Sabtu, September 10, 2022

Memanfaat cuti sekolah bulan September 2022

Salam petang Sabtu 13 Safar 1444 Hijriah. Merujuk pada artikel Perjalanan kecil pusing Pahang - Menunaikan hajat yang tertunda akibat banjir hujung tahun lalu yang dipersembahkan tengah hari Ahad lalu. Ada disebut di dalamnya bahawa pada malam sebelumnya saya baru sahaja kembali daripada perjalanan dua hari di Pahang. Sedangkan pada minggu sebelumnya pula baru sahaja selesai membuat satu lagi perjalanan di Perak lalu cerita-cerita tentangnya cepat menyusul keluar Lihat Misi keluarga Laksamana part IV. Tengah hari Ahad itu iaitu pada 4 September 2022 cadangnya sebelum Zohor mahu bertolak ke selatan. Sebab itu cerita perjalanan Pahang mahu dilepaskan secepat mungkin. Sekarang biar dikongsikan cerita tentang perjalanan ke selatan itu.



Perjalanan bermula sedikit lewat daripada yang dirancang. Selepas menunaikan solat Zohor di rumah baru selesai segala persiapan untuk berjalan lalu boleh bergerak.




Kalau tidak kerana anak kecil kami ada latihan silat di Bukit Beruntung tentu boleh bergerak waktu pagi. Ketika menunggu anak selesai latihan jam 8.30 hingga 10.30 itulah saya menulis artikel Perjalanan kecil pusing Pahang - Menunaikan hajat yang tertunda akibat banjir hujung tahun lalu berserta beberapa artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Singgah dahulu ke Perpustakaan Negara kerana mahu mencari satu tulisan British yang ditulis tentang seorang moyang utama saya, Nakhoda Hitam @ Tok Kuala Bidor pada tahun 1885.




Alhamdulillah dapat ditemui dalam satu koleksi jurnal yang dicetak semula tahun 1997.




Dekat jam 5 bertemu dengan anak yang sedang membuat kerja sementara di sebuah pusat membeli belah di ibu kota. Selepas itu baru menyambung perjalanan ke selatan.



Gambar ini pula diambil di bandar Muar pagi Isnin 5 September.




Selepas menghantar ibu ke hospital ditemani bapa saya dan isteri keluar berjalan-jalan melihat beberapa tempat.










Ini pula pada petang Selasa 6 September. Kami mahu meninggalkan Muar. Tetapi masuk bandar dahulu untuk membeli kopi sejuk 434.




Sebelum keluar saya sempat menyiapkan lalu memaparkan artikel Perjalanan kecil pusing Pahang - Pulau Tawar, Kota Gelanggi dan legasi Mat Kilau yang memerlukan 15 artikel sokongan.




Ambil jalan ke Tangkak...




Masuk ke negeri Melaka dari arah sana untuk menuju ke bandar Jasin.




Lalu buat pertama kali tergerak untuk menziarahi sebuah makam lama yang pernah mencuri perhatian ramai beberapa tahun lalu.







Rupa-rupanya makam itu terletak cuma 4 km sahaja daripada tempat seorang anak kami belajar. Memang pun tujuan utama kami mengambil jalan tersebut iaitu melalui Tangkak masuk ke Melaka adalah untuk menziarahi beliau. Oh. Sebelum itu singgah di sebuah masjid berdekatan. Lihat Masjid (Mosque of) Kampung Terentang, Jasin.



Gambar ini pula diambil petang Rabu 7 September.




Kami telah bermalam di rumah peninggalan keluarga isteri di Tanjung Sepat.




Saya keluar seorang diri untuk berjalan-jalan di pekan Tanjung Sepat. Ternampak kedai mamak singgah sebentar pekena mee rojak.



Seterusnya terlihat tempat duduk bawah teduhan pokok mangga di kawasan rumah Cina berdekatan. Tergerak untuk duduk menyambung proses pengkhataman Al-Quran bagi bulan Safar.



Awal pagi Jumaat 9 September kami bergerak meninggalkan Tanjung Sepat. Oh. Petang Khamis sebelumnya 8 Sept sempat melepaskan artikel Dari tempat gajah ke tempat Tok Gajah - Kompilasi cerita perjalanan kecil pusing Pahang di rumah keluarga isteri.



Pergi ke Shah Alam kerana isteri perlu masuk pejabat di sana.






Sementara isteri di pejabat saya membawa anak ke Perpustakaan Tun Uda.



Dapatlah menyambung sedikit penyelidikan sejarah dalam memahami hal ehwal Tanah Melayu dahulukala.



Masuk waktu solat Jumaat kami ke masjid besar iaitu masjid negeri untuk bersolat.







Selesai solatberjalan-jalan di taman tasik. Lihat Walkway to an island in the Shah Alam lake garden

.


Selepas beberapa lama baru ambil isteri. Lewat petang baru sampai rumah lalu terus terbaring terbongkang kepenatan. 

Nah. Perjalanan ini meliputi tempoh masa 6 hari 5 malam dengan jarak keseluruhan pemanduan 622 km tetapi dapat dirangkumi dalam satu artikel sahaja. Bukan seperti perjalanan-perjalananan sebelum ini seperti ke Pahang 2-3 Sept, Perak 22-24 Ogos dan beberapa perjalanan sebelum itu yang memerlukan satu artikel bagi setiap hari. Lihat artikel-artikel kompilasi berikut :-








Sebab apa kali ini cerita dapat dirangkumi dalam satu artikel sahaja walaupun melibatkan tempoh masa hampir seminggu? Sebab tidak begitu banyak tempat disinggahi. Ini kerana lebih banyak masa ditumpukan untuk bersama keluarga di rumah selain bertemu anak-anak di luar. Begitulah kami memanfaatkan cuti sekolah bagi bulan September 2022 ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan