Jumaat, September 05, 2008

Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?

Assalamualaikum. Hari Rabu baru-baru ini saya telah membuat beberapa penambahan barangan pada motosikal besar kesayangan saya. Esok paginya di rumah, tergerak pula untuk mengambil beberapa gambarnya lalu timbul gerak ingin bercerita nanti, satu gerak bercerita yang kini dapat dimulakan beberapa ketika selepas bersolat Jumaat...

Kebetulan pula pada malam Jumaat tadi, saya telah memasukkan beberapa artikel yang mengandungi klip-klip video perjalanan terbaru ke Perak, artikel-artikel di bawah siri penceritaan "Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874" yang bermula seminggu lepas. Lalu congak kira-kira saya mendapati bahawa artikel terbaru melibatkan motosikal besar saya ini akan menjadi artikel ke 399 dipaparkan di sini sejak blogspot ini bermula penghujung 2006. Apakah ini menandakan satu peralihan zaman buat saya? Apapun izinkan saya melepaskan satu gerak penceritaan...


Alhamdulillah, saya rasa sungguh puas hati melihat keadaan motosikal kesayangan saya siang itu. Kalau sebulan dahulu iaitu selepas motosikal ini baru siap dihidupkan kembali (setelah 5 tahun melangut di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang kerana rosak lalu banyak barangannya dicuri orang), saya menghadapi masalah enjin sentiasa tersenggut-senggut diikuti ada kebocoran minyak pelincir di beberapa tempat, kini keadaan lebih elok. Tiada lagi tompokan minyak di bawah apabila ditinggalkan setelah dibawa berjalan...

Lebih puas lagi apabila melihat penambahan barangan seperti beg-beg kulit kiri kanan dan belakang berserta cermin di hadapan yang saya rasa sangat kena dengan citarasa peribadi saya. Allah... Tersenyum lebar saya apabila membawanya dalam keadaan enjin terasa lancar dan rupa motosikal itu sendiri lebih kemas.


Dalam pada itu, teringat sejarah motosikal yang saya beli baru ini (bukan second-hand ya...) sekitar bulan Ogos 1997 kalau tak salah ingatan. Ketika itu saya baru sekitar 8 bulan berkhidmat sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times... Kebetulan di hadapan pejabat ada sebuah kedai motosikal yang turut menjual satu dua model motosikal besar. Lama-lama saya jadi semakin teruja melihat apa yang ada!

Saya sendiri sudah lama teringin memiliki motosikal besar. Jaket kulit yang sesuai sudah dimiliki sejak belajar di London 1991-1995 malah dibeli pada tahun pertama saya belajar di sana! Tunggu masa sahaja ada duit... Dan tak sampai setahun bekerja di NST, saya sudah ada cukup wang simpanan untuk membuat bayaran muka untuk sebuah motosikal besar.

Asalnya saya mahu membeli motosikal Kawasaki Vulcan 500cc yang baru keluar ketika itu. Rasanya bentuk badannya kelihatan lebih besar dan hebat... Cuma blok enjinnya sahaja kurang cantik! Masalahnya seseorang itu perlu membuat tempahan 3 bulan untuk mendapatkannya sedangkan di kedai yang sama, terdapat sebuah motosikal Yamaha Virago 535cc baru yang sedia menunggu untuk diambil asalkan sudah dibayar wang muka...

Ketika itu, saya pula sudah rasa tidak sabar hendak menunggang. Memang asalnya saya lebih mengidamkan Vulcan tetapi apabila difikirkan tempoh penantian kemudian bentuk blok enjin (blok enjin V2 Virago memang jauh lebih cantik, tetapi badannya tidak kelihatan 'segagah' Vulcan), saya pun membuat keputusan. Bayaran muka pun dibuat dan keluarlah saya menaiki motosikal besar Yamaha Virago 535cc pada satu petang... Walhal saya lesen motosikal biasa pun tak ada woo!!!


Selama beberapa bulan sebenarnya saya berjalan ke hulu ke hilir tanpa lesen dengan menaiki motosikal besar! Kalau naik motosikal kecil tanpa lesen itu kira biasalah, itupun di kampung-kampung. Ini naik motosikal besar sedangkan naik motosikal biasa pun saya jarang... Semasa itu jugalah saya baru nak belajar bagaimana cara menyelit seraya menjaga keseimbangan sebuah jentera beroda dua yang agak berat ke sana-sini di celah himpunan kenderaan seperti kereta dan lori di tengah kesesakan lalu lintas bandaraya Kuala Lumpur setiap hari!

Alhamdulillah, tidak lama kemudian saya mendapat tahu pihak JPJ akan mengadakan sesi ujian istimewa untuk lesen motosikal besar atau lesen B (dikenali ramai sebagai "B full " kerana boleh digunakan untuk semua kelas motosikal, bukan seperti lesen B2 yang dimiliki kebanyakan orang, terhad untuk motosikal 250cc ke bawah sahaja...).

Sesi ujian istimewa ini sebenarnya diadakan untuk kakitangan jabatan kerajaan tertentu seperti polis trafik dan kakitangan DBKL tetapi pihak media yang berminat turut dijemput sama. Dipendekkan cerita, akhirnya saya ada juga lesen motosikal malah lesen motosikal besar, alhamdulillah!

Tahun itu juga penghujung 1997, setelah confirm kerja di NST iaitu selepas setahun diperhatikan hasil kerja dan didapati memuaskan, baru saya dapat mengambil cuti. Apalagi, saya mengambil cuti 5 ke 6 minggu, saya pun tak ingat dengan tepat tempohnya tapi begitulah... Kiranya nak habiskan cuti berbayar untuk setahun (28 hari woo...) campur sekali cuti biasa hujung minggu. Lalu cuti panjang itu digunakan untuk membuat pusingan pertama perjalanan solo bermotosikal besar di keliling Semenanjung. Malah separuh dari tempoh itu dihabiskan dalam bulan puasa ataupun Ramadhan, bermula di Rantau Panjang, Kelantan...

Selain pergi ke tempat-tempat yang dikenali ramai seperti Pulau Pinang, Cameron Highlands malah puncak Gunung Jerai dengan motosikal, saya juga sempat pergi ke 4 'penjuru' Semenanjung... Penjuru barat-laut di sempadan Perlis/ Thailand yang bertemu ke Selat Melaka, penjuru timur-laut di sempadan Kelantan/ Thailand bertemu Laut Cina Selatan (kalau tak salah ingatan di Pengkalan Kubor), penjuru tenggara di Teluk Ramunia, Kota Tinggi dan penjuru barat-laut di Tanjung Piai, Pontian.

Setelah itu, saya telah beberapa kali keluar berjalan jauh keliling Semenanjung seorang diri dengan menunggang motosikal itu. Jangankan jalan biasa, jalan balak pun saya pernah bantai! Sedangkan ia bukannya scrambler dan lagi ia berat!

Misalnya saya pernah cuba mengambil jalan pintas dari kawasan Gunung Stong, Kelantan keluar ke Gua Musang yang sudah rosak... Sehingga apabila diberitahu saya akan mengambil jalan itu, seorang penduduk di Gunung Stong melarang kerana katanya baru-baru ini ada kenderaan pacuan 4 roda Hi-Lux sampai patah axle tayar kerana lalu di sana tetapi saya tetap ingin mencuba kerana telah terlihat jalan itu dalam peta sejak bertahun lalu!.

Dalam peta memang ia kelihatan seperti jalan pintas sebab dapat menjimatkan lebih 50km (rasanya mungkin sehingga 100km!) berbanding jalan biasa yang perlu melalui Kuala Krai. Dan lagi ia mengekori sebahagian Banjaran Titiwangsa dan itulah yang membuat saya lebih teruja untuk mencuba. Tetapi keadaan jalan yang begitu buruk, berlubang-lubang dan berbatu besar keras di bahagian kering berserta selut dan tanah merah lembap di bahagian basah sehingga beberapa kali motosikal jatuh tergelincir kalau tak pun tersangkut tenggelam 8 inci dalam lumpur malah hujan lebat, banjir kecil dan sempat bertemu babi hutan dan katak besar menyebabkan perjalanan itu mengambil masa lebih 6 jam!

Sebab itu saya begitu sayangkan motosikal ini. Walaupun ramai juga orang ingin membelinya daripada saya semasa zaman saya sedang lama berkelana tidak bekerja sehingga tidak mampu lagi menanggung kos membela motosikal ini... Sehingga ia rosak lama terbengkalai 5 tahun pun saya tetap tidak mahu melepaskannya dengan harapan ia akan berjalan elok satu hari nanti.

Kini alhamdulillah, ia bukan sahaja sudah kembali berjalan elok malah kelihatan lebih gah dan menarik dari dahulu. Dengan ini, selesailah proses penceritaan yang membentuk artikel ke-399 di blogspot ini. Kalau ada masa dan untuk memahami cerita ini lebih lanjut, sila baca artikel-artikel sebelumnya tentang motosikal ini di link-link ini:-


Apakah ada esok lagi untuk motosikal besar kesayanganku ini?

Harapan baru untuk motosikal besar kesayanganku!

Yahoo, eh... Alhamdulillah... Moto beso aku boleh jalan dah!

Bab 12, cerita tayar motosikal meletup dan almarhum Nenek yang sedang nazak...



p/s:
Pada malam selepas membuat penambahan baru pada motosikal itu, saya mendapat gerak pekerjaan yang mantap sehingga dapat menyiapkan proses mengambil sedutan-sedutan sesuai daripada video perjalanan terbaru ke Perak untuk dimuatkan di dalam blogspot. Salah satu sedutan terakhir adalah ziarah ke makam diraja Perak yang dibuat 17 Ogos waktu Maghrib. Sedutan itu cuma mahu saya ambil sampai ke takat saya memperkenalkan makam Sultan Abdullah Muhammad Shah II, Sultan ke 26 Perak yang dibuang ke Pulau Seychelles di perairan Afrika akibat disabitkan dengan pembunuhan Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875.

Maka seperti biasa, saya pun membuat potongan video pada bahagian yang perlu lalu mula membuat proses publishing yang akan menerbitkan klip video yang sesuai. Peliknya, apabila proses publishing sudah selesai, video yang terhasil jadi lebih panjang sehingga bertambah hampir 1 minit... Dari 2 minit lebih yang diinginkan dah jadi sedutan sepanjang lebih 3 minit pula!

Sekarang, kejadian video yang terlebih panjang (atau terlebih pendek) memang perkara biasa dalam proses membuat sedutan, potongan atau editting video... Sekurang-kurangnya itulah yang saya lihat sejak tahu membuat segala ini menggunakan Windows Movie Maker... Jadi pandai-pandailah kita membuat pengubahsuaian yang perlu. Tetapi inilah kali pertama sedutan yang terhasil terlajak sehingga 1 minit! Lalu dalam sedutan itu terkeluar juga sedikit ulasan di makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.

Lebih menarik lagi adalah bahagian akhir sedutan yang terhasil itu... Tanpa dirancang, elok-elok sahaja ia tamat selepas saya menyebut lebih kurang begini... "Menurut salasilah rasmi, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin adalah saudara tiga pupu Sultan Abdullah di sebelah perempuan. Tetapi menurut salasilah tidak rasmi (atau rahsia?) mereka sebenarnya saudara sepupu sebelah laki-laki!" Ada apa-apa makna ke sehingga boleh jadi begini? Sekian... :]



2 ulasan:

  1. Tanda peralihan zaman ...ketika naiknya Ad-Dawaa' yang bermata 4 dan bermuka sebelah hitam dan sebelah putih kot,

    BalasPadam
  2. perghhh,,,

    macam motor polis siol!!!

    cun,cun,cun...jangan lupa ketatkan helmet jerman tu....hihihi

    BalasPadam