Isnin, April 25, 2011

Tahlil kat kampung, pesta buku dan jalan-jalan cari makam

Assalamualaikum warahmatullahi taala wabarakatu. Siapnya artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Berkejar ke Kota Bahru menandakan selesainya penceritaan bagi hari kedua perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat penghujung 2010. Maka bolehlah dibuat artikel selingan, dalam kes ini, artikel yang sebenarnya mahu dibuat malam semalam tetapi tidak dapat selagi penceritaan hari kedua perjalanan Pantai Timur tidak diselesaikan. Mari.



Ini adalah kulit hadapan buku terbaru saya. Rasanya saya tidak pernah menyebut tentang buku ini dalam mana-mana di blogspots saya kecuali di dalam artikel Perkahwinan seorang sepupu, perjumpaan keluarga dan rancangan buku terbaru... yang dibuat satu setengah lalu. Dalam artikel itu ada disebut tentang isi yang dirancang untuk buku dan kenapa ia boleh tercetus.


Ini adalah rekabentuk awal kulit hadapan buku tersebut. Ia ditukarkan rekabentuk setelah mendapat maklumbalas ahli keluarga dan saudara-mara ketika kembali bercuti di Muar kira-kira 3 minggu lalu.



OK. Seperti biasa saya menurut ragam bercerita yang muncul dari gerak hati. Awalnya mungkin kelihatan tidak berkait tetapi apabila tamat nanti Insyaallah baru nampak jelas kaitan antara segalanya. Kalau tak sabar terus aje lihat pengumuman di bahagian paling bawah...

Petang Sabtu baru ini, 23 April kami anak-beranak meninggalkan Bandar Tasik Puteri lagi. Kali ini kami mengambil satu jalan kecil yang merentasi bukit di belakang pekan Batu Arang.




Dari situ masuk ke jalan Hulu Selangor-Kuala Lumpur lalu mengambil simpang ke Meru. Terus masuk ke bandar Kelang. Nasib baik trafik tidak berapa teruk...



Kami sengaja membuat pusingan melalui Istana Alam Shah. Ketika itu hampir waktu Maghrib.



Kami sampai ke destinasi sebenar hari itu iaitu rumah abang kepada isteri saya di Tanjung Sepat waktu malam.




Ada perkumpulan keluarga juga bacaan Yasin dan tahlil untuk ibu dan bapa mertua saya yang sudah meninggal dunia.



Esok pagi kami menghala ke KL. Singgah sebentar menghirup udara segar di Morib...



Sampai di pusat bandaraya KL kami makan tengahari nasi kandar di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum meletakkan kereta di ibusawat Telekom Jalan Sultan Ismail. Kemudian kami naik ke stesyen LRT.



Kami sengaja meninggalkan kereta kerana tidak mahu bersusah-payah mencari tempat letak di sekitar tempat yang hendak dituju. Rasanya inilah kali pertama kami membawa Al-Rasyid menaiki LRT di KL.



Kami naik pun tak jauh, setakat jarak satu stesyen sahaja iaitu yang bersebelahan pusat membeli-belah The Mall.



Ya. Destinasi kami adalah PWTC...



Ini kerana Pesta Buku Antarabangsa KL 2011 telah bermula di situ sejak Sabtu 23 April.



Asalnya saya tidak mahu ke sini dan tidak mahu terlibat langsung atas sebab-sebab tertentu. Tetapi dah nama pun penulis, mana saya boleh renggang dengan buku? Sedangkan semasa belum bergelar penulis malah sejak kecil pun saya sangat suka membaca. Mana boleh buat tak tahu ada pesta buku? Kalau boleh buat tak tahu pun berapa lama?



Selepas melihat pameran di aras bawah kami terus masuk ke dewan utama aras atas. Boleh terserempak pula dengan beberapa kakitangan syarikat Karnadya yang sedang melangkah keluar. Terus mereka memberitahu ada orang mencari buku "Berpetualang ke Aceh" di gerai mereka...



Saya pun terus ke gerai Karnadya. Dari pintu masuk hadapan terus sahaja melangkah melepasi gerai Sasbadi dan pandanglah ke kiri, boleh terus nampak...



Tu dia. Dua buku mewah tulisan saya "Rumah Azan" (terbit 2009) dan "Kereta api menuju destinasi" (baru terbit awal tahun ini) terbitan Karnadya mengapit buku "Dari mata turun ke hati" tulisan novelis dan pemilik syarikat, Aina Emir berserta anaknya yang menguruskan syarikat, Faiz Al-Shahab. Lihat artikel Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC dan Akhirnya... keretapi pun menuju destinasi.



Ah! Bagaimana saya mahu mengelakkan diri dari terlibat langsung? Sedangkan apabila berjalan-jalan di bahagian lain dewan boleh terjumpa juga satu lagi hasil kerja saya tetapi berbahasa Inggeris di gerai Crescent. Lihat Buku Inggeris Ahlul Bait Raja-raja Melayu dan faktor 131 juga 313.



Turun ke bawah kami masuk ke satu dewan kecil yang menggabungkan buku-buku dari beberapa penerbitan termasuk Jabatan Muzium. Terlihat pula potongan kad ini. Saya pun menyuruh isteri mencuba.



Kemudian saya pula tergerak hendak mencuba. Pelik Al-Rasyid melihatnya hehe...



Petang itu kami berjalan-jalan di sekitar Jalan Ampang dan KLCC. Timbul rasa untuk masuk ke tanah perkuburan Islam berdekatan. Ternyata ada beberapa makam menarik yang boleh dipaparkan dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Lihat artikel-artikel berikut...



Makam Teuku Zakaria/P. Ramlee dan rakan-rakan (Tomb of Teuku Zakaria/P. Ramlee and friends)

Makam (Tomb of) Sutan Puasa

Makam (Tomb of) Raja Alang ibni Raja Berayun



Kemudian kami ke tanah perkuburan di Kampung Datuk Keramat. Niatnya nak cari makam orang yang dipanggil Datuk Keramat.



Mungkin saya tidak melihat dengan teliti lalu tak jumpa. Kemudian apabila ditanya pada satu orang yang ditemui di luar tanah perkuburan katanya makam Datuk Keramat di satu kawasan bukit ke hadapan sedikit. Kami pun ke sana...



Saya mencari-cari hingga masuk Maghrib sementara isteri dan anak menunggu dalam kereta. Tak jumpa juga. Siang tadi baru saya tahu kenapa, itupun setelah meninggalkan pertanyaan tentang kedudukan makam di Facebook dan setelah menerima beberapa maklumbalas lain. Saya copy and paste terus dan highlight bahagian yang menjawab persoalan kenapa ia susah hendak ditemui...




tuan radzhi, cuba pergi ke pasar ikan datuk keramat dan tanya di mana boleh jumpa encik abdul hamid. dia dulu kerja tan chong motor assemblies kemudian jual ikan kat pasar keramat sambil kerja gali kubur kat kubur keramat lepas tu jual bara...ng kat pasar malam di pasar road/jln imbi pudu. 40 tahun yg lalu dia pernah tinggal di rumah setinggan hujung kubur tu dan skg ni saya tak pasti rumah itu masih ujud atau tidak. dia masih ingat lokasi makam datuk keramat itu to the nearest feet.memang kubur keramat ada di sana sebelah pasar keramat tu. dulu ada structure atas makam datuk keramat tu lengkap dengan kain tabir kuning.pokok pokok tinggi yg rendang. memang masa zaman kanak kanak kami selalu dapat makan gulai kambing di situ bila ada orang sembelih kambing dan masak di situ. ada juga stok pinggan mangkuk yg banyak untuk orang pinjam untuk majlis kenduri. kemudian kawasan kubur itu di tutup berpagar selama berpuluh tahun (boleh baca tujuannya) diikuti penambakan tanah oleh beratus ratus lori tanah yg menimbus kubur kubur lama sehingga lebih sepuluh kaki dalamnya. tiada khabar yg menyatakan makam datuk keramat itu di pindahkan (sila semak rekod di dewan bandaraya) kami semua beranggapan makam datuk keramat masih di situ cuma telah tertanam lebih dalam akibat proses penambakan tanah. lebih kurang 15 tahun yg lepas, kawasan perkuburan ini dibuka kembali untuk menerima ahli ahli baru dari kariah kg datuk keramat.aruah aruah nenek saudara saya, aruah emak saya dan aruah abah saya dan aruah jiran jiran semua disemadikan ditanah perkuburan baru ini yakni di level atas tanah perkuburan lama termasuklah makam datuk keramat yg tuan radzi cari itu.al fatihah untuk aruah datuk keramat dan aruah aruah nenek, emak dan abah saya.semoga roh roh mereka di kumpulkan bersama sama orang orang yg soleh dan ahli syurga.amin.




Malam itu kami bersolat di Masjid Kampung Baru sebelum makan di restoran makanan barat berdekatan.




Seterusnya kami singgah di makam yang ada batu nesan Aceh di Sentul. Lihat Dari Putrajaya ke Semenyih dan Hulu Langat : Akhirnya bertemu batu nesan Aceh di Kuala Lumpur! dan Selamatkan makam Harun Al-Rasyid, satu-satunya makam berbatu nesan Aceh yang masih wujud di Kuala Lumpur. Atau terus ke Makam (Tomb of) Harun Al-Rasyid, Kuala Lumpur.




PENGUMUMAN




OK. Berbalik pada pesta buku tadi. Saya sempat bertemu dengan Puan Aina Emir atau kami panggil Kak Aina. Dia bertanya kenapa saya tidak meletakkan buku. Saya tersenyum sahaja. Jawab saya asalnya saya terasa tidak mahu terlibat langsung dengan pesta buku tahun ini, menjengok pun belum tentu. Hujung minggu baru ini, ketika pesta buku baru bermula saya harus pergi ke majlis keluarga belah isteri di Tanjung Sepat, itupun baru dapat gerak nak datang hari Ahad. Hujung minggu ini pula saya harus ke Johor Bahru dan Singapura, mungkin ke Pontian juga kerana hal keluarga sedangkan ketika itulah pesta buku yang dijangka tamat 1 Mei paling rancak.

Sebab sebenar saya tidak mahu melibatkan diri adalah kerana terasa tidak puas hati tidak dapat menyiapkan buku terbaru saya, buku yang kulit hadapannya ditunjuk pada awal artikel untuk pesta buku ini. Cadangnya, selain buku "Kereta api menuju destinasi" yang juga merupakan buku terbaru, saya mahu menunjukkan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" sebagai bukan sahaja hasil penulisan terkini saya malah juga hasil terbitan sendiri yang terbaru setelah siri "Berpetualang ke Aceh". Namun selain belum mendapat belanja untuk percetakan masih ada sedikit maklumat yang kurang akibat saudara-mara di Singapura tidak menyampaikannya walaupun sudah diminta dan diingatkan berkali-kali. Nampaknya saya tidak ada pilihan kecuali harus menanganinya secara berhadapan dengan pergi ke sana hujung minggu ini.

Namun lawatan ke pesta buku hari Ahad iaitu semalam mengingatkan kehadiran saya juga siri buku "Berpetualang ke Aceh" masih diharapkan oleh sekurang-kurangnya beberapa orang. Dengan ini diumumkan. Esok tengahari Selasa Insyaallah saya akan datang ke gerai Karnadya dan meletakkan sejumlah buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh". Walaupun terkilan tidak dapat menonjolkan buku terbaru terbitan sendiri, rasanya siri "Berpetualang ke Aceh" tetap evergreen dan masih mampu meraih pembaca baru.

Diumumkan juga saya akan membuat potongan harga sepertimana di pesta-pesta buku terdahulu. Buku pertama siri yang memiliki tajuk kecil "Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006) dan buku kedua, "Membela syiar yang asal" (terbit Mei 2007) akan dijual pada harga RM20 berbanding RM24.90 senaskah, buku ketiga "Sirih pulang ke gagang?" pula jadi RM22 berbanding harga asal RM27.90. Kalau dibeli satu set, anda boleh mendapatkan pada harga diskaun tambahan RM60.

Saya akan berlegar di sekitar gerai Karnadya hingga waktu petang. Tapi biasa le saya mana boleh duduk diam mesti jalan-jalan. Apapun kalau nak jumpa berbual atau berkenalan datanglah ke gerai Karnadya mulai esok. Insyaallah saya juga akan datang Khamis dan Jumaat, hujung minggu takda dah tapi buku tetap boleh dibeli dari Karnadya. Sekian selamat malam. :]






Tiada ulasan:

Catat Ulasan