Jumaat, Ogos 10, 2007

Koleksi gambar BKA tour run untuk tatapan semua...

Gambar lama ketika mengembara seorang diri di Eropah tahun 1995 sebagai penghias cerita, gambar yang diambil di Vienna Austria. Insyaallah tak lama nanti ceritanya akan dipaparkan di dalam blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH...


Assalamualaikum semua. Demi untuk memudahkan sesiapa yang berminat untuk menatap gambar-gambar berkaitan pengembaraan sambil mempromosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" serta cerita-cerita berkaitan, biar saya kumpulkan link-link nya dalam posting ini...

"Berpetualang ke Aceh" tour run 2

"Berpetualang ke Aceh" tour run 3

Promosi dengan poster baru

Poster BKA 'beranak" tiga! Dan pengembaraan tetap diteruskan jua!

Tour terbaru "Berpetualang"... Berita dari Raub

BKA Tour Run: Dari Raub ke Gua Musang

BKA Tour Run: Jale-jale Kota Bahru, Kelantan

BKA Tour run: Laporan daripada Aloq Setaq!

BKA Tour Run: Alor Setar ke Kuala Kangsar sebelum melaporkan di Ipoh

BKA Tour Run... Laporan akhir setelah kembali ke Kuala Lumpur.



OK... Itu sahaja. Selamat bersolat Jumaat!

Kenangan pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Khazanah Fathaniyah 2 bulan lalu...

Assalamualaikum kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Saya ada satu berita baik dan satu berita buruk. Saya rasa, eloklah dimulakan dengan berita buruk dahulu ya...

Adapun semalam, saya telah pergi melawat ke kedai buku Khazanah Fathaniyah setelah lebih sebulan tidak ke sana. Maklumlah, saya kan baru sahaja kembali daripada membuat penjelajahan beberapa buah negeri dalam BKA tour run... Lalu saya dapati sebuah van milik pihak Khazanah peninggalan Almarhum Ustaz Wan Saghir telah 'berlabuh' di hadapan kedai sementara di dalam kedai pula kelihatan berkotak-kotak buku sedang disusun-atur. Rupa-rupanya mereka hendak tutup kedai. Allah! Apa ini...

Para pembantu merangkap murid-murid Almarhum Ustaz terutama saudara Azrul pun memberitahu, mereka ingin berpindah kembali ke markas Khazanah Fathaniyah iaitu rumah sebelah rumah Almarhum Ustaz yang telah dijadikan dewan. Rasanya, masuk 15 haribulan ini, selesailah kerja memunggah segala barangan. Sebabnya, sewa bulanan kedai di Chow Kit sebanyak RM3,600 tidak setimpal dengan hasil jualan yang diperolehi.

Apa boleh buat... Inilah adat kehidupan. Itupun menurut Azrul, mereka akan berhenti beroperasi buat seketika untuk menumpukan perhatian kepada aktiviti-aktiviti seminar keilmuan Islam kelolaan Khazanah Fathaniyah serta pihak berkaitan seraya menjual buku serta hasil kerja Almarhum Ustaz di tempat-tempat seminar diadakan.

Sebagai mengenangkan hubungan saya dengan pihak Khazanah Fathaniyah, sila masuk ke artikel Ustaz Wan Saghir, Khazanah Fathaniyah, perjuangan Islam dan aku... . Hubungan akrab ini membolehkan saya membuat pelancaran siri buku "Berpetualang ke Aceh" di tempat mereka. Cerita-cerita berkenaan ada di Pelancaran tidak rasmi buku BKA II di Khazanah Fathaniyah..., Pelancaran buku BKA di Khazanah Fathaniyah 9 Jun..., Tahlil 44 hari almarhum Ustaz Wan Saghir dan Confirm! Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu.... Ini diikuti Pelancaran BKA di Khazanah Fathaniyah Sabtu ini. Full steam ahead... dan laporan selepas majlis selesai dengan jayanya di Fuh... Lega sungguh rasanya!.

Kesibukan untuk mengadakan majlis di samping kepala otak saya yang terlalu fokus tentang buku menyebabkan saya terlupa untuk merekodkan peristiwa itu sebaik mungkin. Maka beralih kita pada berita baik pula... Pada hari ini, setelah beberapa lama menunggu, saya telah mendapat salinan gambar serta video yang disediakan oleh seorang jurugambar profesional yang hadir pada majlis pelancaran yang diadakan 9 Jun lalu untuk paparan semua. Tanpa membuat masa, biar dipaparkan beberapa gambar yang ada. Ini dia...


Hadirin membelek buku-buku dan hasil tulisan peninggalan Almarhum Ustaz Wan Saghir...


Saya pula menjadi MC merangkap pengerusi dan pengelola majlis...


Tu dia... Banyak betul hasil tulisan ilmiah yang menarik perhatian...


Para hadirin berkumpul di satu sudut kedai untuk diambil gambar... Sebenarnya untuk saya mengambil gambar dengan kamera digital saya yang ketika itu hampir kehabisan bateri akibat terlupa hendak recharge malam sebelumnya. Tak terfikir pun ketika itu untuk recharge battery di kedai. Semuanya disebabkan sibuk mengatur acara...


Kemudian baru saya turut serta...


Kaum Hawa pun turut bergembira menikmati juadah yang ada...


Sesi perbualan bebas demi merapatkan silaturahim sesamalah kita...



Oh... Mungkin ada yang tertanya-tanya. Jika gambar-gambar in diambil oleh seorang jurugambar profesional, mengapa pula ia kelihatan agak kabur dan warnanya kurang menyerlah?

Sebenarnya, gambar yang diambil adalah gambar video yang kemudian disunting dan diatur-kembali supaya lebih menarik dan padat penceritaannya. Gambar-gambar yang dipaparkan di sini pula adalah still-shot daripada gambar tayangan video. Itu dia...

Adapun setelah melihat video yang dibuat jurukamera tersebut, saya rasa amat berpuas-hati dengan hasilnya dan ingin berkongsi dengan kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Malangnya saya tidak tahu cara hendak memasukkan video sepanjang setengah jam ini ke dalam Internet... Saya bukan reti pakai YouTube ke hapa dan sebagainya... Mungkin ada yang boleh beri cadangan melalui ruangan comments di penghujung artikel ini?


p/s: Hampir terlupa pula. Di sini saya juga ingin mengajak semua supaya bertandang ke blogspot-blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) untuk membaca beberapa posting terbaru. Senang cerita, klik sahaja ke mana-mana cerita yang anda berkenan... Sekian... :]


Rumah-rumah di Langkawi? (Houses in Langkawi?)

Kesan Aceh di Yan, Kedah? (Aceh remains in Yan, Kedah?)...

Bangunan-bangunan di Kuala Muda (Buildings in Kuala Muda)

The Dutch Fort in Pulau (island of) Pangkor, Perak...

More of Pangkor... Going on to what's inscribed on a stone...

Remembering Pangkor...


Ahad, Ogos 05, 2007

Mencari jejak Raja Bersiong...

Gambar pintu gerbang daerah Siong di Kedah seperti dipaparkan dalam artikel BKA Tour run: Laporan daripada Aloq Setaq! 3 minggu lepas...


Alhamdulillah, sukacita dimaklumkan, tadi saya berjaya menyiapkan cerita terakhir berkenaan perjalanan ke utara Januari lepas untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Silalah klik On to the summit of Gunung Jerai to close a chapter... untuk mengetahui ceritanya. Jangan lupa juga untuk menjenguk cerita Gunung Jerai calling out loud... dan Perlis in one day! yang dibuat di Kajang malam semalam.
Adapun seperti biasa, saya selalu kepenatan kerana perlu menyelesaikan banyak perkara sedangkan diri ini kurang sihat akibat kepenatan pengembaraan yang dilalui disertai perubahan cuaca daripada tempat ke tempat juga gangguan ghaib yang terpaksa ditanggung sebagai cabaran seorang pembawa amanah cerita-cerita lama Melayu... Dalam pada itu, saya harus memulakan proses penyuntingan buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh: Sirih pulang ke Gagang" atau BKA III di samping meluahkan apa-apa cerita yang patut untuk tatapan para pembaca blogspot. Dan ini perlu diimbangi pula dengan masa untuk berehat menyendiri mendapatkan gerak ilham seraya menghilangkan penat-lelah di samping memberikan perhatian kepada orang-orang yang tersayang... Macam-macam!
Ambil contoh semalam. Saya harus meluangkan masa untuk mendengar masalah seorang wanita yang sangat saya sayangi seraya menenangkan keadaan. Pada masa yang sama, saya juga harus peka akan rasa seorang lagi wanita yang juga saya sayangi... Kedua-kedua telah banyak menolong saya mengharungi liku-liku kehidupan termasuk menulis dan menerbitkan buku dan kedua-duanya juga memerlukan perhatian, ada masanya pada saat yang sama!
Eh... Melalut pula. Apa yang saya nak beritahu adalah kepenatan membuat pelbagai perkara sedangkan saya cuma manusia biasa... Selepas bertemu wanita tersebut di Kuala Lumpur sambil harus melayan perasan wanita seorang lagi melalui talifon, saya pergi ke Kajang. Selepas solat Maghrib di sebuah kompleks membeli-belah, saya berjalan kaki menghala ke rumah dengan niat untuk makan malam di sebuah restoran.
Dalam perjalanan ternampak sebuah Internet Cafe lalu teringat akan beberapa cerita yang perlu diluahkan tetapi tertunda hampir seminggu akibat hal-hal lain. Apa yang terjadi, saya duduk 7 jam demi membuat beberapa cerita untuk tatapan semua, itupun saya cuma berhenti setelah Cafe itu tutup jam 3 pagi.
Ini berlaku dalam keadaan saya belum pun makan malam dan kemudian perlu berjalan kaki 2km pagi-pagi buta untuk kembali ke sebuah rumah milik keluarga di Kajang. Begitulah keadaan hidup saya selama ini, maka itu saya terasa begitu lega dapat menyiapkan cerita-cerita yang patut pada hari ini lalu biar saya tutup sesi bercerita kini dengan sebuah artikel untuk blogspot ini... Sebuah cerita mengenai pencarian jejak Raja Bersiong yang berlaku sekitar 3 minggu lepas. Sila... :]

15 Julai 2007. Setelah sampai ke Baling, Kedah daripada Grik, Perak, seorang teman wanita telah menghubungi bertanyakan khabar. Apabila dapat tahu saya berada di Baling, dia meminta agar saya pergi mencari tempat-tempat yang berkait dengan Raja Bersiong. Sedikit cerita tentang ini telah saya nukilkan dalam BKA Tour run: Laporan daripada Aloq Setaq!. Biar saya melompat terus kepada apa yang berlaku setelah meninggalkan masjid di Siong yang gambarnya tertera di atas...


Di masjid tadi, pak imam dan bilal ada memberitahu bahawa seluruh daerah tempat saya berjejak masa itu dipanggil Siong. Pintu gerbang siong yang tertera dalam gambar pertama tadi pula adalah monumen yang dibina kerajaan untuk menandakan kawasan Siong, bukannya tempat Raja Bersiong meninggalkan apa-apa tanda atau sebagainya.

Kata mereka, kalau mahu mencari jejak Raja Bersiong, elok saya berjalan sedikit ke hadapan menghala ke Baling dan masuk melepasi sebuah kampung, sudah lupa nama kampungnya. Di sebelah kampung itu ada satu kawasan atau tapak berkaitan Raja Bersiong... Jalan masuk ke kampung itulah yang kelihatan dalam gambar di atas...


Saya pun masuk ke jalan itu lalu menyeberangi jambatan ini. Oh... Mungkin ada yang tidak pernah mendengar siapakah Raja Bersiong ini... Saya sudah cukup penat untuk bercerita panjang lebar, biar dikutip sahaja daripada Internet dan copy and paste di sini ya... Hmm... Terjumpa pula cerita daripada Wikipedia berkaitan sejarah Baling. Ini dia...

----------------------------------

Nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa yang tercatat dalam Hikayat Raja Bersiong. Raja Bersiong telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan baginda membaling jauh gigi-gigi tersebut. Tempat di mana peristiwa ini berlaku telah dinamakan Baling.
Daerah Baling, di pedalaman negeri Kedah, terdiri daripada enam mukim iaitu Mukim Tawar, Mukim Pulai , Mukim Kupang, Mukim Teloi Kanan, Mukim Bongor dan Mukim Siung. Kebanyakan penduduk daerah ini bersawah padi dan menorah getah. Bandar ibu daerah ini juga bernama Baling. Ada berbagai cerita tentang kemunculan nama baling, termasuk yang dikaitkan dengan Raja Bersiung, raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa. Raja Bersiung gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. Baginda melarikan diri setelah kegemarannya yang menjijikkan itu diketahui rakyat. Ketika Raja Bersiung lari daripada kepungan menteri dan rakyatnya, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi taring atau siungnya. Apabila kesakitannya itu tidak reda-reda, baginda mengambil keputusan untuk mencabut siungnya itu. Namun siung itu masih kejap dan tidak mudah dicabut. Sudah beberapa kali baginda menjerit kesakitan ketika cuba untuk mencabutnya. Apabila siungnya itu akhirnya berjaya dicabut baginda terus membalingnya jauh-jauh, tanda marah. Tempat siung itu jatuh dinamakan ‘Baling’.
Dalam cerita kedua, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam (Thai) dan orang Burma (Nyanmar) yang datang ke daerah itu kira-kira dua ratus tahun dahulu. Mereka datang ke Baling kerana ingin memulakan penghidupan baru. Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ. Mereka begotong-royong menebang hutan dan belukar untuk memulakan penempatan baru. Mereka bercucuk tanam, berniaga dan membawa sampan penambang untuk menyara hidup. Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah. Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan. Sungai itu juga kaya dengan ikan. Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.
Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil. Mereka gembira melihat sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. Akan tetapi. Kegembiraan mereka tidak kekal lama. Buah-buahan mereka seperti langsat, rambutan dan durian diserang oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. Binatang-binatang itu bebas memakan dan memusnahkan buah-buahan mereka. Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka Ban-Lin yang bererti ‘kera’. Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjadi ‘Baling’.

Lama saya berjalan sambil mengheret kit promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Pelik orang-orang kampung melihat gelagat ini sedangkan saya belum nampak apa-apa tanda lagi yang berkaitan Raja Bersiong di kiri kanan...


Saya terus berjalan kaki mencari tapak atau kawasan berkaitan Raja Bersiong yang dimaksudkan oleh pak imam dan bilal di masjid tadi... Aduh... Di mana ni? Apabila saya bertanya pada orang kampung, mereka pun tak tahu. Allah! Penat... Terasa mahu mengalah sahaja tetapi apabila memikirkan mesti ada sebab Tuhan menyampaikan gerak untuk mencari jejak Raja Bersiong ini saya terus bertahan mencari sebuah tempat yang entah betul ada di situ entah tidak...
Walaupun zahirnya, saya pergi atas permintaan seorang teman wanita, batinnya ia tetap ilham daripada Qudrat dan Iradat Allah jua... Maka saya teruskan perjalanan walaupun jam sudah menunjukkan 6 petang. Walaupun asalnya saya sampai ke Baling sekadar tempat persinggahan sebelum ke Alor Setar... Walaupun ini menyebabkan saya seterusnya terpaksa berada 15km daripada Baling pada arah luar perjalanan asal yang tidak ada kena-mengena dengan Alor Setar langsung!
Pak imam dan bilal bercerita seolah-olah tempat yang dimaksudkan begitu dekat... Cari sahaja di sebelah kampung yang disebut... Mungkin mereka tidak sedar saya sekadar berjalan kaki. Maklumlah, kebanyakan orang di kampung memiliki kenderaan sendiri sekurang-kurang motor kapchai buruk sedangkan saya cuma mengharapkan kepala lutut...
Tak apa... Inilah cara perjalanan seorang manusia yang mahu melestarikan satu perjuangan memartabatkan kembali makna sebenar Melayu Islam yang selama ini digelapkan penjajah serta orang-orang berkepentingan walaupun orang lain tak faham dan menuduhnya yang bukan-bukan... Penat memang penat... Kadang-kadang peluh keringat keluar bersulam air-mata darah tapi itulah harga satu perjuangan... Allah!


Saya terus 'menapak' sampailah ke penghujung jalan. Jumpa simpang tiga ini dengan anak-anak muda bermain sepak raga di atas jalan. Sempatlah berbual-bual dengan seorang dua... Dalam sekitar 20 orang yang ada, cuma 2-3 sahaja yang nampaknya tahu apa-apa tentang Raja Bersiong. Yang lain tak ambil peduli walaupun mereka sedang duduk di dalam daerah Siong! Kenapa ya? Mungkin sejarah bangsa tidak begitu penting bagi kebanyakan orang... Sebab itu agaknya Melayu semakin tunggang-langgang?

Nasib baik juga ada yang tahu walaupun sedikit. Kata seorang pemuda, ada tapak istana atau bangunan berkaitan Raja Bersiong (dia pun tak pasti betulkah itu tapak istana) di sebuah sekolah setelah membelok ke kanan simpang ini. Saya pula risau, jika ke sana, apakah akan terjadi kekeliruan maklumat lagi setelah terpaksa berjalan kaki jauh lagi? Bukankah tadi di masjid, pak imam dab bilal memberitahu saya boleh berjalan sekitar 2 km sahaja sebelum berjumpa tempat yang mereka maksudkan. Sedangkan kini saya telah berjalan kaki 3km dan belum bertemu pun tempat yang dimaksudkan. Allah!

Seorang lagi pemuda memberitahu, ada kawasan kota Raja Bersiong tetapi saya perlu berpatah-balik keluar jalan ini untuk kembali ke jalan besar lalu menuju ke Baling. Sekurang-kurangnya saya ada mendengar cerita yang sama daripada pak imam dan bilal tadi, juga daripada beberapa orang tempatan di sebuah pekan berdekatan monumen siung di tepi jalan yang dilawati sebelum sampai ke masjid. Sekurang-kurang keringat saya tidak akan sia-sia begitu sahaja kalau mengikut jalan ini... Kalau tak jumpa kota yang dimaksudkan pun, sekurangnya saya akan berada di jalan besar semakin menghampiri Baling...

Saya pun mengorak langkah berpatah-balik. Nasib baik tidak lama kemudian, saya dapat menumpang sebuah bas sampai ke simpang jalan besar. Dapat juga berehat seketika sambil menjimatkan tenaga...


Dalam perjalanan menghala ke lokasi seterusnya inilah saya ternampak papan-tanda menandakan terdapat sebuah gelanggang silat di sini.

Lihat trolley kit promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang saya heret ke sana ke mari dalam pengembaraan ini. Belum lagi dilihat rucksack besar di belakang yang boleh tahan berat... Bayangkan sekarang membawa barang-barang ini memasuki 5 buah negeri sampai ke ceruk rantau kampung-kampung orang berjalan kaki seorang diri tak kira siang mahupun malam... Sanggupkah kamu melakukan semua ini demi memperjuangkan apa yang menjadi keyakinan dan kepercayaan diri?

Ah! Saya setakat meluahkan rasa... Anggaplah itu cuma baki rintihan satu jiwa yang sering disalah-ertikan tujuan hidupnya lalu difitnah oleh orang-orang berkepentingan terutama para penipu agama serta penjual bangsa yang berkuasa dalam persada politik... Lalu sangat membenci mereka yang cuba mengembalikan erti hidup sejati tanpa kongkongan materialistik yang mencucuk hidup hampir segenap manusia kini. Maka para syaitan bertopengkan manusia yang kononnya sayangkan agama dan bangsa ini sanggup menggunakan segala tipu helah jijik untuk menjatuhkan mereka yang berjiwa perjuangan sejati...

Adapun, saya membuat cerita mencari Raja Bersiong ini apabila mengenangkan bagaimana seorang pembaca blogspot ini yang memakai nama Ariyon telah menyatakan di chatbox bahawa saya akan membuat cerita Raja Bersiong di sini tak lama nanti... Apa yang berlaku, saudara Ariyon telah menghantar SMS tanda perkenalan seraya bertanyakan khabar berita serta melihat sedikit cerita di blogspot ini, sejak saya meninggalkan Kota Bahru, Kelantan. Oleh kerana ada ketikanya dalam pengembaraan, saya tidak dapat menggunakan Internet, saya meminta Ariyon supaya menyampaikan salam kepada semua pembaca dan menyatakan di mana saya berada pada sesuatu ketika. Maka semasa di Siong inilah dia mendapat tahu saya berada di daerah Baling untuk mencari jejak Raja Bersiong.

Sehari kemudian, baru saya perasan dalam chatbox, Ariyon ada menyebut saya sedang mencari jejak Raja Bersiong dan akan membuat sebuah cerita tentangnya. Sejak itu, saya terasa wajib untuk menceritakan sedikit pengalaman ini. Cuma masa dan peluang tidak mengizinkan... Sehinggalah sampai hari ini di mana saya terasa sedikit lega setelah siap membuat beberapa cerita untuk blogspot-blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Dipendekkan cerita, saya akhirnya sampai ke lorong masuk ke Kampung Kota di mana terletak peninggalan kota lama Raja Bersiong yang dimaksudkan...


Tidak jauh daripada situ, kelihatan rumah yang agak menarik ini. Ketika itu hampir masuk waktu Maghrib... Sebab itu gambar-gambar yang diambil kelihatan sedikit kabur... Maklumlah, pakai kamera digital murah.

Setelah bertanyakan arah kepada seorang penduduk tempatan, saya pun bergegas ke tempat yang dimaksudkan... Dalam satu kawasan kebun serta belukar, kelihatan perdu-perdu buluh yang menandakan kawasan sempadan kota Raja Bersiong suatu masa dahulu... Maaf kerana kamera digital murah saya tidak dapat menangkap gambar dalam keadaan senja itu...

Seketika kemudian terdengar laungan azan menandakan waktu Maghrib sedangkan saya sedang seorang diri dalam satu kawasan terpencil yang memang ada rasa 'semacam'. Saya tak takut pada rasa 'semacam' ini kerana berpegang teguh kepada konsep tawakal serta perlindungan Allah... Yang saya risaukan adalah takut hilang jejak dalam belukar dan kegelapan malam sedangkan saya sudah cukup penat dan perlu berehat.

Apa yang menarik, azan Maghrib tadi menandakan masuk 1 Rejab sedangkan pada awal pengembaraan dahulu, saya bercadang untuk melawat beberapa lokasi di Kelantan, Kedah dan Perak dan kembali ke Kuala Lumpur sebelum 1 Rejab... Ini tidak, 1 Rejab, saya sedang berada di sebuah tempat jin bertendang di Siong, Baling dalam Kedah, lebih 300km rasanya daripada Kuala Lumpur. Ternyata pengembaraan yang awalnya dijangka memakan masa seminggu sahaja akhirnya menjadi panjang hampir 4 minggu... Allah!

Apapun, memang semua ini telah dirancang Tuhan dan Qada' dan Qadar Nya jua. Sebaik sahaja selamat keluar daripada kawasan kota Raja Bersiong dan sampai di jalan besar, saya telah disapa oleh seorang pemuda yang menaiki motor. Pelik juga memikirkan, dia sanggup menegur saya dalam kegelapan itu. Lainlah kalau saya yang menahan... Pengalaman lepas menunjukkan bahawa ramai orang takut hendak menegur saya apabila berjalan seorang diri dalam kegelapan... Alang ditahan untuk hitchike pun kebanyakan mereka semakin laju memecut motosikal ataupun kereta... Faham-faham sahajalah kenapa!

Dipendekkan cerita lagi, pemuda ini sanggup menghantar saya ke kedai makan berdekatan. Sementara saya menghilangkan lapar, dia sanggup kembali ke rumah untuk mengambil topi keledar lalu menghantar saya ke pekan Baling, 11 km daripada situ! Maka dapatlah saya berehat dengan selesa di sebuah hotel murah. Allah!

OK... Cukuplah. Sukacita dimaklumkan, cerita ini adalah posting yang ke 161 dalam blogspot ini sedangkan tadi saya telah menyiapkan posting ke 99 dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Semalam, saya telah menyiapkan posting ke 47 untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . 4 + 7 = 11 sedangkan 11 adalah nombor kegemaran saya, tak pasti kenapa... Mungkin kerana saya dilahirkan pada bulan 11? Mungkin juga kerana saya suka cerita Nabi Yusuf yang merupakan anak ke 11 Nabi Ya'aqob? Atau saya ada gila-gila nombor tapi saya tak suka apa-apa bentuk judi, apalagi main nombor ekor... Fikirkan!

Sekarang bolehlah saya berehat sebentar. Syukur Alhamdulillah! :]

Sedikit rasa di atas kayangan?

Assalamualaikum kawan-kawan dan para pembaca sekalian. Baru tadi saya telah berjaya menyiapkan 3 cerita untuk blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEH dan sebuah cerita untuk blogspot dwi-bahasa SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) di sebuah Internet Cafe di Kajang... Ini adalah kesinambungan daripada sebuah cerita untuk BERPETUALANG KE ACEH dan sebuah untuk SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) yang dibuat di Masjid India semalam.
Untuk membaca cerita-cerita ini, boleh klik terus ke...

The legend of Mahsuri in Langkawi
Lots of walking in Langkawi
Alor Setar at last!
Incursion to Tanjung Dawai
Masjid Sheikh Ismail di Ulu Bernama (The mosque of...
Masjid (mosque of) Ampang Pecah

Untuk pengetahuan, saya sudah duduk di Internet Cafe di Kajang ini selama hampir 5 jam demi menyiapkan cerita-cerita yang dibuat berdasarkan koleksi gambar daripada pengembaraan yang lepas-lepas. Maka biar saya bertukar angin sebentar (kerana selepas ini ada 3 buah cerita lagi perlu diluahkan untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH)... Biar saya buka satu cerita ringkas untuk blogpot ini berdasarkan pengembaraan saya yang terbaru selama hampir 4 minggu meliputi 5 buah negeri ya... Sila! :]

Gambar di atas ini diambil di kawasan sebelah utara Banjaran Titiwangsa, banjaran pergunungan utama di Semenanjung Malaysia...


Lihat... Terasa seolah-olah berada di kayangan pula!


Sebenarnya, gambar-gambar ini di ambil daripada sebuah tempat rehat di lebuhraya Timur-Barat yang menghubungkan pekan Jeli di Kelantan dengan Gerik di Perak. Setelah bermalam di Jeli 14 Julai 2007, malam ke 5 saya di Kelantan, saya pun bergerak menghala ke Kedah... Perlu ke Gerik di Perak dahulu kerana itulah destinasi untuk perkhidmatan bas yang ada, sekali sehari daripada Jeli. Dan di tempat rehat inilah bas itu berhenti waktu makan tengahari...


Lihat lagi... Terasa begitu tenang dengan udara nyaman... Cuma hujan renyai-renyai membuatkan suasana terasa terlebih sejuk dan lembap...


Papan-tanda menunjukkan arah ke satu-satunya restoran di sini... Rasanya sekurang-kurangnya 1,300 kaki daripada paras-laut... Saya pun tak pasti... Cuma teringat sekali, hampir 10 tahun lalu berkelana seorang diri menaiki motor-besar melalui jalan yang sama sebelum berhenti di satu kawasan dengan pemandangan pergunungan yang indah, tak ingat di sebelah mana...

Ketika itu, saya sedang memakai jam tangan Casio yang memiliki beberapa fungsi untuk pengembara termasuk alat mengukur tekanan udara serta ketinggian seseorang daripada paras laut... Saya masih ingat ukuran di jam tangan menunjukkan paras ketinggian lebih 400 meter di tempat berhenti ketika itu!


Tetapi apabila melihat balik pada paras gunung dan bukit yang kelihatan daripada tempat rehat ini, boleh jadi juga ketinggiannya daripada paras laut melebihi 2,000 kaki! Ini berdasarkan pengalaman saya menaiki beberapa buah gunung seperti Gunung Jerai di Kedah dan Gunung Ledang di Johor (kedua-duanya lebih 4,000 kaki) samada dengan cara mendaki berjalan kaki atau menaiki kenderaan.

Saya juga pernah mendaki Gunung Kinabalu di Sabah setinggi 13,455 kaki (kalau tak salah ingatan), maka mungkin saya boleh mengagak ketinggian sesuatu kedudukan daripada paras laut berdasarkan pemandangan gunung-ganang serta lembah dataran yang terbentang.

Hmm... Memang seronok duduk di kawasan yang ada sedikit rasa seperti di atas kayangan ini... Cuma saya mahu masuk ke Kedah hari itu juga... Kalau tidak, mungkin sahaja saya bermalam di sini walaupun cuaca sejuk mungkin menjadikan ia kurang menyenangkan...


Ini pula Tasik Banding yang terletak di kawasan banjaran, tasik buatan manusia yang terjadi di sebabkan ulu Sungai Perak bahagian Temenggor dijadikan empangan. Empangan ini telah menyebabkan dua buah tasik terbentuk, satu di Temenggor, satu di kawasan ini... Inilah gambar yang dapat diambil dalam keadaan hujan renyai-renyai daripada dalam bas ekspress yang sedang menuju laju ke Gerik.

OK... Biar saya sambung cerita-cerita seterusnya untuk blogspot BERPETUALANG KE ACEH ya... Alhamdulillah! :]