Pada penghujung artikel Malaysia negara Madani moden? yang dipersembahkan petang semalam ada dinyatakan bahawa saya hendak memberikan tumpuan pada satu majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) yang akan bermula kurang 20 minit lagi. Sekarang biar dikongsikan cerita tentang majlis.
Petang Rabu 28 Oktober 2025. Buat pertama kali setelah kembali ke rumah dari perjalanan jauh terbaru (lihat Menyahut panggilan Kalimantan - Satu pengenalan sebelum cerita terperinci harian) keluar dari kawasan perumahan di Bandar Sungai Buaya. Alhamdulillah langit kelihatan cerah elok. Sejak kembali dari Kalimantan melalui Kuching, Sarawak lalu sampai ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang) selepas tengah malam, awal pagi Isnin 26 Okt jerebu yang melanda banyak tempat di Malaysia sejak lebih 3 bulan kebelakangan tidak lagi kelihatan.
Sepanjang perjalanan yang memakan jarak darat lebih 3,000km itu 9-25 Okt saya dan isteri harus menghadapi jerebu setiap hari. Cuma ada sedikit masa ia kelihatan hilang sebelum muncul kembali. Dalam tempoh masa itu ada majlis ilmu di ISTAC tidak dapat diikuti. Lalu buat pertama kali setelah semester baru pengajian bermula awal bulan ini malah pertama kali sejak pertengahan bulan lalu (lihat Nik Rashiddin dan falsafah kayu : Satu contoh penghasilan pengetahuan tempatan) saya ke institusi tempat menyambung pengajian ke peringkat Sarjana dahulu, sekarang peringkat PhD.
Tajuk majlis yang disampaikan dalam bahasa Inggeris boleh diterjemahkan sebagai "Satu Perspektif Sistem Terhadap Pengajian Tamadun Melayu dan Kepulauannya"
Dibangkitkan kenyataan betapa cuma terdapat sedikit sahaja universiti di Malaysia yang ada menawarkan pengajian Melayu. Kalau di Indonesia nampaknya cuma ada satu. Itupun cuma dalam konteks bahasa dan budaya. Tidak diangkat sangat hal ketamadunan kita.
Hadirin pun diajak untuk melihat segala aspek dunia Melayu sebagai komponen atau organ dalam satu sistem yang terbuka, boleh menerima pengaruh dari luar namun tetap mengekalkan identiti yang tersendiri.
Diberikan sedikit jangkauan geografi pendudukan apa yang termasuk dalam takrif bumi Melayu melalui lapisan-lapisan tertentu. Diangkat konsep seperti tanah air yang tidak wujud dalam tamadun lain kerana mereka bersifat continental atau kebenuaan, rata-rata berdiri atas darat. Misalnya tamadun Mesir dan China. Ditekankan konsep merantau yang menjadi kebiasaan orang Melayu dahulukala untuk mencuba nasib di bahagian lain kepulauan, tidak sama dengan penghijrahan seperti mampu difahami sesetengah orang.
Sedangkan tamadun Melayu bersifat maritim atau kelautan kerana meliputi berpuluh ribuan pulau. Malah menjangkau jauh hingga ke penghujung barat Lautan Hindi dan penghujung timur Lautan Pasifik. Kajian patut dipanjangkan dan disepadukan untuk diangkat lebih tinggi dalam persada akademik dunia. Sila ikuti sendiri melalui video bawah...







Tiada ulasan:
Catat Ulasan