Jumaat, Ogos 23, 2024

Makna sebenar ulamak dan Ulul Albab

Perkongsian daripada majlis ilmu seterusnya. Tapi sebelum itu kira jalan-jalan dahulu...



Tengah hari Jumaat 23 Ogos 2024. Selepas mengambil anak dari sekolah pagi lalu menghantar ke rumah saya terus ke kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak.




Lalu buat pertama kali, seingat sayalah, menunaikan solat Jumaat di masjid sana.







Selepas itu pekena Shawarma yang menjadi kegemaran di sebuah kafe kampus.




Kemudian baru ke tempat majlis ilmu di perpustakaan ini, kali pertama sampai.




Gambar ini diambil jam 3.19. Saya menyertai majlis hampir 20 minit lewat.




Ia adalah diskusi buku "Natural Science From the Worldview of the Quran" (Sains Semulajadi Daripada Pandangan Dunia Al-Quran") tulisan almarhum Profesor Emeritus Tan Sri Dr M. Kamal Hassan. Buku terdiri daripada 3 jilid dan ini adalah diskusi ke-8 bagi jilid 1. Ia dibawa oleh Dr Nur Jannah Hassan, seorang anak murid beliau yang turut terlibat dalam penulisan dan penyuntingan buku.




Untuk makluman ini adalah kali kedua saya menyertai diskusi buku oleh Nur Jannah. Ia dibuat atas nama FOIS - Friends of Islamisation Study Circle atau Sahabat Lingkungan Pengajian Islamisasi (terjemahan saya). Penyertaan pertama adalah secara atas talian pada petang Jumaat 2 minggu lalu. Lihat "Salam Kasih" oleh Prof Kamal Hassan. Kali ini adalah yang pertama hadir secara zahir.




Sebetulnya saya sudah melihat poster-poster bagi majlis-majlis diskusi buku-buku almarhum Kamal Hassan di bawah FOIS diedarkan dalam grup WhatsApp ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) sejak beberapa bulan lalu. Memang ada hajat untuk menyertai. Tetapi selalu berselisih masa dan tarikh dengan majlis-majlis di ISTAC juga hal-hal lain. Baru kebelakangan ini dapat menyertai.




Alhamdulillah saya bersyukur dapat bersama bermula 2 minggu lalu, dan kali ini hadir secara fizikal di kampus utama UIA. Sebetulnya buku dan diskusi sangat relevan dengan apa yang berlaku kepada diri melalui diskusi buku saya sendiri di ISTAC 8 hari lebih awal diikuti satu majlis lain yang mana dapatan melalui pembacaan dan tafsiran dalam Al-Quran telah didakwa tidak saintifik oleh satu pihak, sekadar pseudoscience atau sains palsu. Lihat artikel Diskusi buku "Adam (a.s.) and Origin of Man" di ISTAC berlangsung dengan jayanya 15 Ogos diikuti Antara nasi beringin dan dakwaan sains palsu berdasarkan Al-Quran.




Buku tulisan almarhum Kamal Hassan dengan bantuan Nur Jannah ini adalah satu usaha besar untuk mengharmonikan dapatan daripada Al Quran dengan ilmu sains moden seperti diketahui hari ini. Dinyatakanlah bahawa ulamak itu bukan sekadar orang yang tahu hukum hakam atau ilmu agama sahaja. Yang sebenarnya ulamak adalah ahli ilmu (perkataan ulamak atau ulama' itu sendiri berasal daripada kata akar bahasa Arab ilm' iaitu ilmu). Seharusnya memiliki keahlian dalam banyak bidang termasuk apa yang disebut secara formal dalam dunia akademik sebagai Natural Sciences, ilmu-ilmu sains semulajadi.




Ilmu-ilmu sains semulajadi ini meliputi bidang-bidang seperti fizik, matematik, biologi, kimia dan berbagai lagi. Maka para ilmuwan dalam bidang ini pun adalah ulamak (malah mungkin lebih layak dipanggil ulamak berbanding ahli feqah, agama dan hukum hakam sahaja).




Namun lebih penting lagi Al Quran menyebut ulamak itu sebagai orang yang bertakwa, takut pada Allah SWT, sentiasa memerhati dan merenungkan tanda-tanda kebesaran yang dizahirkan melalui kejadian alam dan perkara-perkara yang kita lihat sebagai terjadi secara 'semulajadi'.




OK. Saya mengulas ini bukan mengikut turutan slaid lalu menterjemahkan. Tetapi daripada apa yang dapat ditangkap lalu mengalir keluar perkataan melalui penulisan malam ini.




Ada disebut bagaimana ulamak itu adalah orang yang membaca dan mengkaji "dua buku" (atau "dua kitab"). Satu adalah Al-Quran yang diturunkan melalui wahyu, satu adalah alam terbentang yang juga merupakan 'ayat-ayat Allah', bagi mereka yang menekuni. Untuk memahami ini boleh baca tulisan tentang syarahan guru saya di ISTAC, Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar mengenai perkara. Lihat Kenapa ciptaan adalah wahyu : Mengimbau teori dua kitab
.



Ulamak yang sebenar juga adalah Ulul Albab, satu terma yang dapat ditemui dalam banyak ayat  melibatkan pemikiran, renungan dan tafakur terhadap perjalanan/fenomena alam dan kejadian.




Satu definisi yang dapat ditemui dengan cepat dalam Internet adalah Ulul albab ialah golongan yang menggunakan akal dengan sempurna bagi mengkaji sehingga mampu meletakkan segala perkara pada perspektif yang betul. Ah. Tanpa dirancang, setakat mengalir keluar daripada fikiran definisi ini diletakkan di bawah slaid yang sedang menyebut tentang perkara. Betul. Saya tak tipu. Ini kebetulan yang Allah SWT aturkan.



Kebetulan ada dibincangkan bagaimana ulamak silam Islam seperti Imam Ghazali dan sebagainya boleh menulis begitu banyak buku dalam begitu banyak bidang dalam julat umur yang terhad. Sedangkan menurut Nur Jannah, untuk almarhum Kamal Hassan dan beliau menghasilkan 3 jilid buku yang sedang didiskusikan ini pun memakan masa 7 tahun.




Jawabannya? Allah SWT mudahkan dan ilhamkan kerana mereka orang yang bertakwa. 




Mereka menjadi ilmuwan kerana Allah, mencari keredhaan Ilahi, bukan mencari nama, harta, pangkat dan sebagainya, bukan untuk mendapatkan kelebihan keduniaan.




Terasa sebak memikirkan ini. Kerana walaupun nakal dan kuat melawan sehingga pernah dibuang sekolah dan kolej sebenarnya itulah jiwa saya, jiwa perjuangan seorang yang sangat sayangkan ilmu dan erti kebenaran.




Sungguh, mengikuti majlis ini lalu mendengar aspirasi almarhum Kamal Hassan mengenangkan pada keadaan diri, kenapa jadi memberontak disebabkan melihat begitu banyak kepura-puraan. 




Apa yang dinyatakan dalam buku memberikan harapan untuk meneruskan perjuangan walau dilanda banyak masalah dan kekangan, disebabkan realiti keadaan dunia dan manusia zaman sekarang. Cukuplah perkongsian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan