Khamis, Julai 28, 2022

Misi Keluarga Laksamana part II - Dari Ipoh ke Sungai Siput dan Karai

OK. Baru dalam setengah jam keluar dari dewan bacaan Perpustakaan Negara. Cuma belum selesai lagi menelaah dokumen kerana ada banyak lagi. Tapi kena keluar sebab perpustakaan tutup jam 5. Sekarang saya berada di tempat letak kereta untuk mengeluarkan beberapa artikel yang sebenarnya telah disediakan lebih awal iaitu ketika berada di bawah "Rumah Degil" di Balai Seni Negara. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Misi Keluarga Laksamana part II - Antara Slim River, Teluk Intan dan Ipoh. Dengan ini biar disambung cerita perjalanan di Perak. Masuk hari kedua...



Pagi Isnin 25 Julai 2022 saya bersama sejumlah saudara mara daripada keluarga Laksamana Raja Mahkota Perak keluar bersarapan dekat Medan Kidd, Ipoh.







Alhamdulillah. Sedap juga mee kari di sini.




Selepas jam 9 baru ke Mahkamah Tinggi Syariah Ipoh - Sudah diberitahu tujuan saya ke Perak adalah kerana ada urusan di mahkamah.




Tentang urusan apakah itu sudah dinyatakan dalam artikel Misi keluarga Laksamana - Solidariti keturunan Orang Kaya Arshad dan adik seibu sebapanya Aminah  lebih 3 minggu lalu. Ini adalah kesinambungan daripada hal sama.




Kali ini kami datang tidak begitu ramai. Cukuplah solidariti yang pernah ditunjukkan dengan kehadiran lebih 50 orang ahli keluarga dahulu, solidariti yang sebenarnya berjaya menggoncangkan beberapa pihak sehingga ada yang menyatakan ditakuti urusan boleh jadi tertangguh disebabkan datang beramai itu. Rupa-rupanya ada yang mudah terganggu. Kali ini walaupun yang datang tidak begitu ramai urusan sebenarnya lebih berjaya.





Dan jika dahulu urusan selesai selepas jam 1 petang kali ini jam 11 sudah selesai. Kembalilah kami ke homestay atau inap desa di Kampung Manjoi. Di sinilah kami telah bermalam sebelum ke mahkamah, begitu juga ketika urusan terdahulu.



Kami berlegar-legar kerana masih ada mesyuarat keluarga mahu diadakan jam 2 petang itu.




Ia diadakan di masjid berdekatan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Ghufran, Kampung Manjoi, Ipoh di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).




Selesai mesyuarat sekitar jam 4.30 saya bergerak ke Sungai Siput.







Tujuannya adalah untuk ke Karai berjumpa seorang tua. Masuk dahulu jalan dalam ke kanan di hadapan bukit unik ini. Singgah di beberapa tempat dalam perjalanan. Lihat artikel-artikel berikut :-








Hampir sampai ke Karai singgah di stesyen minyak kecil ini.




Sebabnya adalah mahu melihat Warung Pak Jabit yang sering digunakan dalam cerita-cerita arwah Mamat Khalid.




Seronok pula rasa dapat sampai ke situ. Terus ambil satu selfie...





Di situ juga saya bertemu dengan seorang anak saudara yang pagi itu turut hadir di mahkamah di Ipoh. Beliau kemudian pergi ke rumah saudara belah bapanya di Lubuk Merbau. Apabila mendapat tahu saya sedang menghala ke Kuala Kangsar diajaknya bermalam di sana. Anak saudara ini datang bersama isteri dan anak-anaknya kerana mahu membawa berjumpa orang tua di Karai yang merupakan saudara belah ibu beliau. Saya pun mengekori keretanya lalu melepasi jambatan kereta api lama Victoria Bridge.



Masuk ke pekan Karai terus lagi menghala ke Kuala Kangsar. Rupa-rupanya rumah orang tua itu terletak di Enggor, iaitu selepas Karai.




Kalau saya datang bersendirian besar kemungkinan tidak akan dilayan kerana tak kenal. Dengan anak saudara bernama Hisham ini barulah orang tua yang dikenali sebagi Pak Wan bercerita lalu mengeluarkan butiran salasilah keluarga. Ternyata beliau bukanlah daripada keluarga Laksamana seperti disangkakan Hisham sebelum ini tetapi daripada nasab keturunan Perdana Menteri Kedah Wan Mat Saman bercampur keturunan Mahajalela Lela Pancung Tak Bertanya pertama iaitu Daeng Selili yang anak cucunya memakai gelaran Wan. Kalau begitu bukanlah daripada keluarga Maharajalela belah bawah-bawah (maksudnya daripada abad ke-19) tetapi daripada anak cucu Daeng Selili yang menjadi Temenggung Perak. 

Kalau belah ini memang memakai gelaran Wan kerana pernah menolak gelaran Raja yang pernah ditawarkan oleh seorang Sultan Perak, Sultan Idris I kalau tak salah, lantaran memang Daeng Selili untuk anak Raja Bugis. Sebetulnya pakcik ini terlupa bahawa daripada nasab yang dipegang beliau ada yang berkahwin dengan anak cucu Laksamana. Daripada situlah Hisham terhubung dengan saya selain belah Laksamana sendiri ada yang memiliki darah keturunan Wan Mat Saman. Daripada pakcik ini juga baru dapat tahu orang yang dikenali sebagai Tok Karai adalah arwah datuknya Wan Zahari. Rujuk artikel lama Misi makam Tun Saban : Menjalankan misi sebelum ke Taiping dan Bukit Gantang.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan