Jumaat, Ogos 23, 2024

Kebaikan dan kelemahan demokrasi sebagai satu sistem politik

Salam pagi Jumaat 18 Safar 1446 Hijrah. Berbalik pada perkongsian cerita majlis ilmu...



Majlis kali ini diadakan di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa) di Gombak petang semalam Khamis 22 Ogos 2024. Tajuk boleh diterjemahkan sebagai "Kebaikan dan Kelemahan Demokrasi sebagai satu Sistem Politik". Pembicara adalah Dr Hakan Koni dari Turki. Dua hari sebelumnya beliau telah membawa tajuk lain di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Bukit Tunku. Lihat Kajian perbandingan hubungan antara negara dan agama di Malaysia dan Turki.




Seperti pada hari Selasa saya memilih untuk mengikuti secara atas talian. Ini kerana ada komitmen seperti menguruskan anak pergi balik sekolah yang menyebabkan tidak selalu boleh ke Lembah Klang untuk mengikuti majlis lebih 40 km dari rumah. Saya cuma akan keluar jika isteri dapat menguruskan anak, dan saya sendiri ada kelapangan jika tidak penat. Pada hari-hari tertentu beliau boleh bekerja dari rumah, ada masa pula ke cawangan syarikat yang tidak begitu jauh dari rumah. Contohnya Rabu lalu isteri dapat keizinan untuk membuat kerja dari cawangan kecil yang sangat dekat dengan sekolah anak. Lalu dapatlah saya ke ISTAC malah berjalan-jalan sedikit di Kuala Lumpur. Lihat Antara nasi beringin dan dakwaan sains palsu berdasarkan Al-Quran.




Sampai masanya bicara pun dimulakan. Hakan menyatakan sebenarnya hendak memberikan tumpuan pada menyatakan keburukan demokrasi sebagai satu sistem politik. Tetapi apabila ada orang bertanya apakah beliau sudah ada alternatif atau pilihan yang lebih baik beliau jawab belum. Disebabkan itu dirasakan elok dinyatakan dahulu apakah kebaikan sebelum ditimbang dengan keburukan.

Maka dinyatakanlah antara kebaikan adalah memberikan peluang kepada rakyat marhaen untuk menjadi pemerintah, pentadbir dan penggubal undang-undang. Dengan mengundi pada pilihanraya secara berkala rakyat dapat memilih wakil untuk memimpin kerajaan lalu parlimen memerintah bagi pihak mereka. Dengan itu kuasa dipulangkan kepada rakyat daripada tangan raja dan golongan bangsawan lalu menjadi sasaran dan penentu kuasa politik, bukan sekadar bidak catur yang kadangkala dimangsakan. Dengan cara ini dapat diseimbangkan kuasa politik dalam kalangan rakyat kerana setiap orang memiliki kuasa satu undi menjadikan mereka setaraf dan sama rata.




Seterusnya, pilihanraya yang diadakan secara berkala dalam demokrasi membenarkan pertukaran pemegang kuasa, atas pilihan rakyat. Ini adalah jika pemegang kuasa melangkaui bidang kuasa, cuba bersikap kuku besi, atau disabitkab dengan rasuah, atau tidak mencapai jangkaan rakyat. Atau apa-apa sahaja sebab yang dilihat patut oleh rakyat. Pilihanraya yang demokratik bertindak sebagai alat untuk kebertanggungjawaban. Rakyat boleh memantau dan menilai wakil yang dipilih lalu memberikan laba atau menghukum melalui undi.




Demokrasi juga melicinkan pertukaran pentadbiran/kerajaan dengan cara aman, tanpa perlu berlakunya revolusi, pertumpahan darah dan keganasan. Sejarah penuh dengan contoh revolusi dan keganasan berlaku demi meminta perubahan. Sebaliknya, melalui demokrasi perubahan boleh dicapai melalui cara yang saksama, aman dan kurang menelan belanja.  Ini dimudahkan bila rakyat diberikan kebebasan untuk berfikir, memiliki kepercayaan sendiri (tentang agama misalnya), boleh bermesyuarat, berkumpul dan sebagainya. Boleh juga mengasaskan atau menyokong parti politik dan organisasi yang mewakili permintaan dan pandangan, boleh menyertai pilihanraya sebagai pengundi mahupun calon, boleh menggunakan saluran undang-undang baik tempatan mahupun antarabangsa.




Akhir sekali demokrasi meningkatkan ilmu pengetahuan, kesedaran, dan daya cipta rakyat dalam isu-isu politik lalu menjadi mereka ajen yang membina dalam kehidupan berpolitik. Ini menjadikan ia (demokrasi) suatu macam sekolah politik, alat untuk bersosial dalam politik juga pendidikan bagi rakyat. Dengan menjadikan rakyat sumber utama kuasa politik, demokrasi menggalakkan mereka untuk membentuk pandangan dalam isu-isu politik juga mengasaskan atau menyokong badan-badan politik dan pergerakan untuk kemajuan sendiri, juga mengambil tugas dalam pelbagai jabatan awam. Nilai kehidupan berpolitik pun meningkat. Mereka terlibat dalam kehidupan berpolitik, menyertai kerja-kerja kenegaraan sebagai peserta, pemikir, penilai, pembuat keputusan dan pengamal.




Sekarang pergi pada keburukan. Biar ditulis lebih ringkas mengikut pemahaman saya ya, tidak lagi diterjemahkan hampir semua seperti pada slaid-slaid tentang kebaikan.

Pembentukan kerajaan campuran seringkali berlaku dalam demokrasi menyebabkan parti-parti berlainan ideologi lalu lain misi dan arah tujuan membentuk satu pemerintahan/kerajaan/pentadbiran. Kadangkala terbentuk pula kerajaan minoriti (yang mendapat kerusi kurang 50% daripada keseluruhan yang ditawarkan namun masing melebihi lain-lain pencabar) lalu tidak menggambarkan aspirasi majoriti rakyat.

Contoh saya, lihat sahaja pada kerajaan Malaysia sekarang. Tanpa perlu menyebut nama parti kita tahu ada yang sangat membawa semangat dan aspirasi keCinaan walau tidak mengaku demikian, ada yang begitu liberal kerana terlebih moden konon lalu mahu mengubah lanskap tradisional, ada yang membawa aspirasi Islam dan keMelayuan yang seharusnya lebih sesuai dengan asal usul pembentukan negara Malaysia juga realiti komposi penduduk menurut kaum namun dilihat 'tidak adil' kepada yang lain. Sebetulnya aspirasi mereka bercanggah lalu seringkali berlaku tarik tali dalam melaksanakan  perkara tapi mungkin tak semua orang sedar.




Seterusnya, walaupun pilihanraya yang diadakan secara berkala ada kebaikannya, tetapi ia juga menerbitkan masalah apabila muncul pemenang baru. Seringkali pemenang baru akan memulakan polisi baru yang menenggelamkan atau menghentikan langsung kerja-kerja dan polisi daripada pemegang kuasa yang terdahulu walaupun perkara baik.




Nah. Lebih banyak keburukan sebenarnya disenaraikan oleh pembaca...







Seperti disebut pembicara sejak awal memang asalnya beliau hendak bercakap tentang keburukan demokrasi sahaja, kebaikan cuma ditambah agar kelihatan lebih adil pertimbangan.










Antara keburukan paling teruk adalah korupsi dan rasuah. Calon dan parti boleh disogok pihak-pihak berkepentingan dengan wang ringgit apalagi berkempen untuk pilihanraya memerlukan banyak belanja. Apabila menang jadi terikat dengan pihak-pihak berkepentingan lalu polisi boleh dibentuk untuk memberikan kelebihan kepada pihak-pihak tersebut. Selain itu pengundi sendiri boleh dibeli. Lalu pilihan dibuat bukan berdasarkan mereka yang boleh memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara tetapi mereka yang boleh menaburkan wang.




Lagi satu aspek paling buruk demokrasi adalah tentang satu orang satu undi itu sendiri. Demokrasi memberikan mereka yang berpelajaran dengan tidak berpelajaran nilai undi yang sama. Begitu juga antara yang berpengalaman atau tidak. Profesor dan pelajar pun sama sahaja nilai undi. Padahal nilai sebenar mereka tidak sama dalam membentuk polisi awam dan negara.



Sebenarnya saya pernah menulis panjang lebar mengkritik sistem demokrasi dalam buku kedua saya   "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" yang terbit Mei 2007. Ia memenuhi satu bab yang diberi tajuk "Demokrasi vs. Raja-raja : Satu Sisipan Tambahan".  Pun begitu, sebelum buku diterbitkan, isinya sudah ada, cuma harus disemak lagi sebelum buku dihantar ke kilang cetak. Bab berkenaan telah dikongsikan seadanya dalam CATATAN SI MERAH SILU seawal Disember 2006 melalui sejumlah artikel bersiri. Lihat :-


1. Helah Yahudi Zionis memerintah dunia I

Tiada ulasan:

Catat Ulasan