Jumaat, Julai 05, 2019

Apabila buku Kenangan Kembara Eropah 1995 mula ditatap pembaca

Salam petang Jumaat 2 Zulkaedah. Adapun artikel Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Memenuhi hajat orang sehingga 'terlajak' 170 km petang semalam menutup cerita kembara 3 hari 3 malam yang dibuat untuk menghantar sejumlah naskah buku terbaru saya "KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995" kepada para pembeli pra-bayar (pre-order) di sekitar Lembah Klang dan Selangor. Sebelum ini ada disebut bahawa kembara yang berlangsung pagi Selasa 25 Jun hingga hari Khamis malam Jumaat 27 Jun itu memakan masa 3 hari 2 malam. Tempoh 2 malam itu sebenarnya merujuk pada masa menginap di luar kawasan (luar rumah). Sedangkan kembara cuma selesai apabila kembali ke rumah dekat tengah malam Jumaat. Maka ia sebenarnya berlangsung 3 hari 3 malam.

Apapun telah selesai fasa kembara diikuti perkongsian cerita tentangnya Selasa 2 Julai hingga Khamis 4 Julai. Dengan itu baru boleh dibuat satu artikel khas tentang buku setelah ia keluar daripada kilang cetak pagi Selasa 9 hari lalu. Artikel ini boleh dijadikan rujukan bagi segala hal tentang buku. Sebelum ini saya pernah berkongsi bahagian-bahagian terpilih daripada isi buku. Tetapi itu daripada fail digital PDF, bukan daripada buku sebenar yang sudah siap dicetak bagi tatapan pembaca.


Ini adalah senaskah yang diambil khas untuk simpanan dan koleksi sendiri. Gambar-gambar ini dan seterusnya diambil pada pagi Jumaat tadi.





Dicatatkan bahawa ia diambil selepas selesai kembara buku. Setelah 20 naskah diposkan pagi Selasa 25 Jun saya telah mengambil 412 naskah dari kilang cetak. Daripada jumlah itu 200  diserahkan kepada pengedar untuk dimasukkan ke kedai-kedai buku, 33 kepada pembeli pra-bayar juga pembeli baru yang muncul dalam tempoh kembara dan 20 kepada pereka kulit buku sebagai bayaran. Kembali daripada kembara baru diambil naskah ini untuk simpanan dalam koleksi peribadi.


Selepas itu ada beberapa orang lagi pembeli baru menerima buku, ada pembeli pra-bayar yang baru menerima dan ada sejumlah naskah diserahkan kepada Perpustakaan Negara. Tapi itu hal lain. Sekarang biar disentuh tentang buku ini sendiri.


Biar diberitahu, tempoh kembara 25-27 Jun itu sendiri sudah cukup untuk  mendapatkan maklum balas yang sangat memberangsangkan tentang buku. Maklum balas paling awal diterima adalah persembahan buku memang 'class'. Ini merujuk pada reka bentuk kulit buku, cara ia dipersembahkan (bagaimana teks dan grafik timbul berkilat),  mutu percetakan atas kertas mahal art paper berserta reka letak teks, aturan, pemilihan font dan reka letak grafik juga warna-warna...





Sekadar mengingatkan. Buku ini menceritakan pengalaman saya mengembara secara hitchhike iaitu menahan dan menumpang kenderaan orang ramai sehingga dapat meliputi 11 buah negara di tanah besar Eropah dalam tempoh 33 hari dengan belanja kurang RM1,000. Asalnya ia adalah projek penulisan buku pertama saya tahun 1996-1997. Ia dimulakan tidak lama selepas kembali daripada pengembaraan penghujung musim panas tahun 1995.



Tetapi projek ini dilupakan apabila semua fail penulisan yang dibuat dalam sistem Intranet pejabat tempat saya bertugas sebagai wartawan ketika itu iaitu The New Straits Times hilang secara tiba-tiba. Ini berlaku awal 1997. Fail-fail hilang tidak dapat diselamatkan langsung.


Yang tinggal cuma sedikit penulisan yang telah dicetak atas kertas printer lama yang ada lubang-lubang kiri kanan itu, sedikit yang sempat dijadikan artikel dalam akhbar NST juga catatan tangan dalam buku nota kecil yang dibuat ketika mengembara. Itulah yang menjadi asas dan bahan rujukan ketika timbul gerak untuk menghidupkan kembali projek sehingga muncul buku.


Sepatutnya cerita Kembara Eropah ini menjadi buku pertama saya penghujung tahun 1990an. Sebaliknya buku "BERPETUALANG KE ACEH : MENCARI DIRI DAN ERTI" pula mengambil tempat pada bulan Jun 2006. Rujuk artikel-artikel lama berikut tentang buku :-






Setelah beberapa lama, setelah menulis 12 buku dan menerbitkan 6 daripadanya sendiri atas nama syarikat Wasilah Merah Silu Enterprise baru timbul gerak untuk menghidupkan kembali projek lama Kembara Eropah. Kali ini ia dibuat atas nama Kenangan Kembara. Ini kerana penceritaan dilihat daripada kaca mata kini setelah lebih 20 tahun kembara berlaku tahun 1995. Dan ia dibuat dalam bahasa Melayu, bukan bahasa Inggeris seperti dilakukan dahulu. 

Alhamdulillah dengan kuasa Allah SWT buku akhirnya dapat diterbitkan dan keluar dari kilang cetak bulan Jun 2019. Ini adalah tepat 13 tahun selepas buku pertama saya keluar Jun 2006. Kena sangatlah sebab Kenangan Kembara Eropah 1995 ini adalah buku saya yang ke-13... :]


Satu lagi hasil yang amat menggembirakan adalah rupa fizikal buku. Daripada segi persembahan dan kualiti ia adalah buku terbaik pernah ditulis juga diterbitkan saya. Berbanding buku-buku saya yang diterbitkan pihak lain pun ia lebih cantik dan ada gaya. Sesungguhnya saya bertawakal sahaja dalam menerbitkannya. Biasanya mana-mana syarikat buku akan mengambil masa beberapa hari berurusan dengan kilang cetak selepas menghantar PDF untuk memastikan kualiti buku. 

Ini kerana apa yang kita buat di syarikat sendiri, kualiti paparan apa lagi kalau ada gambar berwarna-warni mesti disemak beberapa kali sebelum percetakan bermula. Sesungguhnya apa yang kita lihat dalam komputer belum tentu sama dengan apa yang akan keluar daripada mesin cetak nanti. Seringkali berlaku gambar yang diletakkan dalam PDF sudah cukup cerah, menarik dan timbul warna-warninya.  Tetapi bila keluar jadi buku hasilnya kelihatan pudar, layu...


Sebagai seorang penulis yang menjalankan syarikat kecil tanpa pejabat, tanpa kaki tangan membantu tetapi dari rumah seorang diri sahaja sepatutnya saya sekurang-kurangnya memiliki sebuah printer atau mesin cetak sendiri walaupun jenis murah. Dahulu pernah ada tetapi sudah beberapa kali rosak kemudian beli baru. Sekarang tak pakai lagi. 

Kebiasaan penerbit, walau 'cikai' mana sekalipun akan membuat senaskah salinan atau cetakan sendiri (dipanggil mock copy) untuk dijadikan rujukan dengan andaian bahawa itulah yang terbaik dapat dihasilkan pada waktu itu sebelum masuk kilang cetak. Salinan ini boleh membantu pihak kilang percetakan memperbaiki lagi hasilnya. Tetapi saya cuma dapat menghantar salinan eletronik PDF terus untuk memulakan percetakan. Alhamdulillah, hasil yang terbit malah lebih baik daripada yang dilihat dalam komputer!



Dengan ini biar diberikan links atau pautan bagi artikel-artikel yang telah dikongsikan tentang buku baru ini. Dapat diikuti kenapa dan bagaimana projek penulisan Kembara Eropah ini dihidupkan kembali bermula Julai 2018  dan bagaimanakah perkembangan usaha penulisannya...







6. Memulakan kembara buku sempena keluarnya buku ke-13

7. Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Melaksanakan gerak untuk mengembara dan berhari raya sempena siap buku baru

8. Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Ke Bangi, Putrajaya, Cyberjaya, Shah Alam dan sekitar sambil orang jauh mendapat buku pos....

9. Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Memenuhi hajat orang sehingga 'terlajak' 170 km




Satu kenangan dan perkembangan yang sangat penting dalam penghasilan buku adalah apabila tempahan awal atau pre-order dibuka pada awal pagi Khamis 9 Mei 2019 iaitu pada jam 00:29. Tarikh tersebut adalah bersamaan 3 Ramadhan 1440 Hijriah iaitu hampir 2 bulan lalu.  Dengan bantuan duit pra-bayar atau tempahan awal berbayar inilah saya berani untuk menghantar PDF buku masuk ke kilang cetak 2 minggu selepas itu iaitu pada petang 17 Ramadhan hari Nuzul Quran.

Walaupun bayaran yang diterima tidak memadai cukuplah untuk membantu menzahirkan buku dengan ditambah wang simpanan sendiri. Dengan ini biar diabadikan nama-nama para pembeli pra-bayar. Ribuan terima kasih diucapkan kepada penama-penama berikut. Sesungguhnya tanpa bantuan anda buku ini tidak akan terzahir ... :]



Senarai nama pembeli pra-bayar menurut turutan masa

1. Mohd Azman Ibrahim
2. Muhammad Asyraf bin Mohd,
3. Nazila Che Jaafar
4. Mohd Aswade Ali
5. Ayob Tan
6. Taufiq Khalid  
7. Azrul Shahreen 
8. Ismail Omar
9. Ahmad Fadzli bin Ahmad Munir
10. Farha Muhammad,
11. Izaheri bin Mohamad Mokhtar
12. Ahmad Ab Wahid
13. Selma Enolil Mustapha
14. Niza Lee
15. Mohd Hazri Bin Mohd Hambali
16. Kamal Ahmad 
17. Hj Rizlan Darus
18. Mohd Saiful Zaman Haris
19. Noni Hashim
20. Hairuddin bin Othman, 
21. Hasbullah Abdullah 
22. Raja Mazyah Raja Aminuddin
23. Azlan Shah Mustafa
24. Azlan Shah Mustafa (naskah kedua untuk Prof. Shahidan Radiman) 
25. Zaidi Badron
26. Syed Zambri
27. Derick Basir
28. Rusmazuki Mat Jusoh,
29. Kamaludin Endol,  
30. Nik Mohd Izman 
31. Muhammad Faridz Zin
32.Fazlur Azmi 
33. Fadly Mohd Basar  
34. Fadly Mohd. Basar (naskah kedua belum dinyatakan untuk dimiliki siapa)
35. Mohd Hasni bin Yusof
36. Sazali bin Hj Abdul Rahman, 
37. Azreen Bin Basir
38. Azie Ngah
39. Syed Fareed bin Syed Omar
40. Meor Khairulnaim b Meor Shamsudin, 
41. Mohd Zaini b Mohd Zin,     
42. Mohammad Yusrizal bin Mohd Uri
43. Izzah Abdul Razak
44. Azhari bin Shahari 
45. Abdul Hamid Bin Idris.
46. Adilah Hanim Binti Mahmud
47. Embun binti. Bani
48. Nor Azam Mat Noor
49. Mohammad Rafie Yunos






Pada awal pagi Khamis semalam pula saya ada mengeluarkan kenyataan seperti di atas dalam grup atau kumpulan WhatsApp "Kelab Buku Merah Silu". Grup itu menghimpunkan para pembeli pra-bayar buku ke-11 dan ke-12 saya, "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" dengan 'kembarnya', "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" (terbit Mac 2018) berserta para pembeli buku ke-13, Kenangan Kembara Eropah ini. Yang diminta memberikan ulasan tentunya adalah para pembaca buku Eropah. Ini adalah ulasan-ulasan yang diterima sejak itu...



1. Sejujurnya saya suka melawat dan mengembara ke negara orang. Diukur daripada sudut kemampuan kewangan mungkin tidaklah seberapa ada namun berbekalkan keazaman dan niat yang membara serta tidak dilupakan izin Allah SWT  maka hasrat untuk melihat negara orang tercapai juga. Itulah yang dapat saya simpulkan hasil pembacaan buku terbaru Merah Silu, KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995. Beliau berkongsi pengalaman suka duka tanpa berselindung, tanpa dana dan kelengkapan yang sempurna namun keazaman dan tawakal yang tinggi mengatasi tribulasi yang mendatang. 

Benarlah pengalaman hidup itu tersangat mahal harganya. Dan bukan semua orang berpeluang menikmatinya. Namun dengan membaca catatan pengkisahan Merah Silu perasaan pembaca dibuai-buai seolah-olah berada di tempat tersebut. Sisi gelap yang didedahkan moga menjadi ibrah dan teladan buat kita semua bahawa langit tidak selalu cerah.

Catatan beliau memberikan saya inspirasi untuk meneruskan cita-cita menjelajahi Kepulauan Riau dan Kalimantan. Ia adalah sambungan siri penjelajahan saya ke Jawa Barat, Jawa Tengah, Jawa Timur dan terbaru di Sumatera Barat. Kecekalan, keazaman dan tawakal menjadi bekalan buat diri.

Terima kasih  Merah Silu. Berkenalan dengan anda adalah sesuatu yang bermakna buat diri saya.

- Cikgu Hasni, Jeram, Selangor



2. Maksud ayat 15 dari Surah Al-Mulk “Dialah yang menjadikan bumi bagi kamu mudah digunakan, maka berjalanlah merata-rata ceruk rantaunya, serta makanlah daripada rezeki yang dikurniakan Allah; dan kepada Allah jualah (kamu) dibangkitkan hidup semula.


KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995 boleh disimpulkan sebagai satu usaha penulis ke arah menyahut cabaran daripada ayat tersebut. Kembara dengan keazaman yang tinggi tanpa kewangan yang mencukupi benar-benar menguji kekuatan fizikal, mental dan spiritual seorang insan. Sejauh mana pun kita pergi, setinggi mana pun gunung yang kita daki, bagi seorang ibu nasihat jangan tinggalkan solat sahaja yang bermain-main dalam benak fikiran. Pergantungan sepenuhnya diserahkan kepada Ilahi agar perjalanan anaknya selamat dan kembara tersebut berjaya menemui apa yang dicari.

Pergolakan minda mampu mencetuskan keajaiban dalam minda anak muda yang mencari-cari erti diri. Kembara yang penuh onak dan liku benar-benar menguji tahap kepercayaan penulis kepada PenciptaNya. Proses mencari Tuhan bukan hanya terhad di masjid atau majlis-majlis ilmu sahaja. Meelalui pengembaraan kita mempunyai lebih masa untuk melihat dan mempercayai kekuasaan Ilahi. Bukti kekuasaan Pencipta dapat dilihat melalui bermacam-macam jenis manusia, berbeza keturunan dan budaya. Namun akhirnya apa yang membezakan adalah sifat kemanusiaan itu sendiri. Bila kita yakin dan percaya pada diri, manusia lain pun akan akur pada kita.

Itulah yang dapat saya simpulkan dari pengembaraan penulis pada buku kali ini. Ayatnya ringkas, padat dan mendebarkan untuk kita mengetahui kesinambungan seterusnya.

- Nazila Jaadar, Cyberjaya



3. Sebagai sebuah buku travelog, KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995  telah memberikan maklumat terperinci di setiap lokasi yang dilawati. Kisah hilang barang dan terpaksa tidur di mana-mana adalah realiti sebenar seorang pengembara. Pengalaman penulis mengawal belanjawan adalah sesuatu yang sangat diperlukan. Ia boleh dicontohi oleh pengembara-pengembara lain.

Akhir sekali pengalaman di sebahagian Eropah yang disajikan penulis adalah menarik. Sisi yang diambil sangat berbeza berbanding saya yang pernah sampai di Turki dan tinggal di Bosnia Herzegovina.

- Hj Rizlan Darus, Andalas, Klang, Selangor



4. Pengalaman melawati secara  solo ke tempat yang asing lagi mencabar hanya dapat dilakukan oleh insan yang berjiwa KENTAL.

- Pak Lang Abdul Hamid Idris, Kampung Sungai Tangkas, Kajang, Selangor



5. Ia sebuah tulisan pengembaraan yang telah ditakdirkan oleh Tuhan bagi seorang hambaNya sebagai persiapan untuknya menjejak mencari jati diri, sejarah bangsa dan tugas juga peranan dalam Qada dan Qadar yang tertulis dan telah kering dakwatnya. Pembaca boleh melihat dan mengikuti jalan pencarian penulis yang seterusnya di blogspot , buku-buku dan akaun Facebook beliau di alam maya. Memberi inspirasi kepada mereka yang berjiwa besar... yang belum bertemu sebuah tolakan permulaan. Berharap penulis dapat menambah satu bab tentang alat keperluan dalam pengembaraan bagi melengkapkan tulisan dan perkongsian.

- Saiful Zaman Haris, Raub, Pahang



6. Banyak yang tersirat untuk difikirkan semasa menelusuri pengembaraan Merah Silu. Sejujurnya saya mula tertarik dengan perjalanan Merah Silu dalam buku trilogi "Berpetualang ke Aceh" yang telah menceritakan sedikit sebanyak rintangan dan halangan dalam menempuh pengembaraan panjang semasa belajar di luar negara di sebalik kisah beliau ke Aceh. Melalui trilogi tersebut saya mula mengenali sejarah bangsa sendiri yang telah lama dibiarkan sepi dalam hati. Novel realiti tersebut juga mengajak saya berfikir di luar daripada kebiasaan bersama alam fikiran Merah Silu. 

Namun, saya tak sangka kisah terperinci beliau dalam buku terbaharu nyata lebih menarik dengan pelbagai situasi terutama pengalaman kerohanian dalam mengenal jati diri.  Bagi saya kisah ini bukan sekadar cerita pengalaman fizikal. Jika diambil hikmahnya daripada sudut mata hati yang dalam terdapat lebih banyak pelajaran dan pengajaran. Halangan-halangan minda sendiri yang sering membataskan tindakan sebenarnya. Melihat semangat Merah Silu melakukan transformasi diri dari seorang yang keBaratan berfikiran logik kepada seorang yang benar-benar menjiwai jati diri Melayu sejati secara batin sampai ke zahir seolah-olah menyaksikan kemunculan individu yang berbeza. 

Kisah beliau membuat saya melihat ke dalam diri saya sendiri lalu menjadi sangat terkesan. Antara yang cukup memberi kesan mendalam terhadap diri saya adalah aplikasi ilmu tawakal dan keberserahan diri. Kebergantungan jiwa sepenuhnya secara keseluruhan kepada yang Maha Kuasa yang memperjalankan hamba-hambaNya. Saya pernah juga meniru beliau menunggang motosikal pada waktu malam dari Shah Alam ke Perak, seterusnya ke Machang, Kelantan.

Buku ini dikarang dengan sepenuh rasa dalam jiwa. Bukan sekadar tangkap muat sahaja. Jika menelaah dengan rasa sekali pasti sampai ke lubuk jiwa. Buka minda lapangkan dada. Alhamdulillah dan terima kasih atas pengalaman inspirasi kesan terhadap jiwa ini.

- Hishamudin Mohamad Twontawi, Shah Alam Selangor



7. Penulisan santai tentang perjalanan yang mudah difahami  dan diselami oleh sesiapa sahaja yang membacanya kerana tidak terikat dengan skema ataupun penulisan rasmi yang bersifat akademik. Penggunaan bahasa yang bersahaja menjadikan ia bacaan mudah yang tidak membebankan fikiran pembaca untuk meneruskan pembacaan sehingga tamat.  Bahan-bahan tambahan  seperti peta laluan perjalanan, gambar-gambar di lokasi lawatan, nota ringkas dan seumpamanya menjadikan penceritaan lebih menarik dan mudah difahami pembaca.

Terus terang saya nyatakan sebenarnya melalui penulisan Merah Silu di dalam blogspot sedikit sebanyak membantu dan mendorong saya untuk turut sama meminati erti pengembaraan dan penulisan. Moga-moga penulisan ini memberi banyak manfaat dan pengajaran buat kita semua yang membacanya.

Terima kasih kerana Hang Tuah sudi  dan sanggup ke rumah ambo di Kajang Pak Malau.

- Mohd Zaini Mohd Zin, Kajang, Selangor (merujuk pada persinggahan untuk menyerahkan buku ketika kembara 25-27 Jun)



8. KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995 adalah sebuah catatan pengembaraan meliputi benua Eropah yang terbentang kebesaran ciptaan Ilahi. Ia dapat diolah dengan baik oleh penulis dengan sebahagian catatannya pernah diterbitkan dalam akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times pada tahun 1996. Penulis juga dapat membawa pembaca untuk membayangkan suasana, sejarah serta kebudayaan tempatan di setiap tempat yang dilawati.

Apa yang lebih menarik adalah rakaman kisah suka duka pengalaman yang dialami oleh penulis sepanjang pengembaraan 33 hari di bumi orang. Pembaca turut akan merasakan debaran dalam setiap helaian buku. Akhir sekali, pengembaraan mencari jati diri bukan mencari keseronokan ini akan menyuntik keinsafan dalam jiwa pembaca akan hakikat kalimah La haula wala quwwata  illa billah. Ini merujuk kepada makna kalimah tersebut iaitu tiada daya dan upaya kecuali daripada Allah SWT.

- Farha Muhammad, Pagoh, Muar



9. Saya belum lagi menghabiskan bacaan KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995... baru setengah buku. Namun boleh dirumuskan bahawa Merah Silu mempunyai semangat yang kental untuk menjelajah negara-negara Eropah tersebut walaupun menghadapi kekangan kewangan. Tetapi apabila segala perlakuan kita adalah 'La haula wa la quwwata illah billah'... in Sha Allah akan dipermudahkan olehNya. Hanya itu yang dapat dicoretkan oleh saya buat masa ini...

Mohd Hazri Mohd Hambali, Seri Manjung, Perak



10. Saya tidak sempat membaca dengan teliti sehingga tamat. Hanya sempat membaca.lompat-lompat. Sama ada lompatan itu seperti seekor katak mahupun seekor belalang, saya sendiri kurang pasti. Saya akan ulas seringkas mungkin.

A. Rupa Bentuk dan Material Fizikal Buku

i. Design kulit dengan warna menarik.

ii. Paling penting kertasnya putih. Otak saya jadi lembab membaca jika materialnya kertas 'recycled paper'.

iii. Gambar berwarna yang terang.

B. Tujuan Utama Membeli Buku - Adakah Memenuhi Cita Rasa Saya?

i. Saya sudah membaca banyak tulisan Merah Silu. Sudah boleh dianggap begini - letak apa sahaja tajuk atau judul buku yang ditulis oleh beliau, ia menjadi asbab kedua untuk saya membeli.

ii. Asbab utama adalah gaya penulisan dan cara susunan penceritaan yang kemas.

iii. Sebab itu saya katakan, judul dah jadi nombor 2. Apa saja yang ditulis atau dikarang Merah Silu pasti menarik.

C. Pengisian Penceritaan dan Iktibar

i. Saya tertarik dengan salah satu cerita dalam buku apabila Merah Silu bercerita tentang gitarnya dicuri di Amsterdam. Penulis menceritakan dari awal di mana sudah diperingatkan oleh seorang bartender supaya berhati-hati kerana banyak kes curi atau ugut di sana. Dengan pemerhatian terperinci, penulis sempat memberitahu bartender itu sedang menggulung sebatang rokok atau lebih tepat ganja. Walaupun tidak diceritakan lebih lanjut sama ada gulungan itu adalah balut Bob Marley atau sekadar bal biasa-biasa, sesiapapun pasti dapat membayangkan suasana yang dialami oleh penulis.

ii. Selepas itu penulis ke satu tempat untuk.melelapkan mata kerana mengantuk. Walaupun segala persediaan tahap keselamatan yang dirasakan perlu sudah diambil dan telah ditingkatkan ke tahap 1, yakni penulis dalam sleeping bag, bag sandang jadi bantal, tali pengikat gitar diikat pada bag yang dijadikan bantal, ia tetap juga dapat dicuri oleh orang yang pada awalnya ada bersembang dengan penulis sebelum tidurnya.

iii. Pengajarannya, buatlah bagaimana sekali pun. Jika bukan rezeki kita, memang tetap bukan rezeki kita. Tetapi jangan buruk sangka pada Allah SWT. Pasti ada hikmahnya.

D. Bonus

i. Adalah bonus bagi saya kerana serba sedikit dapat belajar cara seseorang itu berfikir, cara membuat pena'akulan, cara membuat andaian dan seterusnya cara membuat keputusan. Ini memberi impak besar kepada seseorang seperti saya dalam membentuk dan memanipulasi karektor saya supaya boleh menyesuaikan diri dengan keadaan dan orang sekeliling dalam pergaulan seharian mahupun ketika bekerja.

E. Belajar Simpan Nota dan Catatan Serta Kepentingannya

i. Penulis menyimpan nota ketika kembara lebih 20  tahun lalu. Ia dijadikan rujukan semasa menulis buku.

ii. Ini sangat luar biasa. Lengkap dengan dokumen-dokumen sebagai bukti kembara beliau.

Sekian. Terima kasih

- Mohammad Yusrizal, Sibu, Sarawak (membaca buku sambil mendengar playlist Britpop seperti Oasis, Radiohead, Travis, Suede, Beautiful Ones, Fastball dan.sedikit Cranberries ternyata menambah aura rasa Eropah sepanjang membaca...)





Akhir sekali. Merujuk pada artikel Open house impromptu Syawal 1440 Hijriah yang dipersembahkan hampir 3 minggu lalu. Sebetulnya isteri ada meminta agar mengajak kawan-kawan saya datang pada majlis rumah terbuka yang diadakan secara tiba-tiba untuk kawan-kawan sepejabatnya pada hari Sabtu 15 Jun 2019 bersamaan 11 Syawal 1440 Hijriah. Saya jawab tunggu buku siap dahulu.

Sekarang buku sudah siap. Tunggu tarikh sesuai sahaja. Dengan itu biar diumumkan satu majlis terbuka raya (walaupun lewat dah masuk bulan Zulkaedah) akan diadakan seperti tertera dalam poster atas ini. Ia mahu diadakan sekali dengan majlis sambutan buku ke-13 saya. Saya sebut sambutan kerana terasa lebih sesuai berbanding pelancaran buku kerana ini juga adalah sambutan 13 tahun saya bergelar penulis buku.

Jika tiada aral melintang insyaallah tokoh pejuang bahasa terkenal Profesor Datuk Dr Awang Sariyan akan datang memberikan sepatah dua kata. Beliau pernah menjadi pensyarah saya di ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur lalu ada membeli buku. Biar diberitahu beliau baru memulakan tugas baru sebagai pemegang Kursi Za'aba di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak tak sampai seminggu. Silakan datang beraya sambil berbincang tentang buku.

Sementara itu sesiapa yang hendak mendapatkan buku boleh ikut panduan berikut. Untuk makluman ini adalah artikel ke-1811 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


CARA MEMBUAT PEMBAYARAN

Pilih salah satu harga berikut :-

1. RM55 senaskah sahaja bagi yang hendak mengambil buku terus daripada saya. Boleh berjumpa di rumah saya di Bandar Sungai Buaya, Rawang atau di Kuala Lumpur (selalunya saya berada di tempat belajar di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Tamadun dan Pemikiran Islam di Bukit Tunku sepanjang hari Isnin)

2. RM62.90 (senaskah buku RM55 + RM7.90 pakej Poslaju) untuk pembaca di Semenanjung

3. RM67.50 (senaskah buku RM55 + RM12.50 pakej Poslaju) untuk pembaca di Sabah dan Sarawak.

Sila masukkan jumlah berkenaan ke dalam akaun saya :-

AFFIN ISLAMIC BANK : 20-530-011171-1

Atas nama: Mohd Fahrulradzi bin Mohamad Sapiee

Atau akaun isteri :-

MAYBANK - 112110854698

Atas nama: Nor Afidah binti Yusof


Selepas itu pm bukti pembayaran ke Facebook atau Whatsapp nombor saya 013-3082131. Sertakan sekali alamat pos dan nombor telefon untuk memudahkan urusan Poslaju.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan