Sabtu, September 10, 2022

Islam tradisi menuju kemanusiaan sejagat?

OK. Pergi pada perkongsian ilmu.



Merujuk pada perjalanan 6 hari 5 malam yang diceritakan dalam artikel Memanfaat cuti sekolah bulan September 2022 petang tadi. Adapun ketika berada di Shah Alam hari sebelumnya 8 September guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar bertanyakan dalam WhatsApp apakah akan mengikuti syarahan atas talian beliau seperti ditunjukkan dalam poster atas. Allah. Saya sebenarnya nyaris-nyaris terlupa. Satu kerana masih dalam perjalanan, sejak petang Ahad 4 September belum kembali ke rumah. Kedua fikiran sepanjang perjalanan lebih tertumpu pada hal-hal keluarga. 

Itulah yang sebenarnya menyebabkan saya dan isteri membawa anak kembali ke Muar untuk berjumpa ibu bapa. Saya mahu menerangkan kepada bapa beberapa hal penting melibatkan urusan tanah moyang kepada datuk saya Laksamana Muhammad Amin di Mekah, tanah yang baru 2-3 hari lepas saya dapat sahkan sendiri melalui satu dokumen bertulisan Arab tahun 1895 menunjukkan ada dibeli oleh moyang tersebut pada tahun 1894 dengan harga yang kelihatan amat rendah, cuma 300 Riyal ketika itu. Tetapi nilainya pada abad ke-21 telah menjangkau satu angka yang 'gila-gila', bukan dongengan angan-angan anak cucu hendak bercerita berbillion-billion lemon.

Berbalik pada hal majlis ilmu. Saya memberitahu Osman masih dalam perjalanan tetapi akan mengikutinya apabila sampai ke rumah. Selepas jam 6 petang sampailah kami anak beranak. Sebaik sahaja selesai membawa masuk segala macam barangan terus terbaring terbongkang kepenatan.



Seminit dua sebelum syarahan dijadualkan bermula jam 8.30 saya pun membuka komputer riba untuk mengikuti majlis. Tengok-tengok mendapati masalah untuk mencari pautan siaran langsung atau Live Video. Menurut poster ia dibuat di Facebook satu badan dipanggil Tradisi yang didirikan sejumlah anak muda yang meminati ilmu dan falsafah. Mereka dan satu lagi badan iaitu Toko Pujangga Buku yang menjual buku-buku ilmu adalah penganjur majlis.

Saya pun meninggalkan pesanan di Facebook bertanyakan tentang pautan ke majlis ilmu.  Sekitar 10-15 minit kemudian baru ternampak maklum balas diberikan oleh seorang kenalan berserta pautan ke Live Video tetapi di Facebook Toko Pujangga. Baru dapat mengikut majlis walaupun masuk lambat.

Secara rata syarahan mahu mengupas bagaimana ilmu Islam tradisi seperti dibawa oleh Imam Al-Ghazali 1,000 tahun yang lampau boleh menuju pada pembentukan kemanusiaan sejagat. Kemanusian sejagat ini merujuk pada apa yang difahami oleh dunia Barat sebagai the Universal Man, orang yang cukup arif pelbagai bidang ilmu lalu boleh merentas pemikiran pelbagai ketamadunan, faham dan mazhab. Terus terang cakap kapisiti saya untuk mengikut butiran syarahan ayat demi ayat malam itu adalah sangat lemah akibat kepenatan baru kembali dari perjalanan selain 2-3 bulan kebelakangan asyik ke Perak dan lain-lain tempat atas urusan keluarga juga bagi membuat kajian-kajian berkenaan. Rujuk artikel-artikel berikut untuk memahami keadaan.


Tentang perjalanan yang dibuat dalam tempoh 2-3 bulan kebelakangan :-








Tentang kajian-kajian yang dibuat - Sehingga selalu tidur di masjid (kalau tidur masjid ketika keluar mengembara jauh itu sudah kebiasaan, ini sekadar untuk membuat kajian) agar mudah sampai ke misalnya Perpustakaan Negara yang mana pernah dalam tempoh bersamaan 3 hari bekerja saya menelaah lebih 11,000 helai dokumen asli zaman British berusia 127 hingga 123 tahun. Lihat :-




Pun begitu saya dapat menangkap maksud Osman dalam syarahan kerana satu, sudah biasa mengikuti perkongsian ilmu beliau yang apabila diselami paling dalam tetap akan kembali kepada intipati tawhid sebagai penyatu segala macam faham walaupun luaran kelihatan berbeza pelbagai ragam dan bermacam mazhab (maksud mazhab di sini bukan sekadar Hanafi, Hanbali, Syafie, Maliki yang biasa kita dengar tetapi segala macam fikrah aliran pemikiran termasuk dalam dunia Tasawuf dan lain-lain cabang ilmu dan amal). Dan kedua memang saya sendiri telah menyelami alam fikir bersifat falsafah melalui pembacaan juga penaakulan selain ilham yang dilontarkan ke dalam hati seawal zaman sekolah rendah tahun 1970an. Maka bolehlah disimpulkan begini... 

Walaupun konsep kemanusiaan sejagat itu berpaksikan pemikiran dan falsafah Barat yang boleh menyimpang daripada kebenaran tetapi tujuannya boleh dimurnikan agar selari dengan ajaran Islam. Malah ulamak-ulamak zaman Islam telah pun berjaya menggapai makna kemanusiaan sejagat apabila sedia menimba ilmu dan hikmah daripada para pemikir Yunani purba seperti Aristotle dan Plato yang mereka anggap sebagai hukamah atau ahli hikmah, bukan penyembah berhala seperti dituduh agamawan Kristian yang suasana pemikirannya itulah kemudian membawa kepada perkembangan pemikiran dan falsafah Barat yang gigih menolak agama dan Tuhan. Dengan itu ilmu Islam tradisi seperti difahami dan diamalkan para ilmuwan silam Islam seperti Al-Farabi dan Al-Ghazali boleh digunakan dan diteladani untuk menuju kefahaman kemanusiaan sejagat. Hal ini boleh ditelaah melalui syarahan-syarahan lama Osman tentang klasifisikasi ilmu pengetahuan dalam Islam yang telah saya kongsikan dan kupaskan seperti berikut :-


9. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Apabila syarahan ke-10 dijenamakan kembali menjadi syarahan ke-3


10. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual


11. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan


12. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?


13. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Pengembaraan jauh mencari kebenaran yang memungkinkan sintesis pelbagai faham


14. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam


15. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hierarki yang wujud dalam semua peringkat kejadian dan tahap cahaya yang bertingkat-tingkat


16. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Keunggulan ilmu metafizik dan 'pampasan' Ilahi bagi masyarakat kini


17. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Penulisan tesis sebagai pembuktian dakwaan yang diyakini benar


18. Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Antara fakulti universiti dan fakulti yang wujud dalam diri manusia



Pun begitu itu yang dapat saya ulas berdasarkan apa yang dapat ditangkap dalam keadaan diri masih kepenatan dan kurang dapat memberikan perhatian. Dan saya sebenarnya kurang sihat kena ceret beret 2 hari kebelakangan. Sila ikut sendiri syarahan yang telah dijadikan rakaman di sini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan