Rabu, Oktober 09, 2024

Muda mudi dan pendidikan persekitaran : Mengasuh penetapan minda yang dipandu nilai

Salam. Satu cerita daripada siang tadi. 


Merujuk pada artikel Majlis-majlis ilmu selepas 14 Februari 2020 yang dipersembahkan Ahad malam Isnin 6 Oktober 2024 diikuti Majlis-majlis ISTAC sejak mula terlibat tahun 2016 pagi seterusnya. Sewaktu mempersembahkannya saya berhasrat untuk menghadiri majlis baru ilmu di ISTAC  (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) pagi Selasa hingga tengahari 8 Oktober.  Diadakan sebagai edisi ke-6 daripada siri syarahan tentang kesejahteraan muda mudi tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Muda Mudi dan Pendidikan Persekitaran : Mengasuh Penetapan Minda yang Dipandu Nilai". Membawa tajuk adalah  Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia, Profesor Dato' Seri Ir. Dr Zaini bin Ujang. 

Ia adalah syarahan umum pertama di ISTAC setelah semester baru bermula Isnin 7 September. Dengan itu juga pengajian PhD saya di institusi tersebut secara rasminya bermula, menurut jadual rasmi UIA (Universiti Islam Antarabangsa), badan induk yang menaunginya  Pun begitu secara praktikalnya aktiviti-aktiviti ISTAC tidak pernah terikat dengan jadual sebegitu. Ini kerana ia adalah institusi kajian (research institution) sepenuh masa. Kelas bagi pelajar diadakan sebagai keperluan untuk memenuhi syarat minima sahaja. Yang menentukan lulus ijazah adalah kualiti tesis yang dihasilkan. Lalu kelas boleh dimulakan sedikit lewat... 


Selain menjadi majlis pertama semester, ia akan menyaksikan guru dan penyelia tesis saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar pertama kali bercakap secara umum di ISTAC setelah dilantik sebagai Rektor ke-7 UIA iaitu bermula 21 September.  Tugas baru sebagai pentadbir dan penentu tertinggi keputusan dan hala tuju universiti telah menyebabkan beliau sentiasa disibukkan di kampus utama di Gombak, walaupun sebagai pemegang Kursi Al-Ghazali masih menduduki satu bilik di ISTAC. Nasib baiklah dapat menemui beliau di satu majlis tertutup kurang 2 minggu lalu. Dapatlah meminta tandatangan untuk beliau secara rasmi menjadi penyelia tesis, yang pertama diberikan sejak menjadi rektor. Lihat  Selesai hal supervisor PhD di ISTAC baru dapat mendaki Bukit Lanjan



Nak dijadikan cerita, isteri yang biasanya bekerja dari cawangan pejabat berdekatan rumah setiap hari Selasa memberitahu harus ke cawangan lain di Kuala Lumpur. Dengan itu saya tak boleh pergi jauh dari kawasan rumah kerana harus menguruskan anak pergi balik sekolah. Tak dapatlah ke ISTAC yang terletak lebih 40 km jarak. Sekitar jam 10.30 terlihat pautan bagi siaran langsung Youtube diletakkan dalam grup WhatsApp pelajar ISTAC. Terus membuka di telefon pintar lalu kelihatan Osman sedang bercakap. Tayangan seterusnya dipancarkan ke televisyen supaya lebih jelas.

Kedengaran intipati utama yang dibawa beliau adalah kerangka keTauhidan (tawhidic framework) dalam menangangi hal alam sekitar. Ini kerana dengan kerangka inilah dapat dilihat kesatuan dalam segala bentuk penciptaan dan kewujudan makhluk lalu dengan itu dapat menghargai lebih baik alam sekitar. Ada dimensi keTuhanan dan kesucian (sacred) hadir bersama kerangka tersebut. Ada kesedaran murni yang pernah diamalkan para ilmuwan silam Islam boleh dicontohi dan dihidupkan kembali bagi menangani cabaran kehidupan zaman sekarang.




Zaini pula berkongsi banyak pengalaman peribadi sebagai seorang jurutera dan ahli akademik yang mengkhususkan diri pada hal alam sekitar lalu pernah menjadi ketua setiausaha beberapa kementerian. Antara yang disarankan adalah selalu berjalan kaki, berlari atau menaiki basikal ke mana-mana, kurangkan menggunakan kenderaan bermotor yang tidak dapat mengelakkan daripada mengeluarkan bahan cemar. Beliau menyatakan selalu mempraktikkan itu lalu dapat juga menjaga kesihatan dan meningkatkan kecergasan. Ini adalah perkara biasa di banyak bandar raya di negara-negara maju. Di Malaysia ia belum dibudayakan lalu menjadi masalah sehingga kata beliau ada pelajar universiti yang memohon perkhidmatan bas dalam kampus sedangkan cuma perlu berjalan kaki dalam lingkungan 500 meter sahaja untuk ke kelas dan sebagainya. Sila ikut rakaman di sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan