Selasa, April 20, 2021

Islam dan makna kebebasan sebenar - Memasuki dimensi keTuhanan yang kurang difahami orang

Salam hari Selasa malam Rabu 9 Ramadhan. Dengan terhidangnya artikel Kompilasi cerita ke Terengganu selepas Aceh tahun 2004 pagi tadi maka tinggal dua sahaja perjalanan lama yang ceritanya perlu dikongsikan bagi melengkapkan senarai 50 perjalanan terjauh dan 10 istimewa bagi saya. Alhamdulillah cerita-cerita tentang dua perjalanan lama itu sebenarnya sudah lama dipaparkan di blogspot ini. Cuma belum dipersembahkan artikel kompilasi demi melengkapkan isi senarai tersebut. Sebetulnya saya sudah menyediakannya sejak sebulan lalu, cuma menunggu giliran sahaja untuk dipaparkan di sini. Namun sebelum itu biar dikongsikan dahulu satu cerita majlis ilmu.


Majlis ini bermula jam 10.30 pagi tadi. Ia merupakan yang ke-6 dalam siri syarahan penglibatan masyarakat oleh Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Tajuk kali ini boleh diterjemahkan sebagai "Islam dan Makna Kebebasan Sebenar". Boleh dirujuk syarahan-syarahan sebelum ini untuk kesinambungan cerita dan ilmu. Lihat artikel-artikel berikut :-





5. Islam sebagai jalan kebenaran dan keadilan - Isu penggunaan kalimah Allah oleh Kristian (Mac 2021)



Memperkenalkan majlis adalah Profesor Madya Dr Danial Yusof daripada ISTAC. Beliau menyebut sedikit tentang konsep kebebasan Barat berdasarkan pemikir seperti  Rousseau (ahli falsafah Perancis abad ke-18, Jean-Jacques Rousseau) sebelum memberi ruang kepada Osman.



Guru saya (ya... saya bangga menyebut beliau sebagai guru kerana alam fikirnya yang selari dengan pencarian makna diri saya) ini membuka dengan memberitahu bahawa akan tinggal satu sahaja lagi syarahan (dalam siri) iaitu pada bulan hadapan. Kemudian beliau menekankan keperluan bercakap tentang Islam dan kebebasan sebenar kerana ada kebebasan palsu. Selain itu ada tahap-tahap kebebasan. Tetapi apa yang harus diberikan perhatian adalah pada tahap tertinggi kebebasan yang boleh dicapai manusia terutama secara individu. Ini kerana kebebasan pada peringkat berkumpulan (collective) atau bermasyarakat menghadapi sekatan (constraints) akibat banyak faktor.

Jadi apakah itu kebebasan? Ia adalah satu terma yang susah hendak diberikan definisi tapi kita faham maknanya. Oleh kerana mahu bercakap daripada perspektif Islam biar dilihat perkataan Arab yang membawa maksud kebebasan itu iaitu huriyah (الحرية). Disebutlah tentang kebebasan untuk menyembah atau beribadah (freedom of worship) dan kebebasan untuk bersuara (freedom of speech) yang ada ayat-ayatnya di dalam Al-Quran.

Tetapi dalam ilmu falsafah ia adalah lebih pada kebebasan untuk memilih (freedom of choice). Ini adalah tentang  kehendak manusia (human will). Manusia terlebih ulung (distinguished) daripada makhluk-makhluk lain kerana memiliki kebebasan untuk memilih. Makhluk lain cuma boleh menurut sahaja apa yang semulajadinya sudah ditetapkan buat mereka. Perkataan Arabnya adalah ikhtiyar. Tetapi ini berbeza daripada perkataan sama yang difahami dalam bahasa Melayu kerana itu membawa makna usaha sedangkan makna sebenarnya lebih luas daripada itu.

Kata  Osman kebebasan sebenar adalah kebebasan kerohanian (spiritual). Kebebasan sebenar manusia adalah hasil daripada pertemuan kehendak manusia dengan kehendak Ilahi (iradah Tuhan). Tetapi orang sekarang ramai telah mengeluarkan faktor kehendak Ilahi daripada kehidupan. Ini termasuk mereka yang tidak percaya pada Tuhan. Itu yang menerbitkan pelbagai masalah hari ini.

Manusia ada kebebasan untuk menerima atau menolak kehendak Ilahi. Undang-undang Ilahi adalah perangkuman lengkap (complete embodiment) bagi kehendak Ilahi. Orang Islam tidak boleh menzahirkan matlamat kebebasan manusia tanpa Syariah.

Jadi ada beberapa jenis kebebasan boleh diperkatakan secara realiti? Osman dapat memikirkan empat :-

1. Kebebasan fizikal iaitu kebebasan untuk bergerak secara fizikal (physical mobility). Ini termasuk dalam sifat manusia dan binatang. Binatang dahulu boleh bergerak bebas sebelum dikacau manusia (melalui pembangunan yang menghadkan habitatnya). 

PKP (Perintah Kawalan Pergerakan akibat ancaman virus Covid-9) menunjukkan bagaimana kebebasan fizikal boleh menjadi terhalang. Kebebasan sebegini dihadkan oleh sifat semulajadi manusia dan binatang. Burung misalnya boleh terbang lalu memiliki lain had kebebasan.

Kebebasan binatang dihadkan oleh habitat. Sekarang binatang tidak diletakkan dalam habitatnya yang sebenar. Ia tidak dapat menikmati kehidupan penuh kerana manusia telah mengganggu alam semulajadi. 

Al-Quran menyebut tentang binatang dan burung sebagai ummah. Ia ada masyarakat sendiri seperti juga manusia. Penyesuaian (confirmity) pada undang-undang ummah berkenaan membentuk kebebasan sebenar. Manusia diberikan akal. Walaupun tak boleh terbang kita boleh mencipta kenderaan yang boleh terbang. Lalu manusia boleh mengatasi banyak had fizikalnya (overcome many physical limitations)

2. Kebebasan kehendak kehaiwanan merujuk pada kehendak nafsu rendah. Antaranya adalah kehendak untuk tidur, makan dan melakukan seks. Semua ini ada had semulajadinya. Secara semulajadi binatang tidak melampaui batas  (don't transgress).   Ia menurut sahaja apa yang telah ditetapkan oleh alam. 

Tetapi manusia boleh melangkaui (inflate) jangkauan kehendaknya lalu berupaya untuk melampaui batas. Ini yang dilihat ramai sebagai kebebasan sekarang. Pada mereka kebebasan adalah dapat menzahirkan pelbagai bentuk kehendak tanpa ada batasan. Ini yang Islam malah agama-agama lain tidak menerima. 

3.  Kebebasan sosial atau untuk bermasyarakat - Ini melibatkan kebudayaan, kecendurangan politik, kebebasan bersuara, kebebasan untuk berbaik dengan sesiapa (freedom of association) dan kebebasan beribadah. Ini unik pada manusia. Persoalannya adalah untuk mencari harmoni antara kebebasan individu dengan kebebasan secara berkumpulan atau bermasyarakat. Ini adalah persoalan dalam banyak ketamadunan.

Secara asasnya terdapat persetujuan untuk menghadkan kebebasan sosial bagi suatu masyarakat. Tetapi bagaimana tentang individu dalam masyarakat? Ini yang menjadi masalah banyak masyarakat. Manusia memerlukan panduan Ilahi untuk menjawab bagaimana mahu mencapai kebahagian ramai sambil memberikan kebebasan individu.

Bagaimana hendak menetapkan had bagi kebebasan individu? Bagaimana jika seseorang itu mahu melayaan semaksimum mungkin segala macam perkara sesuka hatinya sahaja  (whims and fancies). Kena ada keseimbangan. Ini adalah isu abadi (perennial issue). 

Islam ada jawabannya. Masyarakat memerlukan pemerintahan Ilahi (divine rule) selain pemerintahan manusia. Tak boleh pakai akal fikiran sahaja, harus ada ilmu daripada wahyu. Harus ada perpaduan antara wahyu dan akal. Dua ini memainkan peranan untuk memberikan kebebasan sosial sebenar. 

4. Kebebasan kerohanian. Ini juga unik kepada manusia. Tetapi berbeza dengan tiga bentuk kebebasan tadi yang ini tiada hadnya. Kenapa? Kerana Tuhan adalah kebebasan mutlak  (God is absolute freedom) dan Dia berkongsi ini dengan manusia. Manusia dicipta menurut gambaran Tuhan (man is created in the image of God). Manusia adalah makhluk bersifat keTuhanan (Theomorpic being) lalu boleh mendapat kebebasan seperti ada pada Tuhan (God-like freedom). Kerana kita adalah gambaran bagi kebebasan Ilahi (because we are image of divine freedom).

Kepercayaan kepada Tuhan adalah kunci bagi kebebasan tanpa had lalu masuk bab amanah. Ayat 72 Surah ke-33 (Al-Ahzab) pun disebu untuk menyatakan amanah Ilahi kepada manusia...


Maknanya : "Sesungguhnya Kami telah menawarkan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung; tetapi semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khawatir tidak akan dapat  melaksanakannya (berat), lalu dipikullah amanah itu oleh manusia. Sungguh, manusia itu sangat zalim dan bodoh".

Kata Osman amanah ini melibatkan kebebasan untuk memilih. Makhluk lain tidak ada kebebasan untuk memilih. Tetapi manusia telah menerima amanah ini. Asas pada amanah tersebut adalah untuk menyerah kepada Tuhan atas pilihan sendiri (submit in freedom of choice). Makhluk lain semua menyerah kepada Tuhan tetapi tanpa ada kebebasan untuk memilih. Sesungguhnya sifat semulajadi manusia adalah untuk menyerah (kepada sesuatu - human nature is submission). Kalau tidak menyerah kepada Tuhan maka dia akan menyerah kepada Syaitan.

Kalau menyerah kepada Tuhan manusia akan memainkan peranan sebagai Khalifatulallah filArd iaitu khalifah Allah di muka bumi. Implikasinya sebagai contoh adalah cara pengurusan planet bumi. Sekarang manusia mahu menguruskan bumi tanpa Tuhan (kononnya itulah kebebasan).  Sesungguhnya kebebasan sebenar adalah kebebasan kerohanian. Ini sangat penting kerana memberi kesan pada lain-lain bentuk kebebasan. 

Disebut pula tentang simbolisma melibatkan hal kerohanian berkenaan. Satu contoh adalah burung bagi mewakili roh dan sangkar sebagai tubuh badan. Imam Al-Ghazali pernah menukilkan ini sejurus sebelum meninggal dunia. Kata beliau aku adalah burung yang baru keluar sangkar untuk terbang tinggi ke langit (soar to the heaven). 

Ini membayangkan kenyataan bahawa roh manusia terkurung dalam tubuh badan. Ia cuma bebas selepas berlaku kematian. Namun kita hidup di dunia ini. Bagaimana untuk mencapai kebebasan?

Kata Osman simbolisma ini adalah satu bentuk pengolahan semula (paraphrase) terhadap hadis Nabi yang mengatakan dunia adalah penjara bagi orang Mukmin. Namun ada yang menolak hadis ini kerana sebab-sebab keduniaan. Hadis lain pula menyebut dalam bulan Ramadhan syaitan dirantai sementara pintu-pintu syurga dibuka. Ini membawa makna bulan Ramadhan memberikan banyak peluang bagi kebebasan rohani. 

Satu lagi hadis menyebut solat adalah Mikhraj bagi orang Mukmin iaitu kenaikan ke atas secara rohani (spiritual ascend). Walaupun tidak dapat mengulangi apa yang dialami Nabi (dalam peristiwa Isra' dan Mikhraj)kita boleh mendapatkan sedikit rasa melalui solat. 

Jadi bagaimana hendak mendapatkan kebebasan kerohanian sebelum kita mati? Kata Osman mengatakan dunia adalah penjara orang Mukmin bukan bermaksud menolak dunia. Sebaliknya dunia boleh digunakan untuk mencapai kesedaran tinggi. Kebebasan tersebut adalah untuk melepasi dunia bentuk-bentuk lalu pergi ke dunia tanpa bentuk (that freedom is to transcend world of forms to go to the formless). Islam ada jawaban bagaimana untuk mencapai ini ketika masih berada di dunia lagi.

Disebutlah atas kefahaman tentang hal ini maka tiada apa-apa kalau dipenjarakan pun di Sungai Buloh kerana seluruh dunia adalah penjara. Ia tidak menjadi apa-apa bagi seorang Mukmin. Ini adalah persoalan corak pemikiran (it's a question of mindset). Bagaimana kita melihat keadaan diri sendiri.

Kuncinya adalah penyerahan kepada Tuhan. Inilah maksud Islam (penyerahan). Hasilnya adalah ketenangan. Jadi apakah kaitan antara kebebasan dengan ketenangan? Ia boleh disebut begini - Penyerahan kepada Tuhan memberikan kebebasan kerohanian lalu membawa pada ketenangan.

Jadi bagaimana untuk melangkaui alam bentuk-bentuk? Caranya adalah dengan melalui undang-undang Ilahi iaitu Syariah. Apakah pendekatan yang diberikan Islam? Melalui lima tiang (pillars merujuk pada rukun Islam). Jika difahami dengan betul lalu digunapakai dalam hidup Insyaallah boleh mencapai kebebasan rohani.

Lima tiang ini adalah :-

1. Mengucap dua kalimah syahadah

2. Solat lima waktu 

3. Puasa bulan Ramadhan

4. Membayar zakat

5. Menunaikan Haji (bagi mereka yang mampu)

Bagi sesetengah orang menurut perkara ini adalah sekatan terhadap kebebasan. Mereka akan berhujah bagaimana lima tiang (agama) ini boleh membawa pada kebebasan manusia? Bagi mereka kebebasan adalah apabila tidak perlu menurut apa-apa kewajiban. Tetapi dengan pemahaman yang betul mereka patut boleh nampak bagaimanakah lima tiang ini menjadi asas bagi kesedaran kerohanian. Ini adalah juga untuk masyarakat Islam. 

Tiang pertama (syahadah) memerlukan pada penyaksian keEsaan Tuhan (divine unity) sentiasa 24 jam. Bagaimana untuk mendapatkan ini? Perlu ilmu pengetahuan. Apa maknanya daripada segi kebebasan? Tiang pertama membebaskan kita daripada tuhan-tuhan palsu (false idols). Memahami ini membawa pada penzahiran semua jenis kebebasan. Lalu kita tidak akan membuat sesuatu atas sebab palsu.

Osman pun merujuk pada peristiwa tentera Islam menakluki Andalusia (1,300 tahun lalu). Mereka menyeberang Selat Gibraltar (dari arah Maghribi ke wilayah berkenaan) atas permintaan (daripada sesetengah orang di sana) kerana katanya orang Islam dipandu oleh kalimah Lailahailallah. Mereka dilihat sebagai juara yang akan membebaskan masyarakat daripada segala macam penindasan. Ini berbeza dengan peristiwa US (Amerika) menceroboh Iraq (tahun 2003). Kononnya untuk membebaskan penduduk (daripada pemerintahan kejam). Tapi tengok apa sebenarnya terjadi selepas itu.

Tiang kedua (solat lima waktu) pula. Bagaimana kebebasan terkait dengan solat? Ia adalah kebebasan daripada dunia. Ia berperanan untuk mengingatkan manusia agar mengambil sedikit masa untuk melupakan dunia (dan segala hiruk pikuknya yang membingungkan itu). Panggilan azan (untuk menunaikan solat) adalah panggilan untuk kebebasan. Jika kita faham solat kita akan melupakan dunia lalu mengingati Tuhan.

Tiang ketiga iaitu puasa bulan Ramadhan adalah kebebasan daripada kehendak (hawa nafsu). Puasa mendidik nafsu. Menahan diri (daripada segala macam kehendak) adalah permulaan bagi mendapatkan kebebasan.

Tiang keempat (membayar zakat) adalah kebebasan daripada mencintai harta benda (love of wealth). Berikan sedikit harta milik kita. Ia adalah pengorbanan yang besar.

Tiang kelima (menunaikan ibadah Haji di Mekah) adalah kebebasan daripada segala bentuk sebab musabab (freedom from all forms of reasons) kecuali lillahita'ala (buat semata-mata kerana Allah Ta'ala). Dengan berada di pusat dunia (merujuk pada Ka'abah di Mekah) semua perbezaan luaran menjadi sirna.

Rasanya cukuplah perkongsian daripada saya. Untuk cerita selanjutnya sila ikuti rakaman majlis di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan