Rabu, November 10, 2021

Laksamana pulang ke Perak? Menjejak leluhur dari hulu ke hilir

Salam. Masuk penceritaan hari ke-3 perjalanan saya di Perak baru ini bersama isteri. Bersambung daripada artikel Laksamana pulang ke Perak? Temu bual yang dipermudahkan.



Pagi Jumaat 5 November 2021. Selepas menziarahi lagi makam Tok Temong kami bergerak ke bandar diraja Kuala Kangsar.



Adapun seluruh negeri Perak sedang bercuti hari itu. Ini kerana ia adalah Hari Keputeraan Sultan ke-35 Perak, Sultan Nazrin Syah. Namun tidak kelihatan apa-apa bentuk sambutan di bandar diraja. Mungkin disebabkan wabak virus Covid-19 masih melanda juga had aktiviti disebabkan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak.



Kami bersarapan di warung tepian Sungai Perak.



Di warung itu seorang kawan isteri datang dari Ipoh bersama kawannya untuk mengikut aktiviti-aktiviti kami.



Selesai sarapan kami naik ke Bukit Chandan.



Di atas bukit ini terletak Masjid Ubudiyah tidak jauh dari Istana Iskandariah, istana utama negeri Perak.



Saya masuk sebentar ke masjid untuk beriktikaf juga menunaikan solat Dhuha lalu mendapati persiapan sedang dibuat bagi satu majlis tahlil sebelum solat Jumaat.



Walaupun tiada sambutan Hari Keputeraan sekurang-kurangnya ada majlis tahlil yang akan dihadiri Sultan lalu kelihatan permaidani kuning sudah disediakan dari luar ke perkarangan masjid.



Permaidani kuning turut dipanjangkan ke kawasan pemakaman diraja di sebelah masjid.




Selit sikit gambar bersama isteri daaa....



Saya, isteri dan kawan-kawan masuk ke kawasan pemakaman untuk menziarahi makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin juga makam beberapa orang kerabat yang terkait dengan susur galur kami. Di makam Laksamana entah kenapa tiba-tiba timbul rasa sebak berserta rasa tanggungjawab dan amanah yang amat berat. Hal ini membuatkan saya berkongsi gambar berikut di Facebook berserta teks berkenaan...



PESANAN DARI BUKIT CHANDAN

Salam pagi Jumaat 29 Rabiulawal. Tadi bertandang ke makam moyang, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Bukit Chandan. Pesanan yang terbit dalam hati. Batalkan segala kesan Perjanjian Pangkor 1874 yang merosakkan aturan ummah. Perbetulkan kesilapan, walaupun benar mungkin muncul akibat kealpaan leluhur. Insyaallah.


Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah kesan yang perlu dibatalkan? Apakah kesilapan yang perlu diperbetulkan? Untuk menjawab itu semoga artikel-artikel lama ini boleh membantu terutama 'yang tersirat' itu :-




Selepas makam diraja kami ke Kampung Padang Changkat di belakang Istana Iskandariah untuk menziarahi makam seorang kerabat diraja Bugis yang sangat berpengaruh di Perak 300 tahun lalu iaitu Daeng Selili. Di situ kami juga singgah di rumah seorang kawan yang berketurunan Dato' Maharajalela, iaitu daripada nasab Daeng Selili. Di rumah itulah saya membuat posting FB yang ditunjukkan tadi iaitu pada jam 11 pagi.



Keluar dari Padang Changkat menghampiri kembali Istana Iskandariah terlihat pula bangunan kayu ini sudah dibuka. Ia adalah sebuah istana lama yang sudah dijadikan muzium tetapi sudah begitu lama ditutup akibat kerja-kerja membaik pulih. Seingat saya kali terakhir masuk ke dalam bangunan adalah pada sekitar tahun 2004. Selepas itu cuma dapat ke halaman sahaja. Lihat artikel Muzium Diraja (Royal museum of) Perak di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Sebetulnya saya boleh menghadiri majlis tahlil yang akan dihadiri Sultan kalau mahu. Boleh juga bersolat Jumaat bersama baginda. Tetapi disebabkan banyak lagi persinggahan mahu dibuat dan kawan-kawan mahu bersama perjalanan diteruskan melalui satu laluan turun Bukit Chandan untuk masuk jalan ke arah Manong.



Sebelum sampai ke pekan Manong terlihat ada jambatan baru menyeberangi Sungai Perak. Kami pun naik untuk melihat. Lihat artikel Perak river from the new bridge at Manong di blogspot BERPETUALANG KE ACEH



Selepas Manong masuk ke Kampung Semat untuk menghadap sebuah pulau di mana terdapat makam seorang Sultan Perak yang dianggap keramat. Lihat Perak river from Kampung Semat.




Seterusnya kami menuju ke pekan Beruas.






Alhamdulillah sempat sampai ke Kampung Kota 4 km ke selatan pekan sejurus sebelum masuk waktu solat Jumaat lalu dapatlah berjemaah.









Selesai solat kami ke makam raja-raja Beruas tidak jauh dari masjid. Lihat Revisiting tombs of the kings of Beruas.




Seterusnya bergerak ke Bota Kanan. Singgah di sebuah warung yang ada hidangan sup dan bakso istimewa.



Di Bota Kanan kami singgah ke makam Sultan ke-13 Perak, Sultan Muzaffar Syah III. Selepas itu kawan isteri dan kawan kepada kawan boleh bergerak kembali ke Ipoh sambil saya dan isteri bergerak lebih jauh ke arah Teluk Intan. Tengok-tengok kawan-kawan tidak merasa puas lalu mahu ikut lagi sedikit ke selatan. Bersamalah kami ke makam Sultan ke-10 Perak, Sultan Muzaffar Syah II yang memerintah seabad lebih awal kemudian ke makam Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Syah I yang memerintah pada pertengahan abad ke-16 Masihi.



Adapun makam Sultan Muzaffar II terletak lebih kurang 7 km ke selatan makam Sultan Muzaffar III. Makam Sultan Muzaffar I lagi 7 km ke selatan. Tapi kawan-kawan masih mahu ikut lagi ke selatan. Terlihat pula di Lambor ada jambatan baru menyeberangi Sungai Perak lalu kami pun ke tengah jambatan untuk mengambil gambar. Lihat Perak river from the new bridge at Lambor.



Sebetulnya mereka mahu terus bersama kerana mahu melawat makam seorang tokoh lama yang dikenali sebagai Tok Sego Aceh. Dikatakan beliau adalah orang pertama memakai gelaran Dato' Sri Agar Diraja (orang Perak sebut Tok Sagor) lalu gelaran diturunkan kepada keturunan sebagai pembesar yang berkuasa ke atas daerah Kampung Gajah. Mereka mahu melawat kerana kawan kepada kawan isteri baru tahu beliau memiliki titisan darah Tok Sagor. Ini diperolehi setelah berbual dengan keturunan Maharajalela di Padang Changkat.



Selepas itu baru mereka kembali ke Ipoh sementara kami bergerak lebih jauh ke arah Teluk Intan. Singgah ke makam Raja Ahmad, moyang semua Sultan Perak sejak penghujung abad ke-19.



Sebetulnya terdapat kerisauan hendak ke Teluk Intan kerana kami mendapat berita ia sedang dilanda banjir akibat hujan dan air pasang tinggi. Tetapi saya memberitahu isteri kena pergi juga kerana itulah wilayah utama kaum kerabat belah saya. Takkan Ipoh boleh pergi, Kuala Kangsar boleh pergi tetapi tempat kaum kerabat terdekat yang juga merupakan pusat pemerintahan Laksamana kami tak pergi? Maka singgahlah kami ke makam seorang moyang utama yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor walau harus meredah banjir dan hujan. Lihat Wading to the tomb of Keramat Kuala Bidor...




Sampai ke Teluk Intan terus singgah ke satu-satunya makam Sultan Perak di kawasan Hilir Perak, seorang Sultan yang sangat rapat dengan Laksamana pada zamannya. Sebetulnya terdapat beberapa orang Sultan yang sangat rapat dengan Laksamana pada zaman masing-masing. Cuma  Sultan yang ini sahaja dimakamkan di Hilir Perak yang secara tradisinya memang jajahan pegangan Laksamana. 




Selepas itu kami setakat lalu di bandar Teluk Intan, tidak turun singgah untuk makan atau sebagainya.




Terus pergi ke Batak Rabit yang merupakan pusat keluarga Laksamana belah jalur saya untuk beriktikaf dan bermalam di masjid lama. Untuk pengetahuan kawasan yang terletak sekitar 5 km ke barat bandar Teluk Intan ini pernah menjadi pusat pemerintahan Sultan ke-26 Perak iaitu Sultan Abdullah. Ini adalah Sultan yang dibuang ke Pulau Seychelles akibat dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W. Birch, pada tahun 1875. Moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin sangat rapat dengan Sultan Abdullah lalu turut sama dibuang ke sana. 

Cuma Sultan dapat kembali ke Perak awal lalu kemudian dimakamkan di Bukit Chandan, bukan di Hilir Perak.  Jenazah Laksamana pula cuma menyusul ke makam diraja setelah seabad disemadikan di luar negara iaitu di Singapura. Adapun seperti pada hari sebelumnya (rujuk kembali Laksamana pulang ke Perak? Temu bual yang dipermudahkan) isteri ada membuat live video melalui Facebook di beberapa tempat. Sila tonton melalui pautan-pautan berikut. Semoga memberikan manfaat :-

1. Makam Laksamana Muhammad Amin 

2. Muzium Diraja Perak 

3. Keramat Pulau Semat 

4. Makam Raja Beruas 

5. Makam Raja Beruas lagi 

6. Makam Sultan Muzaffar Syah III 

7.  Makam Sultan Muzaffar Syah II 

8. Makam Sultan Muzaffar Syah I

9. Makam Tok Sego Aceh 

10.  Makam Raja Ahmad 

11.  Keramat Kuala Bidor 

12.  Marhum Durian Sebatang 

13.  Makam Batak Rabit


Tiada ulasan:

Catat Ulasan