Lihat makam ini... Lihat betapa tebalnya tumbuhan di kawasan makam...
Tengok... Batu nesan yang ada hampir diselaputi pokok-pokok...
Nasib baik papantanda ini dalam keadaan baik... Cuma tulisannya sudah sedikit kabur dan sebahagiannya dilindungi pokok-pokok. Untuk pengetahuan, ini adalah Makam Sultan ke 22 Perak, Sultan Abdullah Muhammad Shah 1. Bukan Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles ya... Walaupun namanya sama, yang itu adalah Sultan ke 26...
Ini lagi satu kes makam yang tidak lagi berjaga sedangkan dahulu ia kelihatan elok... Lihat artikel Membetulkan kain batu nesan (Repositioning the cloth on tombstones) dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) sebagai contoh...
Hmm... Mungkin juga makam-makam Sultan-sultan Perak yang tidak lagi terjaga setakat yang dilihat ini adalah kerana ia sudah jauh daripada jurai keluarga yang memerintah sekarang. Maklumlah, Perak mempunyai sistem giliran yang membolehkan pelbagai pecahan keluarga diraja menaiki takhta walaupun mungkin keluarga-keluarga ini sudah terpisah jauh dan tidak lagi berbaik antara satu sama lain.
Sebagai contoh Sultan Abdullah yang makamnya dipaparkan di atas telah menerima tentangan Raja Muda Jaafar yang berpangkat anak saudara, anak saudara yang merampas takhta kerana tidak sabar lagi menunggu gilirannya. Raja Muda ini kemudian naik menjadi Sultan ke 23. Untuk pengetahuan, Raja di Hilir Perak sekarang, Raja Jaafar adalah dari keturunan Sultan Jaafar ini. Namanya ialah Raja Jaafar bin Raja Muda Musa bin Sultan Abdul Aziz bin Raja Muda Musa bin Sultan Jaafar.
Sultan Abdullah yang dibuang ke Pulau Seychelles iaitu Sultan Perak ke 26 juga adalah anak Sultan Jaafar. Tetapi jurai keluarga baginda seakan diketepikan daripada takhta yang sejak penghujung abad ke 18 Hijrah nampaknya ditentukan oleh penjajah Inggeris. Ini kerana Sultan Abdullah terlibat dalam pembunuhan J.W.W. Birch 1875. Anak cucu Sultan Abdullah yang pernah paling hampir dengan takhta ialah Raja Chulan yang namanya diabadikan di sebuah jalanraya utama Kuala Lumpur. Selain baginda, nampaknya tidak ada lagi kerabat Sultan Abdullah yang dimasukkan di dalam senarai Raja-raja Bergelar yang boleh menaiki takhta.
Sultan Perak sekarang, Sultan yang ke 34 adalah Sultan Azlan Shah bin Sultan Yusuf bin Sultan Abdul Jalil bin Sultan Idris (yang membuka Bukit Chandan dan Kuala Kangsar) bin Raja Bendahara Alang Iskandar. Raja Alang Iskandar pula adalah adinda Sultan Jaafar yang disebut tadi. Jadi nyata keluarga sekarang dengan jurai Sultan Abdullah I yang makamnya ditunjukkan bersemak tadi sudah dikira keluarga jauh. Begitu juga keadaannya dengan beberapa Sultan Perak yang makam telah ditunjukkan dalam artikel Pilihanraya Malaysia yang ke 12 dan makam-makam lama... Bahagian 1.... Maka apakah ini sebabnya makam-makam itu tidak lagi terjaga?
Sekarang lihat pula makam ini... Masyaallah, macam nak runtuh!
Malah papantandanya pun sudah jatuh, tinggal bingkai yang melopong ini...
Lihat batu nesan di dalamnya. Lihat semak-samun di dalam lingkungan pagar makam...
Lihat lebih dekat batu nesan yang sebenarnya adalah sebuah batu peringatan ini... Cuba bandingkan dengan gambar-gambar yang terdapat dalam posting Mencari Makam Raja Ahmad bahagian 1 . Ingat. Gambar-gambar ini diambil sekitar 2 minggu lalu sedangkan gambar dalam cerita mencari makam Raja Ahmad itu diambil September 2006.
Untuk pengetahuan, inilah makam Raja Ahmad yang di batu peringatannya tertulis perkataan "Sultan Ahmad Waliyullah"... Kenapa boleh jadi begini? Allah...
Adapun setahu saya, sejak Sultan Idris 1 membuka Kuala Kangsar dan Bukit Chandan tahun 1880an, SEMUA Sultan-sultan Perak dan Raja-raja Bergelar (Raja Muda, Raja di Hilir, Raja Kechil Besar dan sekiannya walaupun tidak sempat menaiki takhta) adalah daripada keturunan Raja Ahmad. Kenapa sampai hati membiarkan makam nenda jadi begini? Atau kamu semua terleka dengan dunia sekarang sehingga tidak ada masa langsung menjenguk atau mengambil tahu tempat tinggalan nenek-moyang?
Yang peliknya, berbanding lawatan-lawatan saya yang lepas-lepas, kawasan sekitar makam pula yang lebih terang. Dahulu, saya tidak dapat melihat Sungai Terus, sungai kecil di belakang makam yang dikatakan tempat Raja Ahmad jatuh lalu hilang tidak ditemui. Dahulu, semak-samun di belakang menghalang pemandangan...
Sekarang, bukan sahaja Sungai Terus boleh kelihatan, Sungai Perak pun boleh nampak daripada kawasan makam kerana kawasan sekeliling sudah jadi lebih terang. Jadi, kenapa pula kawasan makam jadi begitu semak?
OK... Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa saya pilih tajuk yang agak pelik iaitu "Pilihanraya Malaysia yang ke 12 dan makam-makam lama" untuk cerita-cerita ini. Tadi dalam Pilihanraya Malaysia yang ke 12 dan makam-makam lama... Bahagian 1... telah disebut bahawa saya "terpanggil" untuk membuat cerita-cerita ini setelah mendengar tentang pembubaran Parlimen semalam diikuti penetapan tarikh mengundi untuk Pilihanraya ke 12 Malaysia yang telah ditetapkan pada Mac 8. Tapi apakah kaitan sebenar pilihanraya dengan makam-makam ini?
Let's get straight to the point ya... Cerita banyak sangat pun tak guna. Begini le... Kalau nak dekat pilihanraya, kita selalu melihat jalan-jalan buruk tiba-tiba "dibarukan", maka apa kata pihak yang berwajib di luar sana sudi membersihkan makam-makam Melayu lama yang telah saya paparkan, juga mana-mana makam yang boleh dikenali ramai... Tentu mereka ada wang dan peruntukan jika mahu bukan? Sedangkan semua orang tahu, apabila masuk musim pilihanraya, berjuta-juta Ringgit akan bertukar tangan begitu sahaja semata-mata untuk memastikan kemenangan pihak yang lebih berduit... Takkan tak boleh salurkan sedikit?
Apa salahnya gunakan sedikit wang yang ada untuk menceriakan kembali makam-makam lama? Nak harap semua makam dibersihkan memang susah... Ada banyak juga yang terletak di ceruk mana, entah makam siapa... Siapa pula yang patut bertanggungjawab... Tetapi semua makam yang saya sebut dalam penceritaan kali ini adalah makam-makam yang telah diwartakan termasuk makam Sultan-sultan, bukan makam sembarangan... Jadi apa lagi? Silalah bersihkan sebelum pilihanraya bermula nanti.
Cuba fikirkan... Bersihkan makam-makam ini sebagai amal jariah dan tanggungjawab. Rasanya banyak pihak terlibat termasuk pihak berwajib dan anak cucu kerabat keluarga yang ada kena-mengena. Bersihkan supaya warisan Melayu lama yang membentuk jatidiri sebenar kita tidak dilupakan...
Yang tahyul adalah kerja meminta sesuatu dengan penunggu yang dikatakan menghuni makam-makam sedangkan ziarah makam dan memikirkan kematian sangat digalakkan. Jika kita memutuskan hubungan ingatan dan sejarah dengan orang-orang mati yang melambangkan perjalanan bangsa kita dahulukala, dikhuatiri kita akan jadi bangsa yang semakin hanyut ditelan arus keBaratan pro Yahudi Zionis yang mengajak kita leka dengan dunia lalu senang dicucuk hidung dan diperintah mereka...
Lihat apa yang pernah terjadi di Tanah Arab dahulu... Bagaimana pemerintahan Mekah dan Madinah oleh keluarga Sharif Mekah keturunan Ahlul Bait anak cucu Rasululluah SAW daripada jurai Saidina Hassan ditamatkan dengan kasar oleh keluarga Bani Saud dengan sokongan gerakan Wahabi yang menggunakan alasan kononnya Sharif-sharif Mekah mempertahankan pemerintahan yang bathil, salah satunya atas sebab menghormati makam-makam lama, juga mengingati Rasulullah SAW selalu dengan penuh kasih-sayang dan hormat dengan acara-acara Maulud yang dituduh bida'ah oleh golongan Wahabi...
Lihat juga apa yang terjadi kepada kerajaan KeKhalifan Turki Uthmaniyah sebelum itu.. Mereka dipaksa melutut dalam Perang Dunia I oleh kuasa-kuasa Barat kemudian keSultanannya ditamatkan dengan pukulan sekular Kamal Attartuk sehingga umat Islam seluruh dunia kehilangan satu pelindung besar dan jadi anak-anak yatim yang semakin senang dijajah. Hasilnya terasa hingga kini di mana umat Islam tidak mampu membela Palestin... Turki pula terus dibodohkan sehingga usaha untuk membenarkan warga perempuannya memakai tudung pun ingin ditentang... Membenarkan sahaja, bukannya memaksa... Apakah masalah mereka? Kata berfikiran liberal dan demokrasi... Patutnya benarkanlah seseorang itu memilih untuk pakai tudung atau tidak, bukan diharamkan... Pelik!
Sempena pilihanraya semakin dekat ini, beringatlah kita... Jangan biarkan pihak-pihak yang cuba memadamkan warisan serta jatidiri sebenar kita terus berkokok berlagak sana sini kononnya memperjuangkan agama, bangsa dan negara. Jangan biarkan keMelayuan kita dipadamkan, jangan biarkan Melayu dipinggirkan. Jangan sampai Malaysia menjadi (atau ditelan?) Singapura... Singapura yang kononnya mengamalkan meritokrasi tetapi sebenarnya meminggirkan Melayu. Singapura yang cuba menghilangkan segala sejarah pulau itu yang berkaitan Melayu. Singapura yang sangat bangga "diasaskan" (kononnya) oleh Stamford Raffles sedangkan mamat (ni kira bahasa baik ni, kalau tak mahu sahaja saya maki-hamun si celaka ini) yang bertanggungjawab memecahkan dunia Melayu buat selama-lamanya, melalui Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang kemudian membawa kepada kewujudan Malaysia dan Indonesia... Malaysia dan Indonesia yang seringkali keliru akan makna Melayu, masing-masing mengaku dialah yang lebih Melayu, dialah yang mencipta batik, silat dan sebagainya sedangkan kita sama sahaja, ahli-ahli perkumpulan besar persatuan bangsa-bangsa bersatu beragama Islam yang diikat dengan budaya, adat-istiadat dan penggunaan bangsa Melayu.
Sekian... Harap maklum... Vote for the truth not Machiavelian characters and liars. :]