Khamis, Disember 30, 2021

Pantai Timur penghujung 2021 - Cabaran akibat hujan lebat luar biasa

Masuk cerita hari ke-2 perjalanan ke Pantai Timur baru ini. Bersambung daripada artikel Pantai Timur penghujung 2021 - Membuka secara tradisi di Sarang Art Hub.


Pagi Ahad 19 Disember 2021 sekitar jam 7.18. Pemandangan kelihatan begitu cantik dari rumah kawan di Bukit Tinggi Pahang. Terasa seperti mendapat 'hadiah' setelah bersusah payah meredah hujan lebat dari Tanjung Malim melalui jalan Batang Kali ke Genting Higlands lewat malam sebelumnya. Lihat artikel Fine views from Bukit Tinggi after heavy rain di blogspot BERPETUALANG KE ACEH



Cuma langit terus mendung kemudian ada hujan rintik-rintik. Beginilah keadaan ketika kami sedia untuk meninggalkan rumah kawan jam 1.51 petang.




Tidak disangka dan tak tahu pun bahawa sudah berlaku malapetaka di banyak tempat. Yang kami tahu laluan dari Tanjung Malim kemudian menaiki gunung kelihatan elok walau hujan lebat. Cuma ketika mendaki Bukit Tinggi sahaja ada 4-5 tempat pokok tumbang dan 2-3 tempat tanah runtuh. Paling teruk adalah seperti yang kelihatan dalam gambar. Halangan lain boleh dielakkan dengan memandu ke tepi...




Tanah runtuh yang ini tidak dapat dielakkan kerana melimpah sehingga ke seberang jalan. Pada malam sebelum itu kami berjaya melepasinya, begitu juga kawan pemilik rumah dengan satu kereta dan seorang kawan lain dengan satu kereta. Kami pun cuba lagi melepasi tanah runtuh.  Kali ini tak boleh. Keadaan lebih teruk berbanding semalam lalu tayar tersangkut dalam selut dan pasir. 

Adapun kereta mula tersangkut sebelum jam 2.10 petang. Gambar ini diambil pada 2.13 jam setelah mencuba beberapa kali untuk melepaskan tetapi tidak berjaya. Setakat kami anak beranak tak cukup tenaga dan tiada peralatan membantu. Kami pun menelefon kawan yang memiliki rumah bagi mendapat pertolongan. 




Gambar ini pula diambil jam 2.48 petang. Kami masih menunggu pertolongan sampai. Kebetulan ada papan tanda lambang tengkorak menandakan kawasan ini memang berbahaya. Kelihatan juga air terjun yang terbentuk akibat tanah runtuh. Sebelum ini tidak ada air terjun...




Gambar ini pula diambil pada jam 3.08. Kereta sudah berjaya dibebaskan dengan pertolongan kawan. Beliau turun dengan satu kereta bersama 3 orang pekerja dalam kereta lain. Mereka membawa sebatang cangkul dan sebatang penyodok lalu kami sama-sama mengalihkan pasir selut yang menyebabkan tayar kereta tersangkut. Selepas itu kami menolak kereta sambil isteri menekan minyak mengundur ke belakang. Lepas sahaja kereta semua orang menjerit "Horay!" kegembiraan.



Beginilah keadaan kereta selepas berjaya dibebaskan.




Kemudian baru teringat bahawa jalan di Bukit Tinggi ini berbentuk satu lingkaran besar. Ertinya boleh cuba turun bukit melalui jalan sama tetapi di bahagian lain bukit dengan mengelakkan tanah runtuh tadi. Tapi perlu naik dahulu ke kawasan Berjaya Hills Resort di puncak sebelum turun di bahagian yang berlawanan. Cuma tak pasti boleh lepas ke tidak, takut ada tanah runtuh lagi menghalang.

Nasib baik ada sejumlah pekerja Resort sedang membuat tinjaun lalu memberikan jaminan boleh turun bukit melalui jalan sebelah sana. Namun kami juga diberitahu jalan menuju ke Pantai Timur sedang bermasalah. Hujan lebat yang berpanjangan dari hari Jumaat sehingga melepasi hari Sabtu telah menyebabkan banyak kawasan banjir dan tanah runtuh teruk. Lalu susur keluar ke timur dari Bukit Tinggi sudah ditutup dengan blok-blok batu besar. Yang tetap terbuka adalah susur keluar ke barat untuk ke Lembah Klang.




Hal ini membuatkan isteri terasa elok dibatalkan sahaja perjalanan lalu kembali ke rumah. Saya jawab sabar dahulu. Elok tidur lagi satu malam di Bukit Tinggi kemudian lihat bagaimana keadaan keesokan hari. Oleh kerana kami tidak boleh berjalan jauh saya mengajak isteri membawa anak-anak makan angin di Resort dekat puncak. Kawan yang asalnya bercadang mahu kembali ke rumah utama beliau di Petaling Jaya  pula mengajak pergi ke pekan Bukit Tinggi yang terletak menghampir Janda Baik kerana mahu membeli bekalan makanan. Kami pun meletakkan kereta berdekatan Resort lalu naik kereta beliau.




Ketika itulah dapat melihat sendiri susur keluar dari Bukit Tinggi ke Bentong (menuju ke Pantai Timur) telah ditutup dengan blok-blok batu besar. Untuk pengetahuan nama Bukit Tinggi ada yang merujuk pada kawasan peranginan di atas bukit, ada merujuk pada pekan Bukit Tinggi di bawah kira-kira 5 km ke barat dari pintu masuk jalan ke kawasan peranginan. Masuk ke Lebuhraya Karak menuju ke pekan kelihatan kereta dari arah Kuala Lumpur berderet-deret tersangkut. Semasa gambar ini diambil jam 4.02 kenderaan sudah mula disuruh berpatah balik dengan membuat pusingan entah di mana, agak jauh ke arah timur dari jalan masuk ke kawasan peranginan, mungkin di Hutan Lipur Lentang.




Kami dapat bergerak lancar kerana mengambil arah berlawanan. Di pekan Bukit Tinggi saya menemui ramai pemandu yang terkandas tidak dapat meneruskan perjalanan ke arah Pantai Timur akibat banjir dan hujan runtuh. Ada yang baru berpatah balik di Lebuh Raya Karak, ada yang berpatah balik dari jalan lama Kuala Lumpur ke Bentong. Ada pula yang masuk setelah melihat kesesakan seperti ditunjukkan dalam gambar tadi. Antara mereka ada yang masih mengira-mengira mungkin masih ada jalan atau laluan alternatif ke Pantai Timur. Atau boleh tunggu barang sejam dua untuk keadaan cukup pulih lalu jalan dibuka?




Selesai membeli keperluan sekitar jam 5 kami menghala kembali  ke rumah kawan melalui laluan yang kurang bermasalah. Bukan tidak ada tanah runtuh dan pokok tumbang, cuma tidak teruk sampai menghalang. Ketika itu tidak ada lagi kesesakan malah tidak kelihatan pun kenderaan lain menuju ke timur. Didapati bahagian berkenaan di Lebuh Raya Karak sudah ditutup dengan blok-blok batu besar. Ada kon sepanjang jalan menunjukkan jalan dua lorong telah dijadikan satu lorong supaya kenderaan boleh berpatah  balik sebelum bahagian yang ditutup. 




Sampai ke tempat  meninggalkan kereta kami pun turun lalu membawa anak-anak ke Resort. Singgah dahulu di masjid yang kelihatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Berjaya Hills Resort, Bukit Tinggi di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Di Resort hampir tidak kelihatan langsung pengunjung walau hujung minggu...










Jam 6.13 petang baru sampai kembali ke rumah kawan...




Selepas itu baru menonton berita lalu mendapat tahu betapa teruknya kesan hujan lebat di banyak tempat, hujan luar biasa sehingga dikatakan hujan sebulan turun dalam tempoh 2 hari. Baru juga mengikuti perkembangan melalui media sosial Facebook dan WhatsApp. Ternyata apa yang kami alami cuma sedikit sahaja Tuhan bagi rasa. Sedangkan di tempat-tempat lain ada kediaman dan kenderaan tenggelam, ada tanah runtuh jauh lebih teruk yang kesannya berpanjangan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan