Isnin, September 11, 2023

Dari Webinar impromptu Laksamana Muhammad Amin ke perkongsian tentang ketokohan dan perjuangan di Book Haven

Salam semua. Dalam artikel  Tepat 17 tahun kembalinya jasad Laksamana Muhammad Amin ke Perak yang dipersembahkan pagi Sabtu 9 September ada diberitahu bahawa pada jam 2.30 petang mahu diadakan satu Webinar ringkas melalui Zoom yang diaturkan sendiri secara impromptu iaitu tiba-tiba dengan bantuan isteri. Turut diberitahu, petang Sabtu 10 September pula saya dijadualkan mengisi sebahagian daripada slot jam 5.30 hingga 6.30 petang pesta buku Book Haven di Strand Mall, Kota Damansara dengan cerita Laksamana. Sekarang biar dikongsikan cerita.



Sampai waktunya webinar berkenaan pun diadakan pada waktunya. Lihat video atas. Oh. Sekadar membetulkan satu kesilapan. Saya ada menceritakan bagaimana kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberi nama KD Laksamana Muhammad Amin asalnya ditempah oleh tentera laut Iraq daripada satu limbungan di Itali. Namun ia kemudian dilarang daripada diambil Iraq kerana menyerang Kuwait tahun 1982.

Saya tersilap ingatan. Serangan Iraq terhadap Kuwait sebenarnya berlaku tahun 1990 sedangkan kapal ditempah tahun 1981 lalu siap 1983. Larangan sebenarnya berlaku kerana Iraq berperang dengan Iran 1980-1988. Lalu kapal yang sudah siap tersadai lama di limbungan sebelum Malaysia mengambil alih membelinya.




Oh. Webinar percuma (yang sebenarnya dikategorikan sebagai meeting sahaja) cuma dihadkan kepada 40 minit. Selepas itu dibuat satu sesi susulan bermula jam 3.15 petang bagi soal jawab. Namun saya tak nampak apakah direkod atau tidak. Ini kerana tak jumpa butang rekod. 

Sepatutnya butang ditekan sebelum membuat perkongsian paparan dalam komputer (misalnya slaid Powerpoint) seperti dilakukan pada pembentangan awal. Butang tersebut ada di bahagian bawah skrin tetapi hilang sebaik sahaja perkongsian paparan dibuat. Walaupun sesi susulan itu dikhaskan bagi soal jawab sebenarnya ia banyak berkongsi maklumat dan paparan daripada buku berkenaan iaitu buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai, buku ke-14 saya.  Rujuk artikel Penat lelah menjayakan buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad untuk mengetahui lebih lanjut tentang buku.




Melalui sesi soal jawab dapat ditunjukkan seluruh 576 muka surat buku dalam bentuk PDF. Dengan itu ditunjukkan sekali gambar dua keping geran bagi dua lot tanah Laksamana Muhammad Amin di Mekah yang dibeli  melalui wakil melibatkan beberapa transaksi antara tahun 1889 hingga 1895. Ini adalah tempoh segala macam urusan daripada membayar duit muka membawa kepada bayaran keseluruhan lalu akhir sekali pengesahan muktamad dibuat oleh mahkamah sana selesai. Setahu saya belum ada lagi buku atau makalah memaparkan geran sebegitu, mengikut cara kerajaan Uthmaniyah (kerana menaungi pemerintahan tempatan di Mekah), sehinggalah ia keluar dalam buku Laksamana.




Sebetulnya sesi susulan itu merupakan kali pertama saya sendiri memaparkannya kepada umum selain paparan dalam buku. Ah. Rugi ia tidak dapat direkodkan kerana terkandung banyak penerangan tambahan.




Tak mengapalah. Nak buat bagaimana? Nasib baik dapat juga mengejar sesuatu sempena hari itu 9 September 2023 tepat 17 tahun jenazah Laksamana dikembalikan ke Perak selepas disemadikan dalam buangan di Singapura selama 102 tahun. Ada juga video yang boleh dikongsikan dan dipanjangkan ke mana-mana demi menaikkan nama Laksamana Muhammad Amin juga membela maruah keluarga secara keseluruhan.




Ahad 10 September selepas anak-anak selesai menjalani latihan silat di Bukit Beruntung kami ke Cyberjaya untuk menghadiri majlis perkahwinan anak bongsu kepada guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. 




Majlis diadakan di suatu bangunan bernama Skypark.



Bergambar bersama pengantin. Yang lelaki adalah anak bongsu Prof.




Bergambar bersama guru juga adik sepupu saya (berdiri kanan) dan suami beliau, seorang pensyarah di UIA (Universiti Islam Antarabangsa). Untuk pengetahuan ISTAC terletak di bawah naungan UIA. Suatu kebetulan tidak dirancang. Osman ada seorang menantu lelaki Mesir yang menyambung pengajian di ISTAC. Penyelia tesis beliau adalah suami sepupu iaitu Assistant Professor Dr Husaini Jamil. Tetapi Husaini tidak tahu. Sampailah satu hari lebih setahun lalu saya bertandang ke rumah bapa sepupu lalu pasangan ini kebetulan ada sekali bertandang.

Kata Hussaini ada anak murid beliau bernama sekian sekian hendak datang kemudian untuk berbincang hal tesis. Mendengar nama baru saya beritahu itu menantu Prof Osman. Beliau terperanjat kerana sangat memandang tinggi Osman. Tidak lama kemudian isteri iaitu sepupu saya pula menyambung pengajian ke peringkat PHD di bawah penyeliaan guru saya itu.




Selepas itu saya, isteri, sepupu dan suaminya naik ke tingkat tertinggi bangunan untuk melihat pemandangan. Lihat artikel Views from Skypark in Cyberjaya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.



Seterusnya saya dan isteri ke Jenderam Hilir untuk satu majlis tahlil di rumah rakan sekerja beliau.




Cuma kami sampai lambat lalu sekadar jumpa orang dan makan-makan. Tuan rumah berpangkat bos kepada isteri. Tengok-tengok ada sekali satu pasangan tetamu berumur yang sebelum itu turut berada di majlis Prof Osman lalu menegur saya. Isteri beliau orang Muar, begitu juga bapa mertua tuan rumah lalu bercerita...





Selepas itu baru ke Strand Mall untuk menyertai pesta buku Book Haven. 




Kami sampai cuma beberapa minit sahaja sebelum slot perkongsian ilmu jam 5.30 petang bermula. 




Untuk pengetahuan acara bernama Book Haven ini baru pertama kali diadakan, atas inisiatif seniman dan budayawan Raja Ahmad Aminullah yang sudah agak lama menyewa satu lot kedai berdekatan ruang acara. Lihat Book Haven at the Strand Mall, Kota Damansara



Alhamdulillah dapatlah membuat perkongsian tentang Laksamana Muhammad Amin, ketokohan dan perjuangan setelah beberapa orang lain berkongsi ilmu/cerita. 




Boleh lihat rakaman yang dibuat pihak penganjur. Untuk bahagian saya sila terus ke minit 58.





Rakaman yang dibuat oleh isteri. Beliau sebenarnya membuat siarang langsung Tik Tok. Tetapi lewat malam tadi di rumah baru dapat tahu cara bagaimana hendak memasukkan ke Youtube. 





Dengan itu juga dapat juga meletakkan rakaman daripada siaran langsung Tik Tok bagi Webinar petang Sabtu 9 September. Ada bahagian awal seperti tersiar pada permulaan artikel. Cuma tidak nampak persembahan slaid. Terus bersambung dengan bahagian soal jawab yang saya tidak dapat rakam. Kali ini ditunjukkan sekali paparan dalam komputer berupa isi buku Laksamana dalam bentuk PDF. 




Syukur, Alhamdulillah. Puas hati kerana dapat melaksanakan apa yang diinginkan sempena Sabtu 9 September  tepat 17 tahun jenazah Laksamana Muhammad Amin dibawa kembali ke Perak. Siap layan karaoke di pentas malam itu. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,424 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan