Ini pula adalah pemandangan dari hadapan jalan besar. Walaupun saya sudah singgah ke tasik ini banyak kali saya tidak mengambil banyak gambar. Semalam saya cuma mengambil satu sahaja gambar. Hari ini apabila tergerak untuk membuat satu artikel tentangnya di sini saya terpaksa mencari dalam koleksi jika ada gambar. Terjumpalah gambar-gambar ini yang diambil daripada artikel Tasik Biru, the "Blue Lake" yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH 2 tahun 2 bulan lalu.
Pulau dilihat dari hadapan jalan besar. Dalam perhimpunan semalam saya ada menyebut terasa kawasan sekitar ini ada sesuatu. Tak pastilah apakah sesuatu itu tetapi rasanya ada kena-mengena dengan keberadaan kerajaan lama. Semasa naik ke atas pulau saya ada mendapat rasa yang agak kuat. Seolah-olah di pulau itu ada makam lama atau tapak istana gitu.
Pagi tadi seorang rakan yang ditemui semalam memberitahu, gambar yang diambil menghadap kepala pulau (seperti pada gambar teratas) terasa seperti kepala naga keluar dari tasik. Hmm... memang ada gak rupa begitu tapi itu mungkin imaginasi sahaja.
Papantanda Tasik Biru. Ingat ini adalah gambar daripada artikel yang dibuat 2 tahun 2 bulan lalu. Semalam saya nampak papantanda itu sudah patah, terbaring tersorok di belakang sebuah kedai betul-betul di pinggir tasik.
Ini pula adalah peta-peta yang menunjukkan kedudukan Tasik Biru berbanding kawasan sekitar seperti Sungai Buluh dan Rawang.Saya telah mengukur menggunakan Google Earth. Panjang pulau ini adalah 200 meter. Perhatikan juga ada semacam 'jambatan' menyambungkan pulau ke daratan. Sebenarnya ia bukan jambatan tetapi adalah batas yang terletak di dalam air.
Saya sudah sebut tadi tasik ini bekas lombong. Seperti kita tahu lombong biasanya dalam, amat dalam. Adapun di daratan berdekatan permulaan batas itulah orang terutama budak-budak suka mandi. Dekat ke daratan dalamnya kira-kira paras peha kemudian paras pinggang. Sampai ke bahagian batas yang kelihatan terhakis sedikit tu dah lebih 5 kaki. Di situlah saya terpaksa berenang sedikit sebelum sampai ke bahagian batas yang airnya kembali pada paras pinggang lalu kita boleh berjalan naik ke pulau. Namun begitu anda mesti ingat batas sepanjang kira-kira 80 meter ni sempit. Nak seberang boleh tapi berhati-hatilah jangan sampai ditarik arus ke kiri atau ke kanan, takut terjatuh ke tempat dalam ibarat masuk gaung.
Oh. Apa ada di Tasik Biru? Biar anda sendiri menilai. Saya cuma menurut gerak rasa untuk bercerita. :]