Sabtu, Disember 27, 2025

Asbab Perjanjian Pangkor - Dari getaran ombak ke ikan busuk ke genggaman keris ke masjid terapung dan macam-macam

OK. Kembali pada cerita-cerita perjalanan Perak. Merujuk lagi pada artikel Asbab Perjanjian Pangkor - Membuka langkah di Simposium Seni Pangkor yang dipersembahkan petang Ahad, hampir seminggu lalu. Sepatutnya ia menyertakan sekali video berikut pada penghujung artikel.


Ini kerana artikel adalah tentang cerita hari ke-3 perjalanan Perak. Video atas nama "Merah Silu Live", edisi ke-17 ini dibuat pada malamnya. Ia mengenengahkan cerita lama perjalanan saya seperti berikut :-


24. Pengembaraan setelah trilogi BKA keluar (tahun 2007-2008) -  sekitar 4,000 km. Lihat Kenangan pengembaraan setelah trilogi BKA keluar 2007-2008.


Sekarang baru boleh ke hari ke-4 perjalanan.



Pagi Rabu 17 Disember 2025. Melihat lagi ke arah pantai dan laut dari tempat penginapan.




Kali ini baru bersempatan untuk betul-betul berjalan-jalan di pantai lalu menikmati tarikan.




Kali ini juga baru sempat mandi laut. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-





Selepas itu baru bersiap untuk mengikuti hari ke-2 Simposium Seni Pangkor.



Kelihatan saudara Faizal Sidik, seorang artis, membawa tajuk “Getaran Ombak- Pertemuan Seni & Sains ke Arah Festival Seni Pangkor 2026”



Beliau yang merupakan kurator simposium berkongsikan pengalaman terlibat dalam acara seni antarabangsa. Ia mahu dimanfaatkan bagi menjayakan Festival Seni Pangkor 2026 yang mana simposium merupakan cara membuat pengisian dan menetapkan hala tuju.



Selepas itu saudara Zaki Hadri, seorang lagi artis membawa tajuk "Ikan Busuk Dari Kepala"



Tajuk penuh sebenarnya adalah "Dari Peribahasa ke Seni Kontemporari : 'Ikan Busuk Dari Kepala' Sebuah Projek Secara Kolektif". Ia adalah tentang menggunakan objek seni untuk menyampaikan kritikan sosial terhadap kebejatan sesetengah ahli politik yang memimpin negara.



Pembentangan seterusnya menyaksikan Dr Aznan Omar dan Dr Syed Alwi Abu Bakar dari UiTM (Universiti Teknologi Mara) Perak bergilir-gilir membawa tajuk “Menggenggam Keris @ Gelombang Pangkor”







Mereka membicarakan reka bentuk arca bertemakan "menggenggam keris" yang dicadangkan mahu dibina di satu tempat sesuai di Pulau Pangkor.






Puan Aslina binti Mohd Jainal dari UNIMAS (Universiti Malaysia Sarawak) pula membawa tajuk “Getar Dasar Laut Menerusi Pengalaman Realiti Terimbuh Dari Dasar Samudera”



Menggunakan pengalaman selalu menyelam di perairan Sabah dan Sarawak beliau memberikan cadangan bagaimana bidang serupa atau seumpamanya boleh dimajukan di Pangkor.



Putri Ayesha Yasmeen Belfield kemudian membawa tajuk “Beyond the Map: Exploring Pangkor Through a Hunt”.



Bercakap sepenuhnya dalam bahasa Inggeris, beliau mencadangkan konsep treasure hunt atau pencarian harta karun sebagai satu tarikan pelancong sambil memperkenalkan khazanah semulajadi pulau.



Pembentang seterusnya saya kurang jelas nama.



Membawa tajuk "Menadah ke Langit" yang mana dicadangkan agar dibuat arca dari plastik terbuang yang diambil dari persekitaran terdekat beliau adalah salah satu daripada penama yang tertera dalam slaid atas.



Masuk waktu rehat makan tengah hari saya dan isteri keluar menggunakan motosikal yang disewa cuma sejam.



Kami mahu ke masjid terapung, sedikit jauh di bahagian lain pulau. Walaupun termasuk antara tempat yang disenaraikan dalam lawatan lapangan petang kami takut tak sempat kerana harus keluar pulau selewatnya dengan feri terakhir jam 5.45 petang. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Badr, Pangkor di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) diikuti Views from the floating mosque of Pangkor.



Ketika kembali didapati Aslina membentang lagi.




Beliau menggantikan rakan sama universiti, untuk membawa tajuk “Designing an Immersive Virtual Environment for Marine and Cultural Heritage for Sustainable Tourism in Pulau Pangkor through AR Video Mapping



Seterusnya anak muda, Eng Jun Yi membawa tajuk "Shadow of the World Heritage City : Penghubung Warisan Melaka dan Pulau Pangkor melalui Seni Instalasi Ink Wash"



Berasal dari Melaka beliau memberikan cadangan bagaimana boleh mencantikkan visual bangunan sedia ada di Pangkor. menggunakan lampu dari sudut tertentu misalnya, sepertimana telah berjaya dilakukan di bandar raya warisan tersebut.



Saudara Zuhdi Nusuki membawa tajuk “Tengkujuh: Estetika di dalam Seni Visual Berasaskan Fenomena Alam”



Secara rata ia adalah tentang tangkapan visual fenomena alam semulajadi baik dalam bentuk gambar mahupun video untuk menyampaikan rasa.



Hal ini seperti dipanjangkan oleh Fairuz bin Ahmad dengan tajuk "Ekologi Seni dalam Komuniti Pulau: Pembangunan Flagship Artwork sebagai Medium Integrasi Budaya, Ruang dan Kelestarian". Cuma dalam bentuk lain.



Beliau mencadangkan pembinaan arca yang memanfaatkan tiupan angin atau/juga deruan ombak sebagai hasil seni hidup.



Setelah beberapa lama sampai masanya untuk membuat lawatan lapangan. 



Saya dan isteri naik salah satu van. Cuma minta diturunkan di kompleks jeti sementara yang lain meneruskan perjalanan.



Pihak pengurusan sebenarnya telah meminta kami bersama sehingga majlis tamat Khamis tengah hari. Tetapi kami ada urusan di Ipoh waktu pagi. Sementara menunggu feri sempat saya berjalan kaki membuat sedikit penjelajahan sementara isteri menunggu di kompleks jeti. Lihat artikel-artikel berikut :-







Dalam perjalanan ke Ipoh singgah menjamakkan solat Maghrib dan Isyak di masjid ini. Lihat Masjid baru (New mosque of) Al-Rahmaniah, Tronoh. Untuk mengikut perjalanan majlis juga ha-hal berkaitan boleh masuk sini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan