Selasa, September 16, 2025

Mengimbau perjalanan/pengembaraan lama melalui Merah Silu live di Tiktok setiap Selasa malam Rabu

Salam Hari Malaysia 16 September. Merujuk pada artikel Membina peranan bagi memperkuatkan ASEAN dan hubungan dengan masyarakat antarabangsa yang dipersembahkan Jumaat 5 September berdasarkan majlis ilmu berkenaan yang berlangsung Selasa 2 September. Ada dinyatakan bahawa pada siang Khamis sebelumnya (4 Sept) ada mendaki bukit setinggi 400 meter seorang diri. Malam sebelum itu pula (3 Sept) ada menghadiri satu lagi majlis ilmu lalu cerita tentangnya dikongsikan dalam artikel Manusia dan alam tabii di Kota Nabi - Hablun Min al Alam al Tabi'i pada 9 September, tepat seminggu lalu. Selepas itu cadangnya hendak berkongsi cerita tentang pendakian bukit. Tetapi entah kenapa terasa asyik tidak sedap badan, kurang bertenaga dan malas hendak menulis.

Sebetulnya hal terasa berat tidak sedap badan ini menganggu sejak lebih 2 minggu lalu. Apapun, setelah difikirkan kembali terasa elok cerita mendaki bukit tidak dikongsikan kepada umum, atas sebab tertentu. Sebaliknya biar pergi pada satu aktiviti mingguan yang sebenarnya sudah dimulakan lebih sebulan lalu.

 

Sudah dinyatakan dalam beberapa siri perjalanan/pengembaraan saya beberapa bulan kebelakangan ini bahawa ada dibuat sejumlah rakaman video lalu dimasukkan ke dalam Tiktok. Alhamdulillah rakaman-rakaman yang secara umumnya dibuat di tempat-tempat bersejarah dalam perjalanan lalu diisi dengan perkongsian berkenaan mendapat sambutan yang sangat memberangsangkan. Namun ada rasa sedikit terkilan kerana ramai mengenali disebabkan video-video Tiktok itu. Sedangkan apa yang diperkatakan telah dikongsikan dalam CATATAN SI MERAH SILU sejak penghujung 2006 lagi. Sedikit sahaja nampaknya yang tahu tentang itu. Dan sedikit nampaknya tahu saya telah menulis buku sejak pertengahan tahun itu, kini sudah ada 15 tajuk buku.

Hal ini menyebabkan timbul rasa agar dibuat sesi mingguan siaran langsung atau live melalui Tiktok mengemukakan blogspot dan isinya. Dibuatlah keputusan agar cerita-cerita perjalanan lama yang pernah dikongsikan menjadi latar belakang utama siaran langsung. Kebetulan semasa berlaku PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak virus Covid 19 tahun 2020-2021 saya ada membuat kumpulan artikel-artikel perjalanan lama. Lihat Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021. Bolehlah digunakan lalu ini dinyatakan melalui rakaman-rakaman berikut yang dimuatnaik ke Tiktok pada 14 Ogos :-


Cadangan mingguan live Merah Silu - Pengenalan part I 




Dicadangkanlah bahawa sesi siaran langsung atas nama "Merah Silu Live" mahu dibuat setiap Selasa malam Rabu bermula jam 9.30. Kurang seminggu kemudian iaitu pada 19 Ogos bermulalah sesi mingguan tersebut. Namun tidak seperti bagi rakaman bawah 10 minit yang dilakukan dalam siri-siri perjalanan beberapa bulan kebelakangan lalu dimuatnaik, Tiktok tidak mengekalkan sesi siaran langsung yang berganda lebih panjang dalam paparan umum. Ia menyebabkan ia tidak boleh dicapai penonton selepas sesi selesai. 

Untuk mengabadikan harus dimuatnaik dari akaun Tiktok yang digunakan iaitu milik isteri ke Youtube. Ini pula cuma dilakukan baru kurang seminggu lalu, setelah sudah berlangsung 4 edisi seperti berikut :-





Episod 1 - 19 Ogos 2025


Cerita-cerita pengembaraan lama yang sempat dikongsikan :-

1. Naik basikal separuh Semenanjung 1989 - lebih 1,250 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan berbasikal ke separuh Semenanjung tahun 1989.  

2. Mengikuti program outward bound di Pulau Pangkor tahun 1989 - 486 km. Lihat Kenangan outward bound training di Pulau Pangkor Disember 1989.






Episod 2 - 26 Ogos 2025 


Cerita-cerita pengembaraan lama yang sempat dikongsikan :-


3. Trip ke Cardiff 1992-93 - lebih 750 km. Lihat Ke Cardiff di Wales sekitar tahun 1992-1993.

4. Scotland 1993 - mendekati 1,700 km. Lihat Kompilasi cerita perjalanan ke Scotland tahun 1993.

5. Sewa kereta di England 1994 - lebih 1,100 km. Lihat Kompilasi cerita sewa kereta ke separuh England tahun 1994.


Ada disebut sedikit tentang perjalanan seterusnya...


6. Kembara solo Eropah tahun 1995 mendekati 5,900 km. Lihat Kenangan perjalanan pusing Eropah secara solo hitchhiking tahun 1995.


Tetapi cerita penuhnya ditunda untuk edisi lain memandangkan ia telah dijadikan buku yang terbit tahun 2019. Lihat artikel Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa diikuti Ringkasan perjalanan solo hitchhike keliling Eropah tahun 1995.




Episod 3 - 2 September 2025


Cerita-cerita pengembaraan lama sempat dikongsikan :-

7. Naik Gunung Kinabalu Jun 1997 -  237 km. Lihat Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997.

8. 4 x 4 Challenge Sept 1997 -  lebih 750 km. Lihat Kenangan 4x4 tahun 1997.





Episod 4 - 9 September 2025


Cerita-cerita pengembaraan lama yang sempat dikongsikan :-


9. Bermotosikal besar solo keliling Semenanjung Dis 1997 – Jan 1998 sekitar 3,850 km.  Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung.

10. Mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - sekitar  950 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000.


Cuma isteri ada tersilap tertekan butang ketika  soal jawab bebas selepas cerita perjalanan lalu siaran jadi terputus. Kenalah mulakan satu siaran langsung sambungan...




Pada setiap sesi saya sedia mengulas atau menjawab apa sahaja pertanyaan penonton namun menghadkan sesi sekitar 1 jam sahaja, kalau lebih pun dalam 10-11 minit. Masuk Episod 3 baru sedia untuk melayan lebih lama lalu sesi berpanjangan sehingga melebihi 2 jam. 

Format sama kemudian dipakai pada Episod 4. Insyaallah ini akan diteruskan sampai bila-bila. Untuk Episod 5 malam ini cerita-cerita pengembaraan lama yang hendak dikongsikan adalah seperti berikut :-


11. Jelajah Mesra PDRM sekitar tahun 2000 - dalam 2,155 km. Lihat Jelajah Mesra PDRM sekitar tahun 2000.

12. Liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - lebih 2,250 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000.

13. Meliputi acara X Games di Phuket tahun 2000 - lebih 300 km. Meliputi Asian X-Games di Phuket tahun 2000.


Sama seperti Episod 3 dan 4 ia masih sekitar zaman saya bertugas sebagai wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times (NST) 1996-2001. Sekadar memaklumkan. Episod 1 adalah sekitar zaman di kolej 1988-1990, sedangkan Episod 2 adalah sekitar zaman mengambil ijazah sarjana muda dalam bidang matematik di University College of London 1991-1995.

Kebetulan saya mula bertugas di NST pada 16 September 1996. Ini adalah tepat 29 tahun lalu. Ketika itu tarikh tersebut belum menjadi cuti umum Hari Malaysia. Selesai perkongsian tersebut baru boleh masuk pada cerita-cerita perjalanan/pengembaraan menjejak makam-makam lama bemula dengan...


14. Kali pertama ziarah makam tahun 2001 - sekitar 780 km. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.


Ketika perjalanan ini berlaku saya masih berkhidmat di NST. Tetapi sudah ada ura-ura hendak meninggalkan disebabkan banyak perkara termasuk politik pejabat menekan malah menghalang. Tidak lama kemudian masuklah zaman pencarian intensif yang menyebabkan saya jadi rajin bermusafir seorang diri bermalam dari masjid ke masjid malah di makam-makam. Jangan lupa tonton siaran langung Episod 5 di Tiktok bermula jam 9.30 malam ini. Cari akaun "Fida Merah Silu" milik isteri saya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan