Salam semua. Sukacita dimaklumkan saya dan keluarga baru sahaja 3 hari kembali daripada perjalanan ke Pantai Timur. Hampir-hampir sahaja perjalanan dibatalkan akibat masalah banjir dan tanah runtuh yang menyebabkan banyak laluan ditutup atau berbahaya untuk dilalui akibat hujan lebat lebih 48 jam yang melanda banyak tempat di Semenanjung lebih seminggu lalu. Sekarang, selepas cukup surut penat bolehlah mula dikongsikan cerita.
Adapun sudah menjadi kebiasaan bagi saya dan isteri ke Pantai Timur hampir setiap penghujung tahun sejak lebih 10 tahun. Ini kerana dua anak isteri dengan bekas suami pernah duduk di Kelantan bersama bapa saudara mereka lalu kami pun ke sana apabila masuk cuti sekolah. Perjalanan ke Pantai Timur kali ini terasa wajib dibuat atas panggilan tertentu. Kali terakhir ke sana adalah pada bulan April tahun 2019 dan panggilan kali ini juga terkait dengan perkara sama. Lihat artikel-artikel berikut :-
Asalnya kami bercadang untuk memulakan pada hari Ahad 19 Disember 2021. Tetapi ini dipercepatkan menjadi Sabtu 18 Disember supaya dapat menghadiri satu majlis di Tanjung Malim kemudian menuju ke Pantai Timur tanpa perlu kembali ke rumah.
Dari rumah di Sungai Buaya, Rawang adalah lebih dekat mengambil Lebuh Raya PLUS ke Tanjung Malim. Tetapi sengaja diambil jalan jauh melalui Serendah membawa ke Batang Kali kemudian ke Kuala Kubu Bahru supaya dapat singgah di tempat yang kelihatan ini, Alor Lempah di KKB. Kami pergi kerana anak-anak menuntut mahu mandi sungai setelah kali pertama dibawa ke sana pada hari Rabu 15 Disember. Ketika itu kami ke KKB kerana mahu membuat kad pengenalan anak. Selesai urusan timbul rasa untuk membawa mereka naik ke Bukit Fraser kemudian singgah di tempat ini. Tetapi ketika itu tidak membawa baju mandi mahupun apa-apa baju lebihan kerana tak terfikir pun hendak berjalan jauh mahupun mandi sungai ketika itu. Itupun yang anak-anak merasa tidak puas...
Oh. Kami keluar dari rumah pada jam 2.45 petang dalam keadaan hujan lebat tak henti-henti sejak hari Jumaat. Ketika sampai ke Alor Lempah yang merupakan tinggalan daripada empangan zaman British di Sungai Selangor pun hujan masih lebat lalu air sungai deras dan keroh. Kalau anak-anak mahu mandi insyaallah akan saya temankan juga di bahagian yang cukup selamat dan saya mampu jaga. Nasib baik mereka sendiri membatalkan setelah melihat keadaan lalu kami pun meneruskan perjalanan ke Tanjung Malim melalui jalan lama.
Jam 4.26 gitu sampailah ke tempat tujuan di Tanjung Malim iaitu Sarang Art Hub.
Ada majlis dipanggil Anjung Tradisi 3.0.
Ia merupakan edisi ketiga majlis berbusana tradisional Melayu atas nama Anjung Tradisi. Acara ini tercetus lebih 4 tahun lalu akibat satu rancangan berkenaan antara saya dengan penyelenggara tempat, sutradara filem terkenal Mamat Khalid. Lihat artikel Malam Anjung Tradisi di Sarang Art Hub - Satu langkah persediaan untuk menyambut HIKMAH di sana di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) diikuti Anjung Tradisi 2018 di Sarang Art Hub - Mengomel sikit tentang keMelayuanlah pulak....
Sayangnya Mamat meninggal dunia secara mengejut, katanya akibat masalah jantung 2 bulan lalu. Balunya ada memberitahu hampir sahaja hendak menutup tempat (dahulunya rumah rehat Tanjung Malim) kalau tidak kerana ramai yang memujuk agar ia terus dibuka kerana mereka sukakan suasananya.
Kami sendiri datang untuk menunjukkan sokongan terhadap arwah dan keluarga yang sudah dikenali sejak tahun 2013 lagi. Jam 6 lebih bermulalah sesi tahlil untuk arwah... saya minta agar dipanjangkan niat pahalanya bagi semua pejuang Melayu. Kelihatan dalam gambar berbaju oren anak sulung arwah, Amen Khalid. Beliaulah kini yang menggalas tugas sebagai ketua keluarga juga menjaga Sarang Art Hub malah menyambung kerja-kerja bapanya sebagai sutradara, sekurang-kurangnya bagi filem-filem yang masih dalam pembikinan...
Malam selepas jam 8 diadakan pula sesi rasmi penutup majlis. Hadir sebagai VVIP adalah Orang Besar Jajahan bagi daerah Muaalim, Dato' Ir. Dr. Safry Kamal. Saya pula telah diminta duduk di sebelah beliau sepanjang sesi. Mungkin kerana menghormati perhubungan saya dengan arwah Mamat Khalid juga reputasi dalam kalangan aktivis busana tradisional Melayu juga para pesilat.
Persembahan silat khas pun diadakan para tetamu kehormat. Gambar tadi dan seterusnya diambil daripada tempat duduk saya di sebelah VVIP yang juga merupakan pemegang gelaran Toh Paduka Setia, seorang daripada Orang Besar 16 negeri Perak.
Isteri ada mengambil gambar saya bersama VVIP. Kelihatan paling kiri pula adalah Dekan Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif Universiti Pendidikan Sultan Idris, Prof. Madya Dr. Mohd Zahuri Khairani.
Selepas itu kami duduk makan malam di meja tetamu khas. Sambil itu diadakan persembahan silat daripada beberapa kumpulan untuk tatapan umum. Sempatlah saya bercerita panjang lebar dengan VVIP tentang hal ehwal pentadbiran negeri Perak, dapat juga bersoreh tentang asal usul keturunan. Beliau memberitahu berasal daripada keturunan Long Ja'afar sedangkan isterinya pula saudara dekat dengan pemegang gelaran Laksamana Raja Mahkota Perak yang meninggal dunia hampir setahun lalu. Nah, Rupa-rupanya ada kaitan keluarga juga dengan saya...
Oh. Isteri saya ada membuat sejumlah rakaman video sekitar majlis secara langsung ke Facebook. Boleh tonton di Video 1 dan Video 2.
Pembetulan : Pada awal artikel ada disebut bahawa perjalanan ke Pantai Timur ini dibuat atas panggilan tertentu dan kali terakhir kami ke sana adalah pada bulan April 2019. Bila disemak kembali hal rupa-rupanya kami ada ke Pantai Timur lagi pada penghujung tahun 2019. Ketika itu dalam rangka perjalanan ke Krabi di pantai barat selatan Thailand lalu kembali melalui Pantai Timur Malaysia. Lihat artikel Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Kota Bahru dan laluan Pantai Timur diikuti Perjalanan Krabi dan selatan Thailand Disember 2019 - Menutup gerak di Terengganu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan