Khamis, Julai 28, 2022

Misi Keluarga Laksamana part II - Antara Slim River, Teluk Intan dan Ipoh

Salam pagi Rabu 28 Zulhijjah 1443 Hijriah. Merujuk pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British yang dipersembahkan malam tadi. Ada disebut di dalamnya bahawa artikel ditulis di luar dewan bacaan Perpustakaan Negara, selepas membuat kerja-kerja carian dan kajian berkenaan. Selepas itu pula saya bermalam di sebuah masjid lama berusia hampir 90 tahun di Jalan Pahang (diasaskan tahun 1933). Kiranya masih dalam lingkungan pusat bandar raya Kuala Lumpur, mungkin ke pinggir sedikit. Ini kerana mahu dekat ke perpustakaan supaya dapat menyambung kerja-kerja berkenaan pada siang ini.

Adapun perpustakaan cuma akan dibuka bermula jam 10 pagi. Sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi mengekang wabak Covid-19 ia dibuka jam 9 pagi. Sementara menunggu singgah di "Rumah Degil" sebuah rumah lama yang didirikan di Chow Kit pada tahun 1926 tetapi telah dialih ke perkarangan Balai Seni Negara, dalam perjalanan ke perpustakaan dari Jalan Pahang. Di pangkin bawah rumah saya pun membuat penulisan ini. 

Merujuk kembali pada artikel Mencari jejak Orang Kaya Arshad melalui dokumentasi lama British tetapi pada bahagian pengenalan. Ada disebut saya baru sahaja kembali dari satu perjalanan ke Perak pada malam sebelum itu. Sekarang biar dimulakan perkongsian cerita tentangnya...



Sudah dinyatakan dalam artikel tersebut bahawa perjalanan dibuat untuk mahu ke Mahkamah Tinggi Syariah di Ipoh pada pagi Isnin. iaitu pada 25 Julai 2022. Tentang kenapa perlu ke sana boleh rujuk artikel Misi keluarga Laksamana - Solidariti keturunan Orang Kaya Arshad dan adik seibu sebapanya Aminah yang ditulis pada 3 Julai. Pada mulanya fikirnya hendak bertolak ke Ipoh selepas Subuh pagi Isnin. Tiba-tiba sekitar jam 5 petang Ahad 24 Julai timbul rasa elok meninggalkan rumah pada waktu itu...




Maka bergeraklah saya ke Perak seorang diri.




Isteri tidak dapat ikut kerana bekerja. Selain itu beliau harus menguruskan anak pergi balik ke sekolah apabila saya keluar kawasan. Nasib baik beliau dapat work from home. Seminggu sekali sahaja wajib ke pejabat di Shah Alam.




Saya mengambil Lebuh Raya PLUS setakat hingga ke Tanjung Malim. Selepas itu ambil jalan lama...




Sampai ke Slim River tergerak untuk berhenti sebentar melihat taman tasik. Selama ini setakat lalu sahaja. Seingat saya inilah kali pertama singgah. Lihat artikel The lake garden of Slim River di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.




Lalu di Trolak pula sibuk hendak mengambil gambar Gunung Besout sambil memandu.




Susah sebenarnya nak dapat gambar gunung yang jelas kalau tidak berhenti di tempat yang pemandangannya tidak ditutup dengan pokok. Entah apa obsesinya saya tentang gunung yang tidak berapa tinggi ini sehingga berusaha untuk memanjatnya dalam perjalanan lebih awal ke Perak hampir 4 bulan lalu kemudian singgah lagi tetapi di bahagian lain dalam perjalanan kembali. Lihat artikel Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Gunung Besout dan Teluk Intan diikuti Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - Antara Best Out dengan pelita tembaga warisan.




Sampai ke Sungkai singgah sebentar di restoran mamak.




Selepas itu menghala ke Teluk Intan.




Terus ke masjid keluarga di Batak Rabit.




Selain hendak beriktikaf dan menziarahi makam-makam ahli keluarga ada batu nesan mahu diteliti apakah yang sebenarnya tertulis padanya.




Sebetulnya saya ada berfikir hendak bermalam di masjid, atau di rumah ibu saudara yang terletak berdekatan sebelum bertolak ke Ipoh selepas Subuh. Tetapi selesai solat Maghrib diikuti jamak Isyak kemudian zikir/wirid timbul rasa elok bertolak ke Ipoh malam itu juga. Maka selepas bertandang ke rumah ibu saudara sebentar bergeraklah saya ke sana...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan