Ahad, Disember 21, 2025

Asbab Perjanjian Pangkor - Membuka langkah di Simposium Seni Pangkor

Salam petang terakhir Jamadil Akhir. Sebelum masuk bulan Rejab Maghrib ini biar dikongsikan cerita hari ke-3 perjalanan baru Perak. 



Pada penghujung artikel Asbab Perjanjian Pangkor - Masuk pulau setelah lebih 10 tahun yang ditulis lalu dipersembahkan petang semalam ada disebut bahawa kami suami isteri masuk ke Pulau Pangkor disebabkan satu acara. Sedangkan penyertaan kami adalah disebabkan oleh Perjanjian Pangkor.



Sekarang biar dinyatakan acara adalah Simposium Seni Pangkor. Ia bermula pagi Selasa 16 Disember 2025 dan berlangsung sehingga tengah hari Khamis 18 Disember.



Secara rata ia disertai oleh insan dalam bidang seni. Namun cuba menjalinkan unsur-unsur sains dan teknologi bagi mendapatkan pengisian dan hala tuju dalam menjayakan satu festival pulau yang dicadangkan mahu mengambil kesempatan atas Tahun Melawat Malaysia 2026.



Encik Haned bin Masjak mewakili pihak penganjur memberikan kata-kata aluan. Menurut beliau inilah pertama kali acara sebegitu rupa (satu majlis ilmu bersifat akademik) diadakan di Pangkor. Penganjur utama adalah PERCIKAN, Persatuan Citra Rupa Malaysia.



Ini diikuti ucaptama oleh Profesor Gs. (pakar geospatial) Dr Mohd Johari Mohd Yusof, dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina UPM (Universiti Putra Malaysia) yang bertajuk “Seni dalam Sains Geospatial: Antara Data dan Estetika”.



Selepas berkongsi sejarah bagaimana bidang geospatial boleh wujud (asalnya daripada bidang pemetaan muka bumi di Barat tetapi berkembang dalam memanfaatkan teknologi satelit dan sebagainya) dinyatakan bagaimana elemen-elemen seni boleh memantapkan lagi hasil pemetaan supaya mudah difahami dan dimanfaatkan bukan ahli. Seterusnya bagaimana boleh digunakan untuk memajukan Pangkor. Maju di sini bukan membina bangunan tinggi dan sebagainya tetapi membangun tanpa merosakkan persekitaraan. Malah yang dimahukan adalah melestarikan lagi sumber alami termasuk kehijauan hutan dan isi laut.




Selepas itu sampai giliran saya untuk berkongsi ilmu dengan membawa tajuk “Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun: Satu Penilaian Semula”. 



Biar sinopsis isu yang sebenarnya ditulis Januari lalu memberikan gambaran isi.


----------


Ada yang melihat Sultan Abdullah dan para pembesar yang menandatangani/menurunkan cap mohor ke atas Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874 sebagai kurang bijak. Ini kerana banyak terma perjanjian sebenarnya merugikan agama, bangsa dan tanah air. Kenapa sanggup menandatangani? Kelihatan seperti kerana gopoh mahu mendapatkan pengiktirafan Inggeris terhadap keabsahan Sultan demi kepentingan peribadi. 

Yang sebenarnya terdapat dua versi perjanjian ditandatangani. Satu dalam bahasa Inggeris, satu dalam bahasa Melayu bertulisan Jawi. Yang biasa diwar-warkan adalah terma-terma daripada versi bahasa Inggeris yang  dibuat terjemahan ke dalam bahasa Melayu. Itu yang dijadikan rujukan sejak sekian lama.

Sedangkan yang difahami, dipersetujui lalu diturunkan tandatangan/cap mohor adalah versi bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. Ada banyak perbezaan daripada segi penggunaan kata-kata. Sejumlah sebenarnya membawa maksud yang sangat berlainan berbanding versi bahasa Inggeris. 

Ringkasnya, jika dalam versi Inggeris Sultan mesti meminta nasihat Residen lalu melaksanakannnya versi Melayu cuma menyarankan, tidak mewajibkan. Ada beberapa hal lagi yang sebenarnya difahami begitu begini oleh orang Melayu tetapi lain oleh Inggeris. Lalu orang Melayu dilihat tidak mematuhi perjanjian sehingga membawa kepada konflik demi konflik yang akhirnya menyebabkan Perak jatuh ke tangan Inggeris. Walaupun daripada segi dokumen dan surat menyurat Perak cuma ‘dilindungi’ mereka.




Membentang seterusnya adalah encik. Mohd Shuhaidi Bin Mat Isa, Penolong Pengarah Unit Rancangan Pemajuan, Jabatan Perancangan Bandar & Desa Perak (PLAN Malaysia Perak).




Beliau membawa tajuk “Peranan dan Fungsi PLAN Malaysia Perak dalam Penyediaan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Pulau Pangkor” lalu berkongsikan sedikit rancangan akan datang termasuk pembangunan Pangkor sehingga tahun 2030.



Rehat makan tengah hari.



Sesi kedua dibuka oleh Cik Chia Lim, seorang pereka senibina dari Platz Studio. 



Bercakap dalam bahasa Inggeris beliau membawa tajuk “Waves of Craft & Culture: Activating Pangkor Through Architecture, Heritage & Food



Ini diikuti pembentangan oleh Encik Nasir Baharuddin. Atur cara yang diterima menyatakan beliau sebagai seorang artis juga kurator. Namun kelihatan beliau orang lama yang sangat dihormati peserta, terutama mereka yang pernah mengambil jurusan seni di UiTM (Universiti Teknologi MARA) cawangan Perak. Dahulu di Manjung, sekarang di Bandar Seri Iskandar.



Beliau membawa tajuk “Simulasi AI Dalam Menjadikan Pangkor Destinasi Baru Melalui Seni dan Sains”. Seperti ramai tahu, AI merujuk pada Artificial Intelligence atau "Kecerdasan Buatan" berasaskan teknologi komputer yang disokong rangkaian Internet.



Akhir sekali hari itu adalah pembentangan oleh Encik Anas Bin Malik, pengarah Unit Pelancongan Pulau Bebas Cukai (UPBC) di MPM (Majlis Perbandaran Manjung - Pulau Pangkor, Lumut dan persekitaran termasuk dalam kawasan tadbirnya).



Beliau sepatutnya membentang pada penghujung sesi 1. Tetapi sampai lewat atas sebab tertentu. Tajuk yang dibawa adalah “Tugas dan Peranan yang dimainkan Unit Pelancongan Pulau Bebas Cukai (UPBC) dalam Mempromosikan Pulau Pangkor”



Selepas kudapan dan minum petang berkumpul untuk mengikuti lawatan lapangan ke beberapa tempat di sekitar pulau.






Gambar dan sedikit cerita telah diletakkan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Lihat artikel-artikel berikut :-











Berbalik pada perkongsian saya sendiri dalam majlis. Sesungguhnya terasa bersyukur sangat dapat membentang tajuk.  Ini kerana isi awalnya sebenarnya mahu dibentangkan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur hampir 2 tahun lalu. Sila baca cerita berkenaan dalam artikel Mengenang 150 tahun Perjanjian Pangkor - Tawaran istimewa buku Laksamana diikuti Pertama kali ke ISTAC tahun 2024 dan Perjanjian Pangkor. Tapi entah kenapa tak jadi-jadi. Dicadangkan kepada beberapa pihak pun tak zahir-zahir lagi. Yang sempat cuma dibuat sendiri, dalam bentuk Webinar menggunakan Zoom percuma demi mengejar tarikh berkenaan 20 Januari 2025. Lihat Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun - Webinar pertama selesai.



Sungguh, saya hampir putus asas untuk melihat apa yang ingin diketengahkan dapat sampai kepada khalayak yang sewajarnya. Terima kasih kepada sahabat saya saudara Zahamri Nizar kerana mencadangkan saya untuk membentang kepada kurator simposium, saudara Faizal Sidik 7 minggu lalu. Dapatlah menyatakan perkara lalu membuka langkah yang cukup bermakna. Ini kerana berlaku di persekitaran yang boleh dikatakan paling afdhal sebagai pembuka. Di Pulau Pangkor yang mana perjanjian mendapat nama kerana berlaku di perairan pulau lebih 151 tahun lalu.

Undangan daripada penganjur memberikan semangat dan kekuatan baru untuk berusaha membentangkannya di ISTAC. Ini mula disuarakan kepada Profesor Dato'. Dr. Ahmad Murad Merican yang menerajui Centre for Malay-Islamic Civilisation (Pusat Ketamadunan Melayu-Islam di bawah ISTAC), selepas mengikuti syarahan beliau pada satu tarikh yang sangat istimewa. Lihat Asbab khidmat kepada ibu bapa - Menyambut hari lahir ke-55 dengan 2 majlis ilmu di ISTAC. Berbekalkan sokongan Murad saya kemudian berjaya mendapatkan persetujuan daripada Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, badan utama yang menaungi  ISTAC), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar bagi melaksanakan majlis pada tarikh yang dipilih.



Dengan itu sukacita dimaklumkan, ia akan dilakukan pada petang esok Isnin 22 Disember 2025. Menurut kalendar rasmi JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) sudah masuk tarikh 1 Rejab, satu tarikh yang sangat cantik lagi penuh keberkatan. Kali ini boleh pergi lebih mendalam kerana ada lebih banyak masa diperuntukkan berbanding di Pangkor. Semoga dapat mencapai matlamat membuka mata semua membawa kepada tindakan susulan sewajarnya. Jumpa kita di sana. :]