Salam hari Isnin malam Selasa 15 Julai 2019 tetapi sudah bersamaan 13 Zulkaedah 1440 Hijriah (bermula waktu Maghrib). Merujuk pada artikel Apabila buku Kenangan Kembara Eropah 1995 mula ditatap pembaca yang dipersembahkan petang Jumaat 5 Jun. Pada akhir artikel ada disebut akan adakan majlis rumah terbuka raya berserta 'sambutan' buku ke-13 saya juga sambutan 13 tahun bergelar penulis buku. Alhamdulillah majlis telah berjaya diadakan pada jam 3 petang hari Sabtu 13 Julai. Ini ceritanya...
Dalam tempoh beberapa hari itu saya disibukkan dengan banyak urusan buku. Sambil itu rumah di Sungai Buaya, Rawang harus disiapkan untuk menerima tetamu. Ketika gambar ini diambil jam 2.23 petang saya masih belum mandi lagi. Sehari suntuk dihabiskan masa untuk membuat persiapan akhir sedangkan majlis rumah terbuka dan 'sambutan' buku dijadualkan bermula jam 3.
Perkataan 'sambutan' digunakan kerana pada saya lebih besar ertinya daripada perkataan 'pelancaran' mahupun 'peluncuran' yang biasa digunakan apabila sesiapa mengeluarkan buku. Ini kerana ia bukan sekadar mahu menyambut terbitnya buku ke-13 saya, "KENANGAN KEMBARA SOLO HITCHHIKE EROPAH TAHUN 1995" yang baru keluar daripada kilang cetak 25 Jun lalu. Ia adalah untuk menyambut buku yang asalnya harus menjadi buku pertama saya kerana mula ditulis pada tahun 1996. Ini adalah selepas masuk bertugas sebagai wartawan akhbar berbahasa Inggeris, The New Straits Times di Kuala Lumpur bermula hampir penghujung tahun itu. Namun projek dilupakan apabila segala tulisan yang dibuat menggunakan sistem Intranet pejabat hilang tiba-tiba awal 1997.
Setelah beberapa lama baru kembali mengusahakan buku lalu terbitlah hasil pertama saya "BERPETUALANG KE ACEH : MENCARI DIRI DAN ERTI" pada Jun 2006. Tetapi ia tentang hal lain walaupun kembara Eropah yang berlaku tahun 1995 ada disebut di dalamnya. Dengan kuasa Allah SWT projek buku pertama Eropah yang sudah lama dilupakan itu mula dihidupkan kembali Julai 2018. Rujuk Bila kenangan hitchiking solo pusing Eropah musim panas tahun 1995 menyapa. Alhamdulillah ia dapat keluar tepat 13 tahun selepas buku BERPETUALANG itu.
Dalam tempoh waktu itu juga saya secara rasminya telah 13 tahun bergelar sebagai penulis buku. Kalau bergelar penulis sudah lebih awal kerana masuk sahaja NST sebagai wartawan saya sudah rasmi menjadi seorang penulis iaitu pada 10 tahun lebih awal. Gambar-gambar tadi menunjukkan keadaan sambil saya masuk ke rumah untuk mandi kemudian berpakaian yang patut. Gambar atas ini pula diambil pada jam 3.19. Ketika itu tetamu kehormat, tokoh pejuang bahasa terkenal, Profesor Datuk Dr Awang Sariyan sudah sampai. Kelihatan seorang abang ipar saya yang dipanggil sebagai Abang Rin melayan beliau.
Awang sampai sejurus sebelum jam 3 mengambil kira majlis mahu dimulakan pada waktu itu. Tapi tidak ada dibuat atur cara tepat itu ini bermula jam berapa. Yang ada cuma format longgar berdasarkan ini juga adalah majlis rumah terbuka raya walaupun lewat masuk 10 Zulkaedah dah. Jam 3 itu sebagai satu petunjuk waktu. Apabila sudah sampai cukup hadirin dan tetamu bolehlah dimulakan bila-bila.
Sambil itu kami makan dan berbual-bual kosong. Antara tetamu yang boleh dikira datang awal walau sudah melepasi jam 3 adalah sahabat baik saya dari Aceh, Ustaz Mujibburizal (paling kiri berbaju biru).
Sementara menunggu lebih ramai tetamu muncul beliau berkongsi pengalaman sebenar yang dialaminya ketika ombak besar Tsunami meranapkan Aceh sehingga mengorbankan nyawa lebih 200,000 orang penduduk 26 Disember 2004.
Untuk makluman beliau adalah seorang selebriti di Aceh. Mujib adalah seorang penyanyi nasyid bersama satu kumpulan di sana. Tetapi semua ahli lain terkorban akibat Tsunami sedangkan beliau terselamat di atas sebuah kapal nelayan yang hingga kini masih dibiarkan tersangkut atas bumbung sebuah rumah betul-betul di sebelah rumah beliau. Tonton video berikut tentang pengalaman sebenar Mujib menghadapi ombak ganas Tsunami...
Ini pula saudara Zahid Taib seorang kawan lama zaman kolej A Level tahun 1988-1990. Beliau yang duduk sebilik dengan saya waktu itu pernah memegang jawatan Vice-President bagi 1MDB Berhad.
Ramai kawan lama kami memegang jawatan-jawatan tinggi di merata tempat namun tak pernah lupa antara satu sama lain. Bergambar beramai-ramai sebentar kerana Zahid harus pulang sebelum jam 5 akibat suatu urusan.
Sekitar jam 4.30 petang baru majlis secara rasminya bermula. Saya sebagai tuan rumah dan penulis buku memberikan kata-kata pengenalan. Tonton video berikut...
Ustaz Mujib pun diminta membacakan doa selamat. Kalau tiada dia saya pun tak pasti nak minta siapa bacakan doa kerana ia diadakan secara ad hoc. Jam 4.45 baru Prof Awang sebagai tetamu kehormat memberikan sepatah dua kata. Nah. Itu sudah lebih satu setengah jam lewat berbanding waktu majlis dijadualkan bermula iaitu jam 3. Sebetulnya selain menunggu lebih ramai orang sampai ada sebab lain saya sengaja melewatkan majlis. Ini akan diberitahu kemudian. Lihat video berikut...
Selepas itu diberikan cenderahati berupa beberapa buku terdahulu tulisan saya kepada Awang. Buku KEMBARA EROPAH sudah dibelinya daripada saya sebaik sahaja ia keluar dari kilang. Rujuk artikel Kembara buku Kenangan Eropah 1995 - Melaksanakan gerak untuk mengembara dan berhari raya sempena siap buku baru.
Selesai itu baru betul-betul berkongsi cerita pengalaman hidup yang membawa saya boleh bertukar arah daripada seorang graduan matematik University College of London (1991-1995) menjadi penulis buku yang lebih menekankan jati diri dan ketamadunan Melayu cara lama. Lihat video atas...
Perkongsian dipendekkan apabila mendapati Awang harus beredar untuk satu komitmen lain. Sebetulnya saya sengaja melewat-lewatkan majlis agar tokoh pejuang bahasa ini dapat bertemu dengan tetamu kehormat seterusnya, Dato' Dr Hamid Arshat. Ketika Awang hendak beredar dalam keadaan pasrah tidak ada rezeki untuk bertemu tiba-tiba tetamu tersebut sampai...
Tetamu yang dipanggil sebagai Cik Hamid ini adalah seorang bapa saudara saya. Beliau yang merupakan seorang pakar sakit puan terkenal baru dimaklumkan tentang acara 5 hari sebelum itu. Biar dikongsikan update berkenaan yang diletakkan di Facebook jam 4:42 petang Isnin 8 Julai...
----------------------
13 TAHUN JASAMU DIKENANG - SEPATAH DUA KATA DARIPADA AWANG SARIYAN SAMBIL MENGHARAPKAN PAK HABIB S.H. ALATTAS DAN DR HAMID ARSHAT JUGA SEORANG IBU SAUDARA DAPAT BERSAMA...
Salam semua. Tentang majlis terbuka hari raya berserta sambutan buku yang akan diadakan jam 3 petang Sabtu 13 Julai ini. Ada diberitahu, sambil membuat majlis rumah terbuka raya lewat (selepas Syawal) ia diadakan untuk menyambut buku ke-13 saya yang siap keluar dari kilang cetak 25 Jun lalu. Ia juga adalah sambutan sempena 13 tahun saya bergelar penulis buku. Bukan sekadar penulis ya. Kalau bergelar penulis itu lebih awal. Sejak masuk bertugas sebagai wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times hampir penghujung 1996 dekat 23 tahun lalu saya secara rasminya sudah bergelar penulis.
Tadi pagi saya menelefon tokoh pejuang bahasa Melayu terkenal Profesor Datuk Dr Awang Sariyan untuk mendapatkan kepastian kedatangan beliau bagi memberikan sepatah dua kata. Jawab beliau dah masuk dalam kalendernya bermakna sudah memberikan komitmen akan datang... kecuali jika berlaku sesuatu yang betul-betul menghalang di luar jangkaan. Petang selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama baru terfikir. Nak buat majlis sambutan 13 tahun bergelar penulis buku harus undang sekali orang-orang yang sangat bertanggungjawab membantu atau membentuk keadaan sehingga dapat menghasilkan buku pertama iaitu "BERPETUALANG KE ACEH : MENCARI DIRI DAN ERTI" Jun 2006.
Pertama adalah bapa angkat saya, penulis buku politik terkenal Syed Hussein al-Attas, juga dikenali sebagai Pak Habib dan S.H. Alattas. Saya pernah bekerja membantu penulisan buku-buku beliau selain tumpang menginap di pejabat beliau di Gombak juga rumah rehat di Janda Baik tahun 2002-2005. Atas nasihat beliaulah saya membuka syarikat sendiri Wasilah Merah Silu Enterprise. Di pejabat beliaulah saya belajar menggunakan Photoshop untuk reka bentuk kulit buku juga Pagemaker diikuti InDesign untuk reka letak teks sehingga boleh membentuk sebuah buku.
Kedua adalah bapa saudara saya Datuk Dr Hamid Arshat, pakar sakit puan terkenal tanah air. Adapun buku pertama itu sebenarnya siap ditulis dalam bentuk yang boleh dijadikan buku sejak awal tahun 2005 lagi. Tetapi saya menghadapi masalah mencari penerbit - jumpa yang ini diminta tukar jadi lagu tu, jumpa yang itu diminta tukar jadi lagu sebaliknya pula. Akhirnya seorang ibu saudara, hmm... baru ingat ketika menulis ini, Mak Uda, adik kepada ayah memberikan keyakinan. Katanya apa yang kamu tulis itu sudah cukup bagus. Tak perlulah ikut kehendak orang ini suruh tukar jadi itu, ikut orang itu suruh tukar jadi ini.
Atas keyakinan tersebut saya pun bertekad untuk menerbitkan sendiri buku atas nama syarikat Wasilah Merah Silu. Dengan meminjam duit yang diperlukan untuk membuat cetakan buku daripada Dr Hamid Arshat iaitu sebanyak RM18,000 saya mencetak 3,000 naskah. Hasilnya? Kalau dah sampai boleh buat 13 buku, 7 diterbitkan sendiri, 6 diterbitkan syarikat lain kira ok le tu. Dan buku pertama saya itu dah tiada dah. Habis licin dalam pasaran. Yang tinggal adalah 1 naskah untuk koleksi sendiri.
Saya tak jadi kaya raya kerana menulis buku bukan untuk buat duit, itu tidak pernah menjadi tujuan. Sebaliknya saya menulis untuk berkongsi pelbagai hal, perasaan, pengetahuan dan pengalaman yang sudah lama terbuku dalam dada. Akibatnya ramai mengaku terkesan dengan tulisan-tulisan saya.
Mengingatkan hal bagaimana dapat bermula saya pun menghubungi Pak Habib untuk mengundang ke majlis. Tengok-tengok beliau pun mahu mengadakan acara iaitu Haul Imam al-Hadad di rumahnya di Janda Baik petang Sabtu. Tapi kata beliau tengoklah bagaimana nanti...
Seterusnya saya menghubungi bapa saudara Dr Hamid. Dalam kesibukan beliau selalu sahaja ada pesakit kalau tidak pun membedah orang atau menyambut anak dapat juga menjawab. Katanya nanti akan dilihat jadualnya bagaimana.
Kemudian saya cuba menghubungi ibu saudara di Raub tapi tak dapat. Tak mengapa. Sekurang-kurangnya dah cuba. Kalau orang-orang ini dapat hadir pada majlis alhamdulillah sangat-sangat. Saya akan meminta mereka untuk memberikan sepatah dua kata juga selain Awang Sariyan yang dapat dikenali lebih dekat apabila menjadi pensyarah saya di ISTAC tahun lepas. Kalau tak dapat hadir sekurang-kurangnya saya boleh berkata... jasa mereka tidak pernah dilupakan sehingga kini sudah 13 tahun saya bergelar penulis buku...
Saya tahu bapa saudara ini sangat sibuk orangnya. Rumahnya pula terletak lebih 40 km dari rumah saya. Maka alangkah gembiranya apabila mendapat tahu pada tengah hari Sabtu itu beliau dapat datang. Saya dapat tahu selain urusan-urusan lain kedoktoran beliau yang hendak mencapai umur 75 tahun telah melakukan 15 pembedahan dalam tempoh seminggu.
Disebabkan segala macam urusan itulah beliau cuma dapat muncul sekitar jam 5. Alhamdulillah dapat juga berselisih dengan Prof Awang lalu kami bergambar...
Ini pula kawan lama saya daripada zaman Sekolah Menengah Sains Johor 1983-1987, saudara Shamsul Bahrin Saim. Beliau yang dahulu seorang ahli geologi kini lebih menumpukan pada minat melukis dan seni setelah beberapa lama membuka stesyen minyak Petronas di lebuh raya East-West Link KL.
Masuk sahaja ke dalam rumah terus dibelinya 4 naskah buku KEMBARA EROPAH. Daripada itu 2 naskah adalah pesanan seorang kawan yang sudah menjadi orang besar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (singkatan bahasa Inggerisnya MCMC).
Bergambar bersama Shamsul dan isteri masing-masing. Isteri beliau Raha juga dahulu sama sekolah menengah. Beliau adalah seorang doktor.
Oh. Majlis ini tidak akan berjaya tanpa isteri saya Nor Afidah binti Yusof. Dengan memasak seorang diri beliau mampu menyediakan pelbagai jenis juadah untuk lebih 60 orang tetamu.
Dan tentunya saya tidak akan berjaya menulis sehingga 13 buah buku dalam tempoh 13 tahun kalau tidak kerana sokongan beliau. Kelihatan dalam gambar Ustaz Mujib (yang disebut tadi datang dari Aceh dan ada berkongsi pengalaman tentang Tsunami) menyampaikan satu lagu secara spontan sebelum ke majlis lain. Lihat video berikut :-
Untuk makluman beliau sudah beberapa kali masuk televisyen di Malaysia. Mujib sering menyanyi bersama kumpulan Raihan di majlis-majlis. Baru-baru ini mereka bersama dalam satu kembara amal di Aceh. Beliau yang selalu berulang-alik antara Aceh dan Malaysia kerana beristerikan orang Negeri Sembilan sengaja mengatur perjalanan agar dapat menghadiri majlis saya...
Bergambar bersama Cik Hamid dan sejumlah saudara mara sebelah bapa yang baru dikenali dalam tempoh 2 minggu lebih lalu. Rujuk artikel Perhimpunan dan sambutan raya keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di Selayang tahun 2019.
Selepas itu beliau diminta memberikan sepatah dua kata. Lihat video-video berikut...
Bergambar di luar ketika Cik Hamid hendak meninggalkan majlis (melambai daripada dalam kereta). Ketika ini seniman dan penulis lirik terkenal S. Amin Shahab (berdiri 3 dari kanan) baru muncul bersama isteri setelah menghantar seorang anak ke KLIA untuk penerbangan petang ke London...
Bergambar di pondok hadapan rumah...
Selepas Cik Hamid selesai memberikan sepatah dua kata majlis masuk mood rumah terbuka sepenuhnya lalu menjadi semakin santai.
Rumah terbuka berlanjutan sehingga lewat malam...
Sudah menjadi kebiasaan di rumah kami apabila masuk waktu malam percakapan akan menjadi lebih serius melibatkan hal-hal akhir zaman. Apa lagi apabila salasilah besar keluarga diraja Aceh dan kaitannya dengan Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW juga lain-lain kesultanan di Alam Melayu dibuka. Sesungguhnya ramai yang menghargai tulisan-tulisan saya adalah mereka yang peka tentang perjuangan Melayu dan Islam akhir zaman...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan