Salam petang Jumaat 24 Muharram 1445 Hijriah. Pergi pada hari ke-3 perjalanan terbaru Perak. Yang ini mungkin terlebih istimewa melibatkan buku. Bersambung daripada artikel Antara perpustakaan dan mahkamah : Dari pesta buku ke pusat Cekak ke hal memerang.
Pagi Selasa 8 Ogos 2023. Saya bersarapan di Sri Kinta, Ipoh bersama seorang rakan. Beliau inilah yang meminta saya untuk berkongsi cerita sejarah melibatkan Panglima Ismail (pengasas Silat Cekak) di pusat latihan Silat Cekak di Manjoi pada malam sebelumnya. Kemudian beliau mengajak bermalam di rumahnya di Pasir Puteh.
Gambar ini pula diambil sekitar jam 1.20 petang ketika hendak meninggalkan Ipoh. Ketika ini sudah selesai sesi perbicaraan bagi hari itu melibatkan harta Laksamana Muhammad Amin di Mekah.
Kes masih lagi berjalan lalu sesi seterusnya dijadualkan berlangsung pertengahan September. Turut dapat diselesaikan hari itu adalah satu perbincangan bagi menaikkan cerita Laksamana Perak seperti dinyatakan dalam buku terbaru saya Laksamana Raja Mahkota & Orang Kaya Arsyad : Perjuangan yang Belum Selesai (terbit 13 Mei 2023).
Dalam artikel pertama siri ini iaitu
Antara perpustakaan dan mahkamah : Pesta Buku Perak 2023 telah dikongsikan buat pertama kali kepada umum bagaimana sebenarnya sejak 2 bulan lalu saya ada pergi dari perpustakaan ke perpustakaan untuk menyumbangkan buku ke-13 saya
Kenangan Kembara Solo Hitchike Eropah Tahun 1995 (terbit Jun 2019). Lalu ia menjadi asbab dapat tahu tentang Pesta Buku Perak 2023 sehingga dapat 'melabuhkan' buku Laksamana di situ.
Maka dalam perjalanan dari Ipoh menghala kembali ke rumah itu saya mencari lagi perpustakaan-perpustaakan awam yang boleh dibuat sumbangan buku. Menggunakan carian dalam Google Map, dapatlah ditemui sejumlah di laluan yang dipilih kali ini iaitu jalan lama ke Kampar membawa ke Tapah diikuti Bidor. Antara yang disinggahi adalah perpustakaan-perpustakaan desa di Sungai Raya (dekat Gopeng), Gunung Mesah Hilir, Kuala Dipang dan Kampung Tualang Sekah.
Sampai di perpustakaan awam Tapah kelihatan seperti petugas sudah sedia menunggu kedatangan saya. "Cepatnya sampai!" kata wanita muda itu. Rupa-rupanya cerita ada orang singgah dari perpustakaan ke perpustakaan di Perak sudah hangat diperkatakan dalam grup WhatsApp mereka. Sampai tahu bahawa saya berada di Pesta Buku Perak 2023, mungkin juga akibat penampilan unik sentiasa bertanjak dan selalu memakai seluar silat itu.
Petugas itu bertanya ke mana saya mahu menghala seterusnya. Saya jawab ke Bidor sebelum kembali ke rumah di Bandar Sungai Buaya. Beliau pun memberitahu tinggal dua sahaja perpustakaan di Perak masih aktif dalam laluan tersebut. Satu di Felda Besout, satu lagi di Kampung Slim. Kata beliau dahulu ada satu di Kampung Poh dekat Bidor tetapi sudah tidak aktif.
Pun begitu saya tetap cuba mencari di Bidor berdasarkan kedudukan-kedudukan yang ditanda dalam Google Map. Satu rupa-rupanya satu tiada bangunan, cuma tanah bersemak. Nampaknya ada orang salah tanda. Kedua, memang ada perpustakaan. Tapi seperti sudah lama tidak dibuka. 'Perpustakaan' yang rupanya satu kawasan bersemak itu dinyatakan sebagai Perpustakaan Desa Kampung Poh. Yang tidak dibuka itu tidak tahu nama tempatnya.
Seterusnya saya mendapati Google Map ada menandakan perpustakaan di suatu tempat bernama Kampung Chang.
Saya pun menghala ke sana. Seingat saya jalan berkenaan belum pernah diambil sebelum ini.
Alhamdulillah. Ketika sampai sekitar jam 5.09 petang ia masih dibuka lalu dapat membuat sumbangan buku.
Ternyata kawasan di situ ramai penduduk Orang Asli. Saya mengambil jalan berkenaan hingga ke hujung kemudian masuk ke ladang kelapa sawit.
Seterusnya saya mengambil satu lagi jalan ke pendalaman yang seperti jalan sebelum ini menghala ke kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa tetapi di belah selatan sedikit.
Yang ini baru betul-betul masuk Kampung Poh. Yang dinyatakan sebagai Perpustakaan Desa Kampung Poh dalam Google Map ternyata memang silap tanda. Oh. Sebelum masuk lebih dalam terjumpa papan tanda ke perpustakaan atas nama Kampung Poh lalu menyumbang buku. Saya diberitahu oleh penduduk tempatan ia masih aktif. Cuma sampai lewat iaitu selepas perpustakaan ditutup jam 5.30 petang.
Nasib baik sekolah di sebelah perpustakaan masih ada orang lalu saya meninggalkan buku (seperti biasa 5 naskah) kepada guru. Beliau berjanji akan menyampaikan kepada perpustakaan siang esoknya. Seterusnya kelihatan masjid ini. Saya pun singgah. Lihat
Masjid (Mosque of) Kampung Poh, Bidor.
Perjalanan diteruskan hingga habis jalan tar lalu masuk jalan batu kasar.
Sampai takat ini cukuplah. Jalan semakin kasar dan mencabar sedangkan saya tidak mahu lagi begitu lasak dengan kereta. Baru sahaja beberapa hari kena repair eksos terjatuh. Mungkin akibat sudah banyak kali tersagat batu-batuan dan sebagainya di jalan-jalan kasar.
Kini dapat ke hulu Bidor. Lebih istimewa lagi airnya mengalir masuk ke Sungai Perak melalui Kuala Bidor di Teluk Intan. Di sekitar kuala Sungai Bidor itulah keluarga Laksamana Raja Mahkota pernah berpengkalan sejak 300 tahun lalu. Disebabkan itu Laksamana pertama dikenali sebagai Tok Kuala Bidor dan kami ada moyang jauh lebih awal yang dikenali sebagai Keramat Kuala Bidor.