Sabtu, Oktober 12, 2024

Falsafah analitikal dan cerita mengarut : Kaedah saintifik memperkecilkan apa yang kita boleh tahu

Cerita majlis ilmu petang semalam.



Kelihatan adalah satu gambar yang diletakkan ke grup-grup WhatsApp ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi mempromosikan satu majlis ilmu. Disertakan sekali teks berikut:


--------

Al-Ghazali Chair Philosophical Discourse No.10

11 October 2024

 Friday 3-4.30PM

ANALYTICAL PHILOSOPHY AND THE STORY OF NONSENSE : SCIENTIFIC METHOD REDUCING WHAT WE CAN KNOW

Analytical philosophy, the Vienna circle has reduce philosophy to empirical science We must engage with science, in fact celebrate science but at the same time, we must also transform science and guide it with our ethico-religious world view that will make science a true blessing for all mankind. In order to do this, we must purify religion from error and superstition, re-appropriate science as a study  of critical and rational thinking within society.

By: Associate Professor Dr Isham Pawan Ahmad. ISTAC
Moderator: Jonathan Wong Zhi Wen


---------


Dapat dilihat ia dinyatakan sebagai syarahan ke-10 dalam siri wacana Kursi Al-Ghazali di ISTAC. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Falsafah Analitikal dan Cerita Mengarut : Kaedah Saintifik Memperkecilkan Apa yang Kita Boleh Tahu".




Alhamdulillah, tidak seperti pada hari Selasa yang mana saya ingin hadir ke satu majlis di ISTAC tetapi tidak dapat kerana isteri perlu ke cawangan pejabat di Kuala Lumpur (lihat Muda mudi dan pendidikan persekitaran : Mengasuh penetapan minda yang dipandu nilai) kali ini boleh kerana isteri bekerja dari rumah lalu boleh menguruskan anak pergi balik sekolah. Dapatlah bersolat Jumaat di masjid ISTAC lalu selepas masjid kosong menyambung bacaan Al-Quran untuk bulan Rabiul Akhir. Ketika itu hendak masuk Surah Al-A'raf yang membawa makna "tempat tertinggi". Terus teringat bahawa ketika sampai pada surah itu bagi bulan Hijriah sebelumnya Rabiul Awal saya sedang berada di puncak sebuah bukit yang agak tinggi di selatan bandar raya. Lihat Dari online ISTAC ke fizikal ke Bukit Besi - Masuk sedikit hal rambut panjang....




Surah disambung baca di bahagian lain ISTAC. Apa yang berlaku adalah saya ingat majlis hendak bermula jam 2.30 lalu bergegas ke bilik persidangan berkenaan. Tengok-tengok pintu bilik terkunci. Terlupa ia sebenarnya bermula jam 3. Tu yang sambung bacaan Al-Quran di bahagian yang terletak dekat dengan bilik persidangan.




Jam 3 majlis pun bersedia untuk dimulakan.




Pembicara, Profesor Madya Dr Isham Pawan Ahmad dari ISTAC membuka dengan memberikan komen tentang hal GISB (Global Ikhwan Services and Business Holdings) yang hangat sejak sebulan lalu akibat didakwa membawa ajaran sesat dan beberapa isu tidak enak. Kata beliau kenapa boleh ada orang Islam mengikut ajaran sebegitu secara membuta tuli? Sedangkan ia bersifat tidak rasyional, bertentangan dengan akal fikiran sihat?




Lalu masuklah pada tajuk yang hendak diperkatakan, tajuk yang saya terjemahkan sebagai "Falsafah Analitikal dan Cerita Mengarut : Kaedah Saintifik Memperkecilkan Apa yang Kita Boleh Tahu".





Disebutlah tentang projek "Islamisasi ilmu pengetahuan" yang disandarkan kepada almarhum Ismail Faruqi (sebagai salah seorang pelopor utama, selain Syed Naquib al-Attas). Tentang projek sila rujuk artikel lama Renungan terhadap legasi pengIslaman ilmu pengetahuan dan masa hadapannya - Satu gagasan besar ummah yang harus diteruskan. Isham melihat ia terlalu menumpukan pada sains sosial, kerana sains itu berurusan dengan manusia dan masyarakat. Lalu mengabaikan penelitian terhadap sains semulajadi moden (seperti fizik, kimia dan biologi/ilmu hayat) atas alasan sains ini berurusan dengan alam semulajadi lalu bersifat neutral dan objektif.




Padahal metodologi atau kaedah pengkajian dalam sains semulajadilah yang mendominasi dan membentuk kaedah dalam sains sosial dan persoalan-persoalannya.




Disebutlah tentang perkembangan sains dan falsafahnya. Dahulu ia masih meliputi hal-hal seperti etika dan moral. Tetapi disebabkan perkembangan semasa yang membawa kepada penolakan apa-apa sahaja yang tidak boleh ditangkap dan diukur melalui pancaindera nyata lalu tidak boleh ditelaah melalui logik akal maka ia tidak layak untuk diperkatakan dan tidak boleh dianggap sebagai sains. Disebutlah tentang satu kumpulan ahli pemikir yang dikenali sebagai Vienna Circle yang berpusat di Vienna, Austria awal abad ke-20 Masihi. Mereka ini yang membentuk satu kumpulan 'hukum' bagi apa yang layak dianggap sebagai sains. 

Timbullah apa yang dikenali sebagai "falsafah analitikal" yang mana ia cuma kaedah pemikiran untuk mengabsahkan sains berdasarkan cerapan pancaindera dan jangkauan pemikiran logik akal. Sambil itu ditegaskan lagi pemikiran bersifat "Positivism" iaitu berdasarkan logik akal semata. Juga pemikiran "Empiricism" yang mana sesuatu itu dianggap benar jika boleh diulang ujikaji atau eksperimen bagi menerbitkan hasil yang boleh ditangkap sesiapa sahaja melalui pancaindera. Dalam bahasa Inggeris pancaindera adalah senses atau deria. . Kalau tidak boleh ditangkap melalui deria ia menjadi nonsense - tidak boleh dicerap dengan deria, satu perkataan yang kemudian membawa makna mengarut atau tidak masuk akal.




Dengan itu semua ilmu yang tidak bersifat fizikal menjadi nonsense, mengarut lalu tidak layak untuk dikaji mahupun diperkatakan.




Ilmu seperti metafizik yang memikirkan kewujudan sesuatu yang lebih tinggi selain kewujudan nyata di alam mata kasar pun ditolak mentah-mentah. Selari dengan itu hal-hal seperti etika dan moral juga tidak lagi dilayan. Apa yang kita boleh tahu diperkecilkan skopnya melalui 'kaedah saintifik'. Selain daripada itu dianggap sekadar emosi dan sebagainya semata, tidak ada kepentingan untuk kemajuan manusia. Itulah yang dilihat membawa pada keadaan sains sekarang yang sering mengejar kelebihan materialistik, sentiasa mahu mengalahkan dan menakluki pihak lain. Tidak ada lagi rasa bersalah seperti halnya orang beragama yang meyakini, tindakan salah jika tidak menerima balasan di dunia akan menerima balasan lebih teruk di akhirat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan