Salam siang Rabu 30 Ramadhan, hari terakhir bulan puasa. Masuk sahaja Maghrib beberapa jam lagi kita akan masuk bulan raya Syawal. Pagi esok sambutan secara rasminya bermula dengan solat sunat Aidil Fitri walaupun cuma sedikit sahaja dapat melakukannya di masjid akibat PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) yang diperketatkan kembali kerana statistik serangan virus Covid-19 sedang naik mencanak-canak. Timbul rasa untuk mula berkongsi cerita tentang perjalanan keluar beriktikaf ke masjid-masjid baru ini.
Adapun sedikit 'perasa' tentang perjalanan iktikaf terbaru ini telah dikongsikan 2 hari lalu dalam artikel Akan datang - Cerita perjalanan iktikaf terbaru bagi penghujung Ramadhan tahun 2021. Walaupun perjalanan dikatakan bermula pada petang Jumaat 25 Ramadhan atau tarikh Baratnya 7 Mei mukadimahnya sebenarnya berlaku 6 hari lebih awal apabila saya dan keluarga keluar dari rumah menuju ke selatan pada petang Sabtu 19 Ramadhan bersamaan 1 Mei.
Kami mahu pergi ke kampung isteri di Tanjung Sepat, dalam daerah Kuala Langat. Ia adalah kali pertama saya keluar ke tempat lebih 60 km dari rumah sejak penghujung tahun lalu. Isteri pula telah seminggu lebih awal memecah jarak ini... apabila pergi ke satu mesyuarat NGO wanita di Cyberjaya.
Kali terakhir kami betul-betul pergi jauh adalah apabila membuat perjalanan sehingga ke Johor Bahru sekitar cuti Hari Krismas tahun 2020. Lihat Kompilasi cerita perjalanan di selatan penghujung 2020.
Masuk tahun 2021 kami lebih banyak berehat di rumah. Maklumlah baru selesai berjalan lebih 1,000 km. Sambil itu saya cuba menyiapkan sebuah rumah pokok dua tingkat yang dibina berseorangan di suatu kawasan lapang kira-kira 50 meter di seberang rumah. Pembinaan dimulakan sebelum bergerak jauh ke selatan. Sementara itu isteri yang tetap perlu berulang alik ke pejabat di bandar Rawang kerana pekerjaan yang bersifat teknikal sibuk berkebun dalam kawasan antara rumah pokok dan rumah apabila ada sahaja kelapangan.
Tiba-tiba keluar perintah baru PKP khas untuk negeri Selangor dan beberapa tempat tak boleh keluar merentas daerah. Kalau tak salah ingatan bermula pada 13 Januari. Petang sebelum ia dikuatkuasakan saya menerima bumbung zink yang dipesan dari kedai hardware untuk dipasang pada rumah pokok. Saya ada bercadang untuk membeli atap nipah sebagai bumbung tambahan penampan tempias air hujan selepas selesai memasang bumbung zink. Pemasangan selesai dalam tempoh dua hari kemudian.
Tapi nak beli kena keluar daerah ke tempat yang ada menjual di Kuala Selangor sekitar 60 km dari rumah. Setelah beberapa lama tidak dapat berjalan keluar daerah itu yang timbul rasa untuk mengatur cerita-cerita perjalanan lama bagi membentuk senarai seperti dinyatakan dalam artikel Akibat PKP - Persediaan untuk senarai 50 perjalanan terjauh dalam ingatan 4 Februari.
PKP cuma dilonggarkan kembali lalu boleh merentas daerah pada awal bulan Mac. Lupa tarikh tepat. Berdasarkan rekod gambar-gambar pada 6 Mac saya dan isteri pun pergi ke Kuala Selangor untuk membeli atap nipah. Pada 3 April kami membawa anak-anak pula berjalan ke sana. Sepuluh hari kemudian bermulalah bulan puasa Ramadhan.
Itulah kali terakhir saya berjalan ke luar daerah sebelum mengorak langkah ke kampung isteri di Tanjung Sepat pada petang 19 Ramadhan. Gambar ini menunjukkan pintu gerbang kampung. Kami sudah sampai setelah bergerak hampir 120 km dari rumah. Maka kembali kita pada tempoh masa berkenaan.
Ini rumah keluarga yang sudah diwariskan kepada adik bongsu isteri merangkap yang ke-13 antara semua adik-beradik. Isteri adalah yang nombor 11 merangkap anak perempuan paling bongsu (cuma ada 3 orang perempuan). Kami mahu mengadakan majlis berbuka puasa keluarga. Kali terakhir bertemu adalah ketika kembali bercuti sekitar Raya Haji 9 bulan lalu. Lihat Sekitar Aidil Adha 1441 Hijriah - Apabila Raya Haji menjadi pengganti Aidil Fitri.
Sesungguhnya suasana berbuka puasa kami sangat meriah, seperti berhari raya. Tapi tak perlulah ditunjukkan gambar. Zaman PKP la ni boleh timbul banyak masalah apabila berkongsi gambar melibatkan ramai ahli keluarga. Ada sahaja mata iri hati akan cuba mencari salah tak ikut SOP (Standard Operating Procedure) lalu sengaja memperbesar-besarkan perkara agar kita didenda pihak berkuasa.
Esoknya petang Ahad 20 Ramadhan bersamaan 2 Mei kami mengorak langkah untuk kembali ke rumah.
Sambil itu singgah melihat pemandangan di beberapa tempat. Antaranya adalah jeti di pantai Tanjung Sepat, jeti di Kampung Batu Laut dan pantai Morib.
Ketika berjalan itulah terbit dalam fikiran dah dekat setengah tahun tak boleh keluar merentas negeri ni. Dah terasa rindu hendak berjalan jauh 400 km ke atas...
Bagaimana hendak melakukan ini kalau tak boleh keluar dari persekitaran negeri Selangor? Timbul satu ilham. Apa kata buat perjalanan keliling negeri? Maksudnya ambil jalan-jalan yang paling mendekati sempadan baik di utara, barat, selatan dan timur. Kalau macam tu memang boleh melepasi 400 km.
Bila hendak dibuat? Insyaallah boleh selewatnya 3 minggu lagi. Dari mana hendak bermula? Mestikah dari rumah kemudian keluar ke satu bahagian paling mendekati sempadan lalu buat satu pusingan, sehingga kembali ke bahagian mendekati sempadan itu baru balik rumah ke bagaimana? Ke boleh main 'tebuk-tebuk' keluar di sini kemudian masuk ikut situ pula dan sebagainya? Perkara ini bermain dalam fikiran sambil singgah ke Jugra yang lebih mendekati kuala Sungai Langat.
Sambil itu saya sudah berkira-kira malam itu boleh sahaja singgah berTarawih ke mana-mana masjid sebelum sampai ke rumah. Malam itu sudah masuk tarikh 21 Ramadhan, hari pertama ganjil bagi 10 hari terakhir Ramadhan. Itu dah boleh kira satu pengembaraan beriktikaf.
Istana lama di Bandar, Jugra.
Masjid Alaeddin dekat Istana Bandar. Dapat beriktikaf di sini pun seronok juga.
Tetapi ia sedang berkunci dan letaknya pun agak jauh dari rumah. Apabila melihat anak-anak sudah penat, tidak sabar untuk kembali berehat saya pun terus menuju ke pintu masuk lebuh raya terdekat selepas Jugra iaitu di Teluk Panglima Garang. Berbuka puasa ringkas dahulu di perhentian Damansara Utama sebelum betul-betul makan kemudian menjamakkan solat di kawasan rehat jejantas di Sungai Buloh. Sampai rumah jam 8.34 malam meter kereta menunjukkan ia sudah berjalan hampir 260 km.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan