OK. Masuk ke bahagian pengembaraan yang berlaku pada hujung minggu lalu. Bersambung penceritaan daripada artikel Iktikaf penghujung Ramadhan tahun 2021 - Mukadimah di Kuala Langat.
Dalam artikel sebelum ini ada disebut saya telah memulakan usaha bagi mengatur beberapa perjalanan lama supaya dapat dibentuk suatu senarai. Hal ini dinyatakan dalam artikel Akibat PKP - Persediaan untuk senarai 50 perjalanan terjauh dalam ingatan 4 Februari. Lebih dua bulan setengah kemudian senarai dapat dibentuk. Lihat Senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa.
Namun didapati ia tidak cukup untuk menganalisa tren/corak perjalanan saya sejak tahun 1989. Lebih banyak perjalanan perlu diambil kira lalu semakan perlu dilakukan ke atas semua artikel yang dikongsikan sejak blogspot ini dibuka penghujung tahun 2006. Itupun baru satu proses, masih ada lagi perlu dilakukan. Lihat Lain-lain perjalanan jauh yang harus diambil kira - Satu proses perlu bagi melengkapkan analisis.
Ketika ke Tanjung Sepat 1 Mei bersamaan 19 Ramadhan proses seterusnya iaitu membuat kompilasi bagi perjalanan-perjalanan yang ada dikongsikan ceritanya di blogspot tetapi belum dibuat kompilasi hampir sampai ke penghujungnya. Tengah malam itu Ahad 2 Mei sudah berjaya membuat senarai cukup komprehensif. Itupun didapati masih lagi perlu diperbaiki dengan dibuat beberapa lagi cerita perjalanan yang sebelum ini diabaikan sahaja kerana merasa tidak perlu. Lihat Perjalanan-perjalanan lain yang perlu diambil kira - Lagi proses yang perlu untuk melengkapkan analisis. Lalu proses seterusnya iaitu mengeluarkan senarai perjalanan yang sudah dibuat kompilasi berserta lakaran laluan dalam peta dimulakan setelah kembali ke rumah malam itu 21 Ramadhan.
Oleh kerana ia melibatkan lebih 100 perjalanan berserta peta maka senarai pun dikeluarkan 10 demi 10 sehingga yang terakhir mengandungi 13 perjalanan. Sampai pada set senarai ke-8 iaitu pada hari Rabu 5 Mei terlihat cerita perjalanan beriktikaf ke masjid-masjid penghujung tahun 2018 lalu timbul rasa rindu untuk melakukannya. Lihat artikel Lain-lain perjalanan yang perlu diambil kira berserta peta : 81 hingga 90 diikuti Iktikaf 10 hari terakhir Ramadhan 2018. Namun sehari sebelum itu iaitu pada 4 Mei telah dikeluarkan pengumuman PKP diperketatkan kembali bagi negeri Selangor berkuatkuasa bermula 6 Mei. Penduduk enam daripada sembilan buah daerah dilarang membuat perjalanan rentas daerah. Penduduk baki tiga sahaja boleh keluar antara daerah.
Kerinduan membuat saya menulis lalu memaparkan artikel Tentang beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir... jam 11.55 malam. Ia ditulis sebaik sahaja selesai mengeluarkan senarai. Cuma tu le. Bermula tengah malam PKP baru berkuatkuasa sedangkan baru 3 hari sebelum itu berangan hendak berjalan pusing negeri seperti dinyatakan dalam artikel permulaan siri iaitu Iktikaf penghujung Ramadhan tahun 2021 - Mukadimah di Kuala Langat. Itu yang membuat saya menulis ayat-ayat berikut pada penghujung artikel iktikaf...
2021 - Bermula 2 Mei. Setakat ini tiada kena mana-mana lagi. Walau PKP tidak seketat dahulu kerana boleh rentas daerah cuma tak boleh rentas negeri tetapi bermula Khamis 6 Mei cuma penduduk dalam 3 buah daerah sahaja boleh merentas antara daerah-daerah berkenaan. Penduduk 6 buah lagi daerah tidak boleh keluar dan orang luar pula tak boleh masuk atau merentas kawasan. Nak bermalam di masjid di luar kawasan nampak seperti tiada jalan. Nampaknya tahun ni iktikaf kat rumah pokok aje le...
Oh. Bermula 2 Mei itu maksudnya 10 hari terakhir Ramadhan bermula pada tarikh tersebut. Maksudnya sepatutnya sudah dimulakan pengembaraan iktikaf masjid ke mana-mana seperti biasa dilakukan sejak beberapa tahun lalu. Lihat senarai tahunan dalam Tentang beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir....
Pun begitu kerinduan bertandang lagi hari Khamis. Masuk malam Jumaat 25 Ramadhan iaitu selepas berbuka dan bersolat Maghrib ia tidak dapat ditahan lagi lalu saya pun merangka satu rancangan perjalanan yang tidak melanggar PKP. Ini adalah berdasarkan tiga daerah sahaja dalam negeri Selangor boleh dibuat perjalanan merentas daerah. Ia adalah Kuala Selangor, Bernam dan Hulu Selangor.
Adapun rumah saya terletak di dalam daerah Hulu Selangor. Begitulah halna walaupun alamat taman perumahan diletakkan atas nama dan poskod Rawang dalam daerah Gombak, satu daripada enam daerah yang dilarang rentas daerah. Maka itu saya boleh masuk ke Bernam juga Kuala Selangor. Setelah mengkaji sempadan daerah-daerah di negeri Selangor dapatlah dilakarkan satu peta perjalanan lalu dikongsikan dalam grup WhatsApp Kelab Buku Merah Silu. Lihat peta berkenaan di sini.
Dengan itu saya bercadang untuk keluar hari Sabtu supaya boleh bermalam 27 Ramadhan atau Malam Tujuh Likur di mana-mana masjid. Esoknya lewat Ahad kembali ke rumah. Tetapi disebabkan isteri mengingatkan supaya membuat satu urusan bank terfikirlah untuk melakukannya di Kuala Kubu Baru petang Jumaat waktu bekerja. Tengok-tengok di sana tiada cawangan bank berkenaan, yang ada ke utara dari Lembah Klang dalam negeri Selangor adalah di bandar Rawang sahaja tapi tak boleh masuk.
Alang-alang sudah terbetik dalam fikiran untuk pergi ke KKB hari Jumaat saya pun bercadang untuk keluar beriktikaf lebih awal. Isteri tiada masalah kerana anak-anak pun tidak bersekolah. Dengan itu bergeraklah saya memulakan pengembaraan pada 25 Ramadhan.
Gambar-gambar sebelum ini menunjukkan saya bergerak ke masjid terdekat iaitu di Kampung Sungai Buaya dua kilometer setengah sahaja dari rumah. Saya ke sana dahulu untuk menunaikan solat Jumaat membawa bersama seorang anak laki-laki bujang. Selepas solat kembali ke rumah untuk menyelesaikan dahulu artikel Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997 - Turun dan kembali ke Kuala Lumpur lalu memaparkannya. Ia adalah artikel terakhir dalam siri berkenaan.
Selepas itu baru bergerak meninggalkan rumah sekitar jam 3. Gambar atas diambil ketika mendekati simpang Sungai Choh untuk mengambil jalan lama menghala ke Tanjung Malim, Perak. Walaupun baru itu meninggalkan kawasan, persinggahan ke masjid berdekatan rumah harus dimasukkan dalam kira-kira keseluruhan perjalanan iktikaf . Ini kerana di situ pun sudah dikira beriktikaf. Dan kalau tidak kerana mahu membawa anak bujang ke masjid juga menyiapkan artikel tentu dah keluar lebih awal bersolat Jumaat di luar kawasan.
Pun begitu kira-kira untuk berapa buah masjidkah disinggahi cuma dimulakan setelah keluar kawasan.
Rancangnya hendak ke Kuala Kubu terus tetapi timbul rasa untuk singgah di masjid ini keluar sedikit daripada laluan yang dirancang. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ulu Yam Lama di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Jadilah ia masjid pertama secara rasmi beriktikaf dalam perjalanan. Selepas solat Asar perjalanan diteruskan ke arah Kuala Kubu.
Sampailah ke tempat persinggahan yang asalnya dirancang sebagai yang pertama tetapi jadi yang kedua iaitu masjid lama Ampang Pecah. Saya sudah beberapa kali bermalam seorang diri di sini.
Tengok-tengok ada jemaah sedang bertadarus Al-Quran. Seronok dan begitu tenang mendengar bacaan.
Seterusnya berlaku sesuatu yang membuat saya meletakkan gambar atas di Facebook pada jam 5.38 petang berserta teks berikut :-
PERJALANAN IKTIKAF KE MASJID2 BAGI PENGHUJUNG RAMADHAN 1442 HIJRIAH
Alhamdulillah. Sudah memulakan perjalanan iktikaf ke masjid2. Ternampak ada orang bayar zakat di Masjid Ampang Pecah saya pun bayar juga. Tadi selepas solat Jumaat di Kampung Sungai Buaya ada terfikir hendak bayar di sana. Tapi bila nampak orang ramai rasa kena tunggu hari lain. Insyaallah saya akan berbuka di masjid lama Hulu Bernam. Mungkin menginap di sekitar masjid lama Sungai Selisik. Tengoklah bagaimana keadaan...
Puas beriktikaf di masjid masuk berjalan-jalan sebentar melihat pekan Kuala Kubu.Tak pernah jemu berjalan di sini kerana keadaannya yang agak 'comel' menenangkan. Pernahlah juga menginap beberapa kali di hotel murah kalau tidak di masjid.
Perjalanan ke arah Tanjung Malim diteruskan. Sampai ke Kerling teringat makam Syed Mashasor yang pernah terlibat dalam perang saudara di Selangor dan Perak penghujung abad ke-19 lalu singgah ziarah.
Ini pula masjid di Kalumpang. Singgah sebentar lalu menjadikan ia tempat ke-3 beriktikaf.
Jam 6.59 sampailah ke Masjid Sheikh Ismail yang berusia sekitar 100 tahun. Jalan yang kelihatan membawa masuk ke pekan Tanjung Malim. Cuma 300 meter sahaja ke hadapan dah sampai ke pekan. Cuma ia terletak di dalam negeri Perak sedangkan semua orang tidak boleh merentas negeri disebabkan PKP. Cukuplah dapat beriktikaf di masjid sebagai tanda menyambung wasilah ke Perak, negeri asal bapa saya dan tempat utama nenek moyang.
Gambar ini diambil pada jam 7.02, setelah mendapat kawasan duduk yang selesa dalam masjid.
Masih ada 17 minit sebelum berbuka puasa. Saya pun membuka komputer riba lalu membuat artikel kompilasi Kenangan mendaki Gunung Kinabalu tahun 1997.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan