Jumaat, Oktober 15, 2010

Al-Rasyid berhari-raya : Pernikahan yang dipercepatkan

Salam Jumaat untuk semua. Adapun bulan Syawal atau bulan raya Aidilfitri baru ini bermula pada hari Jumaat dan tamat pada hari Jumaat. Maka eloklah siri "Al-Rasyid berhari-raya" ini ditamatkan dengan ceritanya yang ke 11 hari ini hari Jumaat. Mari... :]


Petang Khamis sebelum Asar 8 Oktober 2010 bersamaan 28 Syawal 1431, saya, isteri dan anak pergi ke sebuah masjid di Sungai Lang, Banting, Selangor. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ar-Rohmaniah, Sungai Lang, Banting di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Kami mahu menghadiri majlis pernikahan adik bungsu isteri. Untuk makluman, pernikahan ini asalnya mahu dibuat penghujung Oktober. Tetapi tiba-tiba awal minggu itu pihak perempuan meminta agar ia dipercepatkan ke tarikh baru.


Mungkin mereka mahu mengambil berkat bulan Syawal? Yang pasti sudah sampai penghujung Syawal kerana ia akan tamat Jumaat selepasnya. Mungkin Khamis terakhir bulan Syawal itu dipilih agar sebaik sahaja masuk malam Jumaat, adik ipar saya dan tunangnya sudah bergelar suami isteri. Apapun keluarga isteri saya menunggu di masjid sehingga tamat solat jemaah Asar namun mendapati keluarga pengantin perempuan tak sampai-sampai lagi. Apa hal?


Rupa-rupanya kami tersilap masjid. Pernikahan mahu diadakan di sebuah masjid lain 2-3 km gitu dari situ. Lihat Masjid (Mosque of) Al-Ihsan, Sungai Lang, Banting.



Keluarga pengantin perempuan sudah lama menunggu di sana sedangkan kami pula menunggu di masjid lain. Apa daa...




Apapun dapat juga kami berkumpul selepas Asar seperti yang dijadualkan untuk majlis.












Dipendekkan cerita pengantin selamat diijab-kabulkan...






Dokumen nikah yang ada pun ditandatangani seperti sepatutnya.







Alhamdulillah, selamat. Adik ipar berpeluk dengan adik-beradik. Satu perkara yang saya perhatikan keluarga sebelah isteri agak sentimental ketika berjumpa dalam acara tertentu terutama pada pagi raya dan kini selepas majlis pernikahan. Mereka akan berpelukan erat dan ini selalunya disulami dengan perasaan sayu ditambah dengan kata-kata, mungkin nasihat atau kata-kata aluan yang memakan masa tidak kurang seminit dua. Yang perempuan selalunya akan menangis syahdu malah yang lelaki pun kelihatan hampir begitu, boleh nampak air mata mengalir. Semua yang ada akan kelihatan sebak, setelah selesai berpelukan dengan semua baru keadaan kembali seperti biasa.

Dahulu saya mungkin tidak menghargai situasi ini. Terbetik di hati... apa ni... lebih-lebih pula nak sedih-sedih. Apa daa... macam le saya ni macho sangat tak peduli perasan halus naluri manusia. Namun melihat kemesraan yang sering ditunjuk keluarga mereka yang berdarah Jawa, saya semakin memahami. Saya akui pelukan 'sentimental' antara keluarga isteri adalah satu budaya yang sangat mengeratkan mereka.





Cukuplah dikatakan semakin lama saya semakin menghargai isteri dan keluarga. Kelihatan di sini isteri saya dan keluarga bergambar bersama pengantin perempuan.




Tahniah kepada Atan dan isteri. Semoga menjadi suami yang bertanggungjawab dapat mengatur dan membahagiakan rumahtangga.



1 ulasan:

  1. Buruk-buruk pun, darah daging keluarga sendiri jangan dilupa.

    BalasPadam