Isnin, Julai 14, 2025

Asbab mesyuarat keluarga di Taiping - Dapat menjunjung keris peribadi Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin

Merujuk pada artikel Kehadiran berbusana tradisional penuh di QuranHour - Dah lebih 3 bulan baru sedar ada dalam akhbar yang dipersembahkan jam 12.30 tengah malam, ketika sudah masuk hari Sabtu 12 Julai. Artikel dipersembahkan kerana teruja baru terjumpa artikel surat khabar atas talian menunjukkan kehadiran pada acara berkenaan memakai busana tradisional Melayu penuh berkeris bertanjak bak seorang laksamana lalu dinyatakan berikut :-


Cantik sungguh aturan Allah SWT. Baru menyedari kewujudan artikel ini pada ketika beberapa jam lagi hendak bergerak ke Taiping untuk mesyuarat terbaru jawatankuasa bertindak waris keturunan Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin daripada jalur Orang Kaya Arshad dan Aminah.


Adapun saya dan isteri baru sampai kembali dari perjalanan tersebut sekitar jam 9 pagi tadi. Setelah mendapat rehat dan ada sedikit kelapangan eloklah dimulakan perkongsian cerita.



Perjalanan ke Taiping dimulakan jam 8 pagi Sabtu  12 Julai 2025 dengan harapan semoga penemuan artikel surat khabar itu menjadi petanda baik buat saya, dalam konteks keberadaan keluarga Laksamana Perak.




Sebetulnya sebelum terjumpa artikel saya sedang dalam keadaan murung. Penulisan tesis PhD di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadun Islam) sedang tersangkut sementara penulisan-penulisan buku juga artikel-artikel di blogspot terasa tidak dihargai. Perjuangan demi memartabatkan Melayu dan Islam sejak puluhan tahun terasa tidak mencapai matlamat. Jalan untuk menguatkan lagi perjuangan melalui hak darah keturunan pula terasa disekat. Ada pihak akan sentiasa menghalang kerana tidak mahu keadaan sedia ada dengan segala macam politiknya, politik yang melibatkan hal duit serta kepentingan bukan Melayu tergugat.

Manakan tidak. Saya pernah menyatakan secara terang-terangan bahawa kalau diberi kedudukan yang sewajarnya menurut hak darah keturunan akan mengurangkan pengaruh orang politik dan merombak sistem sedia ada. Rujuk hal berkenaan artikel lama Dari 'keemasan' ke 'keperakan' - 1 April 2022. Jumaat yang sejahtera walau rasa dikhianati. Saya seorang idealis. Saya mahu menjunjung amanah berdasarkan amalan kesufian nenek moyang yang bahkan pernah mendirikan kerajaan Islam besar,  markas untuk berdakwah ke seluruh Alam Melayu. Namun ada hari-harinya terasa sangat tidak bermaya, kecewa dengan keadaan semasa. Hati sentiasa menyeru untuk menghidupan amanah. Iradat atau kehendak sentiasa ada kerana itulah saya. Tapi kudrat atau keupayaan tidak seberapa.




Dalam keadaan itulah tiba-tiba terjumpa artikel surat khabar tersebut. Ia seperti mahu memberitahu - jangan bersedih. Kamu mungkin tak sedar. Ramai sebenarnya mengikut dan menghargai perjuangan kamu. Bersabarlah. Tunggu dan lihat perkembangan seterusnya. Ada kebaikan akan disingkapkan nanti.




Oh. Tadi tu gambar dari menara di RnR atau hentian rehat di tepian Sungai Perak iaitu hampir ke tol Kuala Kangsar. Dari situ dapat dilihat Gunung Bubu.




Tertarik melihat formasi hampir ke puncak gunung seperti air terjun tinggi...




Sekitar jam 11.30 sampailah ke tempat mesyuarat. Bukanlah di bandar Taiping tapi di Kamunting. Namun masih dalam daerah Taiping.



Seronok dapat berjumpa saudara mara, masing-masing mewakili satu cabang keturunan.




Sambil itu timbul dalam fikiran hendak mendaki Gunung Semanggol. Dah lama berhajat sebenarnya. Tunggu kelapangan dan masa yang sesuai. Dari tempat mesyuarat cuma 17 km untuk tempat permulaan denai mendaki gunung di utara.




Cuma kalau hendak mendaki gunung setinggi 1,280 kaki dari permukaan dari laut dan turun tanpa terkejar-kejar perlukan masa 3-4 jam. Isteri tak larat nak ikut. Kata beliau buat lain kalilah, bila saya keluar berseorangan. Kalau pergi juga lalu meninggalkan beliau di mana-mana, walau ke rumah saudara sekalipun, apa guna ke Taiping berdua? Maka tak jadilah pergi. Sebaliknya pergi masuk ke bandar Taiping.



Singgah menjamakkan solat di masjid lama yang didirikan oleh keluarga Ngah Ibrahim, waris kami juga. Ini kerana isteri utama almarhum iaitu Toh Puan Halimah adalah anak Laksamana Muhammad Amin. Pemegang jawatan orang besar Menteri Paduka Tuan kemudian semuanya adalah daripada keturunan mereka. Malah Halimah bertanggungjawab mendirikan masjid. Lihat artikel Lawatan terbaru ke masjid lama Taiping (Latest visit to the old mosque of Taiping) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN.



Nak dijadikan cerita di masjid terjumpa saudara dua pupu dari Alor Setar yang turut menghadir mesyuarat. Bersama beliau ada seorang bapa saudara yang datang dari Seberang Perai. Beliau mengajak 'mengeteh' di sebuah gerai tengah bandar. Dah sampai sana menelefon dan mengajak sekali seorang bapa saudara kami yang dikatakan menetap di Taiping. 

Oh. Ada satu perkara misteri melibatkan labah-labah berlaku di gerai. Biar disimpan cerita untuk kemudian. Ketika makan minum turun hujan yang amat lebat. Kata bapa saudara dah lama tak hujan di Taiping. Dalam sebulan katanya.



Selepas mengeteh saudara dua pupu mengajak pergi ke rumah seorang saudara di satu bahagian Taiping. Walaupun umurnya sekitar 70an saudara ini berpangkat moyang kerana bapanya adalah anak kepada isteri bongsu Laksamana Muhammad Amin. Saya cuma pernah bertemu di mahkamah sebelum ini. Rujuk artikel lama Perbicaraan hak faraid harta Laksamana Muhammad Amin dan hal-hal berkaitan. Saudara dua pupu yang lebih rajin mencari saudara mara sudah banyak kali berjumpa termasuk di rumahnya. Kami pun pergi menaiki satu kereta.



Dahulu kami berada di pihak berlawanan disebabkan kes di mahkamah. Kali ini bertemu dalam suasana lebih harmoni berbaik antara saudara mara. Disebabkan lebih rapat daripada segi generasi, dan keluarga belah beliau ada bersama di Singapura pada hari-hari terakhir Laksamana Muhammad Amin (meninggal dunia sekitar 120 tahun lalu) moyang saudara yang bapa dan abangnya pernah memegang jawatan Laksamana Perak ini menyimpan barangan pusaka berupa keris peribadi Muhammad Amin. Saudara dua pupu yang pernah melihat dan memegangnya meminta moyang menunjukkan kepada saya. Saya pun meminta kebenaran untuk membuka ikatan kain kuning lalu mengeluarkan keris.




Masyaallah. Terasa kekuatan aura keris menyerap ke seluruh badan, dari tapak kaki ke ubun.




Sambil menyerap getaran tenaga timbul rasa sayu. Mungkin disebabkan tahu sejarah berkenaan, apa yang berlaku kepada Laksamana Muhammad Amin, dibuang negeri ke Pulau Seychelles pada tahun 1877 atas tuduhan terlibat dengan pembunuhan Residen pertama British ke Perak iaitu J.W.W. Birch (pada 2 November 1875) kemudian dapat berpindah ke Singapura tahun 1895, namun masih dalam buangan tidak dapat kembali ke Perak, sebelum meninggal dunia sekitar 10 tahun kemudian pada usia sekitar seabad.



Sungguh tak sangka dapat menjunjung keris pusaka ini. Walaupun dah lama tahu di mana dan pada tangan siapakah ia berada disebabkan perselisihan  dalam kes mahkamah saya tidak berharap pun dapat melihat apa lagi memegang, menghunus, menjunjung dan mengucup. Tiada langsung dalam perancangan malah tak terlintas pun dalam hati. Tiba-tiba dapat. Saya kira ini adalah antara perkara baik yang terzahir, yang petandanya adalah terjumpa artikel suratkhabat seperti dinyatakan dalam Kehadiran berbusana tradisional penuh di QuranHour - Dah lebih 3 bulan baru sedar ada dalam akhbar, artikel ke-2,696 di CATATAN SI MERAH SILU.