OK. Siri ini semakin menghampiri penghujungnya. Tanpa membuang masa lagi biar disambung cerita daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Johor Bahru sebagai pusat penerokaan ke sudut paling selatan dan barat Semenanjung serta pelbagai ceruk rantau.
Setelah 3 malam menginap di Johor Bahru lalu meneroka persekitaran sampai masanya untuk bergerak kembali ke arah utara. Pada tarikh yang diperkirakan adalah 13 Januari 1998 iaitu pada hari Selasa bersamaan 14 Ramadhan 1418 Hijriah saya pun meninggalkan rumah datuk saudara di Bandar Baru UDA, Singgah di Kulai yang terletak dalam laluan. Ketika itu ia masih sebuah pekan sederhana besar, bukan bandar seperti dilihat dalam gambar atas (diambil dari Internet, menunjukkan keadaan pada tahun 2020).
Timbul dalam ingatan di sini saya ada membeli sebuah jam tangan jenama Casio G-Shock berharga hampir atau sekitar RM500. Lebih kurang beginilah rupa jam tersebut. Mungkin lain sedikit tapi dekat-dekat sama. Saya ingat ada membeli di Kulai kerana itulah kali pertama membeli jam semahal itu. Ia perkara besar bagi saya tapi mungkin perkara kecil sahaja bagi sesetengah kawan yang sudah biasa memakai jam berharga ribuan malah berpuluh ribu Ringgit.
Saya tertarik kerana ia ada fungsi untuk menyukat suhu (thermometer), tekanan udara (barometer) dan ketinggian suatu tempat dari paras laut (altimeter). Cuma apabila difikir balik ada kemungkinan ia dibeli di Kulai bukan selepas meninggalkan Johor Bahru tetapi dalam tempoh 3 malam menginap di sana. Ini boleh jadi kerana Kulai terletak tidak jauh daripada laluan menuju ke Pekan Nenas lalu ke Tanjung Piai. Seingat saya juga di Kulai ada mencari kalau tidak pun singgah rumah seorang datuk saudara.
Saya juga ada mengambil simpang ke Lapangan Terbang Senai. Cuma seperti hal membeli jam tadi boleh jadi pergi ketika masih dalam tempoh menginap di JB, boleh jadi kemudian. Tetapi untuk perkiraan jarak biar dianggap lawatan berlaku pada hari Selasa. Ini kerana ia tidak diambil kira dalam artikel sebelum ini
Seterusnya saya naik lebih utara ke Simpang Renggam kemudian ke bandar Kluang. Di situlah saya pernah bersekolah menengah tahun 1983 hingga 1986. Gambar diambil daripada artikel
Trip anak-beranak ke Desaru - Deja vu Bukit Inas melengkapkan misi Batu Pahat tahun 2014. Yang ingat dengan jelas tidak lama selepas mendapatkan penginapan di sebuah hotel murah saya menunggang motosikal besar kesayangan ke kaki Gunung Lambak.
Sampai sekitar jam 5 petang tergerak untuk mendaki hingga ke puncak. Saya ingat ini kerana gunung itu sentiasa segar dalam kenangan akibat boleh melihatnya setiap hari daripada sekolah menengah di Kluang. Saya pertama kali mendaki hingga ke puncak setelah berkhemah bersama pasukan pengakap ketika berada pada Tingkatan 1 tahun 1983. Ketika itu saya masih seorang pelajar yang agak berdisiplin dan dikira baik lalu dilantik menjadi ketua pengakap.
Gambar atas yang diambil daripada artikel
Nostalgia Sekolah Menengah Sains Johor... (tahun 2009) diambil ketika pendakian kedua bersama kawan-kawan sekelas pada Tingkatan 3 tahun 1987. Ketika itu saya sudah jadi seorang budak nakal yang kuat melawan. Pendakian tahun 1998 adalah yang ketiga dalam ingatan. Ketika mendaki ada terserempak 2-3 orang turun kerana sudah lewat. Saya turun ketika hampir waktu Maghrib. Dah gelap baru dapat keluar hutan lalu berbuka puasa.
Esok siang yang harus jatuh pada hari Rabu 14 Januari baru berkesempatan untuk melihat sekolah lama iaitu Sekolah Menengah Sains Johor di pinggir barat bandar Kluang. Tapi sebetulnya saya tak pasti ada masuk ke dalam atau sekadar melihat dari luar. Seingat saya kali terakhir ada singgah ke sekolah sebelum itu adalah pada tahun 1987. Ketika itu saya sedang belajar di Sekolah Tinggi Muar. Ini disebabkan saya telah dibuang dari Sekolah Sains penghujung tahun 1986 disebabkan masalah disiplin.
Gambar atas diambil daripada artikel
Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... tahun 2008. Setelah beberapa lama saya akhirnya berkesempatan melihat ke dalam. Pada tahun 1998 besar kemungkinan saya melihat sahaja di luar kerana dua sebab. Satu, orang sedang bersekolah, bukan waktu cuti lalu orang 'luar' tidak dibenarkan masuk. Kedua ada kenangan pahit daripada lawatan tahun 1987 di mana saya masuk melawat kawan-kawan akibat merasa rindu dengan mereka dan kehidupan lama berasrama. Tetapi saya dipaksa keluar lewat malam setelah didapati cuba menginap tanpa kebenaran.
Ini adalah gambar bandar Batu Pahat diambil di Internet. Dari Kluang saya bergerak ke Ayer Hitam diikuti Batu Pahat. Kedua-dua tempat ini malah sepanjang laluan segar dalam ingatan kerana selalu disinggahi dalam perjalanan kembali ke kampung di Muar dari sekolah di Kluang dan sebaliknya. Ada kemungkinan saya menginap di Kluang dua malam tetapi anggaplah ia cuma satu malam. Dengan itu pada hari yang sama juga iaitu Rabu 14 Januari saya kembali ke Muar lalu berehat lama untuk menghabiskan cuti kerja.
Peta ringkas laluan menunjukkan Lapangan Terbang Senai terletak sebelum Kulai dari Johor Bahru. Oleh itu saya harus ke Senai dahulu sebelum ke Kulai. Tapi boleh jadi juga saya pergi kemudian kerana baru terfikir hendak pergi setelah sampai ke Kulai. Selain itu baru teringat dari bandar Kluang ada bergerak buat satu jarak ke arah Mersing sebelum kembali ke bandar.
Dalam perjalanan tersebut saya ada menaiki satu jalan mendaki ke suatu macam stesyen, sama ada stesyen askar atau tempat simpanan air di sisi utara Gunung Lambak. Apapun diperkirakan jarak diliputi termasuk berjalan-jalan di Kluang dan Batu Pahat harus melebihi 240 km. Campur jarak keseluruhan sebelum ini iaitu 3,045 km tidak keterlaluan untuk membulatkan menjadi sekitar 3,290 km.
Oh. Ini adalah artikel ke-1,991 di
blogspot. Nombor tersebut mengingatkan pada tahun 1991 di mana saya berlepas ke United Kingdom untuk menyambung pengajian dalam bidang matematik di University College of London. Saya pernah menulis sejumlah artikel khas untuk kenangan awal di sana. Ia boleh dicapai melalui artikel
Up balik : Kenangan zaman UK.