Rabu, Januari 30, 2013

HIKMAH III, PESAWAD, Laksamana Muhammad Amin dan Keramat Kuala Bidor

Assalamualaikum. Selepas membuat artikel HIKMAH III - Bersedia untuk memacu kebangkitan ummah yang merupakan perkongsian daripada blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) 3 hari lalu baru tadi siang tadi saya betul-betul dapat menceritakan apa yang berlaku semasa acara di blogspot itu. Lihat artikel-artikel ini :-






Sekarang mahu diceritakan satu hal tertentu yang turut  berlaku...




Ketika sibuk mewar-warkan HIKMAH III lebih dua minggu lalu saya ada menyebut pihak kami sedang cuba mendapatkan kapal perang Tentera Laut Diraja Malaysia, KD Laksamana Muhammad Amin untuk memeriahkan acara. Untuk menyokong permohonan saya meminta pihak penganjur  di Perak menyebut bahawa presiden dan pengasas HIKMAH iaitu saya adalah keturunan Laksamana tersebut. Nama penuh saya pun dinyatakan sebagai Mohd. Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee bin Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin. Turut dinyatakan bagaimana moyang saya ini pernah dibuang negeri ke Pulau Seychelles di perairan benua Afrika tahun 1877 kerana dikatakan terlibat dengan pembunuhan residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch 1875.

Muhammad Amin yang kemudian dipindahkan ke bawah pemerhatian British di Singapura meninggal dunia di sana. Pada 9 September 2006 baru jenazah beliau dapat dibawa kembali ke Perak, menaiki KD Laksamana Muhammad Amin ke Lumut, tempat HIKMAH III diadakan Ahad lalu, kemudian dibawa ke kawasan pemakaman diraja di Bukit Chandan, Kuala Kangsar untuk dimakamkan kembali di sana. Perkara ini ada dikongsikan secara terbuka di Facebook lalu mendapat perhatian seorang hamba Allah. Beliau menyatakan bahawa ada cerita yang tidak diketahui ramai. Di kala umum diberitahu proses pengembalian laksamana diuruskan oleh kerajaan negeri Perak, dia mendakwa ini tidak akan berlaku jika kedudukan makam di Singapura tidak dapat dikesan oleh beberapa orang individu yang merupakan ahli PESAWAD, Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyong, Melaka. Saya pun menyuruh beliau menyampaikan salam kepada pihak PESAWAD. Tidak lama kemudian saya dihubungi mereka yang menyatakan sangat berminat untuk menghadiri HIKMAH III.



Mereka meminta saya membuat surat jemputan rasmi agar dapat menggunakan kemudahan kerajaan negeri Melaka untuk ke Lumut. Tidak lama kemudian saya diberitahu mereka telah mendapat kelulusan Ketua Menteri untuk menggunakan bas kerajaan. Sayangnya ini ditarik-balik beberapa hari kemudian atas sebab tertentu. Namun mereka tetap muncul, kalau tak salah lebih 10 orang, 3 daripadanya adalah ahli yang menetap di Singapura.



Ketika rehat makan tengah hari dan waktu Zuhur baru kami berpeluang untuk bertemu lama dan bercerita panjang. Ketika itulah mereka memberitahu bagaimana pihak mereka telah berusaha  bersungguh-sungguh mengesan makam tetapi akhirnya dipinggirkan oleh kerajaan negeri Perak. Menurut mereka, hasil penat lelah mereka dilupakan setelah urusan memindahkan jenazah sampai ke peringkat tinggi. Seorang ahli dari Singapura yang memperkenalkan diri sebagai Ustaz Razali menunjukkan gambar-gambar makam asal di sana.



Petang itu, setelah pihak PESAWAD meninggalkan majlis untuk mengejar urusan lain, seorang sahabat yang dikira adik kepada saya dan isteri, saudara Zahamri Nizar menghadiahkan senaskah buku bertajuk "Travelog Seychelles" tulisan Talib Samat. Kata Zam, buku terbitan tahun 2012 yang dicetak kali kedua tahun 2013 itu mengandungi cerita tentang moyang saya, Laksamana Muhammad Amin. Malamnya saya pun mencari muka surat berkaitan. Ternyata ada satu bab khas tentang Laksamana. Sila buka gambar-gambar dalam windows baru untuk bacaan lebih jelas dan terang.




Pada perenggan atas muka surat 54 didapati ada kenyataan yang menyokong dakwaan yang dibuat Ustaz Razali dan PESAWAD pada tengah hari itu.  Lihat potongan gambar di atas. Nama Ustaz Razali tertera bersama dua orang lagi warga Singapura yang terlibat dalam pencarian, dua orang yang turut datang ke HIKMAH III untuk berjumpa saya. Walaupun nama PESAWAD tidak disebut dalam buku, perkataan bahawa "kawan-kawannya di Melaka" menolong sama harus merujuk kepada PESAWAD.

Semalam saya pun menghubungi pengerusi PESAWAD, Tuan Khalid Hussin untuk memberitahu tentang buku. Menyedari bahawa peranan mereka membawa kembali jenazah moyang saya telah dilupakan sejak sekian lama saya berjanji akan mengenengahkannya di blogspot saya dalam masa terdekat.




Adapun kenyataan dalam buku ini bukan dibuat sembarangan orang tetapi oleh Orang Besar Jajahan Manjung, Toh Muda Laksamana Raja Mahkota Mohd. Khairi Ahmad Tazalli. Menurut salasilah keluarga laksamana beliau yang sudah kembali ke rahmatullah beberapa tahun lalu adalah saudara dua pupu ayah saya. Ini menunjukkan walaupun peranan PESAWAD serta ahli mereka dari Singapura dilupakan oleh kerajaan negeri, keluarga saya sendiri tidak melupakannya...




Pada perenggan atas muka surat 56, ada disebut bagaimana tiga orang dari Singapura itu dibawa bertemu Raja Muda Perak untuk mendapatkan perkenan istana dalam usaha untuk mengembalikan jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Perak. Maka tidak dapat dinafikan apa yang mereka ceritakan kepada saya di Lumut adalah benar...




Alang-alang sudah berkongsi cerita tentang Laksamana biar ditunjukkan sampai selesai satu bab.












Walaupun peranan sebenar Laksamana Muhammad Amin dalam menentang penjajahan British di Perak sangatlah besar, cerita tentang beliau jarang disebut panjang lebar dalam apa-apa penulisan yang pernah dilihat sebelum ini... kecuali mungkin penulisan saya sendiri. Maka alangkah bangganya apabila mendapati satu lagi bab ditulis tentang beliau, kali ini mengaitkan dengan seorang leluhur utama kami yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.




Alangkah senangnya hati apabila mendapati cerita tentang watak keramat ini rupa-rupanya pernah dilakonkan semula dalam siaran "Jelajah Lagenda" di TV1. Ia muncul di kaca televisyen pertengahan tahun 2011. Tetapi saya tidak menyedarinya.




Melalui perenggan awal di muka surat 270 didapati buku penulisan saya merupakan salah satu rujukan.




Saya tahu kisah Keramat Kuala Bidor yang merupakan satu watak besar di Perak kurang diketahui generasi sekarang. Alangkah gembiranya apabila mendapati penulis buku ini, Talib Samat sangat berminat untuk menggali cerita tentangnya.




Walaupun kemudian Talib menyebut cerita tentang Keramat Kuala Bidor beliau dapati dari seorang pembentang kertas kerja, pembacaan lebih teliti menunjukkan cerita tersebut ditiru hampir 100 peratus daripada buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti".












Seperti bab khas tentang Laksamana Muhammad Amin biar bab ini turut disajikan sehingga selesai. Sekarang bandingkan tulisan dalam buku "Travelog Seychelles" itu dengan bahagian berkaitan pada buku saya. Lihatlah dengan teliti nescaya anda akan mendapati memang ia ditiru hampir bulat-bulat daripada buku saya. Tetapi saya tiada masalah tentang ini. Pada saya melihat cerita tentang para leluhur menarik minat orang ramai adalah perkara yang cukup menggembirakan. Saya tidak peduli sangat tentang hak cipta.



















Untuk lain-lain cerita tentang Laksamana Muhammad Amin rujuk artikel-artikel berikut : -

5 ulasan:

  1. Gen X Tok Kadok ...As Salam...
    Mohon maaf banyak2 Cuba Lihat semula..
    Mohd. Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee bin Muhammad Arshad bin Muhammad Wahi bin Muhammad Arshad bin Laksamana Muhammad Amin...

    Nama Datok dan Moyang sama ker Chor... ato memang di ulang

    BalasPadam
    Balasan
    1. Nama moyang kami di ulang2 tak silap saya sepupu saya arshad yg ketujuh dan besmbung ayah wahi bin mohd arshad dan seterusnya

      Padam
  2. Memang diulang2. Sultan Perak pun ada macam tu. Sultan ke 33 (sebelum Sultan Azlan) adalah Sultan Idris (II) ibni Sultan Alang Iskandar ibni Sultan Idris (I)ibni Raja Bendahara Alang Iskandar.

    BalasPadam
  3. http://untoldhistoriesofmalaya.blogspot.com/2012/02/untold-history-meriam-siape-wei-di.html

    cuba baca, mungkin membantu.

    -esis

    BalasPadam
  4. http://hmm-asal.blogspot.com/2013/01/meneliti-undang-undang-kedah-dan_1498.html

    maaf, artikel blog yang ini. bukan yang di atas.

    -esis

    BalasPadam