Selasa, November 09, 2021

Laksamana pulang ke Perak? Temu bual yang dipermudahkan

Salam. Bersambung cerita daripada artikel Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai.



Pagi Khamis 4 November 2021. Saya berjalan kaki ke satu bahagian Sungai Kinta...



Saya dan isteri telah bermalam di sebuah homestay di kawasan berdekatan sungai.



Yang menarik nama-nama jalan di sini semua ada perkataan istana. Ada Lorong Istana, ada Jalan Istana, ada Lebuh Raya Istana, ada Medan Istana, ada Solok Istana, ada Persiaran Istana, ada Hala Istana, ada Lintasan Istana, ada Pesara Istana. Walhal tiada apa-apa istana pun di situ. Atau dahulu pernah wujud tetapi sudah lama roboh lalu hilang dalam lipatan sejarah? 



Puas berjalan di tepian sungai saya dan isteri keluar ke  pusat bandar raya Ipoh untuk mencari sarapan.



Kebetulan ada satu set dokumen mahu diserahkan bagi sesi suai kenal dan temu bual akan datang (rujuk cerita berkenaan pada awal artikel Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai). Tetapi ia tidak sempat dibuat binding. Lalu kami juga mahu mencari kedai alat-alat tulis (stationery) yang ada membuat binding. Alhamdulillah dapat jumpa.



Menariknya ia terletak cuma 100 meter lebih sahaja dari tempat kami bersarapan.



Di restoran yang kelihatan inilah kami bersarapan. Kami main tuju sahaja setelah ternampak ketika pusing-pusing di tengah bandar raya. Memang tak sangka boleh pula terjumpa kedai stationery begitu dekat dengan tempat makan dan sudah dibuka ketika kami sampai jam 8.45 pagi. Terasa ia seperti petanda baik bagi sesi temu bual akan datang.




Jam 10.45 kami mendaftar keluar dari homestay lalu bergerak ke tempat temu bual.



Tempatnya bernama Seri Bendahara. Ia adalah kediaman  rasmi Orang Kaya Bendahara Perak, pembesar tradisional tertinggi dalam susun atur Kesultanan Perak.



Beginilah saya berpakaian ke majlis. Fikir saya ia bersifat santai makan-makan kerana surat menyebut ia sebagai majlis suai kenal dan temu bual. Rupa-rupanya temu duga sungguh. Terdapat enam orang ahli panel diketuai Bendahara menduga setiap calon dengan pelbagai soalan dan saya adalah antara lima orang calon bagi gelaran Orang Kaya-kaya Laksamana Raja Mahkota, pembesar paling kanan antara Orang Besar Lapan Perak.



Tak perlulah diceritakan bagaimana keadaan temu duga dan apa yang berlaku di dalamnya. Yang pasti saya dan isteri terasa sangat lega setelah melaluinya. Ia kerana setelah menerima surat panggilan temu duga iaitu pada hari Rabu malam Khamis 27 Oktober kami suami isteri susah hendak melelapkan mata. Selepas selesai temu duga terasa lepas satu bebanan lalu kami ke pusat bandar raya lagi untuk mengejar sesuatu.



Kami mahu mendapatkan hidangan Nasi Ganja. Pada hari sebelumnya iaitu hari Rabu kami ada pergi ke kedai makan berkenaan tapi tak dapat. Ketika itu kami terlewat 15 minit sahaja kerana kedai tutup jam 5 petang. Kali ini kami dapat menikmati hidangan walaupun ramai orang datang. 



Menariknya terus dapat tempat letak kereta di hadapan kedai pada kala tempat letak lain semuanya penuh dan jalan hadapan penuh sesak dengan kenderaan. Terasa semuanya seperti dimudahkan. Apakah ini petanda baik bagi temu duga di Seri Bendahara? Lalu saya pun berkongsikan gambar berikut di Facebook berserta teks berikut...



SELESAI SATU BAB

Alhamdulillah. Selepas sudah sesi suai kenal dan temu bual di kediaman rasmi Orang Kaya Bendahara Perak di Ipoh lalu terus ke Jalan Yang Khaltum pi pekena nasi ganja. La ni sedang beriktikaf di Masjid Panglima Kinta. Sat lagi hendak bertolak ke Kuala Kangsar.



Memang posting FB itu dibuat dari Masjid Panglima Kinta. Kami singgah kali ini kerana hendak melihat betul-betul galeri yang ada di sebelah. Lihat artikel Galeri (Gallery of) Panglima Kinta di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Dan memang selepas itu kami bertolak ke Kuala Kangsar.



Cuma kami pergi lebih jauh dahulu melepasi Kuale untuk ke Bukit Gantang.




Kami mengikut kawan dari Ipoh yang mahu menunjukkan makam seorang tokoh yang agak penting dalam sejarah negeri Perak awal abad ke-19. Kami belum pernah sampai ke situ. Lihat Makam (Tomb of) Alang Iddin.



Oleh kerana terdapat seorang lagi tokoh sezaman turut dimakamkan di Bukit Gantang kami juga berziarah ke sana. Yang ini kami pernah sampai sebelum ini. Lihat Lawatan terbaru ke makam Long Jaafar (New visit to tomb of Long Jaafar).



Selepas itu baru masuk ke bandar diraja Kuala Kangsar...



Singgah berziarah sebentar ke makam yang dipercayai adalah makam singgah Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani.




Pergi ke Kota Lama Kanan pekena pula laksa kegemaran.



Selepas itu masuk ke Masjid Kota Lama Kanan.



Dapatlah menjamakkan solat Zohor dan Asar selain menziarahi batu nesan yang menandakan tempat Sultan kedua Perak ghaib ketika menunaikan solat Jumaat hampir 500 tahun lalu.



Hampir jam 6 petang kami sampai ke makam Tok Temong.



Turun sebentar ke bahagian Sungai Perak yang berdekatan sebelum berehat.




Oh. Isteri saya ada membuat live video melalui Facebook di beberapa tempat yang diziarahi. Sila tonton melalui pautan-pautan ini :-








Tiada ulasan:

Catat Ulasan