lembah Sungai Kinta) daripada cabang yang dikenali sebagai Pasak Paloh. Sedangkan seingat saya Mamat pernah memberitahu beliau berasal daripada satu cabang lain yang dikenali sebagai Pasak Kepayang.



Seterusnya kami ke Masjid Panglima Kinta yang terletak lebih ke dalam pusat bandar raya. Di sini juga saya beriktikaf sebelum bergerak ke tempat penginapan di suatu lokasi menarik, biar diceritakan dalam artikel kemudian.



Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-2,191 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Sekadar hendak menerangkan - ia diberi tajuk induk "Laksamana pulang ke Perak?" kerana saya pernah menulis sejumlah artikel bagi sebuah akhbar tabloid dengan tajuk serupa sekitar tahun 2006-2007. Cuma di situ tidak ada tanda soal kerana siri terbit akibat jenazah moyang saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dibawa kembali ke Perak setelah seabad disemadikan di luar negara. Sedangkan artikel yang sedang anda ditatapi ini pula adalah tentang saya yang sudah lama duduk di luar Perak.  Tetapi ada kemungkinan akan pulang menetap disebabkan jawatan Laksamana. 

Berikut adalah pautan-pautan bagi artikel-artikel lama berkenaan yang ditulis 14 tahun lalu, Semoga dapat memberikan pencerahan yang terkait dengan perjalanan baru Perak ini :-

1. Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan...

2. Laksamana kembali ke Perak

3. Laksamana pulang ke Perak: Apakah yang tersirat?

4. Laksamana pulang ke Perak: Bandar Melayu yang hilang!

5. Laksamana pulang ke Perak: Membuka detik baru di Muar

6. Laksamana pulang ke Perak: Menyusuri cerita lama Muar

7. Laksamana pulang ke Perak: Kota Portugis, Si Tanggang dan Raja Temenggung Muar


1 ulasan: