Akhirnya - "Perjanjian Pangkor Setelah 151 Tahun" dilaksanakan di ISTAC
Salam malam Jumaat. Pada penghujung artikel Asbab Perjanjian Pangkor - Membuka langkah di Simposium Seni Pangkor yang dipersembahkan petang Ahad lalu ada ditunjukkan poster bagi majlis mengenengahkan topik sama yang dijadualkan mahu dilaksanakan di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) petang Isnin keesokannya. Alhamdulillah majlis telah berjaya diadakan pada waktunya. Cuma sekarang, selepas 3 hari, baru dapat dikongsikan cerita atas sebab tertentu.
Telah dikongsikan poster bagi majlis pada penghujung artikel petang Ahad. Telah diberikan sedikit liku-liku dan cabaran untuk menzahirkannya, setelah hampir 2 tahun pertama kali bercadang mahu mengadakannya di ISTAC awal tahun lalu. Rujuk kembali artikel-artikel lama berikut :-
Hampir sampai waktunya untuk menzahirkan perkara petang Isnin 22 Disember 2025 sampailah saya dan isteri ke bangunan utama ISTAC.
Sahabat kami saudara Zahamri Nizar yang diminta untuk menjadi moderator/pemudah cara telah lebih dahulu sampai untuk meletakkan sejumlah buku jualan.
Beliau yang mula menjadi saudagar buku sejak penghujung tahun 2012 boleh dikatakan pencetus satu industri menjual buku-buku ilmu secara runcit dari majlis ke majlis. Kami menambah sedikit buku tulisan saya.
Setelah beberapa lama saya dan Zahamri yang lebih dikenali sebagai Zam bersedia untuk memulakan acara.
Bicara dibuka jam 2.35, lewat 5 minit sahaja daripada yang dijadualkan.
Cuma ketika itu saya diberi masa 20 minit sahaja untuk membentang. Kemudian diberi masa tambahan. Campur soal jawab dapatlah sekitar 45 minit untuk memberi faham.
Di ISTAC saya berpeluang untuk bercakap lebih sejam. Campur soal jawab hampir 2 jam.
Dengan itu dapatlah memberikan penerangan dengan lebih mendalam.
Boleh ikuti keseluruhan majlis melalui video bawah...
Namun video yang dirakam secara siaran langsung melalui platform Zoom oleh ISTAC ini bersifat statik. Kamera dihalakan pegun ke arah meja. Selain itu adalah paparan slaid seperti mana keluar dalam Zoom lalu tidak menangkap keadaan sekeliling. Sedangkan saya kemudian lebih selesa berdiri sambil menunjuk ke arah pancaran slaid sambil menerangkan perkara. Ini adalah di luar bidang penglihatan kamera lalu tidak kelihatan dalam video rasmi.
Nasib baik ada video-video pendek yang diambil isteri. Ini lebih membantu penerangan pada bahagian-bahagian tertetu. Lihat :-
Sekarang pergi pada hal tertentu yang menyebabkan perkongsian ini dibuat 3 hari lewat. Kalau tidak kerana hal tersebut insyaallah dah keluar cerita malam itu.
Adapun setelah selesai majlis selepas jam 4.30 kami minum petang di kafe ISTAC. Sejurus sebelum Maghrib sampai ke rumah ibu saudara di Petaling Jaya di mana kami merancang mahu bermalam. Sekitar jam 9 mendapat panggilan telefon daripada adik bongsu menyatakan ibu kami yang menetap di Muar tak sedarkan diri. Lalu bapa menghubungi hospital meminta ambulans datang.
Tidak beberapa lama kemudian mendapatkan makluman melalui WhatsApp keluarga ibu sudah kembali ke rahmatullah. Walaupun luruh rasa hati saya dan isteri tidak terperanjat kerana ibu yang sudah berumur 83 tahun setengah sudah lama uzur. Dekat tengah malam, selepas seorang sepupu yang mahu ikut sama sampai dari Ampang, kami pun bertolak ke Muar. Ibu saudara di Petaling Jaya ikut sekali menaiki kereta kami. Jenazah ibu disemadikan esoknya Selasa 23 Disember selepas jam 11 pagi. Kemudian dibuat majlis bacaan Yasin dan tahlil 3 malam berturut di surau berdekatan. Tadi malam Jumaat adalah yang terakhir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan