Salam semua. Adapun saya ini baru sahaja kembali daripada satu lagi perjalanan di Perak, Sampai rumah selepas jam 1 pagi, setelah 5 hari 5 malam bermusafir seorang diri untuk melakukan bermacam perkara, antaranya mendaki Bukit Larut di Taiping dan berjalan kaki ke tengah kuala Sungai Perak di Bagan Datuk. Seperti biasa aktiviti-aktiviti ini melibatkan hal darah keturunan. Sekarang biar dimulakan perkongsian.
Perjalanan bermula apabila meninggalkan rumah jam 6 petang Rabu 13 September 2023.
Sejak pertengahan tahun lalu, kebanyakan perjalanan ke Perak berlaku atas asbab mahu menghadiri perbicaraan di mahkamah syariah di Ipoh berkenaan pampasan harta moyang, atau lebih tepat moyang kepada datuk iaitu Laksamana Muhammad Amin di Mekah.
Boleh kata hampir setiap bulan saya ke Ipoh supaya tahu dan dapat menjadi saksi perjalanan perbicaraan. Kali ini perbicaraan dijadualkan berlangsung 2 hari berturut iaitu pada pagi Khamis dan Jumaat 14-15 September.
Oh. Merujuk pada artikel-artikel di CATATAN SI MERAH SILU sebelum ini iaitu Tepat 17 tahun kembalinya jasad Laksamana Muhammad Amin ke Perak yang dipersembahkan pada pagi Sabtu 9 September diikuti Dari Webinar impromptu Laksamana Muhammad Amin ke perkongsian tentang ketokohan dan perjuangan di Book Haven pagi Isnin 11 September. Semuanya terkait kerana melibatkan hal Laksamana yang pernah dibuang ke Pulau Seychelles kerana dikatakan terlibat dalam pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch pada 2 November 1875.
Sebelum itu iaitu pada petang Khamis 5 September saya telah menghadiri mesyuarat jawatan kuasa keluarga di Selayang tentang harta Laksamana. Yang ini lebih pada tindakan seterusnya di Arab Saudi, lain tetapi terkait dengan perjalanan perbicaraan di Ipoh yang lebih pada bagi menentukan siapa yang layak mendapat bahagian faraid pampasan. Tiba-tiba lewat petang itu mendapat berita bahawa anak yang belajar di sekolah Ma'ahad di Janda Baik dibenarkan pulang bercuti sehingga hari Isnin. Malam itu bergeraklah ke sana dari Selayang untuk mengambilnya.
Petang Isnin 11 September saya menghantar anak kembali ke Janda Baik kemudian bermalam di rumah bapa angkat, penulis buku politik terkenal S.H.Alattas @ Pak Habib. Esoknya petang Selasa 12 September singgah di kampus utama Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di Gombak untuk urusan-urusan akhir tesis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Masih ada beberapa perkara perlu diselesaikan sebelum dapat menerima ijazah, insyaallah pada konvokesyen penghujung November. Apa yang hendak diberitahu, ada sahaja urusan atau perkara perlu dilakukan sehingga ketika memulakan perjalanan baru ke Perak petang Rabu 13 September pun saya sebenarnya sedang berhubungan dengan pihak berkenaan melalui WhatsApp tentang poin-poin akhir bagi mencantikkan lagi tesis yang walaupun sudah lulus, masih perlu dilakukan pembetulan dan penambahbaikan macam-macam.
Sampai di pekan Bidor selepas masuk waktu Maghrib singgah untuk bersolat di masjid jamek. Lihat artikel Rupa baru (New look of) masjid jamek (the main mosque of) Bidor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tengok-tengok terjumpa seorang kenalan Facebook yang ada hubungan persaudaraan, melalui nasab Perdana Menteri Kedah Wan Mat Saman. Sekadar memaklumkan. Menurut salasilah kami, Wan Mat Saman pernah datang ke Perak lalu mengahwini seorang wanita Bidor. Anak sulung melalui perkahwinan tersebut, Wan Long Sa'adiah berkahwin dengan Laksamana Muhammad Amin lalu dapat datuk kepada datuk saya, Orang Kaya Arshad. Seorang lagi anak bernama Wan Mat Zain. Saudara yang ditemui di masjid Bidor adalah daripada keturunan beliau.
Macam-macam kami berbual di sebuah kedai makan sebelum saya menyambung perjalanan. Sampai ke Tapah sudah jam 9.30 malam.
Ini kalau tak salah ingatan adalah di Kampar 20 minit kemudian.
Sampai ke pinggir selatan pusat bandar raya Ipoh dekat jam 10.30.
Perjalanan diteruskan ke masjid lama Kepayang di timur Ipoh lalu sampai jam 1040. Sejak pertama kali sampai awal November tahun lalu saya ada menyimpan niat untuk bermalam di situ. Lihat Misi keluarga Laksamana part VI - Harta pusaka di Mekah dan hal kebenaran salasilah. Sepatutnya hajat ini sudah ditunaikan apabila ke Ipoh sebulan lalu. Tetapi disebabkan kawan mengajak ke pusat latihan Silat Cekak di Manjoi kemudian bermalam di rumahnya di Pasir Puteh, hajat itu pun ditanggung sehinggalah baru ini. Lihat Antara perpustakaan dan mahkamah : Dari pesta buku ke pusat Cekak ke hal memerang.
Hampir segenap sudut masjid ini dikelilingi kubur-kubur lama dan baru. Selain beriktikaf di masjid saya juga ingin menziarahi sebuah makam lama. Kalau tak salah ia menempatkan jasad Panglima Kinta ke-7 yang dikenali sebagai Tok Jabor. Beliau meninggal dunia 150 tahun lalu atau lebih. Gambar ini diambil jam 11.32 malam. Menurut ceritanya inilah Panglima Kinta terakhir daripada cabang besar keluarga yang dikenali sebagai Pasak Kepayang. Sebelum itu pemegang jawatan digilirkan dengan satu lagi cabang besar yang dikenali sebagai Pasak Paloh. Sejak Tok Jabor meninggal semuanya daripada Pasak Paloh.
Tadi saya menghadapi masalah apakah hendak diberi nama tajuk utama siri perjalanan baru ke Perak ini lantaran sudah agak selalu sangat ke sana sejak lebih setahun kebelakangan, selalunya keluar sehingga berhari-hari. Kemudian baru teringat. Ini adalah perjalanan pertama sejak 9 September 2023 iaitu hari ulang tahun ke-17 jasad Laksamana Muhammad Amin dikembalikan ke Perak iaitu selepas 102 disemadikan dalam buangan di Singapura. Rujuk balik cerita berkenaan dalam artikel Tepat 17 tahun kembalinya jasad Laksamana Muhammad Amin ke Perak. Maka itu biar siri diberi tajuk "Perak selepas 9 September".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan