Salam malam Jumaat 11 Zulkaedah 1446 Hijriah. Pergi pada majlis ilmu.
Selasa malam Rabu 6 April guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar menghantar poster ini melalui WhatsApp. Beliau selalu menghantar poster bagi majlis-majlis ilmu melibatkan beliau. Ada beberapa dalam tempoh sebulan kebelakangan tetapi tidak dapat dihadiri disebabkan komitmen lain.
Kali terakhir dapat menyertai lalu bertemu beliau adalah pada minggu terakhir bulan puasa sebulan setengah lalu. Lihat QuranHour di UIAM dan iktikaf 25 Ramadan di Janda Baik - Pesanan perjuangan Surah as-Saf. Pada tarikh untuk majlis baru ini iaitu 7 Mei saya harus berada di Shah Alam kerana menghantar isteri ke tempat kerja kemudian menunggu habis kerja. Ini biasa dilakukan sejak beberapa bulan kebelakangan, sejak kedua-dua anak 'kecil' sudah masuk asrama tahfiz lalu tinggal kami berdua sahaja di rumah. Sambil menunggu itu melepaklah di masjid atau mana-mana tempat. Boleh mengaji Al Quran mengejar pengkhataman bacaan setiap bulan Islam, boleh sambung kajian dan penulisan tesis PhD di ISTAC dan sebagainya.
Apabila tersedar majlis diadakan pada waktu malam lalu isteri pun dapat bersama terus dari Shah Alam baru menyatakan insyaallah akan hadir. Sampai masanya iaitu malam semalam bergegaslah ke lokasi iaitu kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak.
Tajuk majlis iaitu "Mengapa Idea Madani Wajar Dipopularkan" kedengaran berbau politik. Ini disebabkan perkataan Madani itu selalu dituturkan oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim malah dijadikan slogan utama kerajaan sekarang yang dipimpin beliau. Bagi sesetengah orang ia cuma slogan muluk indah khabar dari rupa. Banyak perkara realiti di luar sana dilihat tidak selari dengan pernyataan dalam wawasan.
Misalnya hal kuil haram diberikan pampasan, dusun durian atas tanah hutan yang diceroboh dipertahankan, orang bukan Melayu dan bukan Islam kelihatan lebih banyak dibela, keluh kesah orang Melayu dan Islam pula diketepikan atas nama 'keharmonian' bagi menjaga hati orang lain. Campur sekali pelbagai janji yang pernah dibuat semasa pilihanraya, seperti menurunkan harga minyak juga memperjuangkan kebebasan bersuara. Tetapi kelihatan lain jadinya apabila dapat membentuk kerajaan. Lalu slogan Madani malah menjadi bahan lelucon ramai.
Ya, slogan atau terma Madani itu sangat terlekat dengan Anwar dan kerajaan sekarang. Namun sebagai anak murid Osman lalu telah lama mengikuti syarahan demi syarahan beliau saya cukup faham. Idea ini, dalam erti kata sebenarnya, sudah lama wujud dalam dunia pemikiran Islam. Ia secara praktikalnya terzahir seawal wujudnya kota Madinah yang didirikan oleh junjungan besar kita Nabi Muhammad Rasulullah SAW lebih 1400 tahun lalu.
Perkataan Madani yang terkait dengan akar kata Madinah (kota dalam bahasa Arab) dikatakan mula diangkat oleh ilmuwan Islam al-Farabi yang hidup kurun ke-9 hingga ke-10 Masihi. Pemikiran tokoh ini banyak diperkatakan Osman dalam syarahan-syarahan di ISTAC lalu saya ada mengikuti beberapa dan menulis tentangnya. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Tentang kota Madinah, Osman pernah memberikan syarahan berkenaan pada tahun 2019. Lihat Madinah sebagai manifestasi keTauhidan Muhammad dalam kehidupan bermasyarakat - Rujukan bagi setiap kota semua zaman. Tentang Madani ada syarahan-syarahan beliau diikuti pada tahun 2023. Lihat Osman Bakar dan Madani - Usaha bagi menggapai satu idealisma tinggi.
Majlis atau syarahan kali ini adalah yang pertama dalam siri "Syarahan Idea Madani" di UIAM. Tajuk ""Mengapa Idea Madani Wajar Dipopularkan" adalah yang pertama dan pembuka siri. Syarahan dibuat sepenuhnya dalam bahasa Melayu, satu perkara yang jarang berlaku dalam majlis besar rasmi di UIAM. Ini kerana bahasa penghantarnya adalah bahasa Inggeris. Terdapat ramai pelajar dan kakitangan daripada luar negara yang tak faham pun bahasa Melayu. Dapat dilihat ramai antara mereka hadir syarahan.
Slaid-slaid yang dipaparkan adalah ringkasan dan intipati syarahan. Osman yang merupakan Rektor ke-7 UIAM selain terus memegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC mengembangkan penerangan berdasarkan slaid. Harus ditekankan idea atau konsep Madani sebenarnya adalah tentang membina peradaban kota berdasarkan prinsip syumul Islam. Ia adalah satu idea atau gagasan besar yang bersifat perennial atau abadi, kebenaran yang tidak luput zaman. Ini kerana berdiri berdasarkan sifat semulajadi manusia yang perlu hidup bermasyarakat. Maka ada keperluan untuk mengatur supaya semua mendapat kebahagian dunia dan akhirat. Cara mengatur sebaiknya, itulah Madani yang sebenar. Gagasan serupa tetapi atas nama lain pernah diutarakan pemikir Yunani, Aristotle tiga abad Sebelum Masihi.
Nabi Muhammad SAW berjaya menzahirkannya secara praktikal atau amali pada abad ke-7 Masihi apabila mengasaskan kota Madinah yang turut diduduki bukan Islam. Ada Piagam Madinah, dikatakan piagam bertulis terawal dalam sejarah manusia, dibentuk baginda berdasarkan wahyu berserta maklum balas daripada penduduk pelbagai latar belakang. Gagasan dalam bentuk teori ilmiah supaya boleh diaplikasikan pada kota-kota kemudian dikehadapankan oleh Al-Farabi lebih dua abad selepas itu. Pemerhatian berkenaan dipanjangkan oleh pemikir seperti Ibnu Khaldun lebih 400 tahun kemudian iaitu pada abad ke-13 Masihi. Anwar Ibrahim cuma berperanan mengangkat untuk diaplikasikan dalam pembangunan Malaysia sekarang.
Wawasan Madani sebenarnya adalah lebih luas daripada sekadar slogan politik. Namun ia menerima cemuhan daripada mereka yang tidak faham asal usul sebenar idea dan konsep. Pun begitu tak boleh disalahkan 100 peratus mereka yang memandang serong. Ini disebabkan realiti keadaan zaman yang dipengaruhi kehendak pelbagai pihak termasuk yang bertentangan dengan Islam telah menyebabkan makna Madani seperti disempitkan dalam kerangka pemikiran ilmu sosiopolitik Barat.
Masih belum terlambat untuk kita sebagai umat Islam terutama golongan cendekiawan berusaha untuk membentuknya ke arah yang sepatutnya. Itulah sebab disyarahkan di UIAM. Universiti yang kini diiktiraf sebagai instituti pengajian tinggi Islam terbaik di dunia ini baru ditugaskan untuk menerajui usaha bagi memurnikan perkara dan memberi ramai faham. Ikuti sendiri majlis melalui video bawah. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,662 di CATATAN SI MERAH SILU.
Sekadar menambah. ISTAC adalah institusi tertinggi untuk pemikiran di UIAM. Malah dalam kalangan ramai cendekiawan antarabangsa ia lebih dikenali berbanding badan induk yang menaunginya itu lalu dilihat sebagai berdiri sendiri. Saya ada mengumpulkan sejumlah artikel tentang syarahan-syarahan di ISTAC terutama melibatkan Osman. Lihat Majlis-majlis ISTAC sejak mula terlibat tahun 2016. Tetapi itu sekadar hingga ke bulan Oktober tahun lalu. Selepas itu banyak lagi majlis diikuti lalu dikongsikan cerita. Cukuplah untuk menyatakan bahawa saya cukup faham dengan gagasan-gagasan yang diutarakan.
Saya seorang idealis, berpegang pada idea-idea muluk demi kesejahteraan ummah. Yang dipersoalkan cuma perlaksanaan. Sebagai seorang yang masih berusaha untuk memperbaiki diri yang banyak dosa dan kepincangan, sampai sekarang, ketika umur hendak menghampiri 55 tahun ini saya masih selalu beriktikaf dan bermalam di masjid seorang diri selain suka masuk hutan, juga berseorangan walau dalam kegelapan malam. Ini adalah antara amalan supaya dapat terus berpegang pada idealisma dan prinsip. Supaya tidak takut mati, tidak takut diduga demi satu perjuangan. Saya ada gagasan berkenaan melibatkan amanah dan peranan darah keturunan.
Namun realitinya di luar sana terdapat ramai yang suka melaungkan slogan-slogan muluk termasuk yang bersifat keagamaan tetapi sebenarnya terlalu terikat dengan keselesaan keduniaan. Ramai sanggup menggadaikan prinsip, supaya dapat terus hidup selesa malah menjadi terlebih kaya raya. Malah ramai yang sejak awal tidak ada prinsip pun. Yang ada cuma pegangan realpolitik bersifat Machiavellian matlamat menghalalkan cara untuk jadi berkuasa. Dalam dunia politik terdapat ramai manusia sebegitu. Mereka-mereka inilah yang menyebabkan gagasan-gagasan indah jadi tinggal slogan. Semoga dapat berubah menjadi orang yang betul-betul mengotakan kata-kata perjuangan demi kesejahteraan ummah.
semoga bermanfaat utk saya dan Tuan Merah Silu ...
BalasPadamاللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ
"Ya Allah tunjukkanlah kepada kami yang benar itu benar dan bantulah kami untuk mengikutinya, dan tunjukkanlah kepada kami yang batil itu batil dan bantulah kami untuk menjauhinya."