Khamis, Oktober 24, 2013

Sekitar cuti Aidil Adha 1434


Petang jam 5.30 petang setelah agak lama juga berborak dengan pengarah filem yang dimaksudkan juga beberapa orang anak muda pengkaji sejarah baru kami meninggalkan Lembah Klang untuk ke selatan.


Kami sampai di Melaka selepas Isyaq. Singgah di rumah seorang kawan sebelum menjamakkan solat di masjid negeri.


Selepas itu kami berpusing di Bandar Hilir kemudian makan di dataran tepian Jalan Hang Tuah. Kami berehat di situ sehingga tengah malam masuk 13 haribulan Oktober lalu genaplah umur anak yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid 4 tahun.


Lewat malam itu kami sempat singgah di Masjid Kampung Hulu dan pusing lagi di Bandar Hilir sebelum kembali ke rumah ibu bapa di Muar.


Siang hari Ahad. Anak-anak bermain dengan sepupu-sepupu mereka. Tengah hari itu kami keluar ke taman bunga berdekatan kuala Sungai Muar. Lihat artikel Picnic at the Tanjung of Muar di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Ketika itulah saya sedar satu perubahan memberangsangkan tentang sebuah kepala kereta api lama di taman. Biar dikongsikan coretan berkenaan yang telah diletakkan di Facebook 8 hari lalu...

HIDUP NEGERI MUAR!


OK. Mereka yang pernah bertandang ke Tanjung Emas, Muar mungkin pernah melihat sebuah kepala kereta api lama yang dijadikan hiasan taman. Ia pernah digunakan ketika Muar masih memiliki rangkaian kereta api sendiri hingga ke Parit Jawa bermula tahun 1889, rangkaian kereta api kedua di Semenanjung iaitu selepas rangkaian kereta api di Port Weld @ Kuala Sepetang, Perak 1885. Rangkaian itu dibina atas nama Muar State Railway kerana ketika itu Muar masih sebuah negeri yang berdiri sendiri. Ia kemudian diserapkan ke dalam pemerintahan Johor sekitar 1920an. Tidak lama kemudian perkhidmatan kereta api Muar ditamatkan dan landasan ditanggalkan.


Pada kepala kereta api ada tertulis perkataan M.S.R. dengan cat putih yang bermakna Muar State Railway. Namun saya dapati perkataan ini dipadamkan sejak awal 2011 dengan cat hitam yang digunakan untuk mewarnai kembali seluruh kereta api. Begitulah keadaan buat beberapa lama sehingga saya beranggapan ada pihak sengaja menghilangkan nama M.S.R. kerana takut sejarah sebenar Muar sebagai sebuah negeri berdaulat terbongkar. Alhamdulillah ketika kembali ke kampung untuk cuti raya Aidil Adha baru ini saya dapati nama M.S.R. ini telah dicat emas dan di beberapa tempat di Muar berkibar bendera lama negeri sebelum diserap ke dalam Johor. Alhamdulillah... 



Esoknya petang Isnin 14 Oktober kami anak-beranak pergi menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Syah di Pagoh.




Kali terakhir saya menziarahi makam ini adalah pada bulan Februari. Ketika meninggalkan persekitaran makam terlihat pula sebuah masjid yang menarik perhatian, masjid yang selama ini saya tak perasan. Lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Olak Sepam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Pagi Selasa 15 Oktober yang bersamaan 10 Zulhijjah 1434 Hijrah umat Islam pun menyambut Hari Raya Haji atau Aidil Adha.


Saya dan keluarga tidak melepaskan peluang untuk bersolat sunat berjemaah Aidil Adha.


Selepas tahlil di masjid kemudian jamuan di rumah berdekatan kami menziarahi makam kaum keluarga di sebelah masjid...




Balik ke rumah, anak-anak seronok bermain dengan arnab.


Namun esoknya Rabu isteri harus bekerja dan anak sulung pula bersekolah. Anak harus dihantar kembali ke asrama sebelum 6 petang lalu selepas Zuhur kami pun bergegas ke Lembah Klang.

Oh. Adapun sehari sebelum keluar untuk kembali bercuti iaitu pada siang Jumaat saya telah ditemubual untuk sebuah rancangan televisyen di mana saya diminta bercakap tentang kempen membeli barangan buatan orang Melayu dan Islam. Temubual ini telah ditayangkan pada Selasa malam Rabu iaitu selepas sambutan Aidil Adha. Lihat artikel Acara ke-7 HIKMAH dan "To The Point" di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Tiada ulasan:

Catat Ulasan