Khamis, November 11, 2021

Laksamana pulang ke Perak? Madad ya Rasulullah!

Salam. Setelah beberapa lama sampainya masa untuk menutup cerita perjalanan ke Perak baru ini. Pergi kita ke cerita hari ke-4 dan terakhir perjalanan. Bersambung daripada artikel Laksamana pulang ke Perak? Menjejak leluhur dari hulu ke hilir.



Pagi Sabtu 6 November 2021. Saya masuk ke tandas sejurus sebelum azan Subuh berkemundang. Keluar sahaja dari tandas tengok-tengok air sudah naik di pekarangan masjid.







Ah. Ini dia air pasang luar biasa yang disebut-sebut orang melanda Teluk Intan sejak awal pagi Jumaat. Sebetulnya sebelum bermalam di masjid saya ada singgah di rumah seorang ibu saudara berdekatan. Kata mereka anak beranak air naik sehingga ke paras betis dalam rumah sebelum surut sekitar jam 10. Dijangka keadaan akan lebih teruk pagi Sabtu...



Kata suami ibu saudara air pasang besar yang lebih teruk dan tinggi dijangka mula naik jam 2 pagi. Saya ada terbangun jam 4 lalu mendapat tiada apa-apa berlaku. Rupa-rupanya masuk Subuh baru naik. 



Nasib baik tidak sampai masuk ke dalam masjid. Selepas solat Subuh berjemaah saya mengambil masa untuk berzikir dan membaca Al-Quran...




Selepas jam 7.15 baru tergerak untuk meninjau-ninjau keadaan di luar masjid. Nampaknya persekitaran masih dilanda banjir. Lihat artikel Flood at Batak Rabit di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Adapun masjid lama Batak Rabit ini terletak di tepian Sungai Perak. Saya pun turut meninjau keadaan sungai. Lihat Perak river from Batak Rabit during extraordinary high tide



Ketika duduk di jeti tidak disedari air sudah kembali surut. Ini harus berlaku sekitar jam 7.40 pagi. Tergerak pula untuk naik ke menara masjid bagi menikmati pemandangan sekeliling. Lihat Views from tower of Batak Rabit mosque.



Satu perkara menarik. Di atas menara itu ada atap-atap genting buatan luar negara tertera tahun pembuatan 1865. Ini menunjukkan masjid Batak Rabit sudah didirikan seawal itu. Oh, ketika melihat banjir sehingga didapati surut saya ada membuat rakaman video live di Facebook. Ketika hendak menyambung sehingga ke menara masjid di dapati talian kurang baik lalu saya pun merakamkan video biasa sebelum dimuat naik ke FB. Untuk melihatnya sila klik sini diikuti sini   



Hampir jam 10 baru saya dan isteri keluar meninggalkan masjid.



Masuk bandar Teluk Intan meninjau-ninjau keadaan.



Saya harus bersedia untuk kemungkinan akan dihantar bertugas di sini...









Ada perkara-perkara yang sudah bermain dalam kepala harus dilakukan demi kemaslahatan orang Melayu dan Islam.




Antaranya adalah mencari jalan agar Istana Raja Muda di Teluk Intan yang sudah lama tidak digunakan tidak tergadai kepada bangsa bukan Melayu. Ia tidak semudah memberikan arahan agar tanah dan istana tidak dijual. Harus difikirkan cara bagaimana hendak menyelamatkannya tanpa menjadi beban kewangan. Malah kalau boleh menerbitkan pula pendapatan yang dapat menguntungkan negeri juga orang Melayu dan Islam.



Sekitar jam 10.20 baru keluar dari bandar Teluk Intan. Terus menuju ke Sungkai kemudian mengambil jalan ke Gunung Besout sebelum masuk ke jalan besar menuju ke selatan.



Sampai ke Behrang kami membelok untuk ke jalan menyeberangi Sungai Bernam lalu masuk ke negeri Selangor.



Lalu di masjid lama Sungai Selisek sebelum masuk lebih jauh lagi ke dalam sehingga menaiki puncak bukit dalam kawasan ladang.




Kami mahu menyertai majlis Maulidur Rasul anjuran rakan seperjuangan dalam mendaulatkan Melayu dan Islam.



Dalam majlis-majlis anjuran mereka biasa terdapat ramai hadirin berbusana tradisional Melayu penuh selain mereka yang berjubah berserban...



Pelbagai jenis lagu dan qasidah memuji Allah dan Rasul selalu dimainkan. Antara yang mesti ada adalah "Madad ya Rasulullah" meminta pertolongan melalui syafaat baginda Nabi Muhammad SAW.






Jam 4.30 saya dan isteri masuk kembali ke negeri Perak untuk ke pekan Tanjung Malim.



Kami mahu ke Sarang Art Hub yang kini dikendalikan oleh anak-anak arwah sutradara terkenal Mamat Khalid. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai.



Selain makan petang kami mahu menziarah anak-anak juga pekerja yang rapat dengan Mamat. Kami diberitahu tiada siapa pun menyangka beliau akan pergi penghujung bulan Oktober. Walaupun diketahui ada masalah jantung dan sebagainya beliau dalam keadaan sihat dan bersemangat lalu sentiasa turut bersama membuat persembahan live music di Sarang Art Hub bermain keyboard. Kata seorang anak beliau sedang memainkan lagu Apokalips nyanyian M. Nasir. Sebaik sahaja selesai penutup lagu terus  tumbang tidak sedarkan diri kemudian didapati kembali ke rahmatullah.



Selepas jam 5.30 baru kami meninggalkan Sarang lalu masuk kembali ke negeri Selangor melalui Hulu Bernam.


Sampai ke rumah sejurus sebelum masuk waktu Maghrib. Beberapa lama selepas Isyaq datang dua orang tetamu lalu berbual panjang sehingga jam 4 pagi. Petang Ahad selepas Zohor pula muncul satu jemaah 11 orang membawa sejumlah barangan yang terkait dengan junjungan besar kita Nabi Muhammad Rasulullah SAW. Antaranya adalah potongan kain kiswah dari makam baginda di Masjid Nabawi, Madinah. Itulah yang dilihat dalam gambar. 

Hari Isnin juga Selasa kami menerima tetamu sehingga lewat malam. Semua mahu tahu apa yang berlaku pada majlis suai kenal dan temu bual bagi jawatan Laksamana yang menjadi asbab saya dan isteri berjalan di Perak 3-6 November. Rujuk kembali artikel Laksamana pulang ke Perak? Membuka langkah diiringi doa orang ramai diikuti Laksamana pulang ke Perak? Temu bual yang dipermudahkan. Walaupun amat penat kami tetap berusaha untuk melayan sebaik mungkin setiap orang. Hari Rabu baru tiada tetamu lalu dapatlah berehat. 

Ini belum dapat gelaran, sudah macam-macam perlu dilayan dan difikirkan. Apatah lagi kalau dah dapat? Tak mengapa. Serahkan sahaja urusan kepada Allah SWT. Sebetulnya saya sudah lama memikirkan hal-hal berkenaan, apa yang perlu didahulukan, apa yang boleh dikemudiankan. Sesungguhnya sejak berumur 18 tahun lagi saya sudah diberikan gambaran tentang peranan kepimpinan pada masa hadapan. Yang penting niat tulus mahu mendaulatkan Melayu dan Islam. 

Madad ya Rasulullah. Madad ya Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani. Insyaallah saya tahu apa yang perlu dilakukan. Cuma perlukan lebih kekuatan dan sokongan. Semoga semua orang mendapat kebaikan. Ketika menulis artikel ini saya sedang bersedia untuk membuat perjalanan lebih jauh ke Kedah. Ada panggil kebatinan yang tidak dapat lagi dielakkan. Ini juga melibatkan keturunan dan gelaran Laksamana. Tapi dari belah Kedah kerana moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang di Perak itu pernah beristerikan Wan Long Saadiah binti Wan Mat Saman (Perdana Menteri Kedah) bin Wan Ismail (Laksamana Paduka Raja Kedah). Lalu terbitlah datuk kepada datuk saya yang bernama Arshad.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan