Jumaat, Januari 29, 2021

Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Menghabiskan baki cuti kerja di Muar sebelum kembali ke Kuala Lumpur

Salam tengah hari Jumaat ke-5 tahun 2001 dan terakhir bagi bulan Januari. Sampai masanya untuk menyelesaikan terus cerita kenangan perjalanan 23 tahun lalu ini. Bersambung daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Laluan yang mengingatkan pada zaman sekolah menengah.


Pada tarikh yang diperkirakan adalah 14 Januari 1998 iaitu pada hari Rabu bersamaan 15 Ramadhan 1418 Hijriah sampailah saya ke bandar dan daerah tempat dilahirkan lalu membesar iaitu Muar. Gambar daripada artikel Al-Rasyid berhari raya : Sedikit bab politik dan sejarah sambil menjejak legasi Bugis Daeng Chelak... tahun 2010 ini menunjukkan keadaan di satu jalan utama tengah bandar. Keadaan dan rupa tidak banyak berbeza daripada zaman saya kanak-kanak tahun 1970an sehinggalah kini sudah berumur 50an. Cuma semasa kecil dahulu boleh kelihatan ramai orang berbasikal dan naik beca.


Gambar rumah lama saya berdekatan Tanjung Emas, Muar ini pula diambil daripada artikel Tempat jatuh lagi dikenang.... Artikel yang dipersembahkan tahun 2007 itu mengandungi sejumlah gambar tempat-tempat berdekatan yang selalu dilalui atau disinggahi ketika zaman kanak-kanak dan remaja Ketika itu keluarga sudah sekitar 8 tahun berpindah ke rumah baru di Kampung Temiang, 5 km ke barat laut bandar. Selepas dilahirkan di hospital besar Muar 26 November 1970 pada malam Jumaat yang tarikh Islamnya adalah 27 Ramadhan 1390 Hijriah (malam Tujuh Likur) di sinilah saya membesar dan menetap sehingga berlepas ke luar negara untuk menyambung pelajaran dalam bidang Matematik di Universiti College of London pertengahan tahun 1991. 


Dalam tempoh masa tersebut saya berada jauh apabila menginap di asrama dalam tempoh persekolahan di Sekolah Menengah Sains Johor di Kluang 1983 hingga 1986 juga di kolej untuk pengajian peringkat A Level pertengahan tahun 1988 hingga suatu waktu sebelum bertolak ke London. Di rumah itulah saya menghabiskan baki cuti kerja setelah lebih 3 minggu berkelana seorang diri dengan motosikal besar. Dalam artikel pembukaan siri iaitu Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands ada dibuat kira-kira bahawa berdasarkan fakta mula berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times pada 16 September tahun 1996 saya boleh mengambil cuti sehingga 42 hari kerana belum pernah bercuti (kecuali cuti biasa sehari seminggu) sebelum itu. Kalau dicampur cuti  umum Hari Krismas dan Tahun Baru jadi 44 hari. Oleh kerana perjalanan pusing Semenanjung ini dimulakan pada 21 Disember 1997 maka saya harus kembali bekerja hanya selepas 2 Februari 1998.


Namun perlu diingat juga ketika perjalanan masuk hari ke 11 iaitu pada 31 Disember 1997 bulan puasa Ramadhan pun bermula. Rujuk balik hal berkenaan dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Sudut paling utara dan barat Semenanjung membawa ke sudut paling utara timur. Menurut program Gregorian to Hijriah Converter (mengubah tarikh Masihi ke Hijriah dan sebaliknya) tarikh 1 Syawal iaitu Hari Raya Aidilfitri pula jatuh pada hari Khamis 29 Januari 1998 iaitu tepat 23 tahun Syamsiah yang lalu (berdasarkan peredaran matahari sepertimana digunakan kalendar Barat yang 5 hari lebih panjang berbanding setahun dalam tahun Qamariah iaitu berdasarkan bulan seperti digunakan dalam kalendar Islam). Ini bermakna cuti umum Aidilfitri selama 2 hari mesti dimasukkan ke dalam kira-kira menjadikan jumlah cuti 46 hari. Lalu saya cuma perlu kembali bertugas di pejabat selepas 4 Februari.



Tarikh diperkirakan kembali ke Muar iaitu 14 Januari itu adalah hari ke-25 bercuti iaitu berdasarkan perjalanan bermula 21 Disember. Ertinya ada baki 21 hari untuk berehat sebelum kembali bertugas. Disebabkan sudah lebih setahun tidak mengambil cuti Muar menjadi tempat melepaskan rindu seraya berehat panjang selepas lebih 3,000 km menunggang motosikal besar seorang diri. Namun orang macam saya selama mana boleh tahan duduk di rumah sahaja? Pusing-pusing sekitar bandar itu sudah pasti. Masa yang terluang pun digunakan untuk meneroka banyak lagi tempat seperti halnya di Johor Bahru. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Johor Bahru sebagai pusat penerokaan ke sudut paling selatan dan barat Semenanjung serta pelbagai ceruk rantau.



Dalam tempoh masa itu saya pergi ke tempat-tempat seperti Bukit Kepong yang terletak 60 km dari rumah lama tetapi masih di dalam daerah Muar  Peluang juga diambil untuk pergi ke beberapa tempat lain dalam daerah yang belum pernah dijejaki sebelumnya, baru kali itu berpeluang kerana sudah memiliki kenderaan sendiri. Sebelum itu perjalanan saya terhad pada menaiki kenderaan awam selain menumpang kenderaan orang. Walau tak ingat dan tak tahu tarikh tepat saya pasti memang ada berjalan ke beberapa tempat. Gambar atas diambil daripada artikel Muar, Bukit Kepong dan Pulau Besar sekitar awal Muharram tahun 2018. Galeri yang kelihatan baru siap lalu dibuka dalam setahun dua itu.


Satu tempat yang pasti turut dituju adalah Gunung Ledang 30 km lebih dari bandar Muar. Dahulu ia terletak di dalam daerah Muar. Sekitar 15 tahun lalu tak salah daerah dipecah dua lalu gunung terletak di dalam sempadan daerah Tangkak. Semasa zaman sekolah dahulu saya ada 2-3 kali pergi ke air terjun di kaki dan lereng gunung. Setelah beberapa lama baru merasa naik ke puncak - setelah menunggang motosikal besar hampir ke puncak kemudian  berjalan kaki...

Saya ingat-ingat lupa apakah pendakian menggunakan motosikal itu berlaku dalam perjalanan pusing Semenanjung tahun 1998? Atau apakah ia berlaku dalam sesi perjalanan lain? Tetapi apabila mengingatkan kembali ada membeli jam yang boleh mengukur ketinggian dari paras laut sehari sebelum kembali ke Muar (rujuk artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Laluan yang mengingatkan pada zaman sekolah menengah) besar kemungkinan ia memang berlaku dalam perjalanan ini. 

Ya. Baru teringat ada mengukur ketinggian dengan jam untuk dipadankan dengan ketinggian rasmi gunung iaitu 1,270 meter dari paras laut. Saya juga ingat ada beberapa kali berpatah balik dari kaki gunung ke arah bandar (dahulu pekan) Tangkak untuk mencari jalan masuk yang boleh membawa naik ke atas, jalan kasar yang lebih sesuai bagi kenderaan pacuan empat roda pergi ke menara telekomunasi berdekatan puncak.


Gambar ini dan sebelumnya diambil dari artikel Ke puncak Gunung Ledang bersama anak dan isteri sebelum menutup hari di Alor Gajah tahun 2011. Ia dibuat selepas sampai ke puncak bersama isteri dan anak. Adapun dari Bukit Kepong kita boleh ke Gunung Ledang sebelum kembali ke bandar Muar. Tetapi memikirkan masa yang diperlukan untuk berjalan di kedua-dua tempat apa lagi naik ke puncak gunung saya mesti telah pergi ke Gunung Ledang pada hari yang berlainan.

Bahkan dalam tempoh 21 hari menunggu cuti kerja habis tak mustahil saya pergi ke Gunung Ledang lebih dari sekali malah beberapa kali. Saya pasti ada mandi di air terjun yang terletak jauh dari laluan naik ke puncak. Boleh kata setiap kali akan naik ke tingkat tertinggi air terjun lalu memakan masa. Ini bermakna besar kemungkinan saya ke air terjun bukan pada hari sama mendaki ke puncak.



Berdasarkan maklumat-maklumat tersebut perjalanan saya di sekitar Muar sehingga kembali ke Kuala Lumpur boleh dilakarkan secara ringkas seperti di atas. Jalan Abdul Rahman dalam peta merujuk pada kedudukan rumah lama sedangkan Bangsar adalah tempat menetap ketika itu di KL. Namun ini belum dicampur jarak pusing merata di sekitar bandar Muar mahupun tempat-tempat seperti Melaka, Seremban dan Kajang. Bila dicampur jaraknya harus melebihi 550 km.

Walaupun ada kemungkinan saya bermalam di rumah milik keluarga di Kajang sebelum ke KL, walaupun dalam artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Ingat tak ingat dari Kuala Terengganu ke Kuantan 12 hari lalu ada disebut tentang ketidakpastian beberapa hari menginap di suatu tempat lalu mungkin harus dinilai kembali beberapa tarikh sampai pada penghujung siri saya fikir ia tidak berapa penting lagi. Yang penting segala laluan yang dilakarkan berdasarkan apa yang dapat dikorek daripada ingatan boleh dipakai berserta anggaran jarak di luar lakaran dan saya harus kembali ke KL sebelum 4 Februari 1998 yang harus bersamaan 7 haribulan Syawal tahun 1418 Hijriah. Oleh itu jarak lebih 550 km di atas boleh dicampur dengan jarak keseluruhan perjalanan sebelum berehat di Muar iaitu sekitar 3,290 km. Dengan itu tidak keterlaluan untuk mengisytiharkan bahawa perjalanan pertama pusing Semenanjung bermotosikal besar secara solo 23 tahun lalu itu menghampiri kalau tidak mencapai pun jarak keseluruhan yang boleh dibulatkan sebagai 3,850 km. Malah kalau dikorek lagi butiran tak mustahil boleh mencapai 4,000 km namun cukuplah itu.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan