Isnin, Mei 17, 2021

Analisis corak dan tren perjalanan - Zaman wartawan di New Straits Times 1996 - 2001

Salam Isnin malam Selasa 6 Syawal. Bersambung daripada artikel Analisis corak dan tren perjalanan - Dari zaman kolej 1989 sehingga penghujung zaman universiti di UK 1995


Gambar daripada artikel Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot hampir 8 tahun lalu ini ada menunjukkan cop dengan tarikh 2 Oktober 1995. Ia menunjukkan tarikh saya sampai kembali ke Malaysia setelah menamatkan pengajian di London lalu masuk melalui Lapangan Terbang Subang. Ketika itu KLIA atau Lapangan Terbang Antarbangsa Kuala Lumpur belum lagi wujud, rasanya masih dalam pembuatan. Teringat perasan ketika sampai kembali itu. Satu, terasa sangat ketinggalannya lapangan terbang utama negara ketika itu berbanding apa yang di London dan lain-lain negara Eropah. Kedua, panasnya wooo. Maklumlah dah 4 tahun duduk negara sejuk...

Rasa ketinggalannya Subang sehingga Malaysia nampak sangat bersifat Negara Dunia Ketiga cuma berubah apabila menghampiri ibu kota lalu kelihatan Menara Berkembar KLCC sedang dibina juga Menara Telekom di Bukit Nenas. Kemudian apabila KLIA hampir siap tahun 1998 saya berkesempatan melihatnya luar dan dalam. Memang canggih. Terasa seperti Malaysia sudah bersedia untuk masuk ke dalam senarai negara maju. Kembali pada tarikh 2 Oktober 1995 yang disemak tadi jatuh pada hari Isnin bersamaan 7 Jamadil awal 1416 Hijriah. Saya tidak memberitahu pada mana-mana ahli keluarga pun akan kembali ke Malaysia. Dari Subang cuma mengambil bas panjang warna biru SJ ke hapa namanya ke pusat kota. Kemudian ambil bas lain untuk ke rumah bapa saudara di Bukit Damansara.

Teringat hari-hari awal setelah kembali ke Malaysia cuma berehat di rumah bapa saudara kemudian ada keluar tengok wayang dengan seorang pramugari yang dikenali di atas kapal terbang. Setelah beberapa lama baru kembali ke kampung di Muar. Kemudian pergi KL lagi lalu buat suatu tempoh selalu keluar dengan teman wanita lama juga seorang teman wanita lain yang dikenali ketika di London.

Saya sebut ini sebagai 'jambatan' sebelum menjadi wartawan. Sebetulnya hampir setahun juga saya hidup 'melilau', cuma pernah bekerja sementara di sebuah syarikat berkaitan saham. Bila masuk ke NST September 1996 barulah lebih teratur dan stabil.


Gambar daripada artikel Mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung - Meredah hujan lebat ke Cameron Highlands hampir setengah tahun lalu ini menunjukkan saya secara rasminya mula bertugas di NST pada 16 September 1996. Sebelum meneruskan dengan perjalanan-perjalanan yang dibuat setelah bergelar wartawan ingin dibuat kira-kira anggaran perjalanan antara tarikh tersebut dengan kembali ke Malaysia 2 Oktober 1995.

Antara yang ingat adalah kembali ke rumah bapa saudara dari Subang. Itu memakan jarak 28 km. Kemudian pergi balik ke pusat KL entah berapa kali untuk berjalan-jalan. Saya ambil jarak pergi balik Bukit Damansara ke Pasar Seni sebagai rujukan. Itu sudah 14 km. Sekali keluar berjalan merata saya pergi. Boleh kata mencapai jumlah 20 km.

Dalam tempoh setahun itu harus tidak kurang 30 kali pergi balik. Jadilah jumlah 600 km. Itu masih konservatif sebab sebenarnya saya turut berjalan banyak kali merata dengan teman wanita lama juga teman wanita lain yang dikenali di London. Untuk ke tempat kerja sementara pula saya boleh berjalan kaki 2 km pergi 2 km pergi dari rumah saudara. 4 km x 5 hari bekerja seminggu x dalam 12 minggu bekerja, dapatlah 240 km.

Dalam tempoh waktu itu saya sekurang-kurangnya 3 kali pergi balik kampung. Itu menjadikan jarak 185 km x 2 x 3 = 1,110 km. Campur dengan 600 km dan 240 km tadi dah jadi 1,950 km. Ini boleh dibulatkan menjadi 2,000 km. Itupun masih conservative estimate dan understatement. Kerana saya pasti telah berjalan lebih jauh daripada itu.

Sekarang baru pegi pada perjalanan-perjalanan ketika zaman menjadi wartawan 1996-2001 seperti yang ada dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 lalu kita cuba fill in the gaps, mengisi kelompongan. Biar dikekalkan dahulu numbering atau pernomboran seperti terdapat dalam artikel tersebut...


7. Naik Gunung Kinabalu Jun 1997 -  237 km. Lihat Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997.

8. 4 x 4 Challenge Sept 1997 -  lebih 750 km. Lihat Kenangan 4x4 tahun 1997.

9. Bermotosikal besar solo keliling Semenanjung Dis 1997 – Jan 1998 sekitar 3,850 km.  Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung.

10. Mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000 - sekitar  950 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan perjalanan bermotosikal besar mengikut aliran Sungai Perak tahun 2000.

11. Jelajah Mesra PDRM sekitar tahun 2000 - dalam 2,155 km. Lihat Jelajah Mesra PDRM sekitar tahun 2000.

12. Liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000 - lebih 2,250 km. Lihat Kompilasi cerita kenangan liputan sukan berkuda di Perancis tahun 2000.

13. Meliputi acara X Games di Phuket tahun 2000 - lebih 300 km. Meliputi Asian X-Games di Phuket tahun 2000.

14. Kali pertama ziarah makam tahun 2001 - sekitar 780 km. Lihat Kompilasi cerita kali pertama ke makam-makam lama tahun 2001.


Merujuk pada perjalanan yang ditanda sebagai nombor 7 tetapi pertama dalam tempoh masa ini. Ada disebut dalam artikel Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997 - Pendakian berprofail tinggi pun bermula... saya sampai ke puncak Gunung Kinabalu pada hari Rabu 25 Jun 1997. Sedangkan saya sampai ke Kota Kinabalu beberapa hari awal lebih itu. Bagaimana pula tentang hari-hari sebelum itu. Bagaimana selepasnya?

Sudah disebut saya secara rasmi bertugas sebagai wartawan pada 16 September 1997. Sejak hari itu harus berulang-alik 6 kali seminggu ke tempat kerja di Jalan Riong, Bangsar. Dan tiap-tiap hari juga dihantar untuk mencari berita atau meliputi acara, kadangkala sehingga 3 acara berlainan di 3 tempat yang mencapah jauh letaknya.

Seingat saya sebelum berpindah ke rumah sewa dekat Bangsar iaitu selepas pertengahan 1997 saya menetap dengan bapa di Sungai Jelok, Kajang. Bapa semasa itu masih bertugas di Pusat Bandar Damansara. Saya menumpang kereta sehingga sampai ke satu kawasan berdekatan kemudian naik bas atau berjalan kaki ke tempat kerja. Bila balik, kalau sempat kami bertemu di satu tempat kemudian balik dengan satu kereta. Kalau tak sempat saya ambil bas ke stesyen Pudu kemudian bas ke Kajang sebelum menyambung ke Sungai Jelok atau berjalan kaki sahaja.

Perkara ini dilakukan beberapa lama sehinggalah memiliki motosikal besar kesayangan pertengahan Jun 1997. Sebulan dua kemudian,  sekitar bulan Ogos rasanya baru berpindah ke rumah sewa. Dengan itu boleh dibuat anggaran kira-kira sebegini. Antara 16 September ke bulan Ogos itu ada dalam 48 minggu. Setiap minggu 6  kali pergi balik Kajang-Bangsar (30 km pergi 30 km balik) jadi 360 km seminggu. Darab dengan 48 minggu jadi 17,280 km. Itu baru pergi balik ke tempat kerja belum campur jarak keluar mencari berita. 

Paling kurang pergi balik 10 km ke pusat bandar KL. Darab 6 kemudian 48 jadi 2,880 km. Campur dengan 17,280 km jadi jumlah 20,160 km. Masih conservative estimate lagi. Maka tak salah untuk bulatkan ke atas jadi 21,000 km. Bila sudah berpindah ke Bangsar jarak pergi balik ke tempat kerja mengurang jadi 4 km sahaja. Tapi tetap perlu didarab 6 bagi seminggu... 

Hmm. OK. Sekarang nampaknya berlaku satu pembetulan terhadap ingatan. Ada suatu waktu dalam tempoh 2 tahun juga saya selalu menginap di atas pangkin bawah kawasan berbumbung di lapangan tingkat 6 enam bangunan pejabat. Pagi bangun mandi untuk bersiap ke tempat kerja malam naik atas bumbung balik untuk berehat. Selepas beberapa hari baru kembali ke rumah bapa di Sungai Jelok. Ini harus berlaku sebelum berpindah ke Bangsar. Dengan ini tiga perjalanan pertama seperti diletakkan dalam senarai atas dirujuk menggunakan pernomboran baru...


1. Naik Gunung Kinabalu Jun 1997 -  237 km. Lihat Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997.

2. 4 x 4 Challenge Sept 1997 -  lebih 750 km. Lihat Kenangan 4x4 tahun 1997.

3. Bermotosikal besar solo keliling Semenanjung Dis 1997 – Jan 1998 sekitar 3,850 km.  Lihat Kompilasi artikel mengingat kembali perjalanan pertama bermotosikal besar solo keliling Semenanjung.


Ah. OK. Baru ingat. Dalam tempoh waktu berkenaan saya masih berulang-alik dari Sungai Jelok, Kajang ke pejabat di Jalan Riong. Jadi bukanlah Ogos 1997 berpindah rumah. Saya mula selalu menginap atas pangkin di tingkat 6 pejabat selepas beberapa lama ditukarkan dari meja berita utama ke meja supplements (tak pasti apa terjemahan dalam bahasa Melayu). 

Di meja tersebut jarang perlu mencari berita di luar. Saya cuma perlu menggunakan bahan-bahan yang dihantar oleh pihak-pihak berkenaan untuk dijadikan rencana. Ia sebenarnya iklan yang dikarang dalam bentuk rencana lalu kerja rata-rata dibuat dalam pejabat. Jadual bekerja tidak begitu ketat. Yang penting suatu kerja itu siap sebelum deadline atau waktu yang ditetapkan.

Pada ketika inilah saya mula merasa tak perlulah bersusah payah balik ke Kajang 30 km kemudian esok menunggang lagi motosikal 30 km ke pejabat. Saya mula selesa tidur di pangkin atas bangunan pejabat. Tadi saya menelefon seorang kawan lama yang pernah duduk menyewa satu rumah. Bila digali kembali ingatan ternyata kami sama-sama mula menyewa itu dalam tahun 1999. Cuma tak ingat bulan berapa. Anggarkan sahajalah sekitar bulan Mac.

Hmm. Saya ditukarkan ke meja supplement itu rasanya beberapa bulan selepas membuat perjalanan pusing Semenanjung dengan motosikal kesayangan. Katakanlah bermula Mac 1998. Ketika itu juga mula rajin menginap di pangkin. Masuk Mac 1999 baru berpindah ke Bangsar. 

Baru setahun kalau gitu tidur atas pangkin tak sampai dua tahun pun seperti yang berbekas dalam ingatan. Atau boleh jadi begini. Selepas berpindah ke Bangsar pun kadangkala tidur atas pangkin. Ya. Ini masuk akal. Sebab kadangkala 'angin' datang, malas balik rumah walaupun dekat. Dan kadangkala memang sengaja tidur lasak, satu untuk kekuatan kerohanian diri sendiri supaya sentiasa ingat kesediaan untuk berkorban meninggalkan kesenangan jika diperlukan dalam perjuangan, Ini adalah satu set fikiran atau mindset yang sudah dibina sejak merasa 3 bulan jadi homeless atau gelandangan di tengah kota London.

Ya. Saya terlupa untuk menyatakan fakta ini dalam  Analisis corak dan tren perjalanan - Dari zaman kolej 1989 sehingga penghujung zaman universiti di UK 1995. Sebelum membuat pengembaraan pusing Eropah iaitu bermula pertengahan Julai saya menginap di tepi jalan merata di pusat kota London selama 3 bulan. Itu dilakukan juga di Eropah selama lebih sebulan perjalanan. Sesekali saya akan berbuat hal hampir serupa supaya ingat kesediaan itu. Itu yang sekarang pun, pada umur dah masuk 50an pun saya masih berusaha untuk keluar berjalan agak lasak mengembara seorang diri menginap dari masjid ke masjid sekurang-kurangnya pada penghujung bulan Ramadhan.

Kembali pada hal di NST. Harus bermula Mac tahun 1998 baru menginap di pangkin lalu jarang kembali ke Kajang. Sebelum itu tiap 6 hari seminggu berulang-alik. Maka boleh dibuat kira-kira begini - Dari 16 September 1996 ke Mac tahun 1998 itu ada 78 minggu. Perjalanan ulang alik Kajang-pejabat 60 km campur terus le dengan minimum 10 km pergi balik mencari berita. Jadi 70 km darab 6 jadi 420 km seminggu. Darab 78 minggu jadi 32,760 km

Itu jarak minimum perjalanan hingga Mac 1998. Tidak dicampur perjalanan-perjalanan yang disenaraikan dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021

Setahun seterusnya saya banyak tidur di pangkin tingkat 6. Seminggu sekali baru kembali ke Kajang untuk membasuh pakaian. Tiga bulan pertama bersama meja supplements jarang sangat harus mencari berita di luar pejabat. Untuk 3 bulan itu perjalanan cuma 60 km pergi balik rumah bapa darab 13 minggu (dalam 3 bulan) jadi 780 km. Tu pun masih konservatif sangat kerana saya selalu berjalan untuk keluar makan. Jadi biar bulatkan jadi 800 km

Sembilan bulan seterusnya masih lagi seminggu sekali sahaja kembali ke Kajang tetapi tiap-tiap hari, 6 kali seminggu mesti keluar sekurang-kurang 10 km untuk mencari berita. Maka kira-kiranya jadi begini. Sembilan bulan tu ada 39 minggu. Darab dengan 60 km jadi 2,340 km. Ambil kira pula 6 kali seminggu mesti keluar 10 km jadi 60 km lagi seminggu darab 39 jadi 2,340 km juga. Jumlahkan jadi 4,680 km.

Awal tahun 1999 selewatnya bulan Mac saya ditukarkan ke meja sukan. Ada satu masa tu hampir tiap-tiap hari dihantar 60 km ke Litar Lumba Antarabangsa Sepang (SIC) untuk meliputi acara-acara sukan bermotor. Sambil itu harus juga meliputi sukan-sukan lain termasuk hoki sehingga ke Stadium Pandamaran di Klang  40 km dari pejabat. Kalau ke Kompleks Sukan Bukit Jalil 15 km tu sudah selalu sangat.

Anggaplah bermula Mac 1999 saya bertugas di meja sukan sehingga dikeluarkan dari NST Nov 2001. Sehingga Mac 2000 kalau tak salah saya menetap di rumah sewa di Bangsar lalu berulang alik 4 km 6 kali seminggu ke pejabat. Kalau sampai Mac dah jadi 4 x 6 x 52 = 1,248 km. Selepas itu baru berpindah ke bersama isteri lama yang dinikahi 11 Disember 1999 ke sekitar Segambut yang perjalanan pergi baliknya adalah 23 km. 

Sekarang kira, 23 x 6 x 85 (jumlah minggu dari Mac 2000 hingga Nov 2001) jadi 11,730 km. Belum dicampur jarak pergi balik ke tempat-tempat sukan.

Biar diringkaskan begini. Saya rasa ada sekurang-kurangnya 30 kali berulang alik ke Sepang. 60 km x 2 x 30 = 3,600 km.

Ke Pandamaran dan tempat-tempat lebih kurang sama jarak ada 20 kali. 40 x 2 x 20 = 1,600 km.

Ke Bukit Jalil dan tempat-tempat sama jarak tak kurang 50 kali. 15 x 2 x 50 = 1,500 km.

Campurkan ini semua (Mac 1999 hingga Nov 2001) : 1,248 + 11,730 + 3,600 + 1,600 + 1,500 jadi 19,678 km. 

Campurkan pula dengan kira-kira perjalanan sebelum ini -

2000 km selepas balik Malaysia Oktober 1995 dan sebelum masuk NST September 1996

32,760 km dari 16 September 1996 ke Mac 1998 

800 km ketika 3 bulan di meja supplements.

 4,680 km seterusnya hingga Mac 1999

19,678  km + 2,000 km + 32,760 km + 800 km + 4,680 km =  59,918 km. 


Tiap-tiap tahun selama 5 tahun lebih itu saya mesti balik kampung ke Muar sekurang-kurangnya sekali setahun. Jarak pergi balik 370 km x  5 = 1,850 km.

Campur dengan jarak atas tadi jadi 61,768 km. Dalam tempoh waktu ini juga saya ada berjalan ke banyak tempat termasuk membawa isteri lama ke Bukit Fraser dan Pulau Pangkor, biar dibulatkan ke bawah menjadi 62,000 km SAHAJA. Cukuplah untuk menunjukkan selain yang masuk dalam Senarai 171 perjalanan menurut kronologi dari tahun 1989 hingga 2021 (jumlahnya untuk tempoh berkenaan adalah 11,272 km) saya ada berjalan lagi 6 kali ganda lebih jauh sebenarnya.

Sebetulnya saya belum membuat analisis corak dan tren, masih bermain dengan jarak. Tetapi menulis ini semua pun ternyata amat memenatkan. Cukuplah buat masa sekarang. Biarlah analisis diganti pula dengan penerangan turun naik kerjaya sebagai wartawan seperti telah dinyatakan dalam artikel Hari-hari terakhir sebagai wartawan - Cabaran seorang idealis mahu mengangkat ketamadunan tinggi di Malaysia lebih sebulan lalu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan