Assalamualaikum semua. Alhamdulillah, setelah beberapa lama mencari baru saya dapat menemukan bukti satu warisan lama di Aceh. Warisan apakah itu? Perhatikan betul-betul bentuk ukiran kayu yang terdapat pada bumbung teratas dalam gambar...
Mereka yang mengikuti penulisan di mana-mana blogspot saya sejak dari mula mungkin sedar betapa obses atau terujanya saya dengan satu bentuk ukiran kayu unik yang terdapat pada hujung setiap sudut bumbung sesetengah rumah lama di Perak, juga Kedah dan Pulau Pinang. Walaupun secara rasminya bentuk ukiran meruncing ke bawah itu disebut sebagai "papan kepala cicak", saya lebih senangnya menyebutnya sebagai "lidah terjulur" atau apa-apa perkataan yang sewaktu dengannya.
Adapun saya mula menyedari dan meneliti akan kewujudan ukiran tersebut sejak mula menelusuri salasilah keluarga sebelah bapa yang dikatakan berasal daripada Aceh. Pencarian ini tercetus sejak mendapat mimpi tertentu tahun 2001, kemudian baru saya tersedar rumah-rumah lama di Perak (dikenali sebagai Rumah Kutai) juga bangunan-bangunan tertentu termasuk masjid lama di Kampung Batak Rabit, Teluk Intan yang didirikan di dalam tanah wakaf keluarga saya ada memakai bentuk itu. Lalu hati ini berkata bentuk ukiran itu berasal daripada Aceh.
Namun beberapa lama mencari, saya tidak juga dapat menemuinya di sana. Kali pertama saya sampai ke Aceh adalah pada bulan Januari 2004, seorang diri dengan menaiki kenderaan awam termasuk feri dari Pulau Pinang ke Medan... dalam keadaan terpisah dengan keluarga, sudah lama tidak bekerja, hidup dalam keadaan merempat sahaja.
Oleh kerana saya cuma dapat masuk sampai ke Langsa, bandar besar pertama Aceh dari arah Medan dan sempat menginap cuma 3 malam sebelum dihalau keluar, maka tidak hairanlah jika saya tidak dapat menemui bentuk ukiran kegemaran saya ini di sana. Ketika itu Aceh masih dalam keadaan darurat akibat pergolakan antara puak pemisah dengan tentera Indonesia. Orang luar tidak dibenarkan masuk dan saya sebenarnya agak bertuah dapat masuk sampai ke Langsa kerana pernah dihadang tentera serta disoal-siasat mereka. Pengembaraan penuh cabaran inilah yang dijadikan latar-belakang penceritaan dalam siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" yang diterbitkan tahun 2006 dan 2007.
Kali kedua saya sampai ke Aceh adalah pada bulan Jun 2009, dalam keadaan jauh lebih selesa bersama isteri baru yang sedang mengandung 6 bulan. Ketika itu Aceh yang sudah dilanda malapetaka ombak besar Tsunami 26 Disember 2004 sudah dibuka kepada orang luar dan kami sampai ketika tempoh 4 tahun pemulihan sosio-ekonomi dan infrastruktur telah berjaya dilaksanakan. Salah satu hasilnya adalah penerbangan terus pesawat Air Asia dari KLIA ke Banda Aceh dan itulah yang kami naiki untuk ke sana. Perjalanan itu telahpun diceritakan di blogspot ini melalui satu siri. Lihat tajuk "Ke Aceh bersama isteri Jun 2009" di kanan bawah blogspot. Pembaca juga boleh melihatnya dengan masuk ke Koleksi cerita perjalanan Aceh yang lebih teratur... .
Seperti pernah disebut dalam siri itu, kami pergi ke sana atas jemputan seorang kenalan, Kak Ann yang mengaturkan segala keperluan. Selain dapat duduk selesa di hotel paling mahal di seluruh Aceh kami disediakan pemandu dan kenderaan yang sedia membawa kami ke mana-mana sahaja yang perlu. Kami juga dapat pergi ke beberapa tempat jauh di luar Banda Aceh malah hingga ke Langsa yang terletak kira-kira 450 km ke tenggara Banda Aceh, tempat saya 'tersangkut' ketika pertama kali sampai ke Aceh 5 tahun sebelum itu. Namun sepanjang perjalanan saya masih belum dapat menemukan bentuk "lidah terjulur" di mana-mana.
Yang kelihatan cuma rumah-rumah biasa yang pada saya tidak berapa menunjukkan identiti unik lama. Bentuk tradisional yang selalu ditemui pula cuma apa yang kenali sebagai Rumoh (rumah) Aceh. Lihat artikel Rumah tradisional Aceh (Aceh traditional house) di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Bentuk ini agak jauh daripada senibina rumah dengan "lidah terjulur" yang cuba dikaitkan dengan Perak. Mungkin apa yang ingin dicari terdapat di luar Banda Aceh tetapi saya tidak dapat menemukannya kerana perjalanan hingga ke Langsa kemudian kembali ke Banda Aceh sebahagian besarnya dibuat waktu malam?
Bulan Januari 2010, saya pergi lagi ke Banda Aceh bersama isteri. Kali ini anak yang dahulunya berumur 6 bulan dalam perut sudahpun menjadi seorang bayi laki-laki sempurna... umur baru 3 bulan sudah merasa naik kapalterbang lalu berjalan jauh di Aceh! Perjalanan ini dibuat dengan membawa seorang teman yang sudah lama berhajat untuk melihat tempat-tempat di Aceh. Satu siri penceritaan berkaitan akan dibuat di blogspot ini Insyaallah, sebaik sahaja selesai siri penceritaan kecil "Jalan-jalan anak-beranak" yang masih berlangsung sekarang dan masih lagi tak selesai-selesai... alahai!
Hmm. Kemungkinan besar siri perjalanan ke Aceh bulan Januari itu cuma dapat dimulakan paling awal pun bulan April, selepas saya, isteri dan anak ke luar negara lagi bulan ini untuk satu tempoh yang agak lama. Apapun, biar diberitahu dalam perjalanan Januari itu baru saya dapat melihat keadaan jauh di luar Banda Aceh pada waktu siang. Kami pergi hingga ke Geudong, tempat terletaknya makam Sultan Malikus Salih hampir 300 km ke tenggara Banda Aceh. Namun bentuk "lidah terjulur" masih tak kelihatan.
Tu dia. Apa yang dicari tak juga jumpa-jumpa. Sebaliknya bentuk Rumoh Aceh yang biasa kelihatan di Banda Aceh dan daerah sekelilingnya yang dipanggil Aceh Besar pula boleh ditemui jauh hingga ke selatan pada bangunan-bangunan moden yang mahu diterapkan ciri-ciri tradisional lama. Allah! Hati saya memujuk... bentuk Rumoh Aceh yang dikatakan berasal dari Tanah Tinggi Gayo (kawasan pergunungan di tengah Aceh) mungkin menjadi bentuk dominan 400 tahun kebelakangan sedangkan bentuk tradisional yang dicari dengan "lidah terjulur yang menghiasi rumah lama Perak mungkin berasal daripada kerajaan Samudera-Pasai yang sudah wujud lebih 300 tahun lebih awal. Tapi itu cuma kata hati saya... mana pula tinggalan atau bukti fizikalnya?
Kembali dari perjalanan itu 1 Februari (sepatutnya 31 Januari tetapi kami tertinggal kapalterbang) saya mula putus asa. Apakah saya sudah tersilap anggap? Apakah bentuk "lidah terjulur" yang hati ini terus menyebut berasal dari satu warisan lama Aceh sebenarnya berasal daripada wilayah lain yang lebih jauh, misalnya Tanah Bugis beribu kilometer lagi ke timur? Apakah ia langsung tidak terdapat di Aceh, mungkin saya sahaja yang 'perasan' kerana terlalu obses dengan sejarah serta darah keturunan Aceh?
Adapun sekitar pertengahan tahun lepas, saya telah dihubungi seseorang dari Sabah yang kemudian menunjukkan sebuah salasilah besar Bugis, bermula abad ke 8 Masihi gitu. Lalu dinyatakan, seorang moyang utama saya yang menjadi Laksamana Raja Mahkota pertama Perak iaitu pada pertengahan abad ke 18 Masihi sebenarnya bukan anak Raja Aceh tetapi anak Raja Bugis! Cuma baginda telah dititipkan ke Aceh kerana semasa itu ayahanda baginda yang bertaraf Yang di Pertuan Agung Tanah Bugis sedang sibuk memerangi Belanda...
Nasib baik saya masih ada seorang moyang utama yang selama beberapa tahun tidak saya ketahui identiti sebenarnya. Diakui selama itu saya kurang peduli, akibat lebih mengutamakan moyang lagi satu yang rupanya lebih pekat darah Bugis. Setelah lama kemudian baru saya beriya-iya cuba mencari identiti moyang tersebut. Dengan kuasa Allah, setelah kembali dari perjalanan ke Aceh bulan Januari baru saya mendapat petunjuk. Rupa-rupanya moyang inilah yang sebenarnya menyambungkan nasab saya lelaki atas lelaki (bapa bin datuk bin moyang...) terus hingga ke seorang Raja Aceh abad ke 18. Dari situ nasab lelaki atas lelakinya sampai ke seorang raja agung Aceh malah terus bersambung hingga ke Sultan Malikus Salih, pengasas kerajaan Samudera dan Pasai yang hidup lebih 700 tahun lalu!
Dengan kuasa Allah juga minggu lepas, saya, isteri dan bayi dapat pergi lagi ke Aceh. Ya... cerita perjalanan bulan Januari belumpun dimulakan, tetapi kami sudah pergi lagi ke Aceh! Baru semalam kembali ke Malaysia. Kali ini, dengan cara tidak sengaja baru saya dapat menemui perlambangan atau hiasan tradisional bangunan yang menunjukkan bahawa bentuk "lidah terjulur" yang diminati selama ini memang ada atau pernah digunakan di Aceh. Itulah bentuk yang ditunjukkan dalam gambar di atas. Bandingkan dengan gambar-gambar dalam artikel lama. Atau lebih baik lihat dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) )... misalnya artikel Masjid lama Batak Rabit (The old mosque of Batik Rabit) , Masjid lama misteri (The mysterious old mosque) dan Bangunan-bangunan sekitar Kuala Kangsar (Building in and around Kuala Kangsar) .
Adapun bentuk yang ditunjukkan dalam gambar ini ditemui berdekatan Perlak di mana sebuah keSultanan Islam yang berajakan keturunan Nabi Muhammad Rasulullah SAW pernah wujud hampir 1,200 lalu. Perlak kemudian diserapkan ke dalam kerajaan Samudera-Pasai abad ke 14 Masihi dan Samudera-Pasai mula menjadi sebahagian daripada Aceh abad ke 16. Apakah ini bermakna bentuk "lidah terjulur" yang mula saya sedari kewujudannya di Perak tahun 2001 sebenarnya berasal daripada Perlak? Yang menarik, saya terjumpa bentuk ini di Perlak pada pagi Jumaat lalu, 12 Rabiulawal, tarikh kelahiran Rasulullah SAW... semasa menunggu untuk menyertai satu acara Maulud Nabi merangkap perasmian sebuah masjid baru.
Perjalanan kami ke Aceh kali ini memang tak disangka dan dirancang. Sebenarnya saya baru menerima undangan untuk menghadiri majlis Maulud itu sebaik sahaja selesai menyajikan artikel Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... dan Teknik penggelapan salasilah... Isnin minggu lepas... dan kami diminta berlepas ke Aceh hari Rabu. Tetapi saya menolaknya kerana telah merancang mahu menyambut Maulud di Perak. Ini kerana saya terasa perlu untuk menziarahi makam moyang utama yang baru kebelakangan ini diketahui berkait terus ke Aceh.
Isteri terus kelihatan sugul apabila saya menolak. Ini membuatkan saya memikirkan kembali keputusan itu. Teringat betapa beberapa hari sebelum itu timbul satu rasa bahawa beberapa persoalan yang membelenggu fikiran cuma akan dapat diselesaikan jika saya dapat pergi ke Aceh sekali lagi. Hmm... saya boleh pergi ke Perak bila-bila masa sahaja Insyaallah. Kedudukannya tidaklah begitu jauh dari rumah kami di Bandar Tasik Puteri. Tetapi untuk ke Aceh apalagi menyambut Maulud di Perlak, daerah terawal tempat kedatangan Islam yang letaknya 8 jam perjalanan darat dari Banda Aceh, ia sebenarnya satu peluang keemasan. Keputusan pun diubah... baru isteri saya tersenyum riang.
Niat untuk menyambut Maulud di Perak bertukar menjadi sambutan Maulud di Perlak. Teringat tajuk sebuah bab awal dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" iaitu "Dari Perlak ke Perak : Kisah Keramat Kuala Bidor". Dengan kuasa Allah, atas asbab perjalanan terbaru ke Aceh inilah baru saya dapat menemui bentuk "lidah terjulur" yang boleh dijadikan bukti bahawa bentuk itu memang dibawa ke Perak daripada Aceh... atau mungkin lebih tepat daripada Perlak?
Sekarang saya teringat pula artikel Misteri rumah Kutai... apakah yang ingin disampaikan? yang dibuat tahun lalu. Artikel itu dibuat setelah menemui sebuah gambar dalam Internet dengan catatan rasminya menyebut bahawa bentuk Rumah Kutai di Perak memiliki ciri-ciri rumah tradisional Aceh dan Bugis. Hmm... nampaknya ada lagi rumusan yang boleh dipecahkan lebih-lebih lagi kerana perjalanan terbaru ke Aceh hingga sampai ke Perlak lalu terjumpa bentuk "lidah terjulur" itu dibuat setelah melepaskan artikel bertajuk Jalan semakin terang : Kaitan sebenar kerabat diraja Aceh-Bugis dalam pemerintahan Perak... Isnin lalu. Tapi tak mengapalah. Cerita perjalanan ke Aceh bulan Januari pun belum dimulakan, inikan lagi cerita tentang perjalanan terkini yang baru tamat semalam. Nanti-nantilah baru dirungkai ya! Sabar...
p/s: Ini adalah artikel ke 636 di blogspot ini. Adapun blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) )... tidak kemas-kinikan sejak 4 Februari sedangkan blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) )... terus 'melangut' sejak 25 Januari. Maka ada eloknya saya membuat artikel-artikel baru di sana. Tak tahulah lagi apa isinya, mungkin pendek sahaja kerana saya sudah penat bercerita. Yang pasti gambar "lidah terjulur" di atas akan dijadikan penghias merangkap pembuka cerita.
Salaam...
BalasPadamSedikit info untuk perkongsian ilmu berdasarkan pemerhatian semasa menjalankan kajian lapangan di Wilayah Aceh
Berbekalkan senarai nama masjid-masjid tua di Wilayah Acheh, saya telah berkesempatan menjejak senibina masjid tua di sekitar Banda Aceh, Aceh Besar, Aceh Jaya, Aceh Barat, Aceh Barat Daya, Aceh Selatan, Pidie, Pidie Jaya, Bireuen, Aceh Utara dan Aceh Timur.
Berdasarkan tinjauan, didapati ciri-ciri rekabentuk papan kepala cicak, papan pator, lebah bergantung, tunjuk langit dan kayu buton pada rumah tradisional Melayu dan masjid tua di Perak mempunyai persamaan dengan ciri-ciri rumah adat dan masjid tua di Acheh. Rumah Adat Tgk. Chik Awe Geutah di Peusangan, Bireuen, rumah adat di Desa Meunasah Lueng (kedudukan di sisi kiri makam Tun Sri Lanang) dan wakaf dalam perkarangan masjid Tgk Di Pucok di Desa Beuracan, Meureudu adalah beberapa contoh yang menampilkan ciri-ciri persamaan tersebut.
Didapati bahawa senibina masjid tua di Perak dengan masjid tua di Pidie, Acheh mempunyai persamaan rekabentuk pada hiasan puncak dan pola ukiran papan patornya. Namun begitu, bukanlah bermakna tiada jumpaan terhadap ciri-ciri tersebut di lain lokasi tinjauan. Cuma ianya lebih ketara berdasarkan pemerhatian sekiranya dibuat perbandingan antara keduanya. Dalam persamaan, ada juga perbezaannya. Pada pandangan saya (melalui kaedah pemerhatian bukan secara teorinya) persamaan tersebut wujud hasil adaptasi ciri pengaruh rekabentuk Acheh yang dibawa masuk ke Perak (dalam pembicaraan Acheh-Perak khususnya). Perbezaannya pula wujud hasil adunan dengan budaya lokal bilamana sebahagian unsur diaplikasi manakala sebahagian yang lain pula diganti dengan unsur tempatan. Justeru, kita dapat melihat 2 atau 3 penerapan unsur budaya bergabung dalam sebuah senibina.
Dalam kaitan senibina Acheh-Perak ini, kesahihannya mungkin dapat dibuktikan secara faktanya dengan penghijrahan masyarakat Acheh ke Perak sehingga pengaruh budaya Aceh meresap dalam budaya setempat yang dapat dilihat melalui hasil kerajinan tangan (jahitan, sulaman), senibina (istana lama, rumah tradisional, masjid tua, makam lama), pakaian, makanan dan sebagainya. Bukti inilah yang akan menjadi asas kukuh dalam mencari jawapan kepada perkaitan tersebut.
p/s: Saya tertarik dengan keunikan rekabentuk hiasan puncak bertingkat di atas. Saya hanya sempat membuat tinjauan di Masjid Kuta Tualang semasa kunjungan singkat ke Perlak. Tidak berpeluang membuat pemerhatian ke atas rumah adat di sana. Saya kira, ia satu jumpaan yang menarik dalam siri kembara saudara.
Wassalam Harleny. Terimakasih atas penjelasan ini. Adapun bentuk ukiran yang kelihatan di atas itu bukanlah daripada mana-mana masjid atau rumah tua tetapi pintu gerbag sebuah hotel di Idi! Lihat ini...
BalasPadamhttp://merahsilu.blogspot.com/2010/04/maulidur-rasul-di-aceh-majlis-maulud-di.html
Lihat video klip pertama bermula saat ke 50 gitu.
Lagi satu, saya belum pernah pergi ke Masjid Demak namun apabila meneliti gambar saya terlihat bentuk kepala cicak itu di setiap sudut bumbung. Apakah kena-mengenanya? Mungkin saudari boleh ulas sekali isi yang dinyatakan di artikel ini...
http://merahsilu.blogspot.com/2010/03/kepala-naga-merong-mahawangsa-dan.html