Rabu, Oktober 13, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Bertemu kawan lama dan lepasan dari sekolah sains...

Hmm. Setelah disajikan 2 cerita gempak (konon) Bahaya yang mengancam Kaabah... dan Pembongkaran yang bakal menggegarkan dua keSultanan?, kita kembali semula pada cerita raya (atau sisa-sisa raya). Sukacita dimaklumkan, hari ini 13 Oktober 2010 genaplah umur anak kecil saya Muhammad Al-Aminul Rasyid satu tahun. Dan cerita raya kali ini ada kena-mengena dengan bab Al-Rasyid genap satu tahun juga...

Minggu ke empat raya, Ahad 3 Oktober 2010 saya pergi ke kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Bangi untuk menghadiri satu majlis.


Ia adalah majlis sambutan hari raya untuk bekas pelajar sekolah lama saya Sekolah Menengah Sains Johor, Kluang (SMSJ). Menariknya jemputan terbuka kepada semua bekas pelajar sedangkan sekolah berasrama penuh yang merupakan salah sebuah sekolah menengah yang terkemuka di tanah air ini sudah menerima pelajar sejak tahun 1974 (batch pertama yang masuk tingkatan 4). Ini bermakna yang dijangka datang sekitar 30 batch atau lebih pelajar...


Memanglah 30 batch pelajar sekolah lama saya itu tidak sehebat apa yang mampu dikumpulkan oleh sekolah-sekolah elit lebih terkenal seperti Maktab Melayu Kuala Kangsar atau MCKK (Malay College Kuala Kangsar) misalnya. Ditubuhkan tahun 1905, MCKK sudah memiliki lebih 100 batch pelajar dan sebagai sebuah institusi yang asalnya ditubuhkan Inggeris untuk melatih golongan bangsawan Melayu agar berfikir seperti mereka (iaitu kebaratan), diketahui ramai bekas pelajar mereka menjadi para pemimpin, ahli perniagaan dan pentadbir ulung negara. Namun SMSJ juga memiliki status yang tinggi apabila muncul sebagai salah satu sekolah sains perintis di Malaysia. Selain menjadi sekolah sains pertama di Johor (sekolah kedua iaitu Sains Muar bermula sekitar 10 tahun kemudian), ia juga turut menghasilkan ramai bekas pelajar yang menjadi tunjang negara... kerana ia memang didirikan untuk melatih anak-anak paling cerdik terutama dari Johor.

Di atas adalah gambar isteri dan anak kami Al-Rasyid yang turut ikut sama. Untuk makluman isteri saya sendiri adalah bekas pelajar sekolah sains iaitu di Teluk Intan, Perak (SEMESTI). Adapun tarikh majlis ini diadakan sebenarnya sama dengan tarikh lahir anak saya. Oh, selain tarikh hari ini iaitu 13 Oktober, anak saya juga memiliki tarikh lahir lain mengikut kiraan Islam yang bersamaan 24 Syawal... kerana beliau lahir 13 Oktober 2010 bersamaan 24 Syawal 1430. Tarikh majlis sambutan hari raya SMSJ ini iaitu 3 September 2010 pula adalah bersamaan 24 Syawal 1431. Kiranya menurut kalendar Islam, Al-Rasyid sudah genap umur satu!


Satu perkara menarik adalah tarikh Islam Al-Rasyid dilahirkan itu adalah bersamaan tarikh saya patut dilahirkan 40 tahun lalu. Lihat artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131.... Di atas adalah nasi kambing yang disumbangkan oleh batch saya, mereka yang mengambil peperiksaan SPM tahun 1987. Teringat pula majlis qeqah anak yang diadakan di Jelai, Negeri Sembilan. Lihat Qeqah di Jelai, melihat Gunung Ledang di Asahan, bermalam di Pulau Besar dan kamera yang rosak.

Hmm... batch saya ni memang suka makan kambing dan nasi Arab. Dalam pertemuan atau reunion kami sebelum inipun ada kambing dan nasi Arab kalau tak pun nasi beriani atau nasi lain yang sewaktu denganya. Oh. Biar diberitahu, saya cuma aktif berhubung dengan rakan-rakan sekolah ini hampir ke penghujung 2008. Sebelum itu hubungan saya dengan mereka boleh dikatakan terputus langsung sejak ditendang keluar dari sekolah akibat masalah disiplin penghujung 1986... sekali-sekala sahaja ada terserempak ketika bekerja atau berjalan ke sana ke mari.



Sejak itu saya telah dua tiga kali menghadiri pertemuan dengan kawan-kawan lama sekolah. Tetapi itu sekadar bersama batch saya sahaja, mereka yang sama umur dan turut mengambil SPM 1987 (walaupun saya mengambil SPM di sekolah lain kerana sudah ditendang keluar). Majlis hari raya ini adalah kali pertama saya datang ke pertemuan yang turut melibatkan batch lain apalagi semua bekas pelajar dijemput tidak kira tahun. Terfikir juga apakah saya akan terasa janggal nanti bertemu orang-orang dari batch lain yang sudah 24 tahun tidak ditemui, apalagi super senior, pelajar lama yang langsung tidak pernah bertemu-muka.




Alhamdulillah, apa-apa rasa was-was atau kemungkinan timbul kejanggalan hilang sebaik sahaja menjejakkan sampai. Timbul pula rasa selesa melihat ramai muka yang dikenali... dan tidak terlalu susah untuk menyesuaikan diri dengan mereka yang tidak pernah berselisih bahu sebelum ini.





Isteri saya pun turut selesa sekurang-kurangnya dengan batch saya kerana pernah bertemu dalam 2 reunion yang pernah dihadirinya bersama saya dahulu. Beliau memberi ruang untuk saya membuat hal sendiri bertemu dengan bermesra dengan sesiapa apalagi apabila mula disedari bahawa saya seorang penulis yang sudah menerbitkan beberapa buku (sebelum itu mungkin batch saya sahaja yang tahu).


















Muncul lambat sedikit iaitu hampir waktu Zuhur adalah Timbalan Menteri di Jabatan Menteri Datuk Ahmad Maslan merangkap ketua penerangan UMNO Malaysia. Seingat saya beliau adalah ketua pelajar ketika saya berada di Tingkatan Satu iaitu tahun 1983. Selepas meninggalkan sekolah, saya pertama kali terjumpa kembali Ahmad Maslan ketika dia menjadi setiausaha politik kepada Datuk Mustapha Mohamed. Ketika itu saya masih wartawan akhbar The New Straits Times, Datuk Mustapha pula Menteri Keusahawanan gitu yang berpusat di Medan Mara.

Menariknya, ketika beliau mula aktif mendekati dunia politik, 3 orang rakan batchnya sedang mengejar karier yang sangat berlainan walaupun boleh dikatakan sama terkenal. Seorang yang dipanggil Arab (saya lupa nama sebenarnya, sejak zaman sekolah memang dipanggil Arab) menjadi penyanyi dan penulis lagu (Arab dan Aidid), seorang pula Sam kembali dari Australia dengan ijazah kejuruteraan tetapi menjadi pemain gitar (kalau tak salah menyanyi sekali) bersama kumpulan metal Cromok. Seorang menjadi wartawan hiburan di bekas pejabat saya iaitu NST sebelum dia sendiri terlibat secara langsung menjadi pengacara dan sebagainya iaitu saudara Zainal Alam.





Itulah kepelbagaian yang muncul dari bekas pelajar sekolah kami. Lihat gambar atas. Di kiri itu memang seorang pemusik professional yang sering bermain di hotel-hotel besar. Terperanjat juga saya melihatnya di majlis ini kerana dia pernah menegur dan memperkenalkan diri sebagai pemuzik ketika saya berehat santai di La Bodega Bangsar. Apakah dia juga bekas pelajar SMSJ?

Rupa-rupanya tidak. Dia adalah kenalan kawan kami yang dijemput untuk memeriahkan suasana. Ternyata majlis jadi lebih meriah apabila 2 orang kawan batch saya Sam (bukan Sam Cromok) dan Adrian naik ke pentas. Kalau tak salah Sam pernah menjadi seorang ahli geologis yang terlibat dengan pengkajian di universiti sebelum diberi peluang membuka stesyen minyak sendiri. Sejak itu dia dikatakan selalu goyang kaki, suka betul kalau diberi peluang bermain gitar dan menyanyi, hehe. Adrian pula adalah seorang VP (vice-president) sebuah syarikat besar teknologi. Namun apabila menyanyi boleh tahan... tak malu kalau diletakkan di sebelah M. Nasir...

Itulah yang membuat saya terasa begitu selesa berjumpa kawan-kawan lama. Mereka semua bukan calang-calang orang tetapi apabila berjumpa, adakalanya kami jadi macam budak-budak hingusan yang tak tahu apa-apa, sedia bermesra dengan sesiapa tanpa apa-apa prasangka. Untuk banyak lagi gambar dan cerita sekitar majlis, lihat artikel A Hari Raya do with all batches (well, almost...) from my old school yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi. Biar diletakkan sekali links pertemuan terdahulu kami juga cerita mengenai sekolah dan bandar Kluang yang pernah membentuk jiwa dan karakter kami...

1. Reminiscing the teenage years in Kluang - Part 1

2. Reminiscing the teenage years in Kluang - Part 2

3. Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor...

4. Open house di Ampang, barbecue geng moto beso di Rawang dan perjumpaan kawan lama SMSJ di Kajang

5. Nostalgia Sekolah Menengah Sains Johor...

6. Sekitar reunion SMSJ Batch SPM 1987 yang diadakan di Melaka 1 Mei baru ini...

7. Gambo lama Sekolah Sains dan rancangan bercerita seterusnya

8. Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Kerajaan lama Gelanggayu, kopi Kluang dan kenangan sekolah menengah lalu...

9. Sains Johor upon reaching 40 reunion for batch 83-87...

10. My old alma mater, Sekolah Menengah Sains Johor (Johor Science Secondary School))

Tiada ulasan:

Catat Ulasan