Salam semua. Ini pun lambat nak kongsi. Cerita berlaku beberapa hari lalu, tentang acara yang masih berlangsung lagi.
Pagi Sabtu 24 Mei 2025 saya ke World Trade Centre atau lebih dikenali sebagai PWTC. Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2025 baru sahaja bermula hari sebelumnya Jumaat 23 Mei. Kalau tak salah acara tahun ini sudah masuk edisi yang ke-45.
Sejak bergelar penulis buku tahun 2006 boleh kata hampir setiap tahun terlibat dengan acara. Saya telah menulis 15 tajuk buku setakat ini. Seringkali suatu penerbitan dibuat untuk mengejar tarikh acara. Pesta buku KL menjadi tempat promosi utama. Lihat artikel-artikel lama berikut :-
Tahun ini saya datang sebagai pengunjung biasa sahaja. Tiada kelapangan untuk menulis dan menghasilkan buku baru kerana penumpuan sedang diberikan pada penulisan tesis PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Tengok-tengok ada satu kawasan yang sebelum ini setakat tempat lapang telah didirikan kemah tambahan.
Masuk ke dalam kemah...
Sini pun dah cukup meriah...
Dari kemah menyeberang masuk ke dewan ini. Tak ingat nama dewan, cuma tahu yang ini sering digunakan untuk perhimpunan agung UMNO.
Ketika itu baru jam 10.44 pagi namun kemeriahan semakin terasa.
Pun begitu, saya sebenarnya hendak "bertapa" sambil menumpang aura jiwa penulisan buku sahaja. Dapat tempat duduk terus menghilangkan diri dalam dunia sendiri lalu menulis dan mempersembahkan artikel Forum tentang semangat ketamadunan Palestin dan Al-Aqsa - Apa yang kita boleh buat?.
Dekat sejam setengah jugalah "bertapa" sebelum bergerak kembali bagi melihat suasana di bahagian lain bangunan.
Sebagai seorang penulis jiwa saya tidak dapat lari daripada dunia penulisan buku.
Saya bukan sekadar menulis, saya membuat suntingan, reka letak isi malah sudah beberapa kali membuat sendiri rekaan kulit buku dan grafik.
Malah 8 daripada 15 tajuk buku saya diterbitkan sendiri lalu sudah juga mengatur sendiri permohonan nombor pendaftaran buku, cetakan, edaran, jualan dan promosi.
Pendek kata saya sudah terlibat dalam setiap langkah proses penerbitan hingga jualan selain menulis buku.
Sebetulnya ada juga sedikit rasa sedih kerana tiada buku baru untuk tahun ini.
Oleh itu dapat meresap rasa kemeriahan orang lain pun jadilah. Dapat memberikan kegembiraan buat diri...
Sampai di reruai kerajaan negeri Selangor jam 12.35 tengah hari saya ditunjukkan satu tempat duduk yang mana boleh menumpang cas komputer riba yang ketika itu sudah tinggal 20% kuasa bateri.
Sambung lagi "bertapa", kali ini dengan kerja penulisan tesis PhD...
Dekat satu setengah jam baru berjalan lagi melihat suasana.
Jam 3.20, selepas makan tengah hari lewat, "bertapa" buat kali ketiga untuk menyambung penulisan tesis. Sebenarnya begitulah keadaan saya di mana-mana sejak lebih sebulan kebelakangan ini. Sekurang-kurangnya bergerak juga kerja, setelah beberapa lama tidak mendapat rentak lalu asyik termangu di hadapan komputer riba. Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,666 di CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan