Ahad, September 20, 2015

Kenangan Sekolah Sains Johor dalam buku "Mencari Diri dan Erti"

Dalam tempoh 2-3 hari kebelakangan ini ada beberapa aktiviti dilakukan yang patut dikongsikan menjadi artikel di blogspot ini. Antaranya adalah saya telah diwawancara secara siaran langsung dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia di TV1 pagi Sabtu 19 September. Tapi kalau nak cerita saya rasa kena ikut giliran, Kena cerita tentang majlis ilmu yang dihadiri di UiTM (Universiti Teknologi Mara), Shah Alam petang Khamis diikuti majlis ilmu di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi pagi Jumaat kemudian baru wawancara. Selepas itu harus ada cerita tentang majlis ilmu yang dihadiri di DBP (Dewan Bahasa Pustaka) hingga tengah hari Sabtu.

Pada masa yang sama fikiran saya diberatkan dengan harapan penerbit agar saya dapat menyemak dan menambah apa-apa isi tambahan yang perlu untuk buku sambungan kepada "Mencari Diri dan Erti" dengan kadar segera. Sambil itu saya juga diharapkan dapat menyiapkan manuskrip untuk sebuah tajuk baru yang diharapkan dapat berada di pasaran bulan Disember... kena juga fikir keperluan dan jadual akan datang untuk projek dokumentari TV "Daulah Melayu" yang mana saya adalah hos juga seorang penyelidik. Dalam keadaan saya dilanda batuk selsema yang masih belum baik dah masuk 3 minggu, semua ini agak mengganggu tetapi tetap perlu ditangani. Fikir saya biar dibuat dahulu artikel-artikel tentang aktiviti 2-3 hari kebelakangan itu, kemudian baru selesaikan semakan buku diikuti buat manuskrip baru.

Cuma tu le, kesihatan dan kepenatan amat mengganggu mood untuk menulis. Hasilnya saya banyak terbaring atau terlopong sahaja hari ini, satu kerja penulisan pun tak buat. Tengok-tengok Allah SWT bagi saya gerak untuk menulis artikel ini pula. Mungkin kena buat dahulu, baru hal-hal lain boleh masuk, dapat mood dan lancar.



OK. Apa yang berlaku hari ini adalah saya terlihat status Facebook seorang kenalan, seorang anak muda pintar menyebut bahawa dia pernah bermain ragbi di Sekolah Menengah Sains Selangor di bawah didikan jurulatih bernama Raja Idris, seorang ahli kerabat diraja Selangor. Terus teringat bagaimana saya pernah dilatih bermain ragbi oleh orang yang sama semasa bersekolah di Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ), Kluang 30 tahun lalu. Jurulatih yang turut pernah mengajar Bahasa Inggeris di SMSJ ini dikenali ramai sebagai Cikgu Raja. Saya pun memberikan komen pada update anak muda tersebut. Tengok-tengok Cikgu Raja menjawab.

Jawaban yang diberikan menerbitkan rasa nostalgia yang amat sangat. Saya pun menjawab kembali menerangkan keadaan yang diterbitkan. Saya buat ini dengan rasa sebak kerana terlalu banyak kenangan tercetus tentangnya. Saya rasa elok print screen. Biar pembaca sendiri melihat. Saya print screen dan edit untuk menunjukkan komen berkaitan sahaja ya, tak perlu masukkan komen-komen orang lain yang telah muncul lebih awal...



Nah. Kebetulan pula kebelakangan ini saya mendapat banyak kata-kata sokongan membina semangat daripada kawan-kawan lama yang pernah sama-sama belajar di SMSJ 1983-1986 (saya ditendang keluar sekolah pada penghujung 1986, ketika berada dalam Tingkatan Empat). Saya juga mendapat sokongan ramai bekas pelajar daripada tahun atau batch lain... setelah mereka mendapat tahu saya telah mengeluarkan buku baru dan muncul secara siaran langsung bercakap tentang buku di RTM1 pagi semalam. Pada ketika ini kawan-kawan sama batch sedang berbincang hari dan masa terbaik untuk mengadakan perjumpaan sambil meraikan saya dan buku baru. Bila terlihat Cikgu Raja memberikan komen seperti di atas, tentulah hati saya tersentuh amat sangat.

Sesungguhnya begitu banyak perkara telah berlaku semasa zaman tersebut. Itulah yang membuat saya menjadi begitu memberontak suatu masa dahulu. Dengan ini timbul rasa untuk berkongsi muka-muka surat berkaitan dalam buku "Mencari Diri dan Erti". Saya ambil daripada PDF yang disuakan untuk semakan sekitar sebulan lalu...








Buka dalam Windows baru untuk bacaan yang jelas ya. Semua yang diceritakan ini sama seperti apa yang dialami, tidak ada tokok tambah atau dibuat-buat. Sekurang-kurangnya itulah persepsi atau cara saya melihat keadaan ketika itu. Cuma dalam buku berbentuk novel ini saya memakai nama Rasyid (Muhammad Al-Aminul  Rasyid, sekarang dah jadi nama seorang anak laki-laki saya) sebagai ganti diri membentuk watak fiksyen tetapi berlatarbelakangkan cerita sebenar pengalaman suka duka mencari hala tuju lalu merangkumi perjalanan hidup sebenar saya daripada tahun 70an sehinggalah buku asal (siri "Berpetualang ke Aceh") ditulis tahun 2004 tetapi diterbitkan 2006-2007.











Sesungguhnya zaman membesar saya di SMSJ sangat sangat bermakna. Lihat juga tulisan-tulisan susulan berkenaan yang dibuat bermula tahun 2008. Selesai gerak saya tentang ini...


















Tiada ulasan:

Catat Ulasan