Jumaat, Mac 05, 2010

Jalan-jalan anak-beranak : Kuala Linggi waktu Maghrib dan Melaka waktu malam


Dari Tanjung Tuan kami mengambil jalan menyeberangi Sungai Linggi lalu singgah di Kuala Linggi...




Di kampung kecil yang terletak di sempadan utara negeri Melaka ini terdapat sebuah restoran terapung dengan suasana sekeliling yang amat menarik...







Satu gambar Al-Rasyid yang ketika itu berumur hampir 2 bulan...


Haziq dan Erin juga tidak ketinggalan bergambar. Untuk banyak lagi gambar menarik, lihat artikel The floating restaurant at Kuala Linggi di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .










Restoran terapung ini sudah cukup dekat dengan Bukit Supai yang memiliki sejarahnya yang tersendiri...




Jadi apalagi? Saya pun naik sebentar ke atas walaupun ketika itu sudah masuk waktu Maghrib...



Ziarah sebentar ke makam lama di satu sudut sebelum melihat bekas kota di atas. Lihat Bukit (Hill of) Supai at dusk...








Lewat malam kami pergi ke jeti Bandar Hilir Melaka dengan niat untuk menaiki bot malam menyusuri Sungai Melaka. Sayangnya kami sampai selepas jam 11 malam, sudah tamat perkhidmatan terakhir bot.

Oh... sebelum itu kami singgah di rumah abang ipar saya di Pantai Puteri untuk berehat dan mandi-manda. Tak sangka pula kami boleh terjumpa dia lagi di tempat minum berdekatan jeti lalu sementara isteri saya duduk di sana, saya pula berjalan-jalan seorang diri untuk melihat sistem kawalan air yang memungkinkan perkhidmatan bot Sungai Melaka terus berjalan tak kira waktu air surut atau pasang. Lihat artikel The watergate sytem of the river Melaka




Puas berehat dan berjalan-jalan di jeti kami membawa anak-anak berjalan ke Kampung Morten melihat pemandangan malamnya yang seolah-olah seperti berada di kampung bunian. Lihat artikel Kampung Morten at night . Selesai itu baru kami kembali ke rumah abang ipar untuk bermalam. Siang nanti ada banyak lagi tempat yang ingin kami lihat. Cukup buat masa ini...


Jejak Al-Rasyid di Aceh!

Assalamualaikum semua. Sempena hari Jumaat yang mulia ini timbul satu gerak kecil bercerita. Oleh kerana siri kecil "Jalan-jalan anak-beranak" memerlukan sekurang-kurangnya 3 lagi cerita sebelum tamat sedangkan cerita-cerita Aceh yang akan menyusul kemudian mungkin jadi panjang dan memakan masa, saya rasa elok dilepaskan dahulu gambar-gambar di bawah untuk tatapan semua.

Kalau mengikut giliran, gambar-gambar ini cuma akan ditayangkan paling awal pun 2 minggu selepas ini, ada yang mungkin cuma dapat dilihat pembaca bulan April. Gerak rasa pagi Jumaat pula membuatkan saya ingin meletakkan beberapa gambar di Facebook. Alang-alang begitu biar disiarkan terus gambar-gambar senada dan turut dikongsikan di sini juga. Cuma di sini penerangannya boleh diberi lebih panjang kerana ada lebih ramai pembaca yang sudah faham kecenderungan saya untuk menziarahi makam-makam. Ini dia...


OK. Rujuk pada artikel pengenalan Akan datang: Petualangan Al-Rasyid ke Aceh! yang dibuat Februari 4, selepas selesai perjalanan ke Aceh 27 Jan-1 Feb. Semasa itu tak terlintas pun di fikiran yang kami akan ke Aceh lagi penghujung bulan Februari. Apapun, gambar pada artikel itu diambil di hadapan makam pengasas kerajaan Samudera-Pasai, Sultan Malikus Salih yang dikatakan mangkat tahun 1297 Masihi. Sejurus kemudian iaitu pada pagi Jumaat 29 Feb, saya dan isteri membawa anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid untuk menjejakkan kakinya di atas tanah kawasan makam. Untuk makluman, itulah kali pertama Al-Rasyid menjejakkan kakinya di atas tanah. Ketika itu dia baru berumur 3 bulan setengah.


Adapun makam Sultan Malikus Salih itu terletak di Geudong, kira-kira 300 km di tenggara Banda Aceh. Sekembalinya kami ke Banda Aceh, tergerak pula untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di sekitar makam seorang lagi moyangnya, Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat yang memerintah Aceh 1727-1735 Masihi.



Oh. Baru teringat. Dari Geudong hari Jumaat kami naik ke kawasan pergunungan Takengon di tengah Aceh lalu bermalam di sana. Siang Sabtu baru kembali ke Banda Aceh dan sampai lewat. Maka Al-Rasyid menjejakkan kaki di makam Sultan Ahmad itu pada hari Ahad 31 Januari, hari kami dijadualkan kembali ke Malaysia tengahari. Sempat juga menjejakkan kaki di perkarangan Masjid Baitur Rahman yang termasyhur itu...


Dengan takdir Allah, kami tertinggal kapalterbang lalu harus mengambil pesawat hari Isnin iaitu keesokannya 1 Februari. Ini memberi peluang untuk kami berjalan-jalan lagi. Lalu dari lapangan terbang kami terus pergi ke Teluk Lamreh atau Lamuri, 40 km ke timur Banda Aceh. Di situ berhampiran makam Laksamana Raja Keumalahayati ada lereng bukit yang terasa seperti serambi istana lama. Di situlah Al-Rasyid menjejakkan kaki seterusnya, menghadap teluk yang pernah menjadi pelabuhan besar sejak lebih 1,000 tahun lalu!



Tak sampai sebulan kemudian kami ke Aceh lagi. Apabila melihat gambar-gambar lawatan terbaru ini saya terfikir... hmm... terlupa pula untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di sekitar makam Syiah Kuala @ Sheikh Abdul Rauf Singkil. Tengok-tengok ada pula gambar ini yang diambil hari Khamis 25 Februari. Kiranya Rasyid telah menjejakkan kaki juga di makam ini walaupun kakinya ditutup dan di atas tikar yang diletakkan di atas kawasan bersimen sebelah makam...




Pada hari yang sama kami ke makam Sultan Ahmad Shah Johan Berdaulat lagi. Adapun dalam lawatan lalu saya terlupa... Al-Rasyid menjejakkan kaki di bahagian kaki makam, bukannya di kepala. Kali ini baru kami meletakkan anak kami itu di bahagian kepala. Tanpa disuruh Al-Rasyid sendiri memegang erat batu nesan bahagian kepala yang sudah patah dan hilang!





Kami pergi ke Aceh kali ini atas jemputan untuk menghadiri majlis pembukaan sebuah masjid juga sambutan Maulud Nabi di Perlak, 400 km di tenggara Banda Aceh. Hari itu, Jumaat 26 Februari adalah bersamaan 12 Rabiulawal, hari Maulud Nabi. Selesai majlis, kami mengambil kesempatan untuk menziarahi makam Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah yang terletak sekitar 10 km dari masjid. Untuk pengetahuan inilah raja pertama dari keturunan Nabi Muhammad SAW yang memerintah sebuah kerajaan Islam di Nusantara, bermula 1 Muharram tahun 225 Hijrah bersamaan 840 Masihi, 1200 tahun lalu! Kalau tak salah ingatan, saya pernah terbaca catatan menyebut kerajaan Islam Perlak secara rasminya diperintah Sultan ini bermula hari Jumaat. Saya pula tidak melepaskan peluang untuk menjejakkan kaki Al-Rasyid di tanah sekitar makam. Dah... mari bersiap untuk solat Jumaat... :]



Rabu, Mac 03, 2010

Alang-alang nak mengutuk orang...

Hmm. Ini ada satu lagi luahan tetapi ke arah yang berlainan...


Amacam? OK tak gambar yang saya photoshopkan?

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini cerita-cerita tahyul yang banyak mengenengahkan segala macam hantu dan jin giat menarik perhatian penonton di kaca televisyen juga di pawagam. Sekarang, muncul pula satu trend baru menimbulkan kelucuan melalui kekurangan semulajadi manusia seperti yang diketengahkan dalam siri cerita "Halimah Jongang". Tidak cukup itu timbul pula cerita baru bertajuk "Fatimah Juling". Diakui memang ada kecenderungan semulajadi kita sebagai manusia biasa untuk merasa lucu dengan keadaan-keadaan kekurangan Bani Adam ini. Namun yang menjadi persoalan bagi saya, kenapa nama-nama terhormat Melayu dan Islam seperti Halimah dan Fatimah pula dijadikan bahan ketawa?

Saya tidak tahu siapakah yang ada memakai nama Halimah pada zaman Nabi Muhammad SAW dan sekitarnya tetapi saya pasti ia pernah menjadi milik wanita-wanita terhormat. Nama Fatimah pula seperti kita tahu adalah nama puteri Rasulullah SAW yang paling disayangi baginda. Isteri kepada Saidina Ali Karamallahuwajha ini juga merupakan ibu kepada cucu-cucu Nabi iaitu Saidina Hassan dan Saidina Hussein. Oleh kerana keturunan Nabi Muhammad SAW atau Ahlul Bait dari dahulu hingga sekarang semuanya berasal daripada cucu-cucu ini maka boleh dikatakan Saiditina Fatimah adalah ibu kepada Ahlul Bait di mana-mana!

Saya tak tahu apakah motif sebenar menerbitkan cerita lucu memakai nama Halimah kemudian Fatimah ini. Yang saya pasti ia bakal malah telah menjadikan nama-nama ini bahan ketawa juga ejekan serta percubaan murah untuk menarik perhatian ramai. Sekarang apa kata kita ubah sedikit konsep ini? Oleh kerana tidak dapat dielakkan, untuk menarik perhatian ramai melalui kelucuan maka sesetengah pihak terus mahu menerbitkan cerita dengan menonjolkan kekurangan atau kecacatan yang boleh menimbulkan gelak-ketawa, saya sarankan kita ubah nama watak-watak yang ingin ditonjolkan.

Jangan lagi gunakan nama-nama elok yang sebenarnya melambangkan jiwa lembut terhormat orang Melayu dan Islam. Sebaliknya apa kata kita gunakan pula nama-nama 'perasan' yang selalu digunakan agar seseorang itu kelihatan lebih moden dan canggih kononnya walhal ia cuma meniru-meniru nama keBaratan?

Biar saya letakkan beberapa cadangan. Mungkin pihak penerbit cerita boleh mempertimbangkan... siapa tahu dengan cara ini akan mendapat lebih perhatian di televisyen dan pawagam, mungkin juga menang beberapa award di persada antarabangsa pula?

1. Stephanie Jongang. Saya bantai aje dahulu. Nama Mat Saleh ni. Kan canggih, kalau rambut perang, mata pakai contact lens biru atau hijau, baju dedah-dedah, tiba-tiba jongang?

2. Elizabeth Juling. Ni lagi satu ni. Cakap Mat Salehnya mungkin berbuih-buih walaupun dengan loghat Manglish Cina perasan pandai cakap Omputih. Pakai baju dedah nampak pangkal buah dada dengan bulu ketiak tebal terjojol. Pakai spek tebal tapi masih tak dapat menyembunyikan matanya yang juling.

3. Carmen Buncit. Nama ni rasanya amoi Cina suka pakai. Cuba nama Carmen ni dibuat watak jadi model iklan Smartshop yang konon boleh jadi fit pakai alat exercise kat dalam TV tu. Padahal perutnya sebenarnya buncit berlapis-lapis...

4. Hillary Layut. Mungkin boleh dibuat watak perempuan tua yang tak sedar diri ada hati nak jadi Ketua Wanita ke hapa perintah dunia, pakai botox dan segala macam ubat kecantikan tapi hakikatnya tetap layut jua.

5. Julia Tempang. Nama Julia ni kiranya salah satu nama yang perempuan Melayu pulak suka pakai. Jasmin pun boleh. Cerita selebihnya rekalah sendiri...

6. Diana Pekak. Lebih kurang macam nama Julia lah jugak. Potensi untuk membuat cerita lawak pekak badak sangatlah luas.

7. Angelina Untut. Heh! Tak tahu nak kata apa dah. Nama ini kiranya sewaktu dengan Isabella dan nama-nama glamour sebagainya. Cuba dibagi Angelina ini suka pakai mini skirt nak nampak seksi konon tapi kakinya sebelah untut. Nak tambah lucu mungkin dia juga selalu terkentu-kentut. Amacam?

8 dan seterusnya... terbuka kepada cadangan. Letaklah apa-apa nama. Pendek-kata janganlah letak nama-nama elok seperti Halimah dan Fatimah dijadikan bahan gurauan yang sebenarnya boleh menghina orang Melayu dan Islam! Sekian...

Jalan-jalan anak-beranak : Ke Port Dickson terus ke Tanjung Tuan

Setelah sekian lama, baru saya tergerak untuk menyambung kembali siri "Jalan-jalan anak-beranak". Bersambung daripada artikel Jalan-jalan anak-beranak : Bermain-main di Tanjung Sepat yang dibuat 2 minggu lalu.


Pagi 6 Disember 2009. Setelah 2 malam di kampung isteri di Tanjung Sepat sampailah masa untuk kami menyambung perjalanan mengambil kesempatan sempena cuti sekolah. Saya isteri dan anak-anak kami pun bergambar bersama bapa mertua saya yang dipanggil Bapak. Turut bergambar adalah dua orang sepupu mereka...



Erin bersama sepupu-sepupu lain...



Kemudian baru kami meninggalkan kampung. Melalui pekan lama Sepang kami menuju ke Port Dickson. Tetapi keadaan yang amat sibuk dengan berbondong-bondong pengunjung musim cuti sekolah datang ditambah kesesakan jalan dengan kenderaan banyak merangkak menyebabkan kami hilang mood untuk berehat di sana...


Sebaliknya kami meneruskan perjalanan lebih jauh ke selatan hingga ke Tanjung Tuan...



Kalau tak salah ingatan kali terakhir saya ke sini adalah pada bulan Julai 2008 bersama sepupu dan 2 orang rakan. Lihat video-video klip yang terdapat dalam artikel Sambungan perjalanan ke Negeri Sembilan... Bertandang ke Tanjung Tuan : Rumah api dan sekitarnya... dan Lagi di Tanjung Tuan... Pulau Intan dan satu tempat keramat... ...




Rasanya inilah kali pertama isteri sampai ke sini. Anak-anak pula dah tentu belum pernah sampai sebelum ini...





Tanjung Tuan dan rumah api lama yang terletak di atas puncak bukit dikelilingi hutan simpan yang memiliki pemandangan yang agak menakjubkan...






Cuma disebabkan kami datang anak-beranak dengan budak-budak, apalagi baby Al-Rasyid ketika itu baru berumur tak sampai pun 2 bulan maka perjalanan kami terhad ke kawasan terdekat di sekeliling rumah api...
















Kemudian kami turun untuk melihat pantai-pantai yang mengapit tepian semenanjung kecil merangkap tanjung ini. Pantai utara terletak di dalam Negeri Sembilan, boleh kelihatan bandar Port Dickson di latar-belakang...




Pantai selatan pula terletak di dalam negeri Melaka. Peliknya cuma sedikit kawasan sekitar Tanjung Tuan ini sahaja yang terletak di dalam negeri itu. Bukit-bukit yang kelihatan sebelah kiri masuk balik ke dalam sempadan Negeri Sembilan. Sempadan Melaka cuma bersambung kembali nun jauh di sekitar kuala Sungai Linggi, ditanda oleh bukit yang kelihatan samar di tengah gambar.



p/s: Seharusnya artikel ini dibuat sehari selepas selesai menyajikan artikel Jalan-jalan anak-beranak : Bermain-main di Tanjung Sepat 2 minggu lalu. Ini kerana pada hari itu iaitu Tahun Baru Cina 2010 saya, isteri dan Al-Rasyid ada membuat perjalanan ke Port Dickson sebelum melepasi Tanjung Tuan untuk menghadiri majlis reunion Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (SEMESTI), sekolah lama isteri saya yang diadakan di Teluk Pelandok. Lihat artikel Tranquil Teluk Pelanduk near Linggi yang baru dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH tadi.

Awalnya kami ke Seremban dari Tanjung Sepat tetapi itu cerita lain. Berbalik pada tempoh-masa "Jalan-jalan anak-beranak" ini berlaku. Adapun kami ke Tanjung Sepat 4 Disember 2009 untuk menghadiri sambutan ulangtahun Bapak yang ke 81. Alhamdulillah ia dihadiri oleh semua 4 generasi ahli keluarga termasuk Bapak sendiri. Namun dukacita dimaklumkan bahawa gambar kami bersama Bapak seperti tertera paling atas adalah gambar pertama dan terakhir bersama. Ia adalah kali pertama Bapak melihat Al-Rasyid sedangkan Erin dan Haziq sudah lama tidak bertemu, sejak disekolahkan di Kelantan penghujung 2008. Sebulan lebih kemudian Bapak menghembuskan nafas terakhirnya waktu Subuh. Al-Fatihah untuk Bapak.

Untuk isteriku yang tersayang Nor Afidah binti Yusof, Abang tetap ada untuk menjagamu Sayang. Bapak meninggal dunia dalam keadaan aman dikelilingi segala sanak-saudara. Lagipun sudah sampai masanya. Lebih elok Bapak kembali menemui Pencipta daripada hidup umur panjang tetapi terus menanggung sakit-sakit tua... apalagi Bapak sebenarnya amat merindukan Mak yang sudah lebih awal kembali ke alam sana. Maka biarlah mereka bersatu di Alam Barzakh, tinggallah kita-kita ini meneruskan perjuangan hidup di alam maya dengan cabaran masing-masing yang tersendiri... :]

Baby Al-Rasyid dan cerita-cerita terbaru Aceh dalam masa terdekat...



Dalam artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... saya ada menyebut cerita tentang perjalanan ke Aceh bulan Januari cuma akan dapat disajikan pada bulan April atau lebih lewat, antaranya kerana saya sekeluarga perlu membuat satu lagi perjalanan ke luar negara bulan Mac. Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan bahawa semalam baru saya mendapat berita bahawa perjalanan tersebut harus ditunda ke pertengahan tahun. Dapatlah saya menyelesaikan apa-apa yang patut untuk bulan ini tanpa terkejar-kejar.

Cerita perjalanan ke Aceh bulan Januari pula Insyaallah dapat disajikan bulan ini juga, selepas siri kecil "Jalan-jalan anak beranak" tamat. Kemudian bolehlah disambung dengan siri penceritaan perjalanan terbaru ke Aceh bulan Februari untuk menghadiri majlis Maulud Nabi seperti ada disebut dalam artikel Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak... yang dibuat 2 hari lalu.

Sementara itu biar ditunjukkan video klip anak saya Al-Rasyid dalam kapalterbang menuju ke Aceh betul-betul seminggu lepas iaitu pada tengahari Rabu. Bukan apa... semalam apabila melihat vide-video klip yang diambil, timbul rasa untuk meletakkan yang ini ke dalam Youtube kemudian disambungkan ke Facebook. Alang-alang dah ada, biar disambungkan ke sini juga untuk tatapan para pembaca setia! :]

Isnin, Mac 01, 2010

Dah jumpa dah di Aceh! Bentuk "lidah terjulur" yang mengaitkannya dengan Perak...


Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, setelah beberapa lama mencari baru saya dapat menemukan bukti satu warisan lama di Aceh. Warisan apakah itu? Perhatikan betul-betul bentuk ukiran kayu yang terdapat pada bumbung teratas dalam gambar...

Mereka yang mengikuti penulisan di mana-mana blogspot saya sejak dari mula mungkin sedar betapa obses atau terujanya saya dengan satu bentuk ukiran kayu unik yang terdapat pada hujung setiap sudut bumbung sesetengah rumah lama di Perak, juga Kedah dan Pulau Pinang. Walaupun secara rasminya bentuk ukiran meruncing ke bawah itu disebut sebagai "papan kepala cicak", saya lebih senangnya menyebutnya sebagai "lidah terjulur" atau apa-apa perkataan yang sewaktu dengannya.

Adapun saya mula menyedari dan meneliti akan kewujudan ukiran tersebut sejak mula menelusuri salasilah keluarga sebelah bapa yang dikatakan berasal daripada Aceh. Pencarian ini tercetus sejak mendapat mimpi tertentu tahun 2001, kemudian baru saya tersedar rumah-rumah lama di Perak (dikenali sebagai Rumah Kutai) juga bangunan-bangunan tertentu termasuk masjid lama di Kampung Batak Rabit, Teluk Intan yang didirikan di dalam tanah wakaf keluarga saya ada memakai bentuk itu. Lalu hati ini berkata bentuk ukiran itu berasal daripada Aceh.

Namun beberapa lama mencari, saya tidak juga dapat menemuinya di sana. Kali pertama saya sampai ke Aceh adalah pada bulan Januari 2004, seorang diri dengan menaiki kenderaan awam termasuk feri dari Pulau Pinang ke Medan... dalam keadaan terpisah dengan keluarga, sudah lama tidak bekerja, hidup dalam keadaan merempat sahaja.

Oleh kerana saya cuma dapat masuk sampai ke Langsa, bandar besar pertama Aceh dari arah Medan dan sempat menginap cuma 3 malam sebelum dihalau keluar, maka tidak hairanlah jika saya tidak dapat menemui bentuk ukiran kegemaran saya ini di sana. Ketika itu Aceh masih dalam keadaan darurat akibat pergolakan antara puak pemisah dengan tentera Indonesia. Orang luar tidak dibenarkan masuk dan saya sebenarnya agak bertuah dapat masuk sampai ke Langsa kerana pernah dihadang tentera serta disoal-siasat mereka. Pengembaraan penuh cabaran inilah yang dijadikan latar-belakang penceritaan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang diterbitkan tahun 2006 dan 2007.

Kali kedua saya sampai ke Aceh adalah pada bulan Jun 2009, dalam keadaan jauh lebih selesa bersama isteri baru yang sedang mengandung 6 bulan. Ketika itu Aceh yang sudah dilanda malapetaka ombak besar Tsunami 26 Disember 2004 sudah dibuka kepada orang luar dan kami sampai ketika tempoh 4 tahun pemulihan sosio-ekonomi dan infrastruktur telah berjaya dilaksanakan. Salah satu hasilnya adalah penerbangan terus pesawat Air Asia dari KLIA ke Banda Aceh dan itulah yang kami naiki untuk ke sana. Perjalanan itu telahpun diceritakan di blogspot ini melalui satu siri. Lihat tajuk "Ke Aceh bersama isteri Jun 2009" di kanan bawah blogspot. Pembaca juga boleh melihatnya dengan masuk ke Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... .

Seperti pernah disebut dalam siri itu, kami pergi ke sana atas jemputan seorang kenalan, Kak Ann yang mengaturkan segala keperluan. Selain dapat duduk selesa di hotel paling mahal di seluruh Aceh kami disediakan pemandu dan kenderaan yang sedia membawa kami ke mana-mana sahaja yang perlu. Kami juga dapat pergi ke beberapa tempat jauh di luar Banda Aceh malah hingga ke Langsa yang terletak kira-kira 450 km ke tenggara Banda Aceh, tempat saya 'tersangkut' ketika pertama kali sampai ke Aceh 5 tahun sebelum itu. Namun sepanjang perjalanan saya masih belum dapat menemukan bentuk "lidah terjulur" di mana-mana.

Yang kelihatan cuma rumah-rumah biasa yang pada saya tidak berapa menunjukkan identiti unik lama. Bentuk tradisional yang selalu ditemui pula cuma apa yang kenali sebagai Rumoh (rumah) Aceh. Lihat artikel Rumah tradisional Aceh (Aceh traditional house) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Bentuk ini agak jauh daripada senibina rumah dengan "lidah terjulur" yang cuba dikaitkan dengan Perak. Mungkin apa yang ingin dicari terdapat di luar Banda Aceh tetapi saya tidak dapat menemukannya kerana perjalanan hingga ke Langsa kemudian kembali ke Banda Aceh sebahagian besarnya dibuat waktu malam?

Bulan Januari 2010, saya pergi lagi ke Banda Aceh bersama isteri. Kali ini anak yang dahulunya berumur 6 bulan dalam perut sudahpun menjadi seorang bayi laki-laki sempurna... umur baru 3 bulan sudah merasa naik kapalterbang lalu berjalan jauh di Aceh! Perjalanan ini dibuat dengan membawa seorang teman yang sudah lama berhajat untuk melihat tempat-tempat di Aceh. Satu siri penceritaan berkaitan akan dibuat di blogspot ini Insyaallah, sebaik sahaja selesai siri penceritaan kecil "Jalan-jalan anak-beranak" yang masih berlangsung sekarang dan masih lagi tak selesai-selesai... alahai!

Hmm. Kemungkinan besar siri perjalanan ke Aceh bulan Januari itu cuma dapat dimulakan paling awal pun bulan April, selepas saya, isteri dan anak ke luar negara lagi bulan ini untuk satu tempoh yang agak lama. Apapun, biar diberitahu dalam perjalanan Januari itu baru saya dapat melihat keadaan jauh di luar Banda Aceh pada waktu siang. Kami pergi hingga ke Geudong, tempat terletaknya makam Sultan Malikus Salih hampir 300 km ke tenggara Banda Aceh. Namun bentuk "lidah terjulur" masih tak kelihatan.

Tu dia. Apa yang dicari tak juga jumpa-jumpa. Sebaliknya bentuk Rumoh Aceh yang biasa kelihatan di Banda Aceh dan daerah sekelilingnya yang dipanggil Aceh Besar pula boleh ditemui jauh hingga ke selatan pada bangunan-bangunan moden yang mahu diterapkan ciri-ciri tradisional lama. Allah! Hati saya memujuk... bentuk Rumoh Aceh yang dikatakan berasal dari Tanah Tinggi Gayo (kawasan pergunungan di tengah Aceh) mungkin menjadi bentuk dominan 400 tahun kebelakangan sedangkan bentuk tradisional yang dicari dengan "lidah terjulur yang menghiasi rumah lama Perak mungkin berasal daripada kerajaan Samudera-Pasai yang sudah wujud lebih 300 tahun lebih awal. Tapi itu cuma kata hati saya... mana pula tinggalan atau bukti fizikalnya?

Kembali dari perjalanan itu 1 Februari (sepatutnya 31 Januari tetapi kami tertinggal kapalterbang) saya mula putus asa. Apakah saya sudah tersilap anggap? Apakah bentuk "lidah terjulur" yang hati ini terus menyebut berasal dari satu warisan lama Aceh sebenarnya berasal daripada wilayah lain yang lebih jauh, misalnya Tanah Bugis beribu kilometer lagi ke timur? Apakah ia langsung tidak terdapat di Aceh, mungkin saya sahaja yang 'perasan' kerana terlalu obses dengan sejarah serta darah keturunan Aceh?

Adapun sekitar pertengahan tahun lepas, saya telah dihubungi seseorang dari Sabah yang kemudian menunjukkan sebuah salasilah besar Bugis, bermula abad ke 8 Masihi gitu. Lalu dinyatakan, seorang moyang utama saya yang menjadi Laksamana Raja Mahkota pertama Perak iaitu pada pertengahan abad ke 18 Masihi sebenarnya bukan anak Raja Aceh tetapi anak Raja Bugis! Cuma baginda telah dititipkan ke Aceh kerana semasa itu ayahanda baginda yang bertaraf Yang di Pertuan Agung Tanah Bugis sedang sibuk memerangi Belanda...

Nasib baik saya masih ada seorang moyang utama yang selama beberapa tahun tidak saya ketahui identiti sebenarnya. Diakui selama itu saya kurang peduli, akibat lebih mengutamakan moyang lagi satu yang rupanya lebih pekat darah Bugis. Setelah lama kemudian baru saya beriya-iya cuba mencari identiti moyang tersebut. Dengan kuasa Allah, setelah kembali dari perjalanan ke Aceh bulan Januari baru saya mendapat petunjuk. Rupa-rupanya moyang inilah yang sebenarnya menyambungkan nasab saya lelaki atas lelaki (bapa bin datuk bin moyang...) terus hingga ke seorang Raja Aceh abad ke 18. Dari situ nasab lelaki atas lelakinya sampai ke seorang raja agung Aceh malah terus bersambung hingga ke Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai yang hidup lebih 700 tahun lalu!

Dengan kuasa Allah juga minggu lepas, saya, isteri dan bayi dapat pergi lagi ke Aceh. Ya... cerita perjalanan bulan Januari belumpun dimulakan, tetapi kami sudah pergi lagi ke Aceh! Baru semalam kembali ke Malaysia. Kali ini, dengan cara tidak sengaja baru saya dapat menemui perlambangan atau hiasan tradisional bangunan yang menunjukkan bahawa bentuk "lidah terjulur" yang diminati selama ini memang ada atau pernah digunakan di Aceh. Itulah bentuk yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Bandingkan dengan gambar-gambar dalam artikel lama. Atau lebih baik lihat dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) )... misalnya artikel Masjid lama Batak Rabit (The old mosque of Batik Rabit) , Masjid lama misteri (The mysterious old mosque) dan Bangunan-bangunan sekitar Kuala Kangsar (Building in and around Kuala Kangsar) .

Adapun bentuk yang ditunjukkan dalam gambar ini ditemui berdekatan Perlak di mana sebuah keSultanan Islam yang berajakan keturunan Nabi Muhammad Rasulullah SAW pernah wujud hampir 1,200 lalu. Perlak kemudian diserapkan ke dalam kerajaan Samudera-Pasai abad ke 14 Masihi dan Samudera-Pasai mula menjadi sebahagian daripada Aceh abad ke 16. Apakah ini bermakna bentuk "lidah terjulur" yang mula saya sedari kewujudannya di Perak tahun 2001 sebenarnya berasal daripada Perlak? Yang menarik, saya terjumpa bentuk ini di Perlak pada pagi Jumaat lalu, 12 Rabiulawal, tarikh kelahiran Rasulullah SAW... semasa menunggu untuk menyertai satu acara Maulud Nabi merangkap perasmian sebuah masjid baru.

Perjalanan kami ke Aceh kali ini memang tak disangka dan dirancang. Sebenarnya saya baru menerima undangan untuk menghadiri majlis Maulud itu sebaik sahaja selesai menyajikan artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... dan Teknik penggelapan salasilah... Isnin minggu lepas... dan kami diminta berlepas ke Aceh hari Rabu. Tetapi saya menolaknya kerana telah merancang mahu menyambut Maulud di Perak. Ini kerana saya terasa perlu untuk menziarahi makam moyang utama yang baru kebelakangan ini diketahui berkait terus ke Aceh.

Isteri terus kelihatan sugul apabila saya menolak. Ini membuatkan saya memikirkan kembali keputusan itu. Teringat betapa beberapa hari sebelum itu timbul satu rasa bahawa beberapa persoalan yang membelenggu fikiran cuma akan dapat diselesaikan jika saya dapat pergi ke Aceh sekali lagi. Hmm... saya boleh pergi ke Perak bila-bila masa sahaja Insyaallah. Kedudukannya tidaklah begitu jauh dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri. Tetapi untuk ke Aceh apalagi menyambut Maulud di Perlak, daerah terawal tempat kedatangan Islam yang letaknya 8 jam perjalanan darat dari Banda Aceh, ia sebenarnya satu peluang keemasan. Keputusan pun diubah... baru isteri saya tersenyum riang.

Niat untuk menyambut Maulud di Perak bertukar menjadi sambutan Maulud di Perlak. Teringat tajuk sebuah bab awal dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" iaitu "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor". Dengan kuasa Allah, atas asbab perjalanan terbaru ke Aceh inilah baru saya dapat menemui bentuk "lidah terjulur" yang boleh dijadikan bukti bahawa bentuk itu memang dibawa ke Perak daripada Aceh... atau mungkin lebih tepat daripada Perlak?

Sekarang saya teringat pula artikel Misteri rumah Kutai... apakah yang ingin disampaikan? yang dibuat tahun lalu. Artikel itu dibuat setelah menemui sebuah gambar dalam Internet dengan catatan rasminya menyebut bahawa bentuk Rumah Kutai di Perak memiliki ciri-ciri rumah tradisional Aceh dan Bugis. Hmm... nampaknya ada lagi rumusan yang boleh dipecahkan lebih-lebih lagi kerana perjalanan terbaru ke Aceh hingga sampai ke Perlak lalu terjumpa bentuk "lidah terjulur" itu dibuat setelah melepaskan artikel bertajuk Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... Isnin lalu. Tapi tak mengapalah. Cerita perjalanan ke Aceh bulan Januari pun belum dimulakan, inikan lagi cerita tentang perjalanan terkini yang baru tamat semalam. Nanti-nantilah baru dirungkai ya! Sabar...


p/s: Ini adalah artikel ke 636 di blogspot ini. Adapun blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) )... tidak kemas-kinikan sejak 4 Februari sedangkan blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) )... terus 'melangut' sejak 25 Januari. Maka ada eloknya saya membuat artikel-artikel baru di sana. Tak tahulah lagi apa isinya, mungkin pendek sahaja kerana saya sudah penat bercerita. Yang pasti gambar "lidah terjulur" di atas akan dijadikan penghias merangkap pembuka cerita.